Sepatah Dua Kata

Ahad, Januari 23, 2011

Kembali Senyum - Ceritera 08













Cemburu

“HAI!”
Teguran Hazwan disambut dengan senyuman oleh Muazhim manakala Faziera hanya diam tanpa riak. Tidak tahu kenapa ada resah di dalam hati. Apakah kerana dia terserempak dengan Hazwan dan bukannya orang lain? Atau dalam erti kata mudahnya, dia bimbang Hazwan akan menganggap yang bukan-bukan? Ah, merepek! Mengapa dia perlu berfikir sampai ke situ. Suka hatilah dia mahu keluar dengan siapa. Tiada kaitan langsung dengan Hazwan.
“Berdua aje?” sambung Hazwan.
“Ha’ah. Saja ajak Ira jalan-jalan,” jawab Muazhim.
“Oh...”
“Kau seorang?”
Hazwan mengangguk. “Siapalah yang sudi keluar dengan aku. Itu yang seorang diri aje ni,”
Muazhim tergelak kecil. Irama lagu yang bergema dari saku seluarnya menganggu perbualan. Muazhim melihat seketika nama yang tertera di skrin sebelum menjarakkan diri sedikit dari Faziera dan Hazwan. Tidak mahu perbualannya didengari.
“Wan terkejut,” ujar Hazwan mengalih pandangan pada Faziera yang sedang menunduk.
“Ira, sukakan dia?” soal lelaki yang mengenakan T-shirt rona coklat cair dengan jeans biru gelap itu.
Faziera tersentak sedikit. Dia mengangkat wajah, cuba menentang mata Hazwan. Ada riak curiga yang jelas kelihatan di wajah itu.
“Itu bukan urusan kau,”
“Wan cemburu,”
Hah? Memang sah si Hazwan ni dah putus fius. Oh, peningnya kepala melayan kerenah lelaki ini!
“Aku peduli apa,” balas Faziera, keras.
“Ira masih tak dapat maafkan Wan?”
Bulat mata Faziera menatap wajah berkulit cerah di hadapannya. Maaf? Kemunculan Hazwan semula adalah untuk menagih satu kemaafan rupanya. Wajarkah dia memaafkan lelaki itu?
“Apa yang kau buat salah pada aku?”
Hazwan tersengih. Faziera terasa bagai diperli. Jauh di sudut hati, dia sudah lama memaafkan lelaki itu. Namun sungguh, lelaki itu tidak bersalah sebenarnya. Dirinya sendiri yang sengaja tidak mahu faham bahawa gagak, tidak layak untuk berkawan dengan merak. Yalah, dia seorang gadis skema yang naif dahulu. Cuba menyatakan rasa hati pada Hazwan yang menjadi kegilaan ramai.
Jika dilihat dari sudut logik akal, memang ramai akan mengatakan dia gila. Perempuan tidak sedar diri. Tetapi dalam soal hati, akal seringkali tewas. Kewarasan akan diganti dengan perasaan. Perasaan yang sukar untuk dikawal. Oleh sebab itu ada pepatah mengatakan bahawa ikut hati mati, ikut rasa binasa.
Walau bagaimanapun, hati tidak pernah menipu. Akal menghalang namun jiwa meronta. Atas sebab tidak mampu lagi membendung rasa sayang yang membelenggu, tidak boleh tidak, ia harus dilafazkan. Sama ada perasaan hatinya diterima atau tidak, itu lain cerita. Yang penting adalah dia perlu mengkhabarkan rasa hatinya pada lelaki yang dia cintai.
Dan percayalah, usai melafazkannya, dia rasa lega. Amat lega. Walau penolakan yang diterima, sekurang-kurangnya, Hazwan tahu akan perasaan hatinya. Malu? Tipulah jika dia kata dia tidak malu. Namun perasaan hati memang sudah tidak mampu disimpan lagi. Bimbang dia boleh jadi gila kerananya.
Tambahan pula, zaman sekarang ini peribahasa perigi mencari timba sudah tidak relevan lagi. Bilangan lelaki semakin berkurangan. Justeru, siapa yang cepat, dia yang dapat. Ya, dia cepat bertindak tetapi sayang, dirinya tidak diterima.
“Ira masih tak maafkan Wan?” tanya Hazwan lagi, sekaligus membuatkan lamunan Faziera berlalu pergi.
“Kau tak buat salah apa-apa pun. Aku yang terlalu ikutkan perasaan dulu. Seharusnya aku yang minta maaf sebab menganggu kau walau kau tak sudi,” kata Faziera dengan wajah yang ditundukkan.
“Itu dulu Ira. Sekarang hati Wan terbuka luas untuk Ira,” balas Hazwan.
“Tapi kenapa? Kenapa kau berubah? Apa yang menyebabkan kau berubah?” soal Faziera, ingin tahu.
Hazwan diam. Dia melangkah mendekati Faziera. Kini jaraknya dengan Faziera terlalu hampir. Desah nafasnya jelas terasa di ubun-ubun Faziera menyebabkan gadis itu mendongak seraya mengundur ke belakang sedikit. Terkejut melihat Hazwan berada begitu hampir dengannya.
“Cukuplah Ira tahu yang Ira dah sedarkan Wan tentang erti cinta yang sebenar,” jawab Hazwan, perlahan namun masih mampu didengari Faziera.
Belum sempat Faziera mahu membalas, Muazhim sudah mendekati. Faziera cuba berlagak tenang, tidak mahu menimbulkan sangsi di hati Muazhim. Hazwan hanya memandang tanpa riak seakan-akan kata-katanya tadi tidak membawa apa-apa makna.
Muazhim mengajak Hazwan untuk makan bersama tetapi ditolak dengan alasan lelaki itu sudah mahu pulang ke rumah. Langkah Hazwan yang semakin menjauh, hanya diperhati oleh Faziera dengan sorotan mata. Kata-kata Hazwan sebentar tadi menghadirkan gelora dalam kalbunya. Gelora yang mengucar-kacirkan perasaan yang sudah sedia serabut.

*  *  *  *  *

HUBUNGANNYA dengan Muazhim, hari demi hari, boleh dikatakan semakin erat Gosip tentang dia sedang asyik dilamun cinta dengan lelaki itu sudah tersebar di seluruh sekolah. Siapa lagi yang menyebarkannya jika bukan Shafikah. Habis dicanang pada kawan-kawan sehinggakan Mak Milah, makcik tukang sapu sekolah itu pun tahu. Entah di mana rapatnya dia dengan Muazhim, tidak pula Faziera ketahui. Setakat ini, mereka hanya berbual kosong jika ada waktu senggang. Tidak tahulah jika itu menampakkan dia rapat dengan Muazhim.
Faziera tidak tahu mana mahu disorokkan mukanya. Setiap langkah bagai terasa sedang diperhati. Ini semua salah Shafikah. Tidak semena-mena dia menjadi perhatian seisi sekolah. Iyalah, jejaka ‘cool’ yang menjadi pujaan para gadis kini sudah dimiliki.
Faziera perasan yang setiap kali waktu rehat pelajar menengah rendah, pasti ada yang tertinjau-tinjau di luar kelasnya. Gadis-gadis polos itu mungkin mahu menyaksikan kebenaran khabar angin puting beliung yang sedang melanda sekolah kala ini.
Perasaan hatinya libang-libu. Perasaan hati Muazhim pula... Entahlah, masakan Faziera tahu. Lelaki itu jarang berbicara soal hati dan perasaan. Dan Faziera pula tidak mahu lagi terburu-buru dalam soal hati lagi. Mungkin pada Muazhim, dia hanya kawan biasa.
“Hari ini teman saya rehat, boleh?” pinta Muazhim sejurus kelas Matematik yang diajar oleh Cikgu Suryati tamat.
Seisi kelas dirasakan seperti berada di padang pasir. Senyap-sunyi. Mulut Faziera hampir ternganga mendengarnya. Itu belum tengok mulut Shafikah dan pelajar perempuan yang lain. Macam badak air tengah menguap. Faziera berpaling ke kiri. Mata Hazwan tajam merenungnya. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan.
“Err...Okey,” jawab Faziera.
Muazhim mengukir senyum lantas berlalu ke luar kelas. Ke tandas barangkali. Shafikah sudah senyum meleret dengan kening yang terangkat. Ah, pasti sebentar lagi sekolah itu akan dilanda angin puting beliung kali kedua. Jauh di sudut hati, hati Faziera berbunga ceria. Walaupun tidak mahu berharap, tetapi jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil jika harapannya itu jadi kenyataan. Harapan untuk menjadi kekasih hati Muazhim.
Keadaan hening sebentar tadi kembali riuh. Shafikah menyenggol pinggang Faziera, mengusik, membuatkan wajah kawannya itu merona merah. Masih ada lima belas minit sebelum kelas seterusnya bermula.
Belajar di tingkatan enam ini, masa rehatnya lebih banyak kerana tidak banyak mata pelajaran yang diajar dalam sehari. Masa yang terluang ini biasanya dihabiskan dengan berbual-bual. Ada juga pelajar yang mengambil kesempatan ini untuk menyiapkan kerja sekolah yang tertangguh.
Kelas kembali diam apabila seorang gadis melangkah masuk ke dalam kelas dengan wajah yang menyinga. Setiap langkah gadis itu menarik perhatian seluruh pelajar kelas 6 Sains 1.  Faziera mula dipagut gelisah. Janganlah kaki itu melangkah ke arahnya.
Jangkaan Faziera meleset. Gadis itu kini betul-betul berdiri di hadapannya. Dapat dirasakan semua pelajar sedang tekun menanti bicara gadis yang julung-julung kali menjejakkan kaki ke kelas ini.
“Aku dapat tahu kau keluar dengan Muaz hujung minggu hari tu, betul?” terjah Isma.
Habislah! Ratu perasan cantik sudah tahu!
::bersambung::

2 ulasan :

Law of Attraction berkata...

waaa... xsabar nk baca next entry.. ape akn jadi ek.. ni mesti ada sesape yg selamatkan faziera.. hizwan??atau muazhim??

Rizai Reeani berkata...

Ya, sama-sama kita lihat nanti ya. Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen... :)