Sepatah Dua Kata

Ahad, Disember 12, 2010

Kembali Senyum - Ceritera 02













Dia yang bernama Shafikah

MATANYA dibuka perlahan-lahan. Kipas siling kelihatan berputar di ruang pandangannya. Diperhatikan sekeliling. Tidak pernah dia berada di tempat ini. Di manakah dia agaknya? Kedua-dua matanya digosok. Mungkin dia bermimpi. Namun keadaan sekeliling masih sama. Faziera menyingkap sedikit selimut yang menutupi pinggangnya lalu bangun dan bersandar pada kepala katil.
“Hah, dah sedar pun,” tegur Shafikah yang muncul tiba-tiba di dalam bilik itu.
“Aku kat mana ni?” tanya Faziera pada Shafikah yang sudah pun berdiri di sebelahnya.
“Bilik rawatan sekolah. Kau pengsan tadi,”
“Pengsan?”
“Hai, baru pengsan sikit dah kena amnesia ke?” perli Shafikah.
Faziera mencebik. Ligat fikirannya berputar mengingati peristiwa yang berlaku sebelum dia pengsan tadi. Apabila ketemu, dia segera menekup mulut. Ya, dia pengsan kerana lelaki itu. Lelaki yang telah mencoret luka di hati. Tetapi, benarkah lelaki itu yang dilihat tadi? Tentulah benar, kalau tidak, masakan dia boleh pengsan begini.
“Hah, dah ingat ke? Wah, tak sangka ya...” ujar Shafikah sejurus melihat reaksi rakan baiknya itu.
“Tak sangka apa?”
“Gadis ala-ala perempuan Melayu terakhir macam kau ni pernah bercinta dan putus cinta,”
Kata-kata Shafikah membuatkan wajah Faziera berubah merah. Malu barangkali. Ah, sudah... Sekarang bagaimana mahu jelaskan perkara ini?
“Err... Ika, sebenarnya...”
“Sebenarnya?”
“Apa yang budak lelaki tu cakap semua tak betul,” tegas Faziera.
Shafikah tersengih. Lagaknya seperti tidak percaya. Faziera tidak salahkan Shafikah. Memang sukar mahu percaya apa yang dikatakannya tadi sekiranya tiada bukti tetapi dia tidak mahu menoleh ke belakang semula. Dia tidak mahu menyelak kenangan silam yang memeritkan itu.
“Kau nak katakan yang kau bukan kekasih dia begitu? Oh, maaf, bekas kekasih,”
“Ika...”
“Okey, whatever it is, aku nak kau cerita dari mula sampai habis. Siapa budak lelaki tu?”
Faziera menundukkan wajah. Mulutnya terasa berat mahu menjelaskan duduk perkara sebenar. Sudah lama ingatan itu dikuburkan dan kenapa sekarang ia perlu muncul semula? Dan, yang menghairankan Faziera, apa yang lelaki itu buat di sini? Bukankah dia sepatutnya berada di USM, melanjutkan pengajian seperti apa yang didengar melalui khabar angin yang tersebar?
“Oh, awak dah bangun Faziera?” soalan dari Cikgu Sumathy, seorang cikgu yang juga penasihat Persatuan Bulan Sabit Merah sekolah itu seakan menyelamatkan Faziera dari desakan Shafikah.
“Ya cikgu. Em, boleh saya balik ke kelas semula?”
Cikgu Sumathy menganguk. Selepas mengucapkan terima kasih, Faziera melangkah keluar dari bilik rawatan itu. Shafikah mengekori dari belakang. Dia menanti jawapan dari Faziera tetapi sepertinya rakannya itu agak keberatan untuk berbicara.
Di pertengahan jalan, langkah Faziera terhenti. Dia teringat bahawa lelaki itu sekarang ada di dalam kelasnya. Mahu lari ke mana ya? Ah, masakan dia boleh mengelak. Faziera pasti, jika dia pulang ke kelas, dirinya akan jadi tumpuan ramai. Bukan itu yang Faziera gerunkan tetapi kehadiran lelaki yang tidak pernah disangkanya itu. Bagaimana dia hendak hadapi hari-hari yang mendatang kelak?
“Kenapa berhenti?” tanya Shafikah yang baru sampai di sebelahnya. Gadis itu kelihatan termengah-mengah. Adakah dia berjalan terlalu pantas sehingga Shafikah tidak mampu mengekorinya?
“Aku tak boleh balik ke kelas sekarang,” jawab Faziera membuatkan mata Shafikah membulat.
“Kenapa?”
“Aku nak minta tolong kau, boleh?” soalan Shafikah dibalas dengan soalan oleh Faziera.
“Apa dia?”
“Kalau cikgu tanya aku kat mana, katakan aku di bilik rawatan, masih tak sedarkan diri,”
“Kau gila?”
“Tak, tapi aku memang tak boleh balik ke kelas sekarang,” tegas Faziera.
“Kenapa?”
“Nanti aku ceritakan. Boleh tolong aku?”
Riak wajah Shafikah menunjukkan yang dia agak serba-salah. Waktu sekolah masih awal lagi. Takkan pengsan lama sangat.
“Okey, macam ni. Kau cakap aja dengan cikgu yang aku dah balik rumah sebab tak sihat,”
“Ish, kau ni. Aku tak beranilah nak menipu. Nanti kantoi macam mana?”
“Ala, tak payah risau. Biar aku yang tanggung semua,”
“Kau cakap senanglah, aku yang naya nanti,”
“Ala, please... Kau kan kawan baik aku. Selama ni pernah aku menyusahkan kau? Tak ada, kan?”
Shafikah tersenyum sumbing. “Banyak kali kau menyusahkan aku. Ingat tak masa kes kau tampar si Zul Buaya tu? Hah,  siapa yang bela kau masa kat bilik disiplin? Aku kan? Kalau tak, dah lama kau kena tadah telinga dengar Cikgu Karim membebel,”
Faziera tergelak kecil. Ya, dia masih ingat kejadian itu. Tidak akan sesekali dia lupakan. Semuanya kerana Zul Buaya sesuka hati memegang tangannya. Mana tak dapat cop mohor percuma dari dia. Nasib baik ada Shafikah yang menjelaskan keadaan sebenar pada Cikgu Karim, guru disiplin bermisai lentik yang terkenal dengan kegarangan tahap singa kelaparan tak makan seminggu itu.
“Hah, mengungkit. Buat baik sikit nak mengungkit. Kau ni tak ikhlas betul...” sindir Faziera.
“Hello, bukan mengungkit okey. Aku cuma mengingatkan. Yang kau beriya-iya sangat tak nak masuk kelas ni kenapa?”
“Ada hantu kat dalam tu,”
“Hah?” mulut Shafikah sudah melopong.
Faziera tergelak kecil. Shafikah, kalau bab hantu-jin ni, memang penakut.
“Ya, ada hantu dalam kelas tu. Hantu tu duk perhati aku aja dari pagi tadi. Itu yang aku tak nak masuk kelas,”
“Kau serius atau sedang buat wakenabeb? Kau jangan... Nanti tak pasal-pasal aku ikut kau balik rumah sama,” ujar Shafikah dengan wajah yang sedikit pucat.
‘Eh, eh, minah ni. ada ke situ pula fikirnya. Ah, sudah... Parah pula kalau si Ika ni nak balik sama,’ getus hati Faziera.
“Kau ni Ika... Aku main-main aja. Ala, please, kalau cikgu tanya, cakap aja aku dah balik. Aku memang tak boleh masuk kelas hari ni. Malu sangat sebab pengsan tadi...” ujar Faziera, hanya itu saja alasan yang dapat dia fikirkan saat ini.
Shafikah diam seketika. Kelihatannya seperti sedang berfikir. Akhirnya, dia mengukir senyum.
“Okeylah... Tapi dengan syarat kau kena tolong aku buat kerja sekolah selama seminggu. Amacam?”
“Kau ni... Yelah, yelah... Eh, boleh tolong ambil beg sekolah aku tak? Aku tunggu kat kantin,”
Shafikah mengangguk lalu melangkah pergi menuju ke kelas. Faziera pula berpaling, menghala ke kantin sekolah. Dalam perjalanan, mindanya ligat berputar. Apa yang perlu dia lakukan sekarang? Berpindah sekolah? Itu tidak mungkin. Baru sahaja tiga bulan dia di sini.
Kalau buat-buat tak kenal lelaki itu? Lagilah tak munasabah sebab secara tidak langsung, dia sudah memberitahu semua orang di dalam kelas yang dia sudah mengenali lelaki tersebut. Hah, kalau tukar kelas macam mana? Tapi, kena beri alasan yang kukuh kalau nak tukar kelas. Tambahan pula, dia tidak akan dapat melihat wajah Muazhim jika dia bertukar kelas. Tak mahulah!
Jadi, apa jalan penyelesaian yang ada? Argh!!! Mengapa walau sejauh mana dia berlari, bayang-bayang lelaki itu tetap ada. Lama dia mengubat hati kerana terluka dengan penolakan lelaki itu. Kini, sewaktu hatinya sudah beransur pulih, lelaki itu muncul semula. Luka, pastinya meninggalkan parut dan parut itu ternyata sukar untuk dihakis.
Tiba-tiba Faziera memegang dadanya. Memang dia malu pada lelaki itu tetapi bukankah ia perkara lama? Lagipun, lelaki itu tidak menyukai dirinya. Kenapa dia perlu takut untuk berhadapan dengan lelaki itu? Anggap sahaja lelaki tersebut seperti halimunan. Tidak perlu bercakap atau bertentang mata dengannya.
Semudah itu? Ah, tiada apa yang mustahil kalau tidak mencuba. Namun, perasaan Faziera jadi gusar semula. Bagaimana kalau lelaki itu membocorkan rahsia dirinya yang disimpan rapi selama ini? Oh, Tuhan... Kalaulah dia punya kuasa untuk melenyapkan lelaki itu dari pandangan mata.
Faziera tiba di kantin. Kosong dan lengang. Semestinya kerana waktu rehat belum tiba. Dia melabuhkan punggung pada bangku kayu yang terdapat di situ. Sebuah keluhan dilepaskan.
“Hazwan...” ucap Faziera tanpa sedar.
Ada sayu yang menyelinap dalam hati Faziera saat itu. Kenangan pahit itu datang lagi. Kenangan antara dia dan Hazwan tidak pernah ada yang manis. Semuanya membuatkan hati terasa perit.
“Nampak macam sihat aja,” tegur seseorang sekaligus membuatkan Faziera mengangkat muka. Dia terasa mahu rebah sekali lagi tatkala melihat susuk tubuh di sebelahnya.
“Hazwan?”
::bersambung::

3 ulasan :

Leya berkata...

aisey, sape hazwan ni? misteri betul. citer niada iras2 smanis coklat plak. mcam sweet je.

Tanpa Nama berkata...

next pliz...

Rizai Reeani berkata...

Leya: Siapa Hazwan akan dijawab dalam entri seterusya nanti. Ya, saya kira ada sedikit iras-iras Semanis Coklat tetapi jalan ceritanya berlainan. :)

Tanpa Nama: Akan disambung, Insha-Allah...

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. :D