Sepatah Dua Kata

Isnin, Disember 20, 2010

Kembali Senyum - Ceritera 04












Dia yang bernama Muazhim

DARI berbaring, dia duduk. Dari duduk, dia bangun dan kemudian duduk semula. Jiwanya gelisah. Hatinya gundah. Sejak pulang dari sekolah sehinggalah jam menjangkau ke angka sepuluh malam, kenangan-kenangan lalu kerapkali mengejarnya. Satu per satu disingkap semula membuatkan fikirannya terasa berselirat. Kusut dan bingung.
Raut wajah Hazwan sekali lagi menerpa dalam mindanya. Jauh di lubuk hati, tidak dinafikan, ada rindu yang berputik. Rindu untuk menatap mata yang bening itu. Rindu pada suara yang dulunya selalu menganggu lena dan masih lagi menganggu tika saat ini. Mana mungkin begitu mudah dia melupakan cinta pertamanya. Kata orang, cinta pertama itu tidak akan mungkin dilupakan sampai bila-bila.
Iyalah, nama pun pertama. Tentu sekali terdapat pelbagai kenangan dan adunan perasaan yang wujud. Pertama kali bertentang mata, pertama kali berbicara, dan pertama kali melafaz cinta. Ah, sememangnya cinta pertama itu tidak akan luput di ingatan.
Hazwan cinta pertamanya. Faziera tidak nafikan hakikat itu. Walau mengakui yang dirinya bukan siapa-siapa, malah lelaki itu langsung tidak memandangnya walau dengan sebelah mata, rasa cinta itu tetap mengatasi segalanya.
Lelaki itu pujaan ramai gadis di sekolah. Wajah yang iras pelakon Hans Isaac, mana mungkin tidak menggetarkan hati sesiapa yang memandang. Ditambah dengan sikap peramah dan kelakarnya, membuatkan dia disenangi ramai.
Perasaan hati memang terlalu sukar untuk ditafsir. Entah mengapa dalam banyak-banyak pelajar lelaki yang  ada di sekolah, hatinya memilih Hazwan. Sungguh jika boleh dipaksa hati ini untuk melupakan perasaan itu, Faziera rela lakukan. Namun rasa hati susah untuk dijangka apatah lagi dikawal.
Dan tiba-tiba wajah Muazhim muncul. Ada debar di dalam dada kala melihat wajah lelaki bercermin mata itu. Terasa mahu selalu berbual dan bergelak ketawa dengannya tetapi lelaki itu terlalu sukar untuk didekati.
Mahu meluahkan perasaan pada Muazhim? Jika diacu pisau pada lehernya sekalipun, belum tentu dia akan lafazkan. Cukuplah tiga kali perasaan hatinya ditolak oleh Hazwan. Tiga kali! Orang yang sama pula. Itu sudah cukup menjadi pengajaran yang rasa hati tidak boleh terlalu mudah untuk diluahkan. Dia punya harga diri. Punya maruah.
Namun Faziera ragu-ragu. Apakah rasa yang bertunas di hatinya ini adalah cinta? Bukankah cinta baginya adalah sesuatu yang pahit? Sebegitu mudah dia menelan kepahitan itu dan mahu merasa manisnya cinta. Tidak, mungkin perasaannya pada Muazhim hanyalah sekadar mainan jiwa.
Faziera cuba melelapkan mata. Esok, hari baru akan menjelma. Hari yang pasti membuatkan dirinya berada dalam keadaan resah sentiasa. Wajah Hazwan muncul lagi. Cuma kali ini dada Faziera terasa tenang. Perlahan-lahan, dia diulit lena, dengan wajah Hazwan muncul dalam mimpinya.

*  *  *  *  *

PAGI tiba lagi. Seperti biasa, Faziera terus menuju ke bilik mandi sejurus bangun dari tidur. Usai mandi, dia menunaikan Solat Subuh dan selepas itu menyiapkan diri untuk ke sekolah. Faziera menyisir rambutnya yang panjang separas bahu itu. Dia mencapai cekak warna hitam dengan tompok-tompok bulat kecil warna putih lalu dikenakan ke atas rambutnya. Ah, terasa tidak sesuai pula. Lebih baik dibiar rambutnya lepas bebas sahaja. Setelah berpuas hati dengan penampilannya, Faziera turun ke tingkat bawah.
Kakinya diarah ke dapur. Di ruang itu, babahnya sudah sedia menunggu di meja makan dengan surat khabar di tangan. Mamanya pula kelihatan sedang menyenduk mee goreng yang masih berasap ke dalam pinggan.
“Assalammualaikum, selamat pagi babah, mama...” sapa Faziera lalu menarik kerusi di hadapan babahnya dan melabuhkan punggung di situ.
Encik Hashim dan Puan Sarina menjawab salam yang diberi serentak. Mee goreng yang dimasukkan ke dalam pinggan tadi disuakan pada Faziera. Faziera menyambut dengan senyuman.
“Hari Sabtu ni kita balik kampung,” beritahu Encik Hashim sekaligus menghentikan suapan anaknya.
“Betul ke bah?”
Encik Hashim mengangguk. Wajah Faziera berubah sedikit kelat. Puan Sarina yang perasan, sekadar tergelak kecil.
“Tak suka ke?” tanya Encik Hashim.
Faziera tidak segera menjawab sebaliknya meneruskan suapan mee goreng di dalam pinggannya. Pertanyaan babahnya itu agak sukar dijawab. Bukan dia tidak suka pulang ke kampung, dia suka. Malah dia sangat rindukan neneknya. Cuma, ada seseorang di kampung yang membuatkan hatinya sedikit rimas. Oh, pembetulan. Bukan seorang tadi dua.
“Kita tidur di sana ke bah?”
Anggukan babahnya membuatkan muka Faziera semakin kelat. Aduhai, ini yang malas nak pergi ni. Tapi, kalau tak ikut, dia tidak berani pula tinggal seorang diri dalam rumah teres dua tingkat ini.
“Mak Ngah kamu tak ada hari tu. Dia balik ke rumah mertuanya,” ujar Encik Hashim selepas menghirup kopi di hadapannya.
“Lily dengan Fuad?” pantas Faziera bertanya.
“Tentulah ikut mak diaorang sekali,”
Mendengar jawapan babahnya itu, wajah Faziera terus berubah ceria semula. Senyumannya melebar. Puan Sarina hanya menggeleng. Dia faham mengapa anak tunggalnya itu gembira setelah mendapat tahu dua orang sepupunya itu tiada nanti. Masakan dia tidak faham kalau Faziera asyik merungut geram setiap kali pulang dari kampung.
Kata Faziera, Lily atau nama sebenarnya Laili yang sebaya dengannya itu bukan main sombong dan mengada-ngada lagi. Jika pulang ke kampung, habis semua pakaian baru yang branded ditayangkan padanya. Itu belum masuk bahagian make-up. Faziera naik mual melayan kerenah Lily yang gedik itu. Nama Laili, nak tukar Lily. Konon nak nampak vogue. Tolonglah!
Itu baru Lily, belum lagi Fuad, abang Lily yang dua tahun lebih tua darinya. Seorang pelajar universiti swasta dalam jurusan kejuruteraan elektrik. Gelaran yang sesuai diberi adalah buaya tembaga. Ya, Fuad itu kaki perempuan atau dalam bahasa mudahnya, playboy.
Universiti Fuad letaknya tidak jauh dari rumah nenek. Lebih kurang setengah jam perjalanan sahaja jadi dia akan ulang-alik setiap hari dari universiti ke rumah dengan skuter warna birunya itu.
Dan setiap kali Faziera pulang ke kampung, pastinya si buaya tembaga itu akan membuatkannya rimas. Layanannya pada Faziera mengalahkan seorang putera raja. Asyik nak berkepit sahaja kerjanya. Belum lagi mendengar suara yang dibuat ala-ala romantis. Tahulah mukanya ‘jambu’ tapi tidak sedikit pun membuatkan Faziera tertarik.
Bunyi tolakan kerusi ke belakang menyentak lamunan Faziera. Babahnya sudah menghabiskan sarapan. Faziera melihat jam di dinding. Sudah pukul 7.05 minit pagi. Suapan mee goreng dipercepatkan.
Usai sarapan, Faziera menyarung kasut sekolahnya lalu menuju ke garaj kereta, membuka rantai yang membelit tayar basikalnya. Puan Sarina sudah menunggu di muka pintu. Faziera mencapai tangan mamanya lalu dicium dan kedua-dua pipi mamanya juga turut diperlakukan serupa. Babahnya tiba seketika kemudian dan Faziera terus bersalam dan mencium tangan babahnya.
Dia menolak basikal sehingga ke depan pintu pagar lalu mula mengayuh menuju ke sekolah yang letaknya 1.5 kilometer dari rumah sambil melambaikan tangan pada babah dan mamanya.

*  *  *  *  *

KAYUHANNYA diperlahankan apabila terpandang sesuatu yang menarik perhatian. Dia kenal jasad yang berada tidak jauh dari hadapannya itu. Ya, tidak silap lagi. Itu Muazhim! Lelaki itu sedang membelek-belek motosikalnya yang dipakir di bahu jalan.
Nak tegur ke tak nak? Ish, malulah pula... Tapi, nampak macam dia ada masalah aja tu. Ah, rempuh aja. Berani Faziera, berani!
“Assalammualaikum,” selembut boleh Faziera bersuara, ala-ala perempuan Melayu terakhir.
“Waalaikummussalam,” jawab Muazhim, sepatah.
Alahai, cair hati Faziera mendengar suara lelaki berkaca mata di hadapannya ini. Terasa longgar sendi-sendi lututnya.
“Kenapa tu?”
“Tak tahulah saya. Motosikal ni buat hal pula. Tiba-tiba mati enjin,” terang Muazhim.
“Dah tu, nak buat macam mana ya?”
Faziera terasa mahu mengerat lidahnya saat itu juga. Apalah punya bodoh soalan yang ditanya pada lelaki di hadapannya ini. Aisey, jatuhlah saham macam ni. Namun melihat ke wajah Muazhim yang tiada riak itu, Faziera terasa lega sedikit.
“Hmm... mungkin kena bawa pergi hantar bengkel. Tapi, takut tak sempat pula nak ke sekolah,”
Faziera berjeda seketika sebelum menyambung bicaranya. Dalam hati dia sudah bersorak kegembiraan.
“Apa kata awak tumpang saya aja naik basikal. Kalau awak sudilah...” saran Faziera.
Muazhim memandang Faziera tanpa berkerlip. Faziera pula sudah menundukkan wajah, terasa malu direnung begitu. Dadanya seakan mahu pecah dilanda debar yang menggila.
“Boleh juga tu. Sekejap, saya tolak motor saya ke depan kedai tu. balik sekolah nanti baru saya bawa ke bengkel,” ujar Muazhim lalu menolak motosikalnya.
Faziera bagai tidak percaya mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Muazhim. Sangkanya, mungkin Muazhim akan menolak. Naik basikal berdua dengan lelaki pujaan hatinya itu? Oh, katakanlah dia tidak bermimpi. Kalau mimpi pun, janganlah dia terjaga saat ini.
“Okey, dah sedia?” tegur Muazhim.
Faziera pantas turun lalu menyuakan basikalnya pada Muazhim. Tanpa sepatah kata, Muazhim sudah pun mengambil tempat duduk. Faziera malu-malu membonceng di tempat duduk belakang. Ya, dia tidak bermimpi. Ini kenyataan! Alangkah baiknya jika setiap hari begini, angan Faziera.
Muazhim mula mengayuh. Faziera yang duduk di belakang sudah libang-libu perasaannya. Akan dicatat dalam kepalanya bahawa hari ini adalah hari yang paling diingati sepanjang hidupnya.
“Nama awak, Faziera, kan?” tanya Muazhim.
“Ah, ya. Boleh panggil Ira saja,” jawab Faziera, malu-malu.
Bangunan sekolah semakin kelihatan. Faziera mengeluh kecil. Kenapalah cepat sangat sudah sampai ke sekolah? Dia baru sahaja hendak berbual mesra dengan Muazhim. Bukan senang nak dapat peluang begini.
“Awak... Tak pernah senyum dengan ikhlas, kan?”
Soalan Muazhim tadi ibarat ada batu besar menghempap kedua belah kakinya. Apa maksud Muazhim dengan kata-katanya itu? Adakah, lelaki itu tahu tentang dirinya sebelum ini?
::bersambung::

5 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

hah, cepat sambung rr!

epy elina berkata...

klu hazwan nmpk 2...
mst jeles...
rsanya ira x cntkn muazhim...
cuma dia suka jer...

Rizai Reeani berkata...

Tanpa Nama: Saya cuba muat-naik entri dua kali seminggu. :)

Epy Elina: Ya, mungkin begitu, tapi perasaan adalah sesuatu yang sukar dijangka... ;)

Terima kasih sudi singgah membaca... (^_^)

Nurul Asyikin Mohamad Ghazali berkata...

wah,makin best..huhu cpt2 sambung yer..xsabor dah ni..hehe

Rizai Reeani berkata...

Nurul Asyikin: Terima kasih sudi singgah membaca... :)