Sepatah Dua Kata

Selasa, Januari 04, 2011

Kembali Senyum - Ceritera 06











Ikhlas

MELANGKAH masuk ke dalam kelas, Faziera terus meluru ke arah Shafikah lantas bertanyakan perihal buku perpustakaan yang sepatutnya dipulangkan dua minggu lepas. Shafikah mulanya buat muka macam Faziera sedang bertanyakan soalan Biologi dalam bahasa Sepanyol. Berkerut-kerut dahinya. Namun, seketika kemudian, raut wajahnya berubah. Ada senyum sungging yang terukir di bibirnya. Hah, memang betul budak ni terlupalah tu.
Sorry, aku memang betul-betul lupa. Yalah, kau suruh aku pulang hari tu tapi tiba-tiba aku teringin nak baca. Lama-lama, aku terlupa yang tu buku library,
“Amboi, senangnya kau bagi jawapan ya. Tak kira esok bawa buku tu dan pergi bayar denda,” tegas Faziera.
Shafikah mengangguk laju. Dia kemudian bangun setelah namanya dipanggil oleh Hidayah, yang duduk di barisan hadapan. Kelibat Muazhim yang melangkah masuk ke dalam kelas menarik perhatian Faziera. Sejurus terbayang kejadian tadi di mana dia terserempak lelaki itu dengan Cikgu Faridatul.
Entahlah, pada pandangan Faziera, mereka berdua semacam menyembunyikan sesuatu. Iyalah, kalau nak berjumpa pun, mengapa di tempat yang agak tersorok begitu? Jangan-jangan... mereka ada hubungan tak? Ish, takkanlah! Tapi, tak mustahil... Sudah Faziera, jangan fikir yang bukan-bukan. Agaknya mereka berdua tu ada hubungan persaudaraan.
“Hai Faz!”
Faziera tersentak. Dia tidak sedikit pun mengangkat wajah untuk melihat insan yang menegurnya itu. Suara tersebut sudah cukup sebati dengan pendengarannya.
“Faz?”
“Kau nak apa?” Faziera menekan suaranya sedikit.
“Em, sejak bila pandai guna ‘kau-aku’ ni?”
Wajah Faziera terasa berbahang. Sudah... Janganlah mamat sengal ni nak pecah tembelang pula. Mujurlah Shafikah tiada di sebelah.
“Suka hati akulah nak guna kata ganti apa pun,”
“Dah pandai marah-marah sekarang ya,” giat Hazwan.
“Hei!”
“Relakslah... Kenapa ni?”
“Boleh tak kau jangan ganggu aku? Apa tujuan kau ke sini sebenarnya?” tanya Faziera, masih tidak berpaling memandang ke arah Hazwan.
“Kan Wan dah kata hari tu... Wan datang sebab nak memiliki hati dan cinta Faz semula,”
“Merepek!”
“Wan serius...”
“Tolonglah! Aku bukan Faziera yang dulu lagi okey. Aku dah tak ada hati dengan kau. Jadi, tolong jangan ganggu aku!”
Hazwan diam sebentar, memerhati raut wajah gadis manis di hadapannya itu. Faziera terasa jantungnya berdegup laju ketika menyedari mata Hazwan masih melekat pada mukanya. Ish, buang tabiat apa budak ni.
“Pada Wan, gadis yang berada di depan Wan sekarang ni masih sama macam dulu. Gadis yang naif. Pada Wan, Faz tak berubah. Cuma, Faz bertambah cantik,”
Kali ini Faziera rasakan mukanya bagai disimbah minyak Cap Kapak botol besar. Gila! Hazwan memang sudah gila!
“Dan Wan nak Faz tahu yang Wan akan pastikan Faz menerima hasrat hati Wan,” ujar Hazwan sebelum melangkah pergi, menuju ke tempat duduknya di barisan belakang.
Kepala Faziera diasak pelbagai persoalan. Sememangnya dia amat hairan dengan kelakuan Hazwan. Lelaki itu beriya-iya mahu menambat hatinya. Tentu ada sebab-musabab mengapa lelaki itu berubah. Mustahil Hazwan menyimpan perasaan padanya. Mustahil Hazwan jatuh hati padanya. Lelaki pujaan ramai di sekolah dahulu, tidak mungkin menyintai gadis anti-sosial sepertinya. Tak mungkin!

*  *  *  *  *

“SAYA mahu tugasan ini dilakukan dalam kumpulan seramai empat orang. Saya sudah pun aturkan kumpulan tersebut. Saya harap awak semua dapat bekerjasama dengan baik,” ujar Cikgu Akhma, guru yang mengajar mata pelajaran Biologi.
Para pelajar 6 Sains 1 itu diminta untuk menjalankan salah satu eksperimen seperti yang terdapat di dalam buku teks dan menyiapkan laporan lengkap mengenainya. Cikgu Akhma mula menyebut satu persatu nama yang sudah ditentukan untuk berada di dalam satu kumpulan.
“Faziera, Shafikah, Muazhim dan Hazwan,”
Faziera tersentak. Biar betul! Dapat satu kumpulan dengan Muazhim sangatlah bertuah tetapi mengapa mamat sengal itu juga satu kumpulan dengannya? Habislah... Macam mana dia mahu memikat Muazhim kalau Hazwan ada sama?
“Wah, seronoknya satu kumpulan dengan Muaz!” ujar Shafikah pada Faziera yang mengintai pandang pada Muazhim yang turut melihat ke arahnya.
Lelaki itu mengukir senyum. Faziera segera mengalihkan pandangannya. Senyuman Muazhim ternyata membuatkan jantungnya mengepam darah dengan sangat laju.
“Baiklah, sekarang bergerak dalam kumpulan masing-masing. Saya bagi masa sepuluh minit untuk berbincang. Selepas itu, kita akan sambung pelajaran minggu lepas,” arah Cikgu Akhma.
Para pelajar mula bangun, mencari ahli kumpulan masing-masing. Faziera dan Shafikah tidak bergerak dari tempat mereka. Biarlah dua orang pelajar lelaki itu yang datang ke tempat mereka.
“Tak sangka kita satu kumpula ya Faz. Memang ada jodoh...” ujar Hazwan sejurus tiba di meja hadapan Faziera.
Faziera mencebik geram. Muazhim mengambil tempat di sebelah Hazwan. Mereka bertegur-sapa seketika.
“Jadi, kita nak buat eksperimen yang mana ni?” soal Hazwan.
“Rasanya lebih baik kita buat eksperimen kromatografi” usul Shafikah.
“Saya setuju. Nampak mudah,” Muazhim mengiyakan cadangan Shafikah tadi.
Faziera mengangguk setuju. Mereka mula mengagihkan tugasan yang perlu dilakukan oleh setiap ahli dalam kumpulan tersebut. Usai sepuluh minit, mereka kembali ke tempat duduk masing-masing dan mula membuka buku teks untuk meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran.

*  *  *  *  *

“NAMPAKNYA, awak kena tumpangkan saya balik, boleh?” tegur Muazhim ketika Faziera sedang membuka rantai yang mengunci tayar basikalnya.
Shafikah yang berada di sebelah sudah buat angkat kening ala-ala The Rock. Faziera hanya buat tidak tahu. Shafikah ni kalau dilayan, sampai esok pun tak habis soalannya nanti.
“Boleh saja. Lagipun, dah kita pergi sekolah sama pagi tadi, jadi, balik pun sama-samalah, kan?” balas Faziera dengan suara yang sengaja dilunakkan.
Shafikah yang tidak dapat menahan keterujaan menarik tangan temannya itu agak jauh sedikit dari Muazhim. Terus ditanya pada Faziera akan apa yang berlaku. Faziera pula menerangkan serba-sedikit tentang peristiwa pagi tadi.
“Sampai hati kau tak khabaq kat aku ya,”
“Laa... Bukannya perkara besar. Lainlah kalau aku nak kahwin,” perli Faziera.
“Bukan perkara besar kau cakap? Bukan calang-calang orang tau boleh naik basikal dengan jejaka idaman Sekolah Seri Saujana tu,”
“Kau ni... Takkanlah sebab dapat naik basikal dengan dia, aku kena hebohkan kat satu sekolah. Tolonglah, nanti orang kata aku ni minah propa pula,”
Shafikah memuncungkan bibirnya.
“Hah, buat muncung itik kau tu. aku tarik kasi panjang nanti baru tau,” usik Faziera.
“Kau ni...”
“Dahlah, tertunggu-tunggu pula Muazhim tu. Aku balik dulu ya,”
“Ehem, bolehlah kau ambil peluang ni untuk pikat dia...” sempat Shafikah berbisik pada kawannya itu.
“Tak ada maknanya. Kau ingat aku perempuan gatal?”
“Eh, bukan ke?”
“Ika!”
“Dah, dah... Baik kau pergi cepat,” ujar Shafikah.
Faziera kembali semula mendapatkan Muazhim yang sedang berdiri di tepi basikalnya. Muazhim menolak basikal Faziera keluar dari bawah garaj lalu mengarahkan agar Faziera mengambil tempat duduk di belakang. Dia mula mengayuh basikal keluar dari perkarangan sekolah. Faziera sempat melambai-lambai pada Shafikah. Tanpa disedari, Hazwan memandang dengan rasa yang berbaur.

*  *  *  *  *
“ERR... awak...” ujar Faziera.
“Ya?”
“Pagi tadi...” lidah Faziera terasa berat mahu meneruskan kata.
“Kenapa dengan pagi tadi?”
“Pagi tadi, awak... awak...”
“Kenapa?” tanya Muazhim lagi.
Faziera diam sebentar. Dia mengumpul kekuatan untuk meluahkan apa yang terbuku di hati sejak pagi tadi. Dia mahu dengar jawapan yang bakal lelaki ini tuturkan sebentar lagi.
“Awak ada kata saya tak pernah senyum dengan ikhlas. Apa maksudnya?” soal Faziera.
Muazhim ketawa kecil. Faziera seakan terpesona melihat lelaki itu ketawa. Inilah pertama kali dia melihat Muazhim ketawa. Memang nampak ‘cool’. Oh, sukanya!
“Faziera...” ucap Muazhim, lembut.
Alahai... Terasa bagai terbang di awangan mendengarnya. Tolonglah jangan buat suara romantik macam tu Muazhim. Cair hati ni.
“Kalau saya beritahu awak jawapannya, tentu awak tak percaya,”
“Macam mana awak tahu saya percaya atau tak sedangkan awak belum beritahu saya jawapan awak lagi,” Ececeh... Mengada-ngada pula kau ya Faziera.
“Gerak hati,” ujar Muazhim.
“Hah?”
“Gerak hati saya mengatakan begitu. Mungkin sebab saya lihat awak senyum, ketawa tapi mata awak nampak sunyi,”
Amboi, amboi, amboi... Si Muazhim ni ada belajar psikologi ke masa sekolah dulu? Ke dia ahli kelab kaunseling? Siap boleh nampak apa yang ada dalam mata lagi.
“Awak tentu pernah dengar kata orang yang mata itu tak boleh menipu. Kalau kita nak tahu orang tu cakap bohong atau tidak, tengoklah matanya. Kalau matanya menunduk atau meliar ke mana-mana, maksudnya dia sedang menipu,” jelas Muazhim.
Oh, pertama kali dia dengar. Memanglah lelaki ini rajin membaca. Kalau macam tu, susahlah kalau nak bercakap bohong depan lelaki ini.
“Saya rasa awak silap. Kita tak boleh menilai keikhlasan seseorang itu secara tepat bukan? Macam saya tolong awak ni. Tak semestinya saya ikhlas, kan?”
Muazhim diam sebentar. Tak dinafikan kata-kata gadis di belakangnya itu ada benarnya. Keikhlasan adalah sesuatu yang sukar untuk disukat. Kadangkala mulut mengatakan ikhlas tetapi hati sebaliknya.
Apa yang bersarang di dalam hati, hanya Tuhan yang mengetahui...
::bersambung::

4 ulasan :

Nurul Asyikin Mohamad Ghazali berkata...

wah,ada entry baru..huhu suka2..thanks..

Leya berkata...

Kenape agknye si wan tu beria2 nk kt ira? musykil ni..

firda berkata...

rizai, sambung cepat2 tau..

Rizai Reeani berkata...

Asyikin: Terima kasih. Saya cuba update seminggu sekali. Huhuhu...

Leya: Ya, pasti Hazwan ada agenda tersendiri tu... ;)

Firda: Hmm... Nak cepat-cepat agak sukar memandangkan sedikit sibuk (banyak sebenarnya). Hehehe...

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi ulasan... :D