Sepatah Dua Kata

Isnin, November 15, 2010

Luruhnya Dedaun Rindu - Bab 13



TANPA sedar, sudah sebulan berlalu sejak insiden majlis pertunangan yang memalukan itu. Bermakna, sudah sebulan juga Ramzan dan Dalila sudah sah menjadi pasangan suami isteri. Semuanya berlaku begitu pantas. Setelah sampai di Narathiwat, mereka berempat segera ke Jabatan Agama Islam di sana. Dalam perjalanan, sempat juga Ramzan bertanya pada Adi tentang hukum pernikahannya ini. Kata Adi, asalkan mengikut rukun nikah, punya saksi dan wali hakim yang bertauliah, sudah memadai. Cuma kata Adi, sejurus pulang ke Malaysia, mereka perlu segera mendaftarkan pernikahan untuk mengelak dari membayar denda yang tinggi.
Justeru, selesai sahaja majlis pernikahan, mereka berehat sehari di sana. Ramzan bersyukur kerana separuh dari masalah yang ditanggung selama ini terasa sirna pergi. Sewaktu dia melafazkan akad nikah, jiwanya terasa sebak. Dalam usia semuda ini dia sudah bergelar seorang suami dan bakal menjadi seorang ayah tidak lama lagi. Sungguh  percaturan hidupnya ternyata berbeza dengan mereka yang seusia namun Ramzan mengerti akan ketentuan Ilahi.
Setelah pulang ke Malaysia, Ramzan dapat rasakan perubahan dalam hidupnya. Dia kini bebas untuk bersama-sama dengan isteri yang baru sahaja dinikahinya itu. Perasaan bergelar suami isteri agak sukar untuk ditafsirkan. Yang pasti Ramzan bahagia dan dia berharap Dalila juga menyimpan rasa yang sama.
Masih ada sebulan lagi sebelum semester keempat pengajiannya tamat. Selepas itu, semua pelajar akan bercuti selama lebih kurang dua bulan. Ramzan sudah menyediakan beberapa perancangan untuk kehidupan barunya itu. Apatah lagi permohonan Dalila untuk menangguhkan pengajian sudah diluluskan. Bermakna semester hadapan, Dalila tidak akan bersama-samanya menghadiri sesi kuliah sebaliknya berehat di rumah sementara menanti anak sulung mereka lahir.
Rancang Ramzan, mereka akan mencari sebuah rumah sewa berhampiran kampus. Sudah menjadi suami isteri ini, perlulah tinggal serumah supaya alam rumahtangga dapat dilalui dengan lancar. Kemudian, dia akan mencari kerja sampingan untuk menyara keluarganya. Duit pinjaman pelajaran yang diperolehi, rasanya cukup untuk menampung kehidupan mereka sehingga tamat pengajian.
Ramzan masih ingat kata-katanya pada Dalila ketika mereka berehat di dalam bilik hostel selepas upacara akad nikah tamat.
“Zan berjanji akan sentiasa berada di sisi Ila dan bersama-sama menjaga dan mendidik anak yang bakal lahir ini agar tidak melakukan kesilapan yang telah kita buat. Rumah tangga seperti sebuah kapal di mana Zan adalah nakhodanya. Namun Zan harap, Ila sudi mengemudi kapal ini bersama-sama dengan Zan agar ia menuju ke pulau bahagia. Walau sesekali ombak bergelora, Zan harap kita akan lalui bersama-sama dengan kepercayaan dan toleransi.
            Jika Zan tersadung langkah, nasihatilah. Begitu juga jika Ila tersalah memilih jalan, Zan akan bawa ke pangkal semula. Bersama-sama kita tebus kesilapan yang lalu dan mulakan hidup baru,”

*  *  *  *  *

KEHIDUPAN terasa berlalu dengan aman dan tenteram tika ini. Baik Ramzan mahupun Dalila, kedua-duanya berharap agar tiada lagi mendung yang berarak datang dalam perhubungan mereka. Sekurang-kurangnya, untuk saat ini, mereka bahagia. Tidak lama lagi peperiksaan akhir semester akan berkunjung tiba. Banyak persiapan harus dibuat. Masa lalu sudah menjadi sejarah yang pahit dan mereka tidak mahu masa hadapan juga dilalui dengan kelam.
Ramzan mengajak Dalila untuk singgah makan di kafeteria usai kuliah tengah hari itu. Adi pula menolak apabila diajak untuk turut serta. Ada perjumpaan dengan pasukan ragbi katanya. Hazwani juga turut menolak dengan memberi alasan mahu berjumpa pensyarah. Ramzan dan Dalila hanya mampu saling berpandangan walau mereka tahu, kedua-dua kawan karib mereka itu sebenarnya sedang bertegang urat.
Adi dengan sikap kasanovanya dan Hazwani yang cemburu. Entah bagaimana kesudahan hubungan mereka, tidak pula Ramzan dan Dalila ketahui. Yang pasti, mereka sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka berdua.
“Ila nak makan apa hari ni?” tanya Ramzan, lembut.
“Rasa macam nak makan nasi goreng ayam. Zan nak makan apa?”
Ramzan merenung tajam ke arah Dalila membuatkan gadis itu sedikit kaget. Dalila yang mengeri akan maksud pandangan Ramzan itu mengukir senyum kecil.
“Maaf, tak biasa lagi. Em, abang nak makan apa?” tanya Dalila, tersipu-sipu.
Riak wajah Ramzan berubah ceria. Sudah beberapa kali diingatkan Dalila untuk memanggilnya begitu. Bukankah mereka sudah bergelar suami isteri dan seharusnya seorang isteri menggunakan panggilan tersebut untuk suaminya.
“Samalah. Jap, abang pergi order ya,” ujar Ramzan seraya bangun menuju ke kaunter pesanan.
Bibir Dalila menguntum senyum manis. Memang mulanya dia terasa janggal mahu memanggil Ramzan dengan panggilan ‘abang’. Terasa kembang tekaknya. Namun dia hormatkan Ramzan sebagai suaminya dan menajdi tugas seorang isteri, adalah patuh pada kehendak suami.
“Hai, Ila!” tegur seorang gadis membuatkan Dalila sedikit tersentak.
“Eh, Sofea! Lama tak jumpa ya,” balas Dalila.
Sofea adalah kenalannya semasa semester pertama menuntut di universiti itu. Rakan sekumpulan semasa program induksi untuk para pelajar baru. Sofea pelajar jurusan architecture dan mereka pernah menjadi rakan sebilik dari semester pertama hingga semester kedua sehinggalah Sofea mengambil keputusan untuk duduk di rumah sewa bersama-sama rakan sekelasnya semasa semester ketiga.
Sejak itu mereka jarang berjumpa kerana fakulti mereka agak jauh jaraknya. Sesekali ada juga mereka berbalas mesej atau telefon tetapi sejak mula semester ini, memang sudah lama dia tidak mendengar khabar gadis itu.
“Buat apa kat sini?” tanya Dalila.
“Jumpa kawan sekejap. Terlanjur waktu makan tengah hari, itu yang ke sini. Lama betul tak jumpa ya,” jawab Sofea.
“Kawan ke boyfriend?” Dalila mengusik lantas membuatkan Sofea ketawa kecil.
“Kawan perempuanlah. I mana ada boyfriend lagi,”
Kelibat Ramzan yang muncul di sebelah Dalila menghentikan perbualan mereka. Sofea menatap wajah Ramzan yang berkumis nipis itu. Entah mengapa jantungnya berdegup kencang. Dalila yang perasan akan pandangan kawannya itu mula berasa tidak sedap hati.
“Siapa ni?” tanya Ramzan pada Dalila sejurus dia melabuhkan punggung di kerusi bersebelahan dengan isterinya itu.
“Ah, kenalkan, ini Sofea, roomate Ila masa semester satu dulu. Sofea, ini suami saya, Ramzan,” ujar Dalila sambil memegang erat lengan Ramzan, sengaja mahu menunjuk pada Sofea bahawa Ramzan adalah miliknya.
Raut wajah Sofea berubah. Suami? Berguraukah kawannya ini?
“Hai, nice to meet you Sofea. Kalau ada masa, tengok-tengokkan isteri saya yang comel ni ya,” ujar Ramzan sambil mengenyitkan mata pada gadis berambut panjang di hadapannya ini.
Sofea hanya tersenyum. Kenyitan mata Ramzan tadi ibarat panah cinta yang menusuk tajam ke hatinya. Fikir Sofea, pasti mereka bergurau. Yalah, mustahil mereka sudah bernikah dalam usia semuda ini. Pasti mereka hanya berlakon menggunakan panggilan tersebut.
“Tak nak join kita orang ke?” pelawa Ramzan sekaligus dihadiahkan sebuah sepakan pada kakinya oleh Dalila.
Ramzan mengaduh sakit lalu dipandang Dalila dengan wajah hairan. Dalila hanya tersenyum. Sofea tahu Dalila tidak suka akan kehadirannya di situ tetapi entah mengapa tatkala bertentang mata dengan lelaki di sebelah Dalila, jiwanya jadi tidak keruan. Jatuh hatikah dia pada Ramzan?
“Em, it’s okay, I datang dengan kawan tadi. Okeylah, got to go. See u...” ucap Sofea lalu melangkah pergi dengan senyuman yang meniti di bibir.
 “Ila ni kenapa tendang abang tadi?”
“Ops, tindakan spontan agaknya. Maaf ya bang,” balas Dalila, malas mahu menerangkan sebab sebenar.
Beberapa minit kemudian, makanan yang dipesan tiba. Dua pinggan nasi goreng ayam dan dua gelas air sirap limau sudah terhidang di atas meja. Baru sahaja Ramzan mahu menyuap makanan itu ke dalam mulutnya, ada seseorang menegur. Ramzan segera mengangkat wajah. Anak matanya membulat. Dalila juga turut bereaksi serupa. Tidak percaya dengan susuk tubuh yang ada di hadapan mata tika ini.
“Along?” ujar Ramzan, gelisah!

::bersambung::

5 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

rizai, boleh tak kalau ending bab jangan buat orang tertanya-tanya? geram!

epy elina berkata...

hbslah mrk....
adeh...
ramzan ni trllau ensem ke smp pmpuan mdh cair...
ish2x....

Leya berkata...

susah jadi org hensem ni ya. dalila tu yg kesian nanti.

Hananorisa berkata...

pulak dah...
jgn kata lepas ni...
sofea nk kan si ramzan pulak sudah..

hehehe...

saspen2..

Rizai Reeani berkata...

Tanpa Nama: Hehehe... Maaf ya. Tak berniat begitu cuma ia salah satu teknik penulisan yang saya belajar.

epy elina: Nak kata handsome tu, tak juga tapi manisnya ada. :)

Leya: Ya, ada derita bakal mendatang nanti.

Hananorisa: Ya, saya juga saspens nak menghabiskan cerita ini. Tema yang agak berat untuk saya kupas dalam novel ini.