Sepatah Dua Kata

Selasa, Februari 22, 2011

Idaman Kalbu: Ceritera II - Bab 04




“FAREEZ! Lama tak nampak ya,” ujar Fiza membuatkan aku terkejut berbaur gembira.
Terkejut kerana rakanku ini mengenali jejaka yang sudah melabuhkan punggung di kerusi di hadapanku. Gembira kerana aku namanya sudah aku ketahui. Fareez, sedap nama tu!
“Sibuk sikit. Biasalah, dah nak dekat hujung tahun ni, kena selesaikan banyak hal,” jawabnya.
Aku sejak tadi menikus, tidak tahu mahu mencelah di mana. Lagipun, lidahku memang kelu untuk menutur kata. Serba tak kena rasanya. Gelisah seperti kucing kehilangan anak. Sesekali aku mengintai pandang wajah Fareez. Bimbang jika menatapnya terlalu lama, akan disalah tafsir pula.
Fiza terus berbual dengan lelaki itu. Butir bicara mereka aku dengar dengan teliti. Mana tahu jika aku dapat maklumat tambahan tentang Fareez. Dari perbualan mereka, aku tahu Fareez baru pulang dari out station selama tiga minggu di Sabah. Patutlah aku baharu terserempak dengan dia sekarang ini.
“Oh ya, kenalkan, kawan Fiza ni namanya Yus. Yus, ini kawan aku masa induksi dulu, Fareez,” ujar Fiza sekaligus membuatkan aku sedikit tersentak.
“Hai, saya Fareez,” ucapnya dalam senyuman yang melebar.
Aku tergamam seketika tatkala melihat senyuman yang menguntum di bibir lelaki itu. Terasa darah mengalir laju ke segenap urat nadi. Yang pastinya wajahku terasa panas.
“Ehem,” tegur Fiza sambil menendang kakiku.
“Oh, ah, maaf. Saya Yusfira,” balasku lalu kembali menunduk, malu apabila menyedari aku berangan entah ke mana.
“Okeylah, Riz minta diri dulu. Tadi turun nak ke kedai sebenarnya. Ternampak Fiza, itu yang singgah kejap ke sini,” beritahu Fareez.
Dalam wajah yang ditundukkan, hatiku diserang pilu. Dia ke sini untuk berjumpa Fiza rupanya, bukannya aku. Perasan betul aku ni.
“Nanti ada masa, singgahlah ke floor kita orang. Wawa tu asyik menyebut tentang Riz aja. Rindu kot,” usik Fiza namun kenyataannya itu menambah sendu di jiwaku.
Fareez tergelak kecil. Dia bingkas bangun lalu menolak kerusi ke dalam semula. Sebelum melangkah pergi, sempat dia menuturkan sesuatu yang merubah perasaanku 360 darjah.
“Jumpa lagi ya Yus,”
Pantas aku mengangkat wajah, menatap belakang tubuhnya yang kian menjauh. Jumpa lagi? Benarkah apa yang aku dengari tadi? Fareez mahu berjumpa denganku lagi? Ah, sememangnya aku mengharapkan pertemuan kami tidak berhenti setakat ini. Entah kenapa rasa sedih yang membelit tangkai hati tadi hilang sekelip mata diganti dengan rasa riang dan teruja!

*  *  *  *  *

USAI makan tengah hari, aku bergandingan dengan Fiza ke surau yang terletak di tingkat 1 untuk menunaikan solat Zuhur. Semasa makan tadi, mahu saja aku bertanya lanjut tentang Fareez. Iyalah, mana tahu Fiza tahu latar belakang lelaki itu. Namun aku bimbang andai Fiza berasa curiga lantas aku pendamkan saja hasratku itu. Malunya kalau Fiza tahu aku sudah jatuh hati pada Fareez. Apa pun, keinginanku ini tidak mampu dikawal lagi. Mungkin aku boleh putar belit sedikit ayat supaya tidak nampak ketara sangat yang aku mahu berkenalan dengan Fareez.
“Awak dengan Fareez tu dah lama kenal ke?” itu mukaddimahku.
“Oh, adalah dalam dua tahun. Kami satu induksi dulu. Kiranya sama tahun masuk kerja dekat sini,” jawab Fiza selamba.
“Jadi, samalah dengan Wawa?”
“Eh, taklah. Wawa tu dah kerja lima tahun. Dulu, dia satu department dengan Fareez. Kemudian, dia minta tukar sebab department Fareez tu selalu kerja shif malam. Yalah, macam yang kau tahu, bangunan ni beroperasi 24 jam,” jelas Fiza.
Aku mengangguk, faham akan kata-kata Fiza tadi. Di tempat kerjaku ini, waktu bekerja adalah global. Maksudnya, ada banyak jabatan yang menguruskan urusan perbankan di beberapa buah negara utama di dunia seperti US, UK, China, Canada dan lain-lain. Justeru, mereka yang mengikut waktu luar negara, tentu berbeza dengan waktu bekerja normal di Malaysia.
Sebagai contoh, aku bernasib baik kerana waktu kerjaku normal kerana jabatanku menguruskan aliran wang tunai dari Singapura. Jarak waktunya tidaklah jauh berbeza dengan Malaysia. Bagi mereka yang menguruskan aliran wang tunai dari US, tentu saja mereka akan bekerja dari pukul sembilan malam sehingga enam pagi memandangkan perbezaan waktu US dan Malaysia adalah 12 jam. Ala, senang cerita, kalau di Malaysia waktu siang, di US sudah malam dan sebaliknya.
“Dah tu, kenapa dia datang siang macam ni?”
“Sebab jabatan dia ada dua waktu bekerja. Dari pukul 12 tengah hari hingga sembilan malam dan sembilan malam, hingga enam pagi. Fareez uruskan sesi yang siang,” jawab Fiza.
“Uruskan?” aku bertanya, tidak faham maksud kata-kata Fiza tadi.
Kami sudah sampai ke tingkat satu. Kad pekerja dilekapkan supaya pintu dapat dibuka. Surau yang letaknya di hujung kanan tingkat satu itu dituju.
“Dia tu penolong pengurus,”
“Hah?”
Fiza tersengih. Seperti sudah menjangka akan reaksiku.
“Di sini, kalau prestasi kerja yang ditunjukkan cemerlang, memang senang nak naik pangkat,” ujar Fiza.
“Berapa umur dia?”
25 and he is the most eligible bachelor dekat sini. Ramai peminat tu,”
Sungguh aku terkejut mendengarnya. Usia semuda itu sudah menjadi penolong pengurus. Hanya dua tahun lebih tua dariku. Tiba-tiba aku terasa rendah diri. Lelaki seperti Fareez, sudah tentu ramai yang menyimpan angan untuk menjadi suri dalam hatinya.
Iyalah, orangnya tinggi, kacak, berkarisma pula tu. Siapa yang tidak terpikat? Bertuahnya perempuan yang dapat memiliki lelaki itu. Mungkin, dia sudah ada pilihan hati. Lagipun, siapalah aku ini. Sebelah mata pun belum tentu dia mahu  lihat.
Surau sudah berada di hadapan kami. Fiza menolak daun pintu. Tidak ada orang di dalamnya. Aku duduk bersandar sebentar di dinding yang dicat warna hijau muda itu. Terasa lemah tidak bermaya mendengar kata-kata Fiza tadi.
“Hah, dulu ada gosip hangat pasal dia,” ujar Fiza tiba-tiba sekaligus menarik perhatianku.
“Dia pernah couple dengan seorang perempuan ni. Sama department tapi tahun lepas perempuan tu berhenti kerja sebab sambung belajar kat luar negara. Dengar kata perempuan tu minta putus sebab bimbang tak dapat beri komitmen sebab mereka berjauhan. Yalah, kalau setakat dalam Malaysia ni, bolehlah consider,” Fiza menerangkan padaku.
Ah, hati Fareez sudah dimiliki rupanya. Pastilah dia akan menunggu perempuan itu pulang. Nampaknya, aku harus berterima kasih pada Fiza sebab menceritakan padaku tentang lelaki itu. Perasaan hati harus diperkemaskan. Aku tidak sepatutnya biarkan rasa sayang yang berputik di hati ini membungakan cinta. Lelaki itu tidak ditakdirkan untukku.
Oh, rasa hati ini sangat sakit bagai disiat-siat. Agaknya, inilah yang dinamakan putus cinta. Eleh, bercinta pun belum sudah memandai kata putus cinta. Namun aku bersyukur kerana perasaan hatiku pada Fareez masih belum ditetapkan. Jika benar-benar aku sudah jatuh cinta padanya, pastilah aku akan lebih derita.
::bersambung::

p/s: Terima kasih pada rakan pembaca, Qaleysa atas kesudian membuat fan page untuk novel Semanis Coklat. Sudi-sudikan singgah dan berkongsi pendapat atau apa sahaja tentang novel tersebut. Klik sini

Tiada ulasan :