Sepatah Dua Kata

Sabtu, Februari 19, 2011

Kembali Senyum - Ceritera 12



Kebenaran

“KENAPA kau tak nak masuk kelas pula?”
Pertanyaan Shafikah tidak mampu dijawab oleh Faziera. Ketakutan yang menyelubungi diri membuatkan Faziera tidak berdaya untuk melangkah. Tidakkah Shafikah perasan, perkara yang baru saja terjadi sebentar tadi akan mengundang masalah besar pada dirinya?
“Ira, jomlah cepat,” ajak Shafikah.
“Kau pergilah, aku nak balik,” jawab Faziera sekaligus mengundang riak hairan pada wajah kawannya itu.
“Apa yang kau merepek ni?”
“Kau tak faham Ika,” ujar Faziera bersama dengan keluhan.
“Ya, memang aku tak faham sebab kau tak terangkan supaya aku faham. Kenapa sebenarnya ni?”
Faziera mengangkat wajahnya yang menunduk, mencari mata Shafikah. Bolehkah dia mempercayai Shafikah untuk mendengar luahan hatinya? Mereka baru saja berkawan tidak sampai tiga bulan. Apatah lagi rakannya itu tidak tahu sejarah hidupnya dulu. Namun, bolehkah kepercayaan itu disukat hanya dengan tempoh perkenalan? Sedangkan yang sudah lama berhubungan pun masih ada curiga, inikan pula dia dan Shafikah yang baharu saja dalam fasa kenal-mengenal.
Walau apapun, perkara yang terjadi ini harus dihadapi. Tiada guna dia mengelak kerana lambat-laun, dia tetap tidak boleh lari. Masalah itu sesuatu yang perlu diatasi bukannya dibiar lari kerana kelak, ia akan kembali menghantui diri.
Faziera menarik nafas panjang, cuba mengumpul kekuatan. Hatinya harus disiap-sedia agar tidak lemah dengan dugaan yang bakal ditempuhi.
“Kita ke kelas. Kau akan faham nanti,” ujar Faziera lantas mula melangkah meninggalkan Shafikah dengan seribu satu pertanyaan.
Semakin hampir dengan bangunan di mana kelasnya ditempatkan, semakin jantung Faziera berdetak laju. Jauh di sudut hati dia berdoa agar apa yang ditakutinya tidak akan berlaku. Jika ia berlaku sekalipun, moga Tuhan memberi dia ketabahan yang tinggi.
Dari jauh sudah terdengar kelasnya yang riuh. Pastinya tiada guru yang masuk mengajar. Faziera perasan, bukan kelasnya sahaja malah kelas-kelas yang lain juga. Agaknya semua guru sedang mengadakan mesyuarat tergempar kerana peristiwa pagi tadi. Tidak disangka, peristiwa itu begitu mendapat perhatian seluruh warga sekolah. Mungkin ini kali pertama perkara sebegitu berlaku.
Dan apabila Faziera berdiri di muka pintu, terus suasana berubah sunyi dan sepi. Sekelip mata. Dengan kepala yang ditundukkan, Faziera berjalan menuju ke tempat duduknya. Shafikah mengekori dari belakang tanpa kata.
“Oh, my... You guys mesti tak percaya dengan cerita yang I dengar ni,” Atiqah, gadis berambut lurus melepasi pinggang yang duduk tidak jauh dari Faziera bersuara, memecah keheningan.
Faziera masih menunduk. Atiqah, gadis itu jarang menegurnya. Selalu saja dihadiahkan jelingan tajam atau wajah yang mencemik setiap kali Faziera menyapa. Dan gadis itu merupakan rakan baik Isma, ratu perasan cantik di sekolah ini.
“Cerita apa?” terdengar ada suara yang menyampuk.
“Macam ni... Dulu, ada seorang budak perempuan yang menjengkelkan dekat satu sekolah tu. Orang kata kera sumbang. Langsung tak berkawan dengan orang sampai orang takut nak dekat,”
Bicara Atiqah membuatkan Faziera tersentak. Dia terasa mahu bangun dan menutup mulut Atiqah tetapi entah kenapa kedua belah kakinya tidak mampu bergerak. Faziera tahu dia sedang menjadi bahan bualan kala ini. Sesuatu yang dia takuti akan berlaku juga nanti.
“Lepas tu apa jadi?” tanya seorang pelajar lelaki.
Then, satu hari, budak perempuan tu bagi surat cinta dekat one boy yang ramai peminat. Entah kenapa budak perempuan tu boleh terfikir untuk jatuh cinta dekat boy yang jadi pujaan seluruh sekolah. Apalagi, confirm kena reject punya,” sambung Atiqah.
Faziera terasa tubuhnya mengigil. Sah, memang kisah dia yang sedang diceritakan oleh Atiqah. Peliknya, dari mana gadis itu tahu akan sejarah silamnya? Jangan-jangan... Hazwan?
“Lepas tu, lepas tu?” pelajar lelaki tadi kelihatan begitu berminat mahu tahu kesinambungan cerita Atiqah.
“Lepas dah malu tu, budak perempuan tu tukar sekolah. Dia berubah supaya tak dikenali oleh orang lain. Dia berpura-pura jadi ceria dan mesra padahal dalam hati, tak ikhlas!” tinggi nada suara Atiqah seraya memandang tajam wajah Faziera.
“Cukup tu Atiqah!”
Faziera tersentak. Dia kenal suara itu. Cukup kenal. Teringin mengangkat wajah tapi terasa seperti ada batu yang sedang menghempap kepalanya.
“Oho, kenapa Hazwan? Cerita aku ni tak menarik ke?”
“Aku cakap cukup tu,” balas Hazwan.
Kali ini setiap pasang mata yang berada di dalam kelas itu tertumpu pada Atiqah dan Hazwan. Masing-masing tertanya-tanya apa yang sedang berlaku sekarang ini.
Guys, kalau you all nak tahu, budak perempuan tu adalah...”
Stop it Atiqah!” bentak Hazwan.
You shut up! Aku nak semua orang tahu perkara sebenar! Aku tak mahu perempuan hipokrit ni menipu lagi!” jerit Atiqah sambil mengunjukkan jari telunjuknya tepat ke arah Faziera.
“Atiqah!”
Faziera terpana. Dapat dirasakan semua orang sedang memandangnya dengan pandangan yang mengelirukan. Habislah, segalanya sudah terbongkar. Tanpa dapat ditahan lagi, air matanya laju mengalir.
“Sekarang semua orang dah tahu siapa perempuan ni yang sebenar. Selama ni dia menipu kita semua dengan berpura-pura mesra padahal dulu dia kera sumbang. Tak ada kawan! Kau orang boleh terima ke manusia hipokrit macam ni? Dia berkawan tak ikhlas!”  tokok Atiqah.
“Kenapa bising-bising ni?” suara Cikgu Faridatul menarik perhatian semua pelajar.
‘Ya, Tuhan... Syukurlah kau menghantar seseorang untuk menyelamatkan keadaan.,’ detik hati Faziera lalu segera mengangkat wajahnya namun sekali lagi dia terpana.
‘Tidak! Ini tak mungkin! Ba... ba... baju tu...’
Faziera tidak percaya dengan apa yang dilihat. Mungkin kerana pandangannya kabur dengan air mata. Pantas diseka air mata yang mengalir dengan jemarinya. Nampaknya dia tidak silap. dia kenal baju kurung yang tersarung di tubuh Cikgu Faridatul. Apatah lagi tudung yang dikenakan juga pernah dilihat.
‘Tidak, ini tak mungkin! Muazhim penipu!’ jerit Faziera di dalam hati lantas bangun lalu berlari keluar membuatkan seisi kelas kecoh.
Hazwan turut bangun lalu melangkah keluar. Dia tidak boleh biarkan Faziera sendirian saat ini. Gadis itu sudah terlalu banyak menderita...
::bersambung::

5 ulasan :

NukSe berkata...

sedihnya... sobsob.. waa rupa2 nya baju tu utk cikgu faridatul... muazhim minat kat cikgu dia ker??isy xsabar nk th.. huhu

firda berkata...

dah agak mesti si muaz tu ada ffair dengan cikgu tu. tp nape dia layan ira baik? sambung cepat ek..

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Perasaan hati itu sentiasa buat kita terkejut, kan? :)

Firda: Sesuatu yang berlaku itu ada sebab dan akibatnya.

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. :)

nice berkata...

cikgu faridatul tu kakak dia la kot.. apa class jatuh cinta ngn cikgu sendiri.. adoiii...

Rizai Reeani berkata...

nice: Hehehe... Cinta itu tidak mengenal siapa pemiliknya... ;)