Sepatah Dua Kata

Ahad, Januari 30, 2011

Kembali Senyum - Ceritera 09




Pergilah Cinta

SETIAP pasang mata yang berada di dalam kelas 6 Sains 1 itu tertumpu pada babak cerekarama yang sedang dilakonkan oleh Faziera dan Isma. Masing-masing begitu teruja mahu melihat persembahan kedua-dua gadis tersebut. Adakah ada sumpah-seranah atau caci-maki yang akan berlangsung? Atau lebih hebat lagi adegan tarik-menarik rambut atau sepak-menyepak? Bukan senang mahu lihat jika ia benar-benar terjadi di hadapan mata. Apatah lagi ia tontonan percuma.
“Kenapa diam? Kau tak dengar apa aku tanya tadi?” jerkah Isma apabila tiada jawapan yang terbit dari seulas bibir mungil milik Faziera sejak tadi.
“Kalau tidak kenapa dan kalau ya kenapa?” ujar Faziera sambil bertentang mata dengan Isma, tidak mahu kalah.
Mata Isma semakin membulat. Sengaja dia mengjengilkan mata untuk menimbulkan rasa kecut dalam hati Faziera tetapi dia silap. Faziera bukan lagi gadis yang polos seperti dahulu. Jengilan mata Isma sedikit pun tidak berbekas di hati.
“Kalau tidak, baguslah. Tapi kalau ya, kau memang sengaja cari nahas!” jawab Isma.
“Maksud kau?”
“Huh, kura-kura dalam perahu pula kau ya,”
Faziera tersengih. Kura-kura dalam perahu? Suka hati datuk nenek dia aja nak ubah pantun Melayu dua kerat tu.
“Aku tak tahu sejak bila pula kura-kura pandai naik perahu,” sindir Faziera lantas mengundang tawa seisi kelas.
“Hei, perempuan! Kau jangan nak mulakan. Nahas nanti!” ugut Isma dengan wajah yang merona merah. Entah marah, entah malu.
“Siapa yang mulakan ni? Kau ke aku? Kau yang tetiba terjah aku dalam kelas dulu. Apa yang kau nak sebenarnya ni?”
“Jangan sesekali dekat dengan Muaz!”
“Kenapa? Dia suami kau ke?”
“Faziera!” nada suara Isma semakin meninggi namun sedikit pun tidak menggerunkan Faziera.
Seluruh kelas senyap-sunyi. Jelas api kemarahan yang bernyala di mata Isma. Faziera tidak gentar. Dia tidak buat apa-apa kesalahan pun. Justeru, kenapa dia perlu takut?
“Kau siapa nak halang aku berkawan dengan Muazhim?” bidas Faziera.
“Aku tahu kau sengaja nak sakitkan hati aku. Kau jangan lupa yang aku ni kekasih Muaz. Tolonglah jangan jadi perempuan gedik nak rampas hak orang,” giliran Isma pula memerli Faziera.
Perempuan gedik? Aish, ini sudah lebih. Dia dipanggil gedik? Celah mana dia gedik. Perempuan di hadapannya ini yang terlebih gedik. Seluruh sekolah tahu akan sikapnya yang satu itu. Pantang nampak lelaki kacak sikit, mulalah jadi belut tak bertulang.
“Oh, aku tak tahu pula kau ni kekasih Muazhim. Tak ada pula dia beritahu aku. Maaflah, mungkin aku tak dengar. Ke, kau yang perasan?”
Sindiran Faziera ibarat sengaja menumpah minyak ke dalam api yang sedang marak. Isma mula mengangkat tangan. Hazwan segera bangun namun terhenti apabila tangan Isma sempat dihalang sebelum melayang ke pipi Faziera.
“Muaz!” ujar Isma, terkejut.
“Tolong keluar dari kelas ni,” ucap Muazhim, lembut tetapi tegas.
“Muaz, I tak bersalah. Perempuan gedik ni yang sakitkan hati I,” rayu Isma dengan suara yang sengaja dilunakkan.
I? Tolonglah! Ambil baldi cepat! Aku nak muntah dengar!’ bisik hati Faziera.
“Sudahlah Isma, tolong keluar. Sekejap lagi kelas nak mula,” pinta Muazhim.
“Tak nak! I tak nak keluar! Muaz, please... I tak suka you rapat dengan perempuan ni. I tak suka!” bentak Isma.
‘Aduhai... Dari cerekarama, dah bertukar jadi slot Samarinda pula. Memang drama queen betul si Isma ni,’ omel hati Faziera lagi.
“Kau siapa nak halang aku berkawan dengan Faz?”
I... I... I...” Isma tidak dapat meneruskan kata.
“Sudahlah, kejap lagi cikgu datang. Jangan nak besarkan lagi perkara ni. Tolong keluar,”
Isma mendengus. Sempat dihadiahkan jelingan tajam pada Faziera sebelum melangkah keluar. Faziera mengangkat kening sebagai balasan. Ingat dia takut? Setakat jeling macam tu, belum tengok lagi mak dia punya jeling. Seminggu boleh mengigil tahu?
“Awak okey?” suara Muazhim membuatkan Faziera tesentak sedikit.
“Saya tak apa-apa,”
“Maaf tentang tadi. Saya tak sangka pula Isma akan serang awak,”
“Tak apa, saya faham. Biasalah, girlfriend mana yang tak risau kalau boyfriend dia rapat dengan perempuan lain,” balas Faziera.
“She’s not my girlfriend,”
“Oh...”
“Bangun semua!”
Jeritan ketua kelas mengembalikan keadaan kepada normal. Cikgu Badrul yang mengajar mata pelajaran Fizik sudah berdiri di sebelah meja guru di hadapan kelas. Usai memberi salam hormat, masing-masing kembali duduk.
Faziera berpaling ke belakang. Matanya bertentang dengan mata Hazwan. Riak wajah lelaki itu tampak tidak senang. Ah, pedulikan saja!

*  *  *  *  *

RANTAI besi yang melilit pada tayar basikal dileraikan. Mangga kunci pula dimasukkan ke dalam poket kecil yang terletak di sebelah kanan beg sekolahnya. Mujurlah pihak sekolah menyediakan rantai besi tersebut untuk para pelajar yang membawa basikal. Cuma tingga beli mangga kunci sahaja.
Baru sahaja Faziera hendak menolak basikalnya keluar, dia dikejutkan dengan kehadiran Hazwan di belakangnya. Kus semangat... Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba muncul.
“Kita perlu berbincang,” ujar Hazwan.
“Tentang apa?”
“Tentang kita,”
“Aku rasa tak ada apa yang nak dibincangkan antara kita,” balas Faziera.
“Ada,”
“Tak ada!”
“Ada!”
“Okey, kau ada lima minit aja. Cakaplah, apa dia?” akhirnya Faziera malas mahu bertekak.
Hazwan diam. Kelihatannya seperti teragak-agak untuk bersuara. Mungkin sedang menyusun ayat yang sesuai untuk diperkatakan padanya.
“Kau sedang membazir masa,”
“Okey, okey... Faz, sukakan Muaz?”
Pertanyaan Hazwan ternyata mengejutkan Faziera. Apakah terlalu jelas pada wajahnya yang dia menyukai Muazhim? Atau lelaki di hadapannya ini mudah benar menebak apa yang bersarang di dalam hati?
“Aku rasa aku tak perlu jawab soalan tu,”
“Faz kena jawab juga,”
“Kau tak ada hak nak paksa aku,”
“Tapi Wan perlukan jawapan Ira untuk kepastian,”
Faziera mengerutkan dahi. Kata-kata Hazwan menghadirkan kemusykilan dalam hati.
“Kepastian?”
Hazwan mengangguk sebelum menyambung kata, “Kalau Faz benar sukakan Muaz, Wan tak akan ganggu Faz lagi,”
Hampir terlepas basikal yang dipegang Faziera namun mujur dapat dikawal. Benarkah apa yang baru saja Hazwan lafazkan tadi? Lelaki itu akan mengalah dan tidak menganggunya lagi?
“Wan akan undur diri. Wan faham, perasaan tu sesuatu yang tak boleh dipaksa. Apa gunanya kalau Wan sayangkan Faz tapi Faz terseksa,” tambah Hazwan lagi.
Oh, benarkah? Benarkah lelaki ini tidak akan menyusahkan hidupnya lagi? Tetapi kenapa hati terasa bagai kurang sesuatu?
“Faz?” tegur Hazwan apabila dilihat Faziera kaku tidak bergerak.
Faziera tersentak sedikit. “Kau betul-betul maksudkan kata-kata kau tadi?”
Hazwan mengangguk, lemah.
“Ya, aku sukakan Muazhim,” cepat sahaja Faziera berkata dan Hazwan, diam tanpa bicara.
::bersambung::

2 ulasan :

Leya berkata...

kesia hazwan. tp mmang btul perasaan tu x bleh paksa..

Rizai Reeani berkata...

Setuju dengan Leya. Perasaan itu sesuatu yang rumit untuk difahami namun ia mudah dipengaruhi...

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. :)