Sepatah Dua Kata

Ahad, Februari 06, 2011

Kembali Senyum - Ceritera 10



Gempar

LANGIT malam itu tampak sangat indah pada pandangan Faziera. Bintang-bintang berkerdip terang ditemani rembulan yang setia menyinari malam. Anak rambutnya sesekali menari diterpa lembut sang bayu. Nyaman dan damai. Mengimbas semula perbincangannya dengan Hazwan siang tadi, membuatkan hati Faziera terasa lapang. Ada rasa gembira yang bertamu di hati tatkala lelaki itu berjanji tidak akan menganggunya lagi.
Faziera yakin, perasaan cintanya pada Hazwan sudah lama terkubur jauh di lubuk hati. Lagipun, dia sendiri tidak rasakan itu cinta. Mungkin sekadar suka. Yalah, kata orang, cinta monyet. Benarlah, dia menyukai Hazwan, bukan kerana cinta itu lahirnya dari hati. Sedikit-sebanyak dia terpesona dengan kekacakkan wajah lelaki itu sekaligus memaksanya meluahkan rasa yang terpendam. Dan akibatnya, dia mendapat malu.
Terus-terang Faziera tidak percaya kehadiran Hazwan semula adalah untuk memikat hatinya. Hazwan mahu menerima cintanya? Ah, merepek! Apa yang ada pada gadis sepertinya sehingga menyebabkan lelaki itu tergila-gila? Pasti Hazwan punya agenda tersendiri. Jangan-jangan, lelaki itu mahu memalukan dirinya sekali lagi? Tapi untuk apa?
Ish, malaslah mahu fikir. Bukankah sekarang dia sudah bebas dari lelaki itu. Yang penting kini adalah menumpukan perhatian pada hatinya sendiri. Hati yang mula ditumbuhi putik-putik sayang. Masih belum mahu mekar menjadi bebunga cinta yang harum  mewangi.
Walau bagaimanapun Faziera tidak mahu pisang berbuah dua kali. Dia tidak akan mengulangi kesilapannya dahulu. Dia bukan lagi gadis polos yang mengikut kata hati membuta tuli. Dia harus yakin bahawa perasaan dalam hatinya itu adalah cinta, bukannya suka.
Cinta dan suka itu berbeza. Dia pernah terbaca di majalah tentang perihal cinta dan suka. Setakat ini, dia memang sukakan Muazhim. Tapi untuk mengatakan cinta, dia belum pasti. Tambahan pula lelaki itu tidak menunjukkan apa-apa petanda yang hatinya juga menyimpan rasa yang sama.
Ah, memikirkan soal hati dan perasaan ini memang memeningkan. Biarlah masa yang menentukan. Jika ternyata jodohnya ada dengan Muazhim, pastinya tidak akan ke mana. Jodoh? Sejauh itu sudah dia berfikir. Entah-entah lelaki itu tidak ada sedikit pun perasaan pada dirinya.
‘Sudahlah, tak nak fikir lagi. Masuk tidur lagi bagus!’ getus hati Faziera lantas menutup jendela dan berlalu ke katilnya.

*  *  *  *  *

MENJEJAKKAN kaki ke sekolah, Faziera rasakan ada sesuatu yang tidak kena hari itu. Rata-rata pelajar sedang berkumpul sambil berbisik-bisik. Sepertinya ada perkara besar telah berlaku. Usai mengunci basikalnya, Faziera bergerak ke kantin seperti selalu kerana Shafikah akan menunggunya di situ. Dalam perjalanan, matanya meliar memerhati keadaan sekeliling. Terasa diri seperti diperhati. Ada yang tidak kenakah pada pakaiannya hari ini? Rasanya sudah digosok dengan rapi. Kainnya koyak? Segera Faziera membelek kain rona biru yang menjadi seragam sekolahnya itu. Tidak pula ada sebarang cela.
Faziera terus melangkah sehingga sekumpulan pelajar yang sedang berkerumun di hadapan papan kenyataan utama sekolah menarik perhatiannya. Langkah kaki dipercepatkan dengan debar yang mula hinggap di dalam hati. Mahu segera tahu apa yang mengubah suasana sekolahnya menjadi dingin hari itu.
“Ira!” jerit Shafika sejurus ternampak kelibat rakan baiknya.
Faziera berlari anak apabila terdengar namanya dilaung. Semakin hampir ke arah papan kenyataan, semakin kuat debaran yang menghuni hati. Jantungnya seakan melantun-lantun.
“Ika! Kenapa semua orang hari ini?” Faziera terus bertanya setelah sampai ke gerombolan pelajar yang berada di hadapan papan kenyataan tersebut.
“Kau mesti tak percaya punya!” jawab Shafika.
“Percaya apa?”
“Tengoklah sendiri!”
“Ish, macam mana aku nak tengok kalau sesak macam ni,” rungut Faziera.
“Sekejap!” ujar Shafikah lantas menepuk kedua belah tangan membuatkan setiap pasang mata yang berada di situ kini beralih padanya.
“Minta perhatian sebentar! Sila beri laluan pada watak utama yang baru sampai ni,” tinggi nada suara Shafikah.
‘Watak utama?’ Sudah, hatinya mula tidak enak. Mata-mata yang memandang Shafikah tadi sudah tertumpu pada Faziera. Debar dalam hati sudah semakin menggila.
“Silakan,” sambung Shafikah.
Faziera melangkah perlahan pada papan kenyataan sejurus dibuka laluan oleh kelompok pelajar tadi. Ada dua keping gambar yang ditampal pada papan kenyataan itu. Anak mata Faziera membulat melihat gambar yang tertera. Seluruh tubuhnya menggigil saat itu juga. Pantas dipegang tiang susur gajah yang terdapat di situ.
Benarkah? Benarkah apa yang dilihat matanya? Tidak mungkin ia sekadar halusinasi. Tidak mungkin!
“Semua pelajar sila beredar dari sini! Sekarang!” suara Cikgu Rashid, guru disiplin sekolah lantang kedengaran.
Para pelajar yang berkumpul segera beredar. Bimbang jika terus berada di situ, akan mengundang amarah dari guru yang memang terkenal dengan kegarangan dan ketegasannya itu.
Cuma Faziera seorang yang masih tidak berganjak dari kedudukannya. Sungguh kaki terasa bagai dipaku. Terlalu berat untuk digerakkan. Dia diserang rasa terkejut yang amat. Masih belum mampu menghadam apa yang baharu saja dilihatnya.
“Kamu! Tak dengar apa saya cakap tadi?” jerkah Cikgu Rashid.
‘Kaki, tolonglah bergerak!’ getus hati Faziera.
“Hei, pekak ke?”
“Maaf cikgu, kawan saya ni terkejut,”
Suara Shafikah singgah di telinga Faziera. Ingatkan gadis itu sudah berlalu. Rupanya masih ada di situ.
“Terkejut kenapa?”
“Tu...” jawab Shafikah sambil mengunjukkan jari telunjuk pada gambar yang tertera pada papan kenyataan itu.
Cikgu Rashid merentap dua keping gambar yang melekat di situ. Dia sudah sedia maklum akan perihal gambar tersebut. Gambar yang menggemparkan seluruh sekolah. Memang itu tujuannya datang ke sini setelah diarahkan oleh Puan Pengetua.
Pandangan mata Cikgu Rashid bersilih ganti. Sekejap pada gambar di tangan, sekejap pada wajah Faziera. Jelas riak terkejut terpamer di mukanya.
“Kamu, bawa kawan kamu ni ikut saya ke pejabat pengetua! Sekarang!” arah Cikgu Rashid lalu berpaling meninggalkan Faziera dan Shafikah.
“Ira... Mari...” pujuk Shafikah, lembut.
“Ika, aku tak boleh berjalan. Sungguh!”
“Tak apa, perlahan-lahan. Tarik nafas dalam-dalam,”
Faziera mengikut nasihat Shafikah. Ditarik nafasnya dalam-dalam lalu dihembus panjang. Shafikah memegang bahu rakannya itu lalu perlahan-lahan membawa Faziera ke pejabat pengetua. Dalam perjalanan, mereka terserempak dengan Hazwan.
“Ira okey?”
Sebaik sahaja mendengar suara lelaki itu, mood Faziera terus berubah. Ditolaknya tangan Shafikah yang memaut bahunya membuatkan gadis itu terdorong sedikit ke belakang.
“Ini semua angkara kau, kan?” Faziera menjerit, penuh amarah.
Shafikah dan Hazwan terperanjat dengan suara Faziera yang meninggi itu. Matanya mencerlung tajam pada Hazwan. Seperti mahu ditelannya lelaki itu hidup-hidup.
“Apa ni Faz?”
“Kau jangan nak berlakon depan aku! Oh, sebab aku dah tolak kau semalam, kau nak balas dendam ya! Kau ni memang lelaki tak guna!” bentak Faziera.
“Ira, sabar, bawa bertenang... Jom, cepat... Cikgu Rashida dah tunggu tu,” celah Shafikah, cuba mengendurkan radang Faziera yang tiba-tiba itu.
Entah dari mana datangnya kekuatan dalam diri Faziera, dia bergegas mendaki anak tangga menuju ke pejabat pengetua yang terletak di tingkat satu bangunan yang dikhususkan untuk pengurusan sekolah itu.
Shafikah terpinga-pinga sebentar. Wajah sayu Hazwan dipandang sekilas sebelum turut sama mendaki tangga. Hazwan pula terasa bagai hatinya dipijak-pijak. Sampai hati Faziera menuduhnya begitu. Sampai hati dia...
::bersambung::

3 ulasan :

lonely gurlz berkata...

gambar apa tu? gambar apa? ~curious gile~

shura berkata...

dush, memang gempar tebabom! cepat sambung kay. nak tau gambar pe tu.

Rizai Reeani berkata...

lonely gurlz dan shura:

Kalau nak tahu, kena sabar menunggu sambungannya Ahad ini. :)