Sepatah Dua Kata

Sabtu, Februari 26, 2011

Kembali Senyum - Ceritera 13



Kejutan

LANGKAH kakinya laju menuju ke padang sekolah. Hanya destinasi itu saja yang terlintas di fikirannya. Dia mahu menjerit sekuat hati. Kenapa dia diuji sebegini berat? Seringkali cinta yang hadir dalam hidupnya membuahkan derita. Apakah dia tidak layak disayangi dan menyayangi?
Faziera terjelepok di atas rumput yang menghijau. Air matanya laju mengalir tanpa henti. Hatinya sakit. Teramat sakit. Jiwanya merintih pedih. Dia jatuh cinta pada yang tidak sudi. Kini semuanya sudah jelas.
Rupanya Muazhim dan Cikgu Faridatul memang ada hubungan. Gambar perempuan yang dikaburkan itu adalah wajah Cikgu Faridatul. Oleh sebab itu Muazhim diminta untuk tinggal tadi. Pastilah hubungannya dengan Cikgu Faridatul sudah diketahui pihak sekolah.
Tidak, ini semua pasti mimpi! Muazhim tidak boleh membuat dirinya begini. Mengapa lelaki itu menyemai cinta dalam hati dan mengapa lelaki itu juga yang menghadirkan derita dalam sanubari?
Jadi, benarlah apa yang dilihat sewaktu di tangga dulu. Muazhim memberi hadiah pada Cikgu Faridatul. Dan baju kurung yang dipakai oleh cikgu tadi adalah baju yang dibeli semasa keluar berdua dengan Muazhim. Sampai hati lelaki itu! Sampai hati Muazhim!
“Faz...”
Faziera terkejut dengan teguran Hazwan. Dia memalingkan wajah, memandang Hazwan dengan penuh kebencian.
“Puas hati kau sekarang? Hah, puas? Kau suka tengok aku menderita, kan? Puas hati kau?” jerkah Faziera.
“Faz, bertenang...”
“Tenang? Huh, kau memang sengaja nak susahkan hidup aku! Dari dulu lagi kau suka memalukan aku! Apa yang aku buat salah kat kau hah? Kenapa kau selalu sakitkan hati aku?”
“Faz...”
“Pergi!”
“Faz...”
“Pergi! Aku tak nak tengok muka kau! Pergi!!!”
Hazwan melepaskan keluhan berat. Perlahan-lahan dia meninggalkan gadis yang dicintai setulus hati itu. Biarlah Faziera bertenang dahulu. Dia tidak mahu kehadirannya membuatkan Faziera tambah sakit. Memang semua yang berlaku ini berpunca darinya. Jika dia tidak menolak cinta gadis itu dahulu, Faziera tidak akan jadi begini. Maafkan Wan, Faz. Maafkan Wan...

*  *  *  *  *

“BAGUS kerja kau Tiqa! Bagus!” ujar Isma dengan senyuman yang melebar.
“Tengok oranglah beb... Lagipun aku memang dah lama makan hati dengan perempuan tu. Sejak dia masuk kelas aku, semua orang bagi perhatian kat dia. Menyampah!” rungut Atiqah dengan bibir yang dicebikkan.
“Oh ya, dari mana kau tahu pasal perempuan hipokrit tu?” Atiqah menyambung kata.
“Minggu lepas aku pergi rumah cousin aku. Sajalah belek majalah sekolah dia dan tak sangka aku terjumpa gambar perempuan tu. Apalagi, aku koreklah rahsia perempuan tu dari cousin aku. Memang tak sangka dia dulu budak skema. Kera sumbang pula tu,” jelas Isma.
Perpustakaan waktu rehat itu agak lengang dengan pengunjung. Sengaja Isma mengajak Atiqah ke sini supaya lebih selesa bercerita. Dia mahu tahu apa yang berlaku pada Faziera. Memang semua ini adalah rancangannya untuk membalas dendam pada gadis itu. Siapa sangka dendamnya berjaya dilunaskan sebegini mudah.
Dia tidak kisah akan perihal Muazhim lagi. Sejak terserempak Muazhim dengan Cikgu Faridatul berdua di sebuah restoran beberapa hari lepas, hatinya sudah tawar. Mustahil dia dapat bersaing dengan Cikgu Faridatul. Memang dia terkejut apabila mengetahui hubungan keduanya tetapi bila teringat dia dimalukan dulu di hadapan Faziera, timbul rancangan untuk mengenakan gadis itu.
“Aku dah dengar apa yang berlaku dalam kelas tadi,” sapaan dari seseorang mengejutkan Isma dan Atiqah.
“Kau rupanya...” ujar Isma.
“Aku tak sangka kau akan gunakan gambar tu,”
Isma tersengih. Pelajar lelaki yang baru tiba ini adalah dalang sebenar rancangannya. Tidak disangka, diam-diam berubi, lelaki ini punya hati yang sangat kejam.
“Hanya gambar tu yang aku ada. Lagipun, kau apa cerita? Aku dengar pengetua tanya kau tentang gambar tu,”
“Itu tak menjadi masalah. Aku kata itu kakak aku. Cuma aku hairan macam mana pengetua boleh syak yang aku keluar dengan cikgu sekolah ni,”
“Mungkin selain aku, ada orang lain yang nampak kau keluar dengan Cikgu Faridatul,” ujar Isma.
“Ya, mungkin,”
“Jadi Faziera macam mana?”
“Anggaplah masalah tentang dia dah selesai,” jawab Muazhim dengan wajah yang penuh sinis!
::bersambung::

4 ulasan :

NukSe berkata...

eh eh.. muazhim ni sbnrnya baik ke jht??isy konfius.. cian faziera..

n!ce_w!nd berkata...

heh! kan aku dah kata confum si isma punya plan.. itu la org kata.. manusia ni sama je.. cuma yg bezanya hati.. heh!!

firda berkata...

ni apa kes skrang ni? si muaz tetiba jadi jahat pula. adoi, pening2..

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Kalau nak tahu, kenai kuti cerita ni hingga akhir. Hehehe... ;)

nice_wind: Ya, seperti kata pepatah, rambut sama hitam tapi hati lain-lain.

firda: Tak mengapa, segala kekusutan akan berakhir juga nanti.

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. :)