Sepatah Dua Kata

Selasa, Mac 01, 2011

Idaman Kalbu: Ceritera II - Bab 06




“GO GREEN? Apa tu?” tanyaku sejurus melabuhkan punggung di kerusi.
Pamplet di tangan kusuakan pada Zaza yang duduk di sebelah. Dia menyambut huluran tanganku lalu membaca isi kandungan pamplet tersebut. Kemudian, pamplet itu diberi pada Wawa pula. Ish, aku tanya soalan tak nak jawab. Pamplet tu pula yang dihulur-hulur.
“Mana dapat benda tu?” Zaza bertanya tanpa menjawab soalanku tadi.
“Dekat pintu masuk tadi. Pak guard yang bagi,” jawabku.
“Oh, ini untuk sapa yang berminat untuk pergi Kempen Hijau hujung minggu ni,” ujar Wawa.
“Kempen Hijau?” tanya Zaza, tidak faham.
“Lah, minggu lepaskan Kevin ada beritahu pasal ni. Yang jabatan kena hantar dua orang wakil untuk sertai program tanam pokok dekat kawasan sekitar pejabat. Lupalah tu,”
Zaza masih mengerutkan dahi sementara aku sudah tersenyum-simpul. Ya tak ya, memang aku terlupa. Program tersebut dibuat oleh pihak syarikat untuk menyokong kempen memelihara alam sekitar yang diwar-warkan oleh kerajaan. Aktivitinya mudah saja. Tanam pokok dan buat gotong-royong membersihkan kawasan sekeliling.
Terdetik di hati untuk sertai. Yalah, program sebegini boleh dimuatkan dalam penilaian prestasi hujung tahun nanti. Nampaklah aku ni bercampur-gaul dengan orang dan aktif. Tak adalah nanti  dikata datang kerja semata-mata ‘pergi-balik’ saja. Sekurang-kurangnya terisi juga hujung minggu aku nanti.
“Dah pilih ke siapa yang nak join?” Fiza menyampuk perbualan kami.
“Belum. Lagipun, Kevin kata dia tak nak paksa. Sapa yang berminat, boleh bagi nama. Tapi, kalau dah tak ada orang nanti, dia main pilih aje,” jawab Wawa.
“Aku macam berminat tapi sapa nak teman?” ujar Fiza seraya memandang ke arah Wawa.
Wawa yang bagai faham akan maksud pandangan gadis comel itu cepat-cepat membuka mulut, “Aku ada kenduri dekat rumah makcik okey,”
Fiza mengalihkan pandangan pada Zaza pula.
“Anak aku ajak mandi laut,” dalih Zaza.
“Huh, alasan! Sejak bila pula anak kau yang baru tiga tahun tu reti berenang?” cemik Fiza.
“Ala, bukan anak dia yang berenang tapi emaknya,” usik Wawa sekaligus membuatkan tawa kami meletus.
“Apa kata kau ajak si Yus tu? Dari tadi aku tengok dia duk terkulat-kulat menunggu kau tanya,” Wawa mengusik lagi.
Aku tersengih. Ada-ada saja gadis berkebaya biru laut itu. Tapi memang aku menunggu Fiza bersuara pun.
“Saja aku tak nak tanya dia dulu. Mana tahu dia ada date hujung minggu ni,” nada suara Fiza seakan memerli.
Date? Wah, berita hot ni. Tak tahu pula Yus dah berpunya,” Zaza yang diam sejak tadi membuka mulut. Dia dah mula...
“Mana ada! Saya ni still single and available tau. Pepandai aja Fiza ni...” terangku.
“Ala, kalau datang berhantar, berjemput, mana orang tak salah-sangka,” Fiza berkata lagi dengan nada suara yang serupa.
Aku tersentak! Bila pula aku berhantar-berjemput ni? Eh, sekejap! Jangan-jangan...
“Hah, betul tak aku cakap tadi?” ujar Fiza apabila melihat mulutku terlopong sedikit.
Dapat kurasa Wawa dan Zaza memandangkan dengan penuh tanda-tanya. Ini mesti Fiza nampak aku turun dari kereta Fareez tadi.
“Apa kata kau terangkan dengan lebih lanjut Fiza. Tak payahlah nak berkias-kias ni,” Zaza sudah begitu teruja untuk mendengarnya.
Aku mengangkat kening pada Fiza tanda meminta dia diam tapi macamlah aku tak tahu Fiza tu. Berita panas macam ni, mustahil disimpannya. Kalau boleh, mahu saja seisi bangunan HSBC ini dikhabarkannya.
“Ala, kau tanya empunya badan sendiri lebih afdal. Aku ni tak tahu sangat cerita sebenar. Nanti orang kata aku buat gosip pula,” ujar Fiza lantas mengenyitkan mata padaku.
Belum sempat Zaza mahu membuka mulut, Kevin, pengurus kami bersuara, “Guys, we will have briefing in next five minutes,”
Yes! Nasib baik! Tapi lepas briefing nanti, pasti aku akan jadi tumpuan semula. Macam manalah aku boleh tak perasan si Fiza tu masa turun dari kereta Fareez tadi? Sekarang kan dah kecoh. Bertuah betul si Fiza ni.

  *  *  *  *  *

HARI Ahad tiba jua dengan membawa angin rindu pada diriku. Rindu untuk menatap wajah lelaki itu. Sejak pertemuan aku dengannya Isnin lalu, sehingga ke hari ini, aku tidak pernah terserempak dengannya. Begitu kuat keinginan hati untuk bertemu dengan Fareez sehinggalah kadang-kala aku sanggup turun tiga atau empat kali ke kafeteria dengan harapan akan bertembung dengan lelaki itu. Namun, aku hanya mampu mengeluh hampa. Entah ke mana lelaki itu menghilangkan diri. Sakitkah dia? Ah, aku tidak seharusnya memikirkan Fareez. Walau bagaimanapun, rasa rindu ini bukanlah mampu dikawal. Ia hadir sendiri tanpa dipinta. Dan akhirnya aku mengerti, rindu itu adalah derita yang indah.
Selepas memakirkan kereta, aku menunggu ketibaan Fiza di ruang lobi syarikat. Seperti yang aku jangka, Isnin lalu tidak putus-putus aku diusik oleh Zaza dan Wawa apabila Fiza membongkarkan insiden aku menumpang kereta Fareez. Masing-masing bukan main lagi melahirkan rasa hati. Gembiralah, terujalah, mahu rapatkan aku dengan Fareezlah, tapi tidakkah mereka faham yang hati lelaki itu sudah pun ada penghuninya? Teringin aku melihat wajah gadis yang berjaya menambat hati Fareez. Pastinya dia seorang yang sangat cantik dan elegan. Lelaki sekacak dan penuh karisma seperti Fareez, tentulah perlu padanan yang sesuai. Bukan seperti diriku yang tidak punya apa-apa ini.
Dari jauh aku terdengar namaku dilaung. Fiza melambaikan tangan. Amboi, menyerlah betul warna baju yang dipakainya. Merah jambu terang. Dengan track-bottom rona putih yang aku yakin pasti akan menjadi coklat di akhir program ini nanti. Tidakkah Fiza tahu yang kami akan bercucuk-tanam hari ini? Mengapa menyarung seluar warna sebegitu? Dan aku sudah dapat mengagak jawapannya. Mengenali Fiza walau masih baru, gadis itu sangat menitik-beratkan soal penampilan. Boleh dikatakan pakar fesyen di jabatanku. Fiza akan menjawab yang seluar itu padan dengan warna baju. Ya, memang betul. Tapi kenalah sesuai dengan keadaan.
“Assalammualaikum,”
Aku sedikit tersentak dengan teguran dari belakang. Aku kenal suara itu. Cukup kenal. Suara yang sering kali bergema dalam jiwaku. Perlahan-lahan aku berpaling dan wajah Fareez yang sedang menguntum senyum kelihatan di ruang mata. Rindu yang menggunung dalam hati terurai juga setelah sekian lama tidak menatap wajah itu. Ah, dadaku terasa seakan dicucuk-cucuk. Ikutkan hati, mahu saja aku menerpa ke arah Fareez lalu mendakapnya namun akal warasku menahan. Tidak mahu dikatakan gila.
“Tak jawab salam berdosa,” ujar Fareez sekaligus mematikan lamunanku.
“Dah jawab dalam hati,” balasku. Pandailah kau memberi alasan wahai mulut.
Join program ni juga ke?” tanya Fareez yang kini sudah berdiri di sebelahku.
Aku sekadar mengangguk. Benarlah aku akan jadi kelu bila berhampiran dengan lelaki ini. Entah kenapa debarnya semacam. Tahulah aku sudah jatuh hati padanya tapi mengapa harus berkelakuan seperti ini? Orang yang bercinta semuanya begini agaknya.
“Err... lama tak nampak ya,” aku bersuara perlahan.
“Rindu ke?” usik Fareez membuatkan wajahku merona merah.
“Perasan!”
Fareez tergelak kecil sebelum menyambung kata, “Ada kerja sikit di cawangan Kuala Lumpur,”
“Oh...” hanya itu yang mampu aku katakan.
Fiza yang menghampiri kami sudah menunjukkan riak wajah teruja. Tersenyum-simpul dia melihat aku berada di sisi Fareez. Aku tersengih. Pasti sekejap lagi rancangan Melodi yang diacarakan oleh Fiza akan bermula.
“Hai, Fareez, hai Yus!” sapa gadis itu apabila berada di hadapan aku dan Fareez.
“Hai!” balas Fareez sementara aku hanya tersenyum.
“Kau pun join program ni juga ke? Amboi, kebetulan pula ya. Macam ada jodoh aja kau orang berdua ni,” giat Fiza.
Hah, kan aku dah kata tadi! Aduhai, malunya...
“Fiza rasa kami ni sepadan ke?” Fareez turut ikut-serta dalam usikan Fiza.
“Ish, padan sangat. Macam apa orang kata tu. Pinang dibelah dua,”
Aku rasakan wajahku semakin membahang. Banyaklah kau punya pinang dibelah dua. Aku rasa macam pinang dilenyek dengan bulldozer adalah.
Suara penganjur program yang meminta kami berkumpul menyelamatkan aku dari terus diusik. Fareez bergerak ke hadapan. Sempat aku mencubit bahu Fiza. Berdekah-dekah dia ketawa. Namun jauh di sudut hati, aku gembira dengan usikan gadis itu. Tambah gembira bertentang mata dengan lelaki yang aku cintai.
::bersambung::

2 ulasan :

NukSe berkata...

waa.. yus yus... huhu kalo dh jodoh, dia xkira pangkat n darjat...merendah dirinya si yus ni.. hehe

Rizai Reeani berkata...

Betul tu, pangkat dan darjat tu bukanlah ukuran kebahagiaan... :)