Sepatah Dua Kata

Isnin, Februari 14, 2011

Idaman Kalbu: Ceritera II - Bab 03




“SAYA nak turun bawah beli makanan, ada yang nak kirim?” soalku pada rakan-rakan sekerja yang sedang tekun menghadap monitor komputer masing-masing.
Rata-ratanya menggeleng. Ada juga yang berdiam diri sekaligus menunjukkan yang mereka tidak berminat dengan pelawaanku. Aku meminta izin dari ketuaku untuk turun ke tingkat bawah sebentar. Perut terasa lapar pula walau sudah bersarapan di rumah tadi.
Melangkah keluar dari ruang pejabat, pintu lif sudah sedia terbuka untukku. Butang ‘G’ kutekan dan beberapa saat kemudian, aku sudah tiba di ground floor. Langkahku laju menuju ke kedai serbaneka. Fikirku, mungkin dua bungkus roti mencukupi sebagai alas perut sebelum waktu rehat untuk makan tengah hari tiba.
Sampai di kedai serbaneka, mataku mula rambang melihat aneka makanan dan minuman yang disusun kemas di rak kedai tersebut. Dari roti dua bungkus, aku turut membeli kerepek dan asam. Aduh, seleraku ini bukan boleh dibuat main namun aku bersyukur kerana berat badanku tidak mudah naik walau makan banyak. Kadar metabolisme yang tinggi mungkin. Ah, mula dah nak merepek.
Usai membuat pembayaran, mataku tertancap pada vending machine yang menjual coklat. Lama juga tak merasai kelemakkan dan kemanisan coklat. Tolonglah, dua hari lepas baru saja melahap kepingan coklat besar yang dibeli oleh ayah. Ala, mengaku saja yang diri tu memang hantu coklat.
Aku memasukkan dua keping not seringgit dan memilih coklat yang dicampur dengan badam, salah satu antara perisa coklat kegemaranku. Eh, kenapa tak keluar pula ni? Aku tekan butang tersebut sekali lagi. Masih tiada bungkusan coklat yang keluar. Ah, sudah, mesin ni buat hal pula. Membazir dua ringgit aku!
Excuse me, biar saya tolong,”
Teguran itu membuatkan aku berpaling lantas terkesima sebentar. Tidak percaya dengan apa yang dilihat mata sendiri. Lelaki yang kujumpa di dalam lif pagi tadi! Ya, lelaki yang buat hatiku berdebar dengan hebatnya.
Mataku tidak lepas dari menatap seraut wajah kacak itu. Aku sedikit terkejut apabila dia menendang vending machine tersebut. Serentak dengan itu, bungkusan coklat yang kuidam keluar juga. Dia menunduk sedikit, mengeluarkan bungkusan coklat itu dari tempatnya.
“Mesin ni memang dah rosak sikit. Nah, coklat awak,” ujarnya seraya menghulurkan bungkusan coklat itu padaku dengan senyuman yang cukup pesona.
Bagai dipukau, hulurannya kuambil perlahan-lahan. Aku perhatikan saja langkahnya yang kian menjauh. Bungkusan coklat di tangan digenggem erat.
“Terima kasih,” ucapku, lirih dengan hati yang mula diterpa rasa aneh...

*  *  *  *  *

“KAU ni pergi beli makanan ke, buat makanan?” sindiran dari Fiza langsung tidak berbekas di hatiku.
“Dia pergi mengorat abang Nepal yang jaga kedai tulah. Macam tak tahu pula kau ni,” tokok Wawa sekligus mengundang tawa rakan sekerja yang lain.
Aku hanya tersengih kecil. Mereka ni memang ada-ada sahaja bahan untuk dijadikan usikan. Bungkusan coklat di tangan kurenung. Terasa hangatnya sentuhan tangan lelaki itu pada bungkusan coklat tersebut. Seperti dia sedang menggenggam erat tanganku. Amboi, jauhnya berangan.
Aku kembali menyambung tugas yang tertangguh tadi. Namun sedikit-sebanyak konsentrasiku terganggu apabila senyuman lelaki itu acapkali berlegar-legar di ruang fikiran. Aish, tak boleh jadi ni. Jangan-jangan, aku kena ubat guna-guna tak? Alahai, zaman moden ni mana ada orang buat kerja tak berfaedah macam tu dah. Ish, mana tahu, kan? Perkara macam tu tak kiralah dari dulu hingga sekarang, tetap akan ada selagi pengamalnya masih wujud.
Tapi, dalam kes aku ni, tak mungkinlah kena ubat guna-guna. Habis tu, kenapa sejak dari tadi aku tak mampu mengsirnakan wajah lelaki itu dari mengangguku? Eceh, ayat mengsirnakan tu kedengaran sangat futuristik padaku.
Aku mengaduh kecil apabila terasa bahuku dicubit. Zaza  yang duduk di sebelah memandang dengan raut wajah hairan. Keningnya diangkat sebelah ala-ala Ziana Zain, penyanyi kesukaannya. Eleh, ingat aku tak boleh angkat kening macam tu ke?
“Amboi, jauhnya kau berangan ya. Nak kahwin putera raja negeri mana ni?” perli Zaza lantas dibalas dengan cebikan bibirku. Banyaklah dia punya putera raja.
“Ada apa?” aku bertanya pada wanita berbaju kurung rona hijau pucuk pisang itu.
“Tu, bos dah panggil banyak kali,”
“Alamak! Bos panggil ke? Okey, okey, saya pergi sekarang,” ujarku sedikit cuak.
“Sejak bilalah pandai berangan ni Cik Yusfira oi...” sambung Zaza lagi.
“Sejak abang Nepal tu mengorat dia dulu Zaza,” sampuk Wawa.
Kan, pantang aku kena perli sikit, adalah yang nak menokok-tambah. Sempat kuhadiahkan jelingan istimewa buat mereka sebelum bergegas menemui ketuaku yang pastinya akan turut mengenakanku juga. Kalau anak buah semua mulut macam mami jarum, sedikit-sebanyak tempiasnya kena pada ketua juga.

*  *  *  *  *

WAKTU rehat makan tengah hari tiba juga. Biasanya waktu rehat kami sudah ditetapkan memandangkan ruang pejabat tidak boleh kosong tanpa pekerja. Di sini, keselamatan data dan maklumat sangat diutamakan. Maklumlah, kerja bank ni, banyak maklumat sulit yang perlu dikawal.
Kebiasaannya, aku akan rehat bersama-sama dengan Fiza. Jarak umur kami yang tidak jauh bezanya menjadikan aku lebih rapat dengannya berbanding yang lain. Jam ditangan kulihat sekilas. Sudah menunjuk ke angka 12.30 tengah hari. Waktu-waktu begini, kafeteria pastinya padat dengan mereka yang mahu mengisi perut yang kelaparan.
Aku mengintai menu yang terhidang. Ada kuah dalca, ayam masak merah, kurma daging dan beberapa pilihan makanan yang lain. Tekakku terasa mual pula melihat lauk-lauk tersebut. lantas aku membuat keputusan untuk menempah nasi goreng pattaya sahaja.
Fiza kulihat sedang asyik memilih bahagian ayam masak merah. Ayam dengan gadis itu sememangnya tak dapat dipisahkan. Pernahku tanya padanya, adakah dia tidak berasa jemu makan ayam setiap hari? Jawapan gadis itu mudah, dia boleh tak makan nasi tapi tak boleh jika tak makan ayam. Dan mendengar jawapannya, aku menggeleng.
Kami mencari andai ada meja yang kosong. Kebetulan ada sekumpulan pekerja yang baru selesai makan. Pantas kami ke sana. Aku menyuruh Fiza makan dahulu sementara menanti nasi goreng pattaya yang kupesan tadi siap.
“Tak apalah, aku tunggu kau. Tak best makan sorang-sorang ni,” balas Fiza.
Sementara menanti pesananku tiba, sempat mataku meliar memerhati setiap raut wajah yang ada di kafeteria tersebut. Mana tahu aku akan terserempak dengan lelaki itu? Oh, sampai begitu sekali aku berharap.
“Yus, aku nak minta pendapat kaulah,” ujar Fiza tiba-tiba.
“Tentang apa?”
“Aku ingat nak berniaga baju secara online. Apa pendapat kau?”
“Oh, baguslah tu. Sekarang memang dah jadi trend orang jual barang guna online. Lagi mudah, tak payah nak keluar. Lagipun, dapat juga duit sampingan,” ujarku.
“Tapi kau rasa aku boleh ke?”
“Belum cuba belum tahu, kan? Setiap perkara yang kita lakukan pasti ada risikonya. Yang penting kita berani hadapi risiko tersebut dengan membuat perancangan terlebih dulu. kalau awak nak saya tolong buat proposal, boleh saja,” balasku.
“Hah, kalau macam ni aku lantik kau jadi penasihat projek akulah macam ni,” balas Fiza, bersungguh-sungguh.
Aku tergelak kecil seketika sebelum tawaku mati apabila raut wajah yang kutunggu-tunggu muncul. Dan lebih mengejutkan, langkah kaki lelaki itu semakin menghampiri mejaku.
“Hai, boleh saya duduk kat sini?”
Sebaik mendengar pertanyaannya, aku seakan mahu rebah!
::bersambung::

6 ulasan :

sofia berkata...

suke! suke! citer ni wat sy ingat kenangan lalu..

Aisya Humaira berkata...

saya belum membacanya...tapi saya tahu anda mempunyai bakal dlm menulis novel..TAHNIAH
saya masih baru dlm bidang ni....

Rizai Reeani berkata...

sofia: Salah satu dari kenangan saya juga ada di dalam ini. Hehehe... ;)

Aisya: Terima kasih Aisya. Biasa-biasa saja. Saya yakin Aisya juga turut berbakat dalam bidang penulisan ni. :)

sofi berkata...

nice story... n i know..it will b my favourite. tahniah

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih Sofi sudi singgah membaca kisah ini. :)

NukSe berkata...

hihi.. mesti yusfira terkejut giler.. jgn la jatuh dr kerusi.. haha