Sepatah Dua Kata

Ahad, Februari 13, 2011

Kembali Senyum - Ceritera 11



Terbongkar

MELANGKAH masuk ke dalam bilik pengetua, mata Faziera bertentangan dengan mata lelaki yang membuatkan hatinya sentiasa merindu akan raut wajah itu. Muazhim menghadiah senyum kecil pada Faziera. Terasa jiwa kembali tenang selepas diamuk amarah sebentar tadi. Faziera duduk di sofa tidak jauh dari Muazhim. Di sebelahnya, Shafikah hanya memandang dengan sengihan.
Pintu bilik yang ditolak mengejutkan Faziera. Wajah tenang puan pengetua, Hajah Rokiah menyapa pandangan. Salam yang diberi dijawab perlahan. Di belakang puan pengetua, Cikgu Rashid mengekori.
“Saya terkejut dengan kekecohan yang berlaku pagi ini,” ujar Hajah Rokiah, membuka perbincangan.
Faziera tekun mendengar. Dia tidak tahu hendak berkata apa. Sepintas lalu, dua keping gambar yang dilekatkan pada papan kenyataan berlegar di minda. Segera dipadamkan kerana hatinya kembali pedih.
“Faziera, nama awak, kan?” tanya Hajah Rokiah sambil memandang wajah gadis berambut lurus paras bahu itu.
Faziera mengangguk pantas. Hajah Rokiah mengalihkan pandangan pada Muazhim pula.
“Gambar ini, gambar kamu berdua?”
“Ya, cikgu,” jawab Muazhim, yakin sementara Faziera hanya menikus. Biarlah lelaki itu saja yang bersuara kerana lidahnya jadi kelu tiba-tiba.
“Betul apa yang ditulis pada gambar ni?” Hajah Rokiah bertanya lagi.
Kali ini Muazhim menghalakan matanya pada wajah Faziera yang tampak sugul. Sebenarnya dia juga terkejut apabila melihat gambar-gambar tersebut. Sebelum sempat dia mencabutnya, dua orang pengawas sekolah telah memintanya hadir ke bilik pengetua.
Gambar pertama adalah gambarnya sedang makan tengah hari bersama-sama seorang perempuan yang dikaburkan wajahnya. Tidak dinafikan itu memang gambarnya. Mujurlah wajah perempuan itu dikaburkan. Mungkin pengirim gambar tersebut tidak mahu memalukan pemilik wajah berkenaan. Mungkin juga pengirim itu tahu hubungan yang terjalin antara dia dan perempuan yang ada di dalam gambar itu.
Gambar kedua pula adalah gambar Faziera. Muazhim tidak tahu dari mana gambar itu diambil tetapi dari gambar tersebut, jelas wajah Faziera yang kelihatan naif dan skema. Mulanya dia tidak perasan tetapi setelah ditenung, dia amat pasti itu Faziera. Dengan rambut yang bertocang dan cermin mata besar, jauh beza dengan gadis yang berada di hadapannya saat ini. Namun, jika difikirkan, mungkin gambar itu diambil dari majalah sekolah kerana gambar berukuran pasport itu menunjukkan dia sedang memakai pakaian seragam sekolah.
Yang menjadi bualan hangat seluruh sekolah adalah kata-kata yang ditulis pada gambar Faziera. Kata-kata sinis yang pastinya menghancur-lumatkan hati gadis itu. Kata-kata yang pastinya membuatkan seluruh sekolah berasa jengkel dengan Faziera.
‘Gadis perasan cantik yang jatuh cinta dengan jejaka idaman yang sudah pun berpunya’
Hanya sebaris ayat itu yang tertera tetapi sudah cukup jelas maksudnya. Muazhim tidak tahu apa yang sedang Faziera rasai saat ini. Lebih tepat lagi, dia tidak berminat hendak tahu kerana gambarnya dengan seorang perempuan itu lebih penting. Sungguh dia berasa amat lega kerana wajah perempuan itu tidak kelihatan kerana jika ia dipamerkan, pastinya sekolah akan bertambah gempar.
“Saya tak mahu tahu hubungan awak berdua tetapi saya minta, jangan jadikan sekolah sebagai tempat bercinta. Sekolah adalah tempat untuk menimba ilmu, bukan memadu asmara,” ujar Hajah Rokiah.
Faziera tersentak. Kata-kata yang meluncur laju dari mulut puan pengetua, walau kedengaran tidak bernada, tetapi bagai anak panah beracun yang tepat menusuk jantungnya. Salahkah jika cinta itu hadir dalam hatinya? Apatah lagi bukan dia yang pinta cinta itu tetapi ia tetap datang dengan tidak dijangka.
“Saya harap ini adalah kali terakhir perkara sebegini berlaku. Saya tidak mahu lagi dengar desas-desus hubungan kamu berdua. Jika berlaku sekali lagi, saya tak akan teragak-agak untuk melaporkan perkara ini pada ibu bapa kamu,” Hajah Rokiah memberi amaran.
Faziera menundukkan wajah. Adakah ini bermakna, cintanya dihalang? Oh, tidak! Ini tak mungkin berlaku...
“Baiklah, Faziera, awak boleh balik ke kelas. Muazhim, awak tunggu sekejap,” arah Hajah Rokiah.
Hati Faziera berdetak curiga. Mengapa Muazhim harus tinggal? Adakah puan pengetua mahu menghukum lelaki itu? Mana boleh! Mereka tidak bersalah. Seharusnya orang yang mengirimkan gambar-gambar tersebut yang perlu dihukum. Dan orang yang terlintas di fikiran Faziera waktu itu adalah Hazwan.
Ya, pasti lelaki itu mahu membalas dendam kerana dirinya telak ditolak. Hanya Hazwan yang tahu akan sejarah hidupnya dahulu. Dan pastinya Hazwan memiliki gambar yang berada di dalam majalah sekolah sewaktu dia berada dalam tingkatan lima itu. Hazwan memang sudah melampau! Tidak habis-habis mahu menyusahkan hidupnya!
Faziera yang terasa bahunya disentuh, sedikit terkejut. Shafikah mengangguk lantas mengajak rakannya itu bangun. Kedua-duanya melangkah keluar dari bilik pengetua. Ikutkan hati, Faziera mahu berada di dalam bilik tersebut untuk mendengar apa yang puan pengetua ingin bicarakan dengan Muazhim. Sungguh hatinya tidak tenang. Walaubagaimanapun, dia harus akur dengan kehendak puan pengetua yang tidak mahu dia berada di situ lagi.
Sebaik sahaja menjejakkan kaki keluar, hatinya diserang gemuruh. Ibarat seperti tersedar dari lena yang panjang, Faziera rasakan kakinya menggigil. Dia kaku di situ. Habislah! Semuanya sudah terbongkar sekarang!
“Kenapa ni Ira?” tegur Shafikah apabila langkah Faziera terhenti tiba-tiba.
“Apa aku nak buat sekarang ni Ika? Apa aku nak buat?”
“Kau ni kenapa?”
“Aku tak nak masuk kelas!”
“Hah?”
::bersambung::

3 ulasan :

NukSe berkata...

keje sape sbnrnye tu???isy laa... nape faziera xnak masuk kls??huhu xsbr nk baca next entry minggu dpn..

n!ce_w!nd berkata...

hurm.. ni mesti keje isma yg tak puas hati ngn fazira tu.. btul x??
hehe..

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Minggu ini adalah minggu penentuan tentang siapa yang akan memiliki hati Faziera nanti. :)

nica wind: Mungkin ya, dan mungkin juga tidak. Hehehe...

Terima kasih sudi membaca dan memberi komen... :)