Sepatah Dua Kata

Isnin, Disember 27, 2010

Kembali Senyum - Ceritera 05












Curiga

FAZIERA tidak dapat menumpukan perhatian pada Cikgu Saodah yang sedang mengajar matapelajaran Matematik di hadapan bilik darjah. Kata-kata Muazhim semasa mereka dalam perjalanan ke sekolah sebentar tadi begitu menganggu fikiran. Hatinya diasak resah. Pertanyaan Muazhim ternyata diluar jangkaan. Sebentar, apakah selama ini lelaki itu memerhatikannya? Jadi, Muazhim sukakan dia? Ah, apa yang kau merepek ni Ira!
“Faziera!”
Kalau bukan macam tu, kenapa Muazhim bertanya soalan yang selama ini tidak pernah terjangkau dek fikiran? Apakah Muazhim tahu apa yang pernah berlaku ke atas dirinya di sekolah lama dahulu? Jangan-jangan, dia tu keturunan Nujum Pak Belalang tak?
“Faziera!!!”
Faziera tersentak dari lamunan apabila terasa bahunya sakit seperti dicubit. Dia pantas menoleh dan wajah Cikgu Saodah dengan cermin mata tebalnya itu terpampang di ruang mata. Betul-betul berdiri di sebelahnya.
“Kamu ni dah berangan sampai mana? Kahwin dengan putera raja ke?” perli Cikgu Saodah membuatkan seisi kelas 6 Sains 1 itu menghambur tawa.
Faziera sudah tersengih-sengih. Cikgu Saodah menggeleng lalu kembali semula ke hadapan kelas untuk sambung mengajar.
“Kau ni demam ke? Tak semena-mena hari ni kau berangan pula. Selalunya bukan main fokus. Hah, ni mesti fasal budak baru yang kacak tu, kan?”
Faziera tersentak lagi. Ya, dia hampir lupa akan kehadiran Hazwan di dalam kelas tersebut. Fikirannya asyik diselungi dengan persoalan Muazhim yang mengejutkan itu. Dia masih ingat, sewaktu dalam perjalanan ke sekolah tadi, dia hanya diam, membiarkan pertanyaan Muazhim dbawa angin lalu. Lelaki itu juga, seperti memberi dia ruang untuk memikirkan jawapan.
Sehingga mereka sampai di hadapan pintu masuk sekolah, Faziera masih diam. Jika mula-mula tadi, dia mahu masa lambat berjalan, tetapi sekarang sebaliknya pula. Dia mahu cepat-cepat meninggalkan Muazhim. Tidak, lelaki itu tidak perlu tahu masa silamnya yang memeritkan itu.
“Aduh!” suara Faziera apabila terasa bahunya dicubit lagi.
“Kau ni kenapa Ika? Sakitlah!” marah Faziera.
Shafikah sudah mengangkat keningnya sambil menjeling ke hadapan kelas. Faziera menekup mulut apabila melihat renungan tajam dari Cikgu Saodah. Okey Faziera, sila fokus!

*  *  *  *  *

WAKTU rehat tinggal 10 minit sahaja lagi. Faziera segera menghabiskan saki-baki nasi goreng dalam pinggannya. Dia kemudian menghirup air sirap sehingga habis. Shafikah di sebelah masih menikmati mee goreng dengan perlahan sekali.
“Ika, aku nak ke library sekejap. Nak pulang buku. Kau nak ikut atau balik kelas terus?” tanya Faziera.
“Malaslah aku nak naik tangga tingkat dua tu,” jawab Shafikah sekaligus memberitahu Faziera bahawa gadis itu tidak mahu mengikutnya.
Faziera bingkas bangun, membawa pinggan dan gelas ke hujung kantin di mana sebuah besen besar ditempatkan untuk meletakkan pinggan-mangkuk yang sudah digunakan. Dia kemudian melangkah ke sinki untuk membasuh mulut dan berkumur-kumur. Emaknya selalu berpesan, selepas makan, harus berkumur supaya sisa makanan tidak melekat pada gigi. Sebab itulah gigi Faziera putih dan tersusun rapi. Memang sudah diajar sejak kecil untuk menjaga kesihatan gigi. Tambah emak lagi, kalau tidak dijaga dari sekarang, nanti umur baru 40 tahun, gigi sudah rongak. Lebih dahsyat lagi bila kena pakai gigi palsu. Melecehkan!
Usai berkumur, Faziera berjalan laju menuju ke Blok Pentadbiran di mana bilik guru dan perpustakaan ditempatkan.  Perpustakaan berada di tingkat dua iaitu tingkat paling atas di mana sepanjang baris tingkat dua itu adalah milik perpustakaan. Hah, luas, kan? Tapi sebenarnya di dalam perpustakaan itu ada bilik komputer. Sebab itu ia nampak luas.
Sampai di perpustakaan, Faziera terus ke kaunter untuk memulangkan buku rujukan yang dipinjam. Ada tiga buah semuanya. Mujur dia tidak terlupa kerana tarikh akhir pinjaman jatuh pada esok hari.
“Awak ada sebuah buku lagi yang masih belum dipulangkan,” ujar pengawas perpustakaan yang bertugas di kaunter itu.
Faziera mengerutkan dahi. Wajah pelajar perempuan bertudung kuning cair dengan baju juga warna serupa berserta kain rona coklat itu ditenung. Pakaian rasmi bagi pengawas perpustakaan di sekolah ini.
“Rasanya saya dah pulangkan semua buku. Apa tajuk buku tu?” tanya Faziera, dengan penuh musykil.
“Sebentar ya,” ujar pengawas perpustakaan tersebut dengan nada penuh sopan sekali.
Faziera mengintai tag nama yang dipakai. ‘Atiqah. Pelajar tingkatan berapa agaknya. Gadis itu begitu tekun memandang ke arah skrin komputer di hadapannya. Beberapa saat menunggu, ‘Atiqah berpaling semula pada gadis berambut panjang separas bahu itu.
“Novel bertajuk Pengembaraan Adir. Ditulis oleh Ridha Zaiyani. Penerbitnya R&R Publishing dan harganya RM10.90. Dipinjam pada sebulan lepas. Awak sepatutnya pulangkan dua hari lepas. Ini dah masuk dua minggu lewat. Kalau hilang, awak harus bayar denda pemulangan lewat dan harga buku sekali. Jumlah semuanya RM 30.90,” terperinci sekali penjelasan ‘Atiqah. Memang pengawas perpustakaan yang berkarisma.
Dahi Faziera semakin berkerut. Memang tidak dinafikan dia ada meminjam novel dalam kategori awal remaja itu. Kisah seorang remaja yang ditarik masuk ke dalam sebuah dunia fantasi dan bertemu dengan makhluk kerdil yang mahu menewaskan makhluk raksasa. Ceritanya boleh tahanlah.
Tapi seingat Faziera, dia memang sudah menyuruh Shafikah memulangkannya dahulu. Eh, tunggu dulu! Jangan-jangan... Aisey, ni mesti kes minah tu terlupa. Nak kena si Ika ini. Tak boleh harap langsung!
“Err... Macam nilah. Nanti saya balik, check dekat rumah. Kalau tak ada, saya akan datang semula ke sini esok,” ujar Faziera sambil tersenyum-sumbing.
“Okey,” jawab ‘Atiqah, sepatah.
Faziera segera melangkah keluar dari perpustakaan. Kesejukan penghawa dingin masih terasa namun hati Faziera sudah membara. Mahu sahaja dicubit-cubit pipi kawannya yang seorang itu. Orang suruh pulangkan buku, dia boleh simpan buat harta pula.
Sedang dalam perjalanan turun ke tingkat bawah, langkah Faziera terhenti apabila ternampak sesusuk tubuh yang amat dikenali sedang berbual dengan seseorang di anak tangga hujung bangunan itu.
Setiap blok bangunan di sekolah ini mempunyai tangga di kiri dan kanannya. Walau kedudukannya agak jauh, Faziera pasti itu adalah Muazhim. Walau lelaki itu membelakanginya, dia cukup kenal susuk tubuh lelaki itu. Nampak sangat yang dia selalu curi-curi perhatikan Muazhim. Cuma dia tidak dapat lihat dengan siapa lelaki itu berbual kerana orang yang bersamanya dilindungi dinding.
Entah mengapa Faziera jadi teruja. Dia tidak jadi hendak turun ke bawah sebaliknya berhenti di tingkat satu di mana bilik guru terletak. Hatinya begitu kuat meronta mahu melihat gerangan siapa yang berbual dengan Muazhim. Perlahan-lahan dia berpura-pura berjalan seperti mahu ke tandas. Ya, kebetulan tandas berada di hujung bangunan itu.
Sejurus dia sampai ke tangga, matanya bertembung dengan Muazhim. Lelaki itu tampak tenang sahaja. Tetapi, yang mengejutkan Faziera adalah kehadiran Cikgu Faridatul, guru yang mengajar subjek Pengajian Am di situ.
Cikgu Faridatul menoleh lalu mengukir senyum. Faziera membalas senyuman tersebut dan sekilas dia melihat ada bungkusan yang dibalut cantik berada dalam tangan Cikgu Faridatul. Dia segera melangkah ke dalam tandas.
Pili air dibuka lalu mencurah-curah air mengalir. Hati Faziera berdegup laju. Beberapa tika kemudian, dia keluar dari tandas dan melihat baik Muazhim mahupun Cikgu Faridatul tiada lagi di tangga itu. Apa agaknya tujuan Muazhim berjumpa dengan cikgu tersebut di tempat yang agak tersembunyi begini? Faziera mula curiga!
::bersambung::

3 ulasan :

epy elina berkata...

faziera jeles ke???
hahhaha....

Leya berkata...

Pengembaraan Adir? Novel yg kan publish ke? he3..

apa agaknya hubungan muaz ngan cikgu tu ye.

Rizai Reeani berkata...

Epy ELina: Agaknyalah tu. Hehehe...

Leya: Ish, mana tahu ni? Insha-Allah, manuskrip tu dalam peringkat penilaian. Andai ada rezeki, tahun hadapan akan menemui pembaca. :)

Kalau nak tahu apa hubungan mereka, kena setia membaca hingga ke akhirnya. ;)