Sepatah Dua Kata

Selasa, Disember 14, 2010

Kembali Senyum - Ceritera 03











Dia yang bernama Hazwan

FAZIERA dapat rasakan jantungnya berdegup laju. Sangat laju apabila melihat wajah manusia yang sangat ingin dihindari di muka bumi, kini di hadapan mata. Bertambah terkejut ketika terpandang beg sekolahnya ada di tangan lelaki itu. Oh, kuatlah hati, jangan pengsan lagi...
“Kenapa muka macam orang nampak hantu aje ni?” Hazwan memulakan bicara.
Faziera diam. Lidahnya bagai digam kuat. Bibirnya terkatup rapat. Di hadapan lelaki itu, semangatnya terasa terbang melayang.
“Rilekslah... Kalau terkejut sekalipun, janganlah gabra semacam,” ujar Hazwan lagi lalu mengambil tempat duduk di sebelah Faziera.
Bagai terkena renjatan eletrik, Faziera bingkas bangun sejurus Hazwan melabuhkan punggung di sebelahnya. Hazwan mengerutkan dahi tetapi tidak lama. Dia tersengih panjang kemudiannya.
“Faz...” ucap Hazwan.
Kali ini Faziera betul-betul terasa mahu rebah. Panggilan itu... Hanya lelaki itu yang berani memanggilnya begitu. Tidak pernah ada orang lain yang memanggilnya dengan nama itu.
“Beg saya!” akhirnya kata-kata itu yang mampu Faziera luahkan.
“Duduk dulu. Kita perlu berbincang,”
Faziera menggeleng. Dia berniat mahu merampas beg sekolahnya dari tangan Hazwan namun terhenti apabila melihat lelaki itu memeluk begnya erat.
“Saya nak balik. Tolong bagi beg saya!” pinta Faziera dengan suara yang sedikit tegas tapi masih terkesan getarannya.
“Lima minit dan awak boleh balik lepas tu,” kata Hazwan.
“Dua minit,” balas Faziera.
“Empat minit,”
“Tiga minit. Full stop!
“Okey, okey... Sekarang duduk,” arah Hazwan namun Faziera masih tidak mahu berganjak dari kedudukannya.
Duduk di sebelah lelaki itu? Tolonglah! Nak tengok muka pun rimas, apatah lagi nak duduk sebelah-menyebelah. Kerat kaki pun tak akan mahu dia turutkan permintaan Hazwan itu.
“Degil. Macam dulu juga...” Hazwan memandang wajah Faziera lalu mengenyitkan mata.
Faziera tersentak. Oh, Tuhan, sesaat lagi dia berada hampir dengan lelaki ini, dia pasti akan rebah!
“Masa dah habis. Pulangkan beg saya!”
Permintaan Faziera ternyata tidak dipedulikan oleh Hazwan malah terhambur ketawa besar dari lelaki berkulit kuning langsat itu.
“Cepatnya... Faz ni tahu kira masa ke tak?”
Aduhai... Nada suara Hazwan yang lembut itu mengusik hati Faziera. Debar di dalam dada usah diteka. Jantungnya seakan mahu melompat keluar sahaja.
“Faz takut dengan Wan ke?” soal Hazwan apabila tiada balasan dari gadis berambut panjang paras bahu di hadapannya itu.
“Awak... Tolong... Saya...” Faziera tidak mampu meneruskan kata. Dia benar-benar dihambat malu. Mengapa lelaki itu muncul saat dia mahu membina kehidupan yang baru?
Hazwan memandang lembut wajah Faziera yang menunduk. Dahulu, wajah itu tampak sangat yakin ketika meluahkan perasaan hatinya. Mengapa sekarang wajah itu seperti tidak bermaya? Seakan ada hiba yang menyelubungi. Apakah gadis itu berasa sedih dengan kehadirannya saat ini?
“Tolong... Beg saya...” Faziera masih mahu mencuba.
Hazwan melepaskan keluhan. Dia menghulurkan beg sekolah rona biru cair itu pada tuannya. Faziera pantas menyambut huluran Hazwan dan segera berpaling, mahu lari dari situ namun langkahnya terhenti kerana hujung tali begnya berada dalam genggaman Hazwan. Faziera merengus, geram.
“Dengar Faz... Wan ke sini dengan satu tujuan. Untuk memiliki hati dan cinta Faz. Ingat tu!” ujar Hazwan, tegas seraya melepaskan hujung tali beg milik Faziera menyebabkan gadis itu terdorong sedikit ke hadapan.
Kata-kata Hazwan ternyata mengharu-birukan hati Faziera. Sepertinya ada ribut taufan sedang bermaharajalela dalam dadanya. Tanpa berlengah, Faziera berlari menuju ke tempat letak basikal.
Memiliki hati dan cintanya? Hazwan pasti bergurau!

*  *  *  *  *

BASIKALNYA dipakirkan di bawah pokok Semarak Api yang rendang. Pokok yang tumbuh di Taman Komuniti Awam tidak jauh dari kawasan sekolahnya itu. Putik-putik bunganya mula rekah. Tidak lama lagi, putik bunga itu pasti akan mekar menghasilkan kelopak bunga rona jingga yang penuh pesona. Dan apabila ditiup angin, kelopak-kelopak bunga itu akan gugur ke tanah. Itulah yang Faziera tunggu-tunggu.
Memerhati kelopak bunga yang berguguran, menghadirkan satu perasaan yang sukar ditafsirkan. Ada tenang, ada damai. Di bawah pokok Semarak Api inilah dia akan duduk berjam-jam sambil membaca novel atau majalah sambil menikmati kelopak bunga yang gugur.
Faziera melabuhkan punggung di atas rumput yang menghijau. Badannya disandarkan pada batang pokok tersebut. Kedua-dua kakinya dirapatkan lalu dibawa dekat pada dada. Kepalanya pula diletakkan di atas lutut.
Ranting-ranting kecil dicapai. Dilukis sesuatu pada rumput. Sesuatu yang tidak menentu bentuknya. Sama seperti apa yang dirasakan dalam hati kala ini. Perasannya tidak menentu. Ada gundah, ada gelisah, ada resah.
Jam di tangan kanan dikerling sekilas. Sudah menjangkau pukul sepuluh pagi. Dia tidak boleh pulang ke rumah waktu begini. Pasti emaknya akan bertanya macam-macam. Dan sudah tentu Faziera tidak akan memberi jawapan yang dia ponteng sekolah. Mahu dikejar dengan batang penyapu oleh emaknya keliling kampung nanti.
Jadi, mahu atau tidak, dia hanya boleh duduk di sini, menanti waktu berlalu sehingga pukul satu petang. Duduk melayan perasaan yang mula membuatkan fikirannya kacau. Sungguh Faziera tidak berharap yang dia akan menemui lelaki itu dalam jangka waktu secepat ini. Tidak berharap ketika luka di hati masih belum sembuh sepenuhnya. Tidak berharap ketika malu masih menebal dalam jiwanya.
“Hazwan...” ucap Faziera, sayu.
Setahun dahulu, ketika dia berada di dalam tingkatan lima, masih Faziera ingat. Tidak akan sesekali dia lupa. Hari Rabu minggu pertama dalam bulan Mac, entah mengapa dia mempunyai kekuatan yang luar biasa sekali. Dia tidak menjadi dirinya pada hari itu. Lebih tepat lagi, dia menjadi seorang gadis yang sangat berani. Berani meluahkan perasaan hati pada lelaki yang dikasihi.
Perlahan-lahan, kenangan itu disingkap kembali...

*  *  *  *  *

“APA ni?” tanya Hazwan pada gadis berambut panjang paras pinggang yang ditocang dua itu.
Suasana Taman Herba tengah hari itu agak lengang dari kunjungan para pelajar. Maklumlah, waktu persekolahan sudah tamat. Yang tinggal adalah para pelajar yang akan menduduki peperiksaan PMR dan SPM kerana perlu menghadiri kelas tambahan yang dianjurkan oleh pihak sekolah.
Seorang pelajar perempuan dengan wajah kemerah-merahan menghulurkan sepucuk surat pada Hazwan. Surat itu masih belum disambut. Wajah pelajar perempuan itu diangkat, memandang tepat ke anak mata pelajar lelaki berambut belah tengah yang menjadi kegilaan para gadis di sekolah itu.
Hazwan masih menanti jawapan yang keluar dari bibir pelajar perempuan di hadapannya. Walau dia tahu isi kandungan surat tersebut, dia mahu pelajar perempuan itu sendiri yang bersuara. Sebenarnya dia terkejut apabila mendapat nota kecil di bawah meja yang meminta untuk berjumpa di sini selepas waktu sekolah, sebelum kelas tambahan dimulakan.
Tidak dinafikan, dia selalu menerima nota sebegitu tetapi yang membuat dia terkejut adalah pengirimnya. Seorang yang langsung tidak disangka menyimpan perasaan hati pada dirinya. Mulanya Hazwan fikir ada yang bergurau. Oleh kerana itu dia hadir untuk mendapatkan kepastian.
Dan ternyata benar, nota kecil itu memang dihantar oleh pelajar perempuan di hadapannya saat itu. Pelajar perempuan yang dianggap misteri oleh rakan sekelas. Pelajar perempuan yang tidak tahu bergaul dan seakan hidup dalam dunianya sendiri. Pelajar perempuan yang pendiam tetapi pintar akalnya.
Setakat ini, boleh dibilang dengan jari kawan pelajar perempuan itu. Lebih tepat lagi, tiada sebenarnya. Dia sendiri ingat-ingat lupa nama pelajar perempuan itu. Kehadirannya tidak begitu dirasai melainkan ketika cikgu memberi keputusan peperiksaan. Barulah pelajar perempuan itu tampil ke hadapan dan menjadi perhatian kerana keputusan yang mengagumkan tetapi perhatian tersebut hanya untuk seketika. Selepas itu, pelajar perempuan di hadapannya itu akan kembali menyendiri, duduk di ceruk kelas, bergelumang dengan buku-buku dan nota-nota pelajaran.
“Ambillah...” suara pelajar perempuan itu mengembalikan Hazwan dari lamunan.
“Apa ini?” tanya Hazwan lagi.
Pelajar perempuan itu mengangkat tangannya, mendekatkan surat tersebut pada Hazwan namun masih tidak bersambut. Riak wajah pelajar perempuan itu berubah mendung.
“Kalau tak silap, nama awak Fazura, kan? Eh, tak, Fatiya? Ke, bukan?” tanya Hazwan.
Pantas pelajar perempuan itu menggeleng. Wajahnya semakin suram. Akhirnya, surat yang ada dalam genggaman, terlerai dari pegangan. Perlahan-lahan jatuh ke tanah. Pelajar perempuan itu berpaling, dan melangkah pergi.
Berkali-kali Hazwan melaung namanya tetapi tidak diendahkan oleh pelajar perempuan tersebut.  Bukan maksud Hazwan ingin menyakiti tetapi dia masih tidak percaya pelajar perempuan yang dianggap skema itu berani meluahkan perasaan hati padanya. Sungguh, jika tidak dilihat dengan mata sendiri, dia tidak percaya.
Hazwan menunduk, mengambil surat yang bersampul merah jambu itu. Sampulnya dibuka lalu isi kandungan surat itu dibaca. Jelas bait-bait kata di dalamnya adalah luahan isi hati pelajar perempuan tersebut. Usai membacanya, Hazwan mengeluh.
“Bangun semua! Terima kasih cikgu!” ucapan dari ketua kelas menganggu khayalan Hazwan.
Sepanjang kelas matapelajaran Kimia itu, dia langsung tidak dapat menumpukan perhatian. Fikirannya lebih terjurus pada pelajar perempuan yang sudah berubah sedikit wajahnya itu. Rambut yang panjang ditocang dua itu sudah dipotong pendek melewati paras bahu dan dibiar bebas. Wajahnya yang putih kemerahan kelihatan semakin cerah. Kaca mata tebal yang setia dipakai sudah diganti dengan yang lebih tipis dan tanpa bingkai. Tampak elegan.
“Hazwan! Ira betul-betul balik ke masa kau bagi beg sekolah kat dia tadi?” tegur Shafikah.
Hazwan mengangguk. Ketika Shafikah kembali semula ke kelas pagi tadi dan membawa keluar beg sekolah Faziera, Hazwan sudah menahannya. Shafikah bercerita serba-sedikit tentang keadaan Faziera dan Hazwan meminta untuk menyerahkan beg sekolah itu sendiri pada empunya diri.
Tujuannya hanya mahu berjumpa dan berbicara dengan Faziera. Namun gadis itu kelihatan begitu terkejut dengan kehadirannya. Hazwan kembali dilamun angan. Bukan sekali Faziera meluahkan isi hati padanya tetapi tiga kali! Sebab itu dia mengatakan Faziera seorang yang degil.
Sudah ditolak tetapi masih tidak mengalah. Tida pucuk surat pemberian Faziera masih disimpan rapi dan kerana surat-surat itulah dia kembali. Kembali untuk mendapatkan hati dan cinta Faziera semula.
::bersambung::

7 ulasan :

Tulis berkata...

Bab yang baik! Semakin matang Rizai..

epy elina berkata...

alah...
kcian ira.....
mnrik crta ni....

Tanpa Nama berkata...

inilah rizai. saya perhatikan selepas semanis epal, tulisan awak berubah dalam luruhnya dedaun rindu. tak seperti awak yang dulu.

terima kasih untuk bab ini. saya akan sentiasa menyokong awak. selamat kembali.

~aziah~

shura berkata...

kesian fazira. awal2 lg dah konflik. best3x..

Rizai Reeani berkata...

Tulis: Terima kasih awak. Tunjuk ajar rakan-rakan banyak membantu.

epy: Ya, kasihan Ira... Terima kasih sudi membacanya.

aziah: Saya terharu. Sungguh! Tidak menyangka ada yang menilai dan memerhati tulisan saya sampai begini sekali.

Ya, tak nafikan, dalam LDR, saya agak ragu-ragu kerana pertama kali menggunakan lelaki sebagai watak utama. Jadi, ia kelihatan terumbang-ambing.

Sangat berterima kasih untuk sokongan yang diberi. Sangat hargainya. :D

Shura: Terima kasih. Saya cuba menarik perhatian pembaca melalui struktur begini.

Terima kasih semua sudi singgah membaca dan memberi komen. (^_^)

Nurul Asyikin Mohamad Ghazali berkata...

best ni..jadikan citer menarik k..tip top gtu..

Rizai Reeani berkata...

Nurul Asyikin: Terima kasih awak. Insha-Allah, saya cuba. :)