Sepatah Dua Kata

Isnin, Februari 07, 2011

Idaman Kalbu: Ceritera II - Bab 01



ADAKAH ini namanya cinta? Hati berdebar kala bertentang mata. Darah terasa mengalir laju kala bersua muka. Jiwa resah gelisah bercampur gundah. Kata orang, jika begitu yang dirasa, bermakna ada cinta yang menyapa. Jadi, benarkah aku sudah jatuh cinta? Oh, sungguh aku tidak tahu bagaimana untuk menafsirkan perasaan yang sedang sarat menyelubungi hati ini. Cinta... Aku sudah jatuh cinta? Ah, tiba-tiba terasa damai. Kesan dari cinta mungkin. Sekejap, aku sudah jatuh cinta? Sesiapa, tolong aku! Ini kali pertama aku jatuh cinta. Aku tidak tahu bagaimana untuk mengawalnya. Tidak mampu menahan perasaan yang meronta-ronta memaut tangkai jantung ini. Cinta... Tidak percaya aku sudah jatuh cinta!

*  *  *  *  *

DIBERI nama Yusfira, seorang gadis berusia 24 tahun yang baharu sahaja menamatkan pengajian di salah sebuah universiti awam di Selangor. Semasa belajar dahulu, aku mengambil bidang Sains Kuantitatif. Bidang yang sangat mencabar bagi aku tetapi ia sesuatu yang aku sukai. Bidang yang memerlukan daya berfikir yang tinggi kerana ia melibatkan banyak pengiraan. Kalkulus? Petik jari saja. Theorem pythagoras? Pejam mata pun boleh buat. Wah, berlagak ya. Ala, cakap dalam hati, bukannya orang tahu.
Bulan Julai yang lalu, tamatlah tempoh pengajianku selama dua tahun. Alhamdulillah, berjaya juga menggenggam segulung ijazah. Tidak sia-sia usahaku bersengkang mata setiap kali musim peperiksaan tiba. Tambahan pula, mendapat Ijazah Kelas Pertama dengan Anugerah Naib Canselor. Bangganya! Berlagak lagi? Aku rasa tidak. Malah wajar aku berbangga kerana aku tahu aku sudah berusaha mencapainya. Tentulah dengan izin dari Yang Maha Esa juga. Syukur.
Mendapat kejayaan seperti itu adalah satu bonus padaku. Yang penting adalah aku dapat menggembirakan hati ayah dan ibu. Ayah yang sentiasa memerah keringat, membanting tulang empat keratnya agar aku dapat bersekolah dan seterusnya menyambung pengajian sehingga peringkat ini. Ibu yang tidak pernah jemu menitipkan kata-kata semangat dan dorongan setiap kali aku terasa mahu rebah dek tekanan belajar yang terlalu kuat. Sungguh, itulah menjadi pemangkin aku untuk berjaya.
Tamat pengajian, aku mula mencari pekerjaan. Seperti kata pepatah, yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang. Yang perlu ditekankan adalah usaha. Hampir dua bulan aku berusaha mencari pekerjaan dan Alhamdulillah, pencarianku berakhir juga apabila diterima bekerja di sebuah syarikat perbankan di Cyberjaya. HSBC Global Resourcing merupakan tempat pertamaku bergelar seorang yang berkerjaya. Letaknya tidak begitu jauh dari rumah. Sekadar setengah jam perjalanan sahaja dengan menaiki kereta. Bekerja dari pukul sembilan pagi sehingga enam petang.
Jawatan yang ditawarkan padaku adalah Eksekutif Sokogan Global. Skop tugas adalah untuk menguruskan proses transaksi bayaran dari luar negara. Memang kena dengan citarasaku kerana aku suka bergelumang dengan nombor. Gaji yang ditawarkan juga amat lumayan padaku. Untuk permulaan, aku kira ini adalah yang terbaik. Fikirku masa ini cuma satu. Timba pengalaman dan merasai suasana alam pekerjaan. Pensyarahku pernah berpesan, alam pekerjaan sangat berbeza dengan masa belajar. Pergaulan lebih luas, ragam manusia yang pelbagai.
Bangunan tempat kubekerja ada tiga tingkat dan ruang kerjaku terletak di tingkat dua. Unit tempat aku bekerja dalam Bahasa Inggerisnya disebut “Global Fund Transfer”. Mempunyai dua orang penolong pengurus dan lapan belas pekerja termasuk diriku. Rata-rata rakan sekerja purata umurnya lebih kurang sebaya denganku. Paling muda berumur 23 tahun dan paling tua berumur 36 tahun.
Rakan sekerja terdiri dari pelbagai kaum. Ada Cina, India dan juga Sikh. Pertuturan lebih kepada Bahasa Inggeris kerana di sini pengurusnya seorang British. Namun, aku lebih gemar menggunakan Bahasa Melayu jika berbual dengan rakan yang lain. Cuma jika urusan kerja, baru aku bertutur dalam Bahasa Inggeris. Pengurusku itu bukannya tahu sangat bercakap dalam Bahasa Melayu. Apatah lagi Bahasa Inggerisnya pun aku tidak faham sangat kerana cakapnya begitu laju.
Suasana tempat kerjaku terasa kondusif. Di tingkat bawah mempunyai kedai serbaneka dan kafateria. Di tingkat dua punya kiosk yang menyediakan makanan barat. Setiap tingkat pula ada mesin minuman percuma. Sama seperti vending machine yang terdapat di kaki lima jalan. Bezanya minuman yang disediakan percuma. Tekan sahaja bila terasa haus. Terdapat pelbagai variasi perasa lagi. Hah, seronokkan? Minumlah sampai perut kembung, tak ada orang mahu melarang.
Sekarang kita masuk ke topik utama cerita ini. Cukuplah pengenalan tentang tempat kerjaku. Tapi, mengapa aku khabarkan perihal tempat kerjaku? Sudah tentu jawapannya kerana di sinilah cerita ini bermula. Cerita cintaku dengan lelaki itu. Lelaki yang membuatkan jantungku terasa mahu tercabut keluar tatkala melihat wajahnya.
::bersambung::

p/s: Saya ada membuat satu page untuk lebih dekat dengan rakan pembaca. Sebarang maklumat dan update terkini akan dimuat-naik di sana. Sudi-sudikan singgah. Klik sini atau boleh singgah di ruangan sebelah kanan blog ini. (^_^)

Tiada ulasan :