Sepatah Dua Kata

Sabtu, Januari 15, 2011

Kembali Senyum - Ceritera 07












Temujanji

RANCANGAN di televisyen tidak dapat menarik perhatian Faziera untuk terus tekun menonton. Dari satu siaran ke satu siaran ditukar tetapi dirasakan semuanya tidak menepati selera. Bunyi motosikal yang kedengaran di halaman rumah teres dua tingkat tempat tinggalnya itu menampar gegendang telinga. Faziera bingkas bangun dari duduk, menjengah ke luar dari balik jendela. Bulat matanya melihat sesusuk tubuh yang amat dikenali sedang turun dari motosikal RXZ rona hitam yang tampak berkilat apabila dipanah sinaran matahari terik.
Serta-merta Faziera rasakan tubuhnya menggigil. Dadanya berdebar tidak keruan. Apakah tujuan lelaki itu ke mari? Tidak, yang lebih memusyilkan fikirannya adalah dari mana lelaki itu tahu kedudukan rumahnya ini?
“Assalammualaikum,”
Faziera tersentak. Salam dijawab di dalam hati. Hendak keluar atau buat-buat tidak dengar?
“Assalammualaikum,”
“Ira, tengok sapa bagi salam kat luar tu,” laung emaknya dari arah dapur.
“Bangla jual karpet mak,” balas Faziera pantas.
“Katakan mak tak nak,”
“Okey!” balas Faziera sambil matanya masih tidak lepas mengintai di sebalik jendela.
“Assalammualaikum,” salam diberi lagi.
‘Ish, mamat ni. kalau orang dah tak jawab salam tu, maksudnya orang tak ada kat rumah lah. Takkan tak faham-faham,’ getus hati Faziera.
“Assalammualaikum!” kali ini agak tinggi nada suara lelaki itu.
“Tak pergi lagi ke bangla jual karpet tu?” emak Faziera muncul di ruang tamu, membuatkan Faziera sedikit terkejut.
“Err... Orang tak kenal mak,” jawab Faziera.
Belum sempat Faziera mahu menghalang emaknya dari membuka pintu, kedengaran salam dijawab awal-awal. Aduhai...
“Ya, nak, cari siapa?” tanya emak Faziera sejurus tiba di hadapan pintu pagar rumah.
“Faziera ada puan?” tanya pemuda berbaju coklat dengan seluar jeans warna hitam itu.
“Kawan Ira ke? Laa... Kenapa pula dia kata tak kenal?”
Pemuda itu tersengih. Dia faham, mungkin Faziera terkejut dengan kedatangannya secara tiba-tiba itu. Sememangnya dia mahu membuat kejutan.
“Sekejap, makcik panggilkan,” ujar emak Faziera lantas berlalu semula masuk ke dalam rumah.
Faziera sudah berpeluh. Semakin langkah emaknya menghampiri, semakin kuat debaran di dalam dada.
“Kawan kamu tu, kenapa cakap tak kenal?”
“Err... Tak perasan!” hanya itu yang mampu Faziera jawab.
“Dah, pergi ajak dia masuk,”
Faziera mengangguk lemah. Dia melangkah longlai menuju ke halaman rumah.
“Muazhim...”
“Hai!” balas Muazhim.
“Awak nak apa?”
“Wah, straight to the point terus. Cubalah tanya khabar saya dulu, sihat ke tak,” ujar Muazhim sekadar berbasa-basi.
Faziera menguntum senyum kecil. Muazhim di hadapannya kala ini nyata berbeza dari Muazhim yang dikenali di sekolah. Lelaki itu tampak lebih santai dan mudah didekati. Tidak seperti di sekolah. Seakan ada tembok yang menghalang orang lain dari mendekatinya.
“Awak sihat?” tanya Muazhim.
“Biasa-biasa saja,” jawab Faziera dalam gemuruh.
“Saya nak bawa awak ke pekan, sudi tak?” pinta Muazhim pada gadis yang hanya memakai T-shirt putih dengan gambar Tweety dan seluar track-bottom juga warna serupa itu.
“Hah?”
“Saya nak minta tolong sesuatu,”
‘Tenang Ira, tenang... Sekejap, keluar berdua saja dengan Muazhim? Bukankah bila lelaki dan perempuan keluar berdua, namanya temujanji? Oh, benarkah? Tenanglah duhai hati...’
“Err... Bila?”
“Sekarang,”
“Hah? Err... Kalau macam tu, tunggu sekejap ya. Bagi saya sepuluh minit,” ujar Faziera lalu segera berlari masuk ke dalam rumah semula.
Ketika dia sedang mendaki anak tangga, suara emaknya kedengaran. “Kenapa tak panggil kawan tu masuk?”
Faziera menepuk dahi. Hai, kenapalah dia gelabah semacam aja ni? Lantas dia segera turun dan menjerit memanggil nama Muazhim agar masuk ke dalam rumah.

*  *  *  *  *

PUSAT BELI-BELAH JUSCO kelihatan sesak dengan pengunjung. Mungkin kerana hari Sabtu, ramai yang bercuti dan mengambil peluang membeli-belah atau sekadar bersiar-siar di sini. Sudah hampir tiga puluh minit Faziera dan Muazhim berada di dalam pusat beli-belah tersebut. Dari satu kedai, ke satu kedai dimasuki tetapi tiada apa yang dibeli.
Kata Muazhim tadi, dia mahu mencari tudung dan sepasang baju kurung untuk dihadiahkan pada seseorang. Tidak pula Faziera bertanya lanjut. Bimbang dikata kepoh pula. Mungkin lelaki itu mahu hadiahkan pada emak atau kakaknya. Kakak? Entah lelaki itu punya kakak atau tidak. Latar belakang lelaki itu terlalu kabur pada Faziera. Iyalah, mereka baru sahaja mula berkenalan. Takkanlah mahu ditanya semupa perkara serentak. Nampak sangat gelojoh. Rileks, perlahan-lahan, masih banyak lagi masa untuk tahu semua tu.
“Yang warna hijau ni macam mana?” tanya Muazhim, sekaligus membuatkan lamunan Faziera tergantung tanpa tali.
Ketika itu mereka berada di dalam sebuah butik pakaian. Tidak ramai yang berada di dalam butik itu kala ini. Berhampiran dengan mereka berdua, seorang pelayan setia menanti.
“Boleh tahan juga. Warnanya lembut, corak pun tak keterlaluan,” komen Faziera pada baju kurung Pahang rona hijau pucuk pisang dengan corak abstrak ditangan Muazhim itu.
“Tapi rasa macam old-fashion aje,” ulas Muazhim pula.
“Err... Maaf tanya, siapa yang nak pakai baju ni?” Faziera bertanya malu-malu.
“Kakak saya. Umurnya 27 tahun,” jawab Muazhim, dan entah mengapa ada rasa lega yang menjalar dalam hati Faziera saat mendengar kata-kata lelaki itu tadi.
“Kakak awak suka warna apa?”
“Hijau, biru dan ungu. Actually, dia jarang pakai baju kurung sebab kerja di syarikat, dia lebih gemar pakai sesuatu yang nampak elegan dan sofistikated,”
“Oh... Mesti cantik orangnya,”
“Tengok adik dialah, kan kacak bergaya,” usik Muazhim.
Faziera tersenyum kecil bagi menutup debaran di hati. Aneh, sangat aneh. Muazhim yang berada di sisinya ini seakan jasad yang berbeza dengan Muazhim semasa di sekolah. Lelaki ini seorang yang ceria rupa-rupanya. Gemar membuat jenaka. Sesuatu yang sukar diterima Faziera pada mulanya. Iyalah, di sekolah, Muazhim tampak dingin dan hanya berkawan dengan lelaki sahaja.
“Hah, cuba yang ini,” usul Faziera sambil mencapai baju kurung rona ungu cair dengan bunga-bunga kecil rona putih.
Muazhim menyambut huluran tangan gadis berambut lurus paras bahu itu. Baju tersebut diacukan pada tubuh Faziera tiba-tiba membuatkan Faziera terasa jantungnya seakan mahu pecah.
“Nampak sesuai dengan awak. Apa kata awak cuba,”
“Hah? Eh, tak apalah,”
“Apa salahnya, cubalah...” pujuk Muazhim seraya mencairkan hati Faziera.
Faziera bergerak ke fitting room. Beberapa minit kemudian, dia keluar dengan baju kurung yang menjadi pilihannya tadi.
“Cantik!”
Wajah Faziera sudah memerah. Oh, kalaulah dia boleh merakam kata-kata Muazhim sebentar tadi, akan dijadikan peneman sebelum tidur. Kembang-kempis hatinya saat itu.
“Ha’ah bang, nampak sesuai sangat dengan makwe abang ni,” suara gadis yang sejak tadi hanya memerhati gelagat mereka.
Faziera terasa mahu rebah saat itu juga tatkala mendengar kata-kata pelayan itu. Makwe? Kalaulah ia satu kenyataan...
“Okeylah, saya ambil yang ini,” ujar Muazhim.
Faziera bergerak masuk ke dalam fitting room semula. Sejurus pintu ditutup, dia mengurut dada. Perasaan yang bergelumang dalam hati tidak tahu mahu digambarkan bagaimana. Terlalu sukar untuk ditafsir. Nafasnya ditarik dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan. Terasa sedikit lega.
“Awak rasa tudung apa yang sesuai ya?” tanya Muazhim ketika mereka bergerak ke bahagian tudung pula.
Gadis pelayan tadi sudah melangkah ke kaunter dengan baju kurung yang menjadi pilihan mereka. Faziera membelek beberapa helai tudung yang digantung pada palang besi berbentuk bulat yang boleh diputarkan itu.
“Mungkin warna ungu atau putih. Kena dengan baju,”
“Hmm... Kalau macam tu, awak pilihlah. Saya tak berapa tahu,” balas Muazhim.
Faziera mengangguk. Dia lalu mencapai sehelai tudung warna ungu muda yang dirasakan sangat padan dengan baju kurung tadi. Muazhim juga tidak banyak soal, hanya bersetuju dengan pilihannya. Mereka bergerak ke kaunter pembayaran namun Muazhim mengatakan yang dia mahu memilih sehelai lagi baju kurung.
‘Bertuahnya kakak Muazhim ada adik yang penyayang macam ni,’ detik hati Faziera.
Kali ini mereka sepakat memilih baju kurung rona biru pula dengan corak abstrak pada bahagian bawah baju. Tudung warna putih menjadi pilihan. Setelah membuat pembayaran, mereka berdua melangkah keluar dari butik tersebut.
“Kita, pergi makan?”
Faziera mengangguk dengan senyuman yang melebar. Tiba-tiba matanya tertancap pada seseorang yang sedang menghampiri mereka dari arah hadapan. Hazwan!
::bersambung::

3 ulasan :

Nurul Asyikin Mohamad Ghazali berkata...

hoye2... entry baru.. hazwan ni, ada jer kat mana2.. xsabar nk th last citer ni, faziera ngan sape??haha... baik rupanya muazhim nih.. hemm dia dh mula suka kat faziera ker ek?? laa.. xsabar nk tunggu next entry..

epy elina berkata...

kcian hazwan....
klu dia nak ira usahalah lbih....

Rizai Reeani berkata...

Asyikin: Ya, saya juga masih tidak tahu Faziera akan bersama siapa di akhirnya nanti. Hehehe...

Epy Elina: Ya, jika mahu sesuatu, harus berusaha untuk mendapatkannya. :)

Terima kasih sudi singgah membaca da memberi komen.