Sepatah Dua Kata

Khamis, Mac 03, 2011

Idaman Kalbu: Cerita II - Bab 07



KEBETULAN aku ditempatkan dalam kumpulan yang sama dengan Fareez. Fiza pula tidak habis-habis tersenyum-simpul. Faham sangat aku dengan maksud senyumannya itu. Kami dipecahkan dalam kumpulan seramai enam orang dan ditempatkan di beberapa bahagian di sekitar pejabat. Ada yang mengutip sampah-sarap kecil, ada yang mencangkul dan ada juga yang mengecat tayar dan batu-bata di taman riadah. Buat kerja beramai-ramai ini memang menyeronokkan.
Kumpulanku ditugaskan untuk menanam pokok perhiasan di sepanjang lorong pintu masuk ke bangunan pejabat. Tiga lelaki dan tiga perempuan. Tugas mencangkul sudah tentulah diserahkan pada Fareez dan rakannya, Imran serta Ezra. Sementara aku, Fiza dan Nirmala, gadis India berambut kerinting dari Jabatan Sumber Manusia membuka beg hitam yang telah ditanam pokok-pokok perhiasan yang berdaun kecil tetapi lebat itu.
Sempat mataku melirik pada Fareez, melihat dia mencangkul. Tidak menyangka, dia tahu menggunakan cangkul. Yalah, kata orang, kalau sudah kerja di dalam pejabat, hanya tahu memegang pen saja. Kerja mencangkul ini kerja orang kampung, jarang orang bandar mampu lakukan.
Melihat tangannya yang kekar dan peluh yang merenik di dahi, sungguh dia kelihatan amat kacak. Aduhai hati, kawal perasaan tu. Fareez milik orang. Tapi, bukankah dia sudah putus dengan kekasihnya? Ah, itu cuma khabar angin, belum tentu kesahihannya lagi.
“Ehem, ehem,” Fiza terbatuk kecil sekaligus membuatkan aku menoleh ke arahnya.
“Kalau dah suka tu, kenapa tak beritahu saja?” bisik Fiza perlahan, mungkin tidak mahu perbualan kami didengari oleh tiga orang lelaki itu.
“Apa yang awak merepek ni?” balasku, pura-pura marah.
“Apa yang awak merepek ni? Eleh, kalau dah tengok orang tu macam nak makan, memang sah dah jatuh cinta,” Fiza memerli.
Aku menepuk bahu Fiza, geram dengan kata-katanya. Nirmala pula hanya tersenyum. Pastinya tidak mahu masuk-campur. Aku menjengilkan mata, meminta agar Fiza tidak lagi membuka mulut, mengusikku akan perkara tersebut. Namun riak wajahku sekadar mengundang tawa gadis bertudung putih itu.
Hampir setengah jam berlalu dan kami berhenti seketika untuk melepaskan penat. Batasnya sudah siap, Cuma tinggal hendak menanam saja. Nirmala dan Ezra menawarkan diri untuk mengambil minuman buat kami semua. Kecil tapak tangan, stadium Bukit Jalil kami tadahkan.
“Dah lama tak keluar peluh macam ni,” ujar Fareez, memulakan perbualan.
“Ha’ah, sesekali macam ni, seronok juga,” balas Fiza sambil tersengih ke arahku.
Budak ni memang nak kena. Suka benar mengusik aku. Mataku dialihkan pada Imran, lelaki yang memakai t-shirt rona biru laut yang tubuhnya agak rendah sedikit dari Fareez itu. Seorang lelaki yang pendiam padaku. Jarang aku mendengar dia bersuara. Hah, yang ini memang gandingan sesuai buat Fiza, gadis bermulut becok mengalahkan murah tercabut ekor tu.
Fareez mengesat peluh yang dengan tapak tangannya. Segera aku menyeluk saku seluar track-bottom lalu mengeluarkan sepeket tisu lantas menghulurkannya pada Fareez. Huluran tanganku disambut dengan senyuman.
“Terima kasih,” ucapnya.
Aku menundukkan wajah. Terasa hangat dan malu. Aku tahu Fiza sedang tersenyum-senyum. Malaslah aku nak melayan.
“Maaf, saya nak ke washroom sekejap,” ujar Imran, sekaligus menarik perhatian aku dan Fiza.
Wah, sopannya lelaki ini! Aku memandang Fiza seraya menggerakkan mataku menunjuk ke arah Imran. Fiza buat muka terpinga-pinga. Masa ni baru nak tunjuk blur. Lelaki itu bangun diikuti dengan Fareez. Pemergian mereka berdua dihantar oleh pandangan mataku dan Fiza.
“Saya tengok Imran tu sesuai dengan awak,” ujarku.
“Hello, kau dah buang tabiat apa? Tak naklah aku lelaki yang pendiam macam tu. Dalam mulut ada emas agaknya,” sindir Fiza.
“Itulah yang padan dengan awak yang mulut macam bertih jagung ni,” usikku.
Kali ini giliran Fiza pula menepuk bahuku. Beberapa minit kemudian Nirmala dan Ezra menghampiri kami dengan membawa beberapa biji cawan dan dua botol besar air mineral. Fiza pantas mencapai sebotol air dan menuangkan dalam cawan lalu meneguknya rakus. Tak senonoh betul budak ni.
Aku mengambil botol dari tangan Fiza lalu menuangkan air tersebut ke dalam cawanku dan dua lagi untuk Ezra dan Nirmala. Dari jauh kelihatan kelibat Imran namun bayang-bayang Fareez tidak kelihatan. Mungkin bertegur sapa dengan rakan-rakan lain.
Perutku tiba-tiba memulas. Aku segera memberitahu Fiza dan berlari anak ke tandas. Sampai di sana, aku terus muntah di dalam sinki. Baru teringat yang aku belum bersarapan sejak pagi tadi. Bukannya emak tidak menyediakan sarapan, cuma aku terbangun lewat pagi tadi. Perut dah masuk angin jawabnya ni.
Setelah berasa selesa, aku membasuh muka. Lega sedikit. Jam di tangan kanan kurenung. Hampir ke angka sembilan. Rasanya lebih baik aku ke kafeteria untuk membeli roti. Perut ini harus diisi dengan sesuatu sebelum waktu makan tengah hari tiba.
Melangkah keluar dari tandas, aku ternampak kelibat Fareez dan seorang gadis yang menolak pintu tangga kecemasan. Rasa curiga yang kuat menyebabkan kakiku bergerak sendiri, mengikuti jejak langkah mereka. Perlahan-lahan aku berjalan seperti seorang pengintip. Tidak semena-mena seperti kedengaran muzik latar filem James Bond pula.
“Saya sukakan awak,” suara gadis itu memecah gegendang telingaku sejurus aku bersembunyi di balik dinding, curi dengar perbualan mereka.
“Saya betul sukakan awak,” ujar gadis itu setelah melihat tiada reaksi dari Fareez.
Hatiku terasa bagai disiat-siat mendengar lafaz yang meniti di bibir gadis itu. Memang benarlah ramai yang menyimpan perasaan pada lelaki itu. Aku kagum dengan gadis yang begitu berani meluahkan isi hati. Tidak seperti diriku yang hanya memendam rasa.
“Maaf, saya tak dapat terima,” balas Fareez, membuatkan aku tersentak.
“Kenapa? Kenapa tak boleh terima saya?” soal gadis berambut panjang melewati bahu itu.
“Sebab pintu hati saya masih belum terbuka untuk bercinta. Saya mahu fokus pada kerja. Buat masa ni, saya tak mahu terlibat dengan apa-apa komitmen,” jelas Fareez.
“Atau awak masih tunggu perempuan tu?” suara gadis tersebut sudah mula berubah, sedikit sinis.
“Itu bukan urusan awak. Maaf, saya nak sambung kerja semula,” ujar Fareez lalu berpaling untuk melangkah.
Aku segera menarik pintu dan berlari keluar. Cukuplah kata-kata Fareez tadi membuatkan hatiku remuk. Ternyata memang Fareez masih menunggu kekasih hatinya. Fokus pada kerja dan tidak mahu terlibat dengan komitmen hanya alasan semata. Lelaki itu masih setia menanti cintanya kembali.
Deraian air mata yang mengalir di pipi kuseka. Tiada guna aku bersedih begini. Luka dan duka harus kuusir pergi. Lelaki itu ternyata bukan untukku. Tabahlah hati, tabahlah...
::bersambung::

4 ulasan :

NukSe berkata...

alahai.. sedih la plak.. sabar la yer.. ada jodoh, xkemana.. ntah2 tu hanya alasan fareez.. sebenarnya ht dia dh suka kat yus...hihi who knows..

Rizai Reeani berkata...

Betul tu, rahsia di hati tak siapa yang tahu... :)

Leya berkata...

best citer ni. dapat rase apa yg watak tu rase. x sabar nak tau apa kesudahannye..

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih Leya. Cerita ini akan menemui penamatnya tidak lama lagi. :)