Sepatah Dua Kata

Sabtu, Mac 12, 2011

Idaman Kalbu: Ceritera II - Bab 08




RINDU. Hanya rasa itu yang sarat menghuni ruang hati. Rindu untuk mendengar suaranya, rindu untuk menatap wajahnya, rindu untuk bergurau-senda dengannya dan rindu akan segala-gala tentang dia. Sungguh aku rindu akan Fareez. Sejak program Kempen Hijau lima hari yang lalu, aku jarang bersua dengan lelaki itu. Lebih tepat lagi, menjauhkan diri. Ya, aku mengambil tindakan untuk tidak bersua-muka mahupun bertentang mata dengannya. Dalam erti kata lain, aku mahu menguburkan rasa cinta yang mula bertunas di hati ini dari terus bercambah. Aku tidak mahu lebih menderita. Biarlah luka ini dirawat oleh masa, perlahan-lahan.
Jika aku ternampak kelibat Fareez dari jauh, aku akan cepat-cepat berpusing ke arah lain. Aku takut tidak dapat mengawal gelora di jiwa. Lelaki itu bukanlah ditakdirkan untuk menjadi idaman kalbuku. Lelaki itu sudah punya insan yang telah diserahkan seluruh jiwa dan raganya. Aku, hanyalah orang asing yang baru saja dia kenali. Bertepuk sebelah tangan, tidak sama sekali akan berbunyi. Hanya aku yang memendam rasa, dan biarlah aku yang telan pahitnya sendiri.
Di hadapan rakan sepejabat, aku mengukir senyum gembira namun rawan di dalam jiwa tiada siapa yang mengerti kecuali Fiza. Ya, pada gadis itu telah kuluahkan segala isi hati. Dia menyaksikan air mataku luruh kerana lelaki itu. Berusaha dia memujukku untuk bersabar dan cuba untuk menceriakanku. Tidak lagi mengusik atau bertanya akan perihal Fareez padaku.
“Saya nak turun ke kedai, ada siapa nak kirim?” tanya Wawa ketika kami sedang sibuk melakukan tugasan seperti hari-hari sebelumnya.
Masing-masing menggeleng. Kebetulan perutku menjerit minta diisi. Lantas aku menemani Wawa turun ke tingkat bawah. Wawa ke kedai serbaneka sementara aku bahagian kiri kafateria di mana sebuah peti ais yang mengandungi aneka jenis sandwich tersedia di dalamnya. Pintu peti ais kubuka lantas mencapai dua bungkus sandiwich. Perisa tuna dan perisa telur. Setiap satunya berharga RM1.70. Agak murah bagiku. Usai melakukan pembayaran, aku ke kedai serbaneka. Wawa masih lagi memilih makanan ringan yang hendak dibeli. Kulihat dia sedang asyik membelek paket-paket asam yang pelbagai jenis yang dibungkus kecil-kecil.
“Mengidam ke?” usikku.
“Ha’ah, teringin pula nak makan benda yang masam. Tekak ni rasa tak sedap,” balas Wawa.
“Pernah rasa asam ni?” ujar Wawa sambil mengunjuk padaku bungkusan asam berbentuk bulat rona merah cair padaku.
“Em, rasanya asam ni jenis yang manis. Cuba yang ni, my favourite,” jawabku lalu mencapai sebungkus asam warna coklat kehitaman dan kemudian menghulurkannya pada gadis berblaus hijau pucuk pisang itu.
“Okeylah, aku ambil yang ni,”
Aku melangkah keluar dari kedai serbaneka tersebut sementara menanti Wawa membuat pembayaran. Mataku meliar dan akhirnya jatuh pada vending machine yang menjual coklat. Kenangan lalu singgah lagi. Kenangan sewaktu lelaki itu membantuku mengeluarkan bungkusan coklat yang tersekat dalam mesin tersebut.
Ah, mengapa aku masih sukar melenyapkan bayang-bayang lelaki itu dari fikiran ini? Aku lemas! Sangat lemas bergelumang dengan rasa rindu yang kian menyeksa diri. Cukup Yusfira, cukup. Jangan dilayan sangat perasaan hati kelak merana diri.
Wawa menegurku sekaligus melenyapkan lamunanku entah ke mana. Kami bergerak ke dalam lif semula. Tiba-tiba Wawa meminta diri untuk ke tandas. Katanya terasa loya. Dia meminta aku naik dahulu. Aku menawarkan diri untuk menemaninya tetapi ditolak. Kata Wawa tak perlu risau, perutnya masuk angin mungkin.
Aku mengangguk lalu menghantar pemergian Wawa dengan pandangan kosong. Sejurus pintu lif terbuka, aku segera melangkah masuk lalu menekan butang dua. Lif berhenti di tingkat satu beberapa saat kemudian. Pastinya ada pekerja lain yang mahu ke tingkat atas. Ketika pintu lif terbuka, mataku membulat. Wajah lelaki yang begitu dirindui muncul dengan senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya.
“Hai, lama tak jumpa ya,” sapa Fareez.
Bibirku menguntum senyum. Tawar. Wajah segera ditundukkan sementara dada ini seakan mahu pecah dek kerana debaran yang menggila. Entah kenapa aku rasa sekeliling terasa berbahang.
“Macam mana kerja?” Fareez bertanya, cuba memancingku untuk bersuara.
“Biasa saja,” jawabku perlahan.
“Awak sihat?”
Aku tersentak. Lelaki ini masih mahu bertanya khabar diriku. Mahu saja aku menjawab yang aku sedang sakit. Sakit rindu. Namun tiada gunanya aku menyatakan sedemikian kerana rinduku tidak akan bersambut. Tidak mungkin.
Kepalaku dianggukkan sebagai jawapan. Lidah terasa berat mahu menutur kata. Kenapa terasa lambat sangat mahu sampai ke tingkat dua ni?
“Second floor,”
Akhirnya! Pantas aku melangkah keluar tanpa berpaling ke arah Fareez. Biarlah lelaki itu terasa atau berfikir yang bukan-bukan. Aku tidak kisah. Yang pasti aku tidak mampu berlama-lama berada berdua saja dengannya. Ia buatkan aku mahu rebah.
“Yusfira!”
Kakiku bagai dipaku pada lantai ketika suaranya menampar pendengaran. Ah, mungkin ia hanya satu halusinasi.
“Take care ya!” ujar Fareez lalu pintu lif kembali tertutup.
Ya Tuhan! Kakiku menggigil. Tanpa sedar aku terjelepok ke atas lantai. Fareez, mengapa kau tidak habis-habis mahu menguji hatiku? Air jernih yang bergenang di pelupuk mata tidak mampu kutahan. Terubat rasa rindu di hati walau bertemu dengannya seketika.
“Awak tak apa-apa?” teguran dari seseorang mengejutkanku.
Aku mendongak dan wajah seorang gadis bertudung rona biru laut kelihatan. Jelas terpamer riak bimbang di wajah itu. Segera kuseka air mata yang mengalir dengan jemariku. Terasa malu pula menangis di tempat laluan orang ramai ini.
Gadis tersebut menghulurkan sepeket tisu padaku. Mahu tidak mahu aku ambil sehelai, sekadar untuk menjaga hatinya.
“Terima kasih,” ucapku.
“Sama-sama. Betul awak tak apa-apa?”
“Ah, ya. Perut saya rasa sakit tiba-tiba. Gastrik saya datang agaknya,” aku mencipta dalih.
“Oh, kalau macam tu marilah saya bawa awak ke bilik rawatan,” ujar gadis itu lagi.
“Tak apalah, saya ada bawa ubat. Terima kasih ya,”
Gadis itu mengangguk dalam senyuman. Dia kemudian meminta diri lantas menekan pintu lif, mahu ke tingkat bawah. Sempat aku menatap wajahnya. Orangnya kelihatan begitu ayu. Anggun sekali blaus pejabat yang dipakainya. Kulit mukanya cerah kemerahan tanpa sebarang cela. Aku perasan ada lesung pipit di bahagian kanan bibirnya sewaktu dia senyum tadi.
Pintu lif terbuka dan gadis itu melangkah masuk. Sempat dia melambai tangannya dan aku membalas serupa sebelum pintu lif tertutup. Rasanya, aku tidak pernah terserempak dengan gadis itu sebelum ini. Staf baru agaknya.
Langkah kaki kembali diteruskan. Aku ke tandas mahu membasuh muka. Bimbang kelihatan sisa air mata yang pastinya akan mengundang pelbagai soalan dari wartawan tidak bertauliah di jabatan nanti. Ingatan pada Fareez segera kucampak jauh-jauh. Jauh sehingga aku tidak akan mampu menyelak semula ingatan itu lagi.
::bersambung::

5 ulasan :

idaya berkata...

entri ni betul2 menusuk hati. tepat kena batang hidung. sy pernah rasa perasaan rindu tu. faham sngat dengan apa yg yus rasa.

NukSe berkata...

kesian kat yus. agak2 girl yg tlg yus tu, girl yg fareez suka x??ngeeee...

Rizai Reeani berkata...

idaya: Perasaan rindu itu sentiasa ada dalam hati, kan... ;)

NukSe: Mungkin agaknya. Hehehe...

Tanpa Nama berkata...

jln cerite mcm dlm komik mencari kerja

Rizai Reeani berkata...

Tanpa Nama: Maaf, mungkin ia hanya kebetulan. Saya akan cuba cari komik tersebut untuk membuat perbandingan.

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. (^_^)