Sepatah Dua Kata

Khamis, Februari 24, 2011

Idaman Kalbu: Ceritera II - Bab 05




PAGI yang tidak seperti biasa. Keretaku meragam hari ini. Enjinnya tidak boleh dihidupkan. Semalam waktu pulang dari kerja elok sahaja. Entah kenapa hari ini merajuk pula. Sudahnya, ayah mencadangkan supaya aku naik motosikal miliknya. Oh, cadangan yang amat bernas sekali ayah. Macamlah ayah tak tahu yang anak ayah ni trauma naik motor sejak kemalangan masuk parit setengah tahun yang lalu. Emak sekadar menggeleng mendengar saranan ayah. Ala, aku tahu ayah sengaja menyindirku. Mana tidaknya, aku yang berdegil mahu membawa motosikal dulu ketika baharu saja dapat lesen memandu. Bukan lesen motor tapi kereta.
Mulanya aku mahu berlatih dulu dengan membawa motosikal ayah keliling kawasan taman perumahan namun ditegah oleh ayah kerana aku mahu menunggang sendirian tanpa pengawasannya. Dan akibat tidak mendengar kata, aku tak perlu mandi petang itu kerana sudah berkubang di dalam parit besar ketika cuba mengelak dari melanggar kucing yang melintas jalan. Sejak itu apabila disua untuk menunggang motor, aku hanya mampu buat muka tak ada perasaan. Terus terbantut niat mahu mengambil lesen motor. Ah, naik kereta, kan lebih selamat. Ayat nak sedapkan hati aja tu.
Guruh berdentum membuatkan aku mengurut dada. Baguslah, sekarang hujan akan turun pula. Ini yang buat aku malas nak pergi kerja. Mahu atau tidak, aku gagahkan juga kaki ini melangkah ke perhentian bas berdekatan. Yalah, kalau ponteng kerja, nak bagi alasan apa? Sempat emak menghulurkan payung padaku sebelum melangkah pergi.
Aku jarang menaiki bas ke tempat kerja. Tidak gemar bersesak-sesak dengan gerombolan manusia yang punya pelbagai tujuan untuk keluar pagi itu. Selebihnya aku tidak suka berdiri. Pagi-pagi begini, bas seperti tin sardin lagaknya. Padat. Mustahil ada tempat duduk kosong yang dikhaskan untuk gadis lemah lagi tidak berdaya sepertiku ini. Dan seperti yang aku jangka, perhentian bas sudah dipenuhi dengan insan-insan yang pelbagai ragam dan rupa.
Baju kurung Kedah yang dijahit emak dua bulan lepas kupandang sekilas. Bimbang jika ada yang tidak kena dengan baju tersebut. Mana tahu ada bahagian yang terkoyak. Di khalayak ramai ini, penampilan harus dijaga kerana ada sahaja mata yang mengintai-intai. Setelah memastikan semuanya kelihatan rapi, aku mengambil tempat di hujung kiri perhentian bas tersebut. Tempat duduk yang disediakan sudah penuh. Bukannya golongan tua, tapi muda belia. Lebih tepat lagi, jejaka yang kudratnya berganda-ganda dari golongan hawa. Tak gentleman langsung. Tak nampak ke gadis manis yang sedang berdiri dengan sekaki payung di tangan kanan ini? Aha, manis ke?
Gerimis mula mencurah ke lantai bumi. Semakin lama semakin lebat. Pantas aku membuka payung rona biru yang ayah dapat hasil dari menebus mata ganjaran mengisi minyak kereta. Tidak semena-mena, ada seorang lelaki tua menghampiriku sehingga bahu kami berlanggar. Eh, eh? Buang tabiat apa pakcik ni? Tiba-tiba aja terpacul dekat sebelahku. Punyalah banyak tempat yang ada, dekat aku juga dia nak menempel.
Lelaki tua yang memakai kemeja kotak-kotak itu menguntum senyum. Senyum yang berbaur miang padaku. Senyum gatal! Hello, pakcik ni memang sah bangun tersalah bantal pagi tadi. Hujan yang semakin lebat menyebabkanku terpaksa berhimpit ke bawah bumbung perhentian bas tersebut. Payung kututup sementara kain baju kurung kuangkat tinggi sedikit. Takut basah pula.
Tiba-tiba terasa bahuku dipegang. Eh, tangan siapa pula yang sesedap rasa sentuh bahu anak dara orang ni? Segera aku menoleh dan wajah lelaki tua yang sedang tersengih itu menyapa pandanganku. Mata kami saling bertentangan. Keningnya diangkat ala-ala The Rock. Aduhai, apalah malang nasibku hari ini.
Aku berpura-pura menunduk seperti mahu mengambil sesuatu. Tangannya yang memegang bahuku terlepas namun singgah di pinggang pula. Aisey, ini sudah lebih. Dengan hati yang sedikit berang, aku mencucuk hujung payung tepat pada kasutnya menyebabkan lelaki tua itu menjerit lalu menarik perhatian mereka yang lain.
“Ah, maaf tuk, saya tak sengaja terlepas payung ni,” ujarku dengan wajah yang dimaniskan.
Lelaki tua tadi menjengilkan mata. Ala, ingat aku takut? Dah tua-tua pun tak sedar diri lagi. Ada hati nak menggatal dengan aku. Agaknya kalau isteri dekat rumah tu tahu.mahunya tak mengaku laki.
Aku mengambil keputusan untuk keluar dari celah-celah orang ramai yang berada di bawah bumbung perhentian bas tersebut. Biarlah kainku basah terkena tempias hujan. Itu lebih baik dari menerima gangguan seksual dari lelaki tua tak sedari diri tu. Kalau kacak tak apa juga. Ish, ish, ke situ pula aku ni.
Aku merenung jam di tangan. Sudah hampir ke angka lapan. Manalah bas tak sampai-sampai lagi. Hah, ini juga salah satu sebab kenapa aku tidak suka menaiki bas. Waktu datangnya tidak menentu. Kadang-kadang cepat, kadang-kadang lambat.
Anak mataku meliar memerhati kenderaan yang lalu-lintas. Rasanya lebih baik jika aku menaiki teksi. Walaupun tambangnya mencekik darah, sekali-sekala, apa salahnya. Lagipun, lebih selesa dari berhimpit-himpit dalam bas nanti. Namun sejak  dari aku sampai sehingga kini, bukan aja teksi, tayar teksi pun aku tak nampak. Hai, mogok apa pemandu teksi hari ini?
Sebuah kereta Myvi warna kelabu kelihatan mengundur lalu berhenti betul-betul di hadapanku. Tatkala daun tingkap diturunkan, aku terpana sebentar. Wajah Fareez yang tidak pernah lekang dengan senyuman itu menggamitku untuk mendekatinya.
“Yusfira, kan?” tegurnya.
Aku mengangguk. Dalam hati bukan main gembira kerana dia masih mengingati namaku. Ala, baharu dua hari lepas jumpa, takkan dah lupa.
“Marilah, saya tumpangkan,” pelawa Fareez.
Pucuk dicita ulam mendatang. Tapi sebagai seorang gadis ala-ala perempuan Melayu terakhir, perlulah aku jual mahal sedikit. Biar kelihatan seperti tahu menjaga kehormatan diri.
“Tak apalah Encik Fareez, sekejap lagi bas datang tu,” balasku. Ececeh, pandai tak aku berlakon? Ini semua aku belajar dari dalam drama di televisyen tau.
“La, dah terlanjur kita satu pejabat, naiklah,” ajaknya lagi.
“Tak apalah encik, kasut saya dah berlumpur ni. Nanti kotor pula kereta encik,” sengaja aku bermain tarik-tali lagi.
Fareez tergelak kecil sambil menggeleng. Hai, lawak ke kata-kataku tadi?
“Banyak betul alasan awak ni ya. Okey, kalau awak tak mahu naik tak apalah. Saya pun tak suka memaksa. Jumpa di pejabat nanti,” ujar Fareez lalu menaikkan tingkap keretanya semula.
Hah? Biar betul! Ek eleh, tak romantik betul mamat ni. Ish, yang aku pun jual mahal sangat tu kenapa? Padan muka!
Tingkap yang diturunkan semula menarik perhatianku. Fareez memandang dengan kening yang diangkat. Alahai, comel betul. Ini yang buat hati aku terperasan ni.
“Dahlah, cepat naik. Kalau tak, saya keluar, tarik awak masuk, nak?” kata Fareez semacam ugutan.
Pantas aku menutup payung lalu membuka pintu keretanya. Tingkap kembali ditutup. Aku sempat menjeling lelaki tua gatal yang masih memegang kakinya itu. Dan, kereta Myvi yang dipandu Fareez mula meluncur membelah jalan raya dengan hatiku yang mula diterpa pelbagai rasa. Gembira dan gundah.

*  *  *  *  *

“BARU kerja ke dekat HSBC?” tanya Fareez, memulakan perbualan.
Aku mengangguk sebagai jawapan. Setiap kali berhampiran dengan lelaki ini, lidahku akan kelu. Hilang kepetahanku berkata-kata.
“Tinggal dekat kawasan perumahan tadi ke?”
Aku mengangguk lagi.
“Awak ni pendiam ya?”
Aku mengangguk.
“Awak suka saya ya,”
Aku mengangguk. Eh? Eh? Eh? Segera aku menoleh ke arahnya. Meletus tawa Fareez lantas membuatkan wajahku merona merah. Terasa berbahang. Ya Allah, kalaulah aku boleh lenyap dari pandangan matanya sekarang ini!
“Encik Fareez...” tegurku, pura-pura marah.
“Tak perlulah panggil saya macam tu. Saya bukannya ketua awak,” balas Fareez dengan tawa yang masih berbaki.
Aku memuncungkan bibir, sedikit geram dengan usikannya tadi. Habis terbongkar perasaan hatiku padanya. Ini tidak adil!
“Yusfira...” ucap Fareez, lembut seraya menyebabkan tubuhku seram-sejuk mendengarnya.
“Berapa umur awak ya?” sambung Fareez.
Ewah, soalan punyalah straight to the point. Tak tahu ke umur adalah salah satu isu sensitif pada golongan perempuan?
“Cubalah teka,”
“Em, kalau tengok dari ketinggian, macam 19 tahun. Tapi kalau tengok dari muka, macam 30-an,” jawab Fareez sambil matanya tekun memandang ke hadapan.
Hah? 30-an? Hello, punyalah aku pakai bedak sejuk setiap malam untuk awet muda, dia kata umur aku ni 30-an? Kurang asam gelugor betul!
“Oh, kalau macam tu, mesti awak ni dalam 50-an, kan?” sindirku.
Fareez ketawa lagi. Entah apa yang melucukan, tidak aku ketahui. Namun, ketawanya itu seperti irama merdu yang menampar pendengaranku. Terasa senang hati melihat senyuman dan tawanya.
“Awak ni memang kelakar ya,”
“Mana ada! Orang kata saya ni garang,” dalihku.
Really? Tak dapat saya bayangkan macam mana awak bila marah,”
“Nak cuba ke?”
Thanks but no thanks. Saya takut perut saya sakit sebab gelak nanti,” jawabnya.
Wah, wah, bukan main lagi dia memerli aku ya. Perbualan kami nampak merepek bukan? Tapi padaku, ia cukup bermakna. Berbicara dengan orang yang kita sayangi, perasaannya berbeza sekali. Namun jauh di sudut hati, aku tahu, perbualan ini tidak mendatangkan sebarang makna pada Fareez. Hatinya sudah dimiliki. Dan aku, tidak mungkin dapat menyentuh pintu hatinya. Walau apa pun, untuk waktu ini, izinkan aku berada di sisinya, biarpun untuk seketika cuma.
::bersambung::

3 ulasan :

datul berkata...

sweet betul fareez tu. minta2 dia jatuh hati kat yus jugak..

NukSe berkata...

alahai.. kalo dh jdh, xkemana.. hehe

Rizai Reeani berkata...

datul: Hah, itu kita kena tunggu hingga tamat cerita ini kalau nak tahu sama ada cinta Fareez untuk Yus atau tidak. ;)

NukSe: Betul tu. :)

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen...