Sepatah Dua Kata

Isnin, Mac 21, 2011

Idaman Kalbu: Ceritera II - Bab 09



KAFETERIA tengah hari itu agak sesak dengan para pekerja yang ingin menjamu selera. Maklumlah, waktu makan tengah hari. Selalunya aku dan Fiza akan makan di luar kerana tidak mahu bersesak-sesak dengan orang ramai. Apatah lagi lauk-pauk di kafeteria adakalanya tidak banyak pilihan. Cuma untuk hari ini kami bersepakat untuk makan di kafateria kerana terasa malas untuk keluar di waktu panas terik begini.
Seperti yang dijangka, lauk-pauk sudah berkurangan sewaktu giliran kami tiba. Terpaksalah membuat pesanan ala-carte. Fiza memesan nasi goreng seafood sementara aku memilih kuew teow goreng basah. Tidak berselera sebenarnya namun perut yang kosong perlu diisi.
Mataku meliar mencari tempat duduk yang kosong. Bernasib baik apabila sebuah meja berhampiran dengan vending machine masih kosong. Bergegas aku ke sana sementara Fiza menanti pesanan makanan yang dibuat tadi.
Aku duduk membelakangi pintu masuk yang terletak selang enam buah meja dari mejaku. Tidak gemar menjadi perhatian mata-mata liar yang mencuri pandang. Duduk di meja belakangku ada tiga orang gadis. Dua Melayu dan seorang India. Sesekali aku dengar tawa antara mereka meletus. Sedikit-sebanyak telingaku menangkap juga perbualan mereka. Bukan mahu curi dengar tapi suara masing-masing sudah cukup lunak untuk didengari.
You tahu, jabatan I tadi kecoh sikit sebab bos we all yang handsome tu,” ujar seorang gadis Melayu yang bercermin mata dengan rambut diikat ekor kuda itu.
“Ha’ah, semua orang sibuk bercerita pasal dia dengan ex-girlfriend dia,” tambah gadis India yang berambut kerinting pula.
Really? Kenapa dengan bos you all tu?” gadis Melayu yang berambut panjang paras bahu mula menunjukkan minat.
“Dulu, kecoh sekejap masa ex-girlfriend dia tinggalkan dia. Then, tiba-tiba tadi, ex-girlfriend dia muncul. Terkejutlah semua orang,” gadis Melayu bercermin mata itu.
“Agaknya diaorang dah berbaik semula,” balas gadis Melayu yang seorang lagi.
I don’t think so. Dulu, waktu diaorang break-up, yang lelaki bukan main parah lagi. Kecewa sangat sampai dua tiga hari tak datang office. So, takkan sekarang ni, senang-senang aja lelaki tu nak terima ex-girlfriend dia tu,” gadis India tadi berkata.
Aku memasang telinga, mendengar setiap butir-bicara yang dibualkan. Kisah cinta pasangan itu sedikit menarik minatku. Fiza kulihat masih setia menunggu di kaunter. Wajahnya sedikit kelat. Pasti bosan menunggu dengan berdiri begitu.
“Ala, kalau dah cinta, semua benda tak baik jadi baik. Apa orang kata, kentut pun bau wangi tau,” seloroh gadis Melayu yang bercermin mata itu lantas tawa antara mereka terburai lagi.
“Tapi I kasihan dengan my boss. Ex-girlfriend dia tak patut buat macam tu. Yalah, lelaki tu dah suka sangat kat dia, tiba-tiba minta putus sebab tak mahu hubungan jarak jauh. For your info, that girl dapat tawaran sambung belajar dekat Australia kalau tak silap. Memang tak boleh terimalah alasan tu. Kalau I, takkan punya minta putus. Yalah, sekarang kan teknologi dah canggih. Macamlah tak boleh contact guna YM or Facebook,” gadis Melayu bercermin mata itu bersuara lagi.
“Yalah, I rasa perempuan tu dah ada lelaki lain. Entah-entah sugar daddy. Eii... kalau I dapat boyfriend handsome macam bos I tu, confirm I tak cari lain,” ujar gadis India yang memakai blaus rona kelabu cair itu.
Bos you all yang nama Fareez tu, kan?” terdengar gadis Melayu berambut panjang itu bertanya.
Aku tersentak sedikit apabila nama Fareez meniti di bibir gadis tadi. Jika diamati semula, cerita mereka tadi lebih kurang sama dengan apa yang pernah Fiza ceritakan padaku dulu. Adakah ini bermakna, gadis pujaan hati Fareez sudah kembali semula?
“Ha’ah, the most eligible bachelor dekat HSBC ni. Tapi tak lama lagi hilanglah gelaran tu sebab ex-girlfriend dia dah balik semula,” jawab gadis bercermin mata.
Bau makanan singgah di hidung menyebabkan aku mendongak sedikit. Fiza mengambil tempat di hadapanku. Usai membaca doa, dia segera menyuapkan nasi goreng seafood ke dalam mulut. Tampak sudah lapar benar. Aku pula menguis-nguis kuew teow dengan garfu, masih mahu mendengar perbualan gadis-gadis yang duduk di meja di belakangku.
“Kenapa tak makan?” tanya Fiza.
“Hah? Err... Ya...” balasku agak gemuruh.
Kuew teow goreng kusuakan ke dalam mulut. Terasa seperti menelan pasir. Sungguh aku tidak berselera apatah lagi setelah mendengar kekasih hati Fareez sudah kembali semula.
“Syhhh... Tu my boss dengan girlfriend dia,”
Aku tersentak lagi. Hendak toleh atau tidak? Minda dan perasaanku berperang hebat saat itu. Minda bertegas supaya aku jangan menoleh sementara perasaan ingin tahu begitu membuak-buak. Akhirnya, mindaku tewas dengan desakan perasaan. Perlahan-lahan aku berpaling ke belakang dan serta-merta garfu yang kupegang terlucut dari pegangan.
Tidak syak lagi Fareez yang mereka katakan adalah lelaki yang aku rindui saban hari. Lelaki itu tampak ceria melangkah masuk ke kafeteria dengan seorang gadis di sisinya. Mataku tambah membesar apabila memandang gadis tersebut. Gadis itulah yang melihat aku menangis pagi tadi! Mata kami bertembung dan aku segera berpaling. Ya Tuhan... Kebetulan apakah ini?
“Yus...” tegur Fiza.
“Itu...”
“Saya tahu...” aku bersuara.
“Hai, kita jumpa lagi ya,”
Aku terpana sebentar. Suara ini... Pantas aku mendongak. Wajah Fareez dan gadis tadi kini di hadapan mata. Ya Allah, berilah aku ketabahan...
“Sarah kenal dia?” tanya Fareez.
Dia? Fareez memanggil aku dengan kata ganti ‘dia’? Perasaanku jatuh merundum tiba-tiba. Mengapa lelaki itu tidak memanggil namaku sebaliknya diganti dengan ‘dia’? Adakah dalam sekelip mata aku sudah menjadi oran gasing di depan matanya?
“Pagi tadi, Sarah ternampak cik ni menangis dekat depan lif. Gastrik awak dah elok ke?” tanya gadis bernama Sarah itu.
Aku hanya mampu mengangguk sambil tersenyum tawar. Sedikit pun aku tidak mahu memandang wajah Fareez. Aku tidak sanggup melihat senyuman dan raut wajah gembiranya setelah berjumpa semula dengan kekasih hati. Ternyata, di bukan milikku.
“Awak kena gastrik ke tadi? Dah makan ubat?” Fareez bertanya padaku.
Sekali lagi aku mengangguk. Fareez, tolonglah... Jangan berpura-pura mengambil berat tentangku. Kau semakin menyukarkan diriku untuk melupakan kau.
Sarah memandang wajahku sebentar sebelum bertentang mata dengan Fareez. Kemudian, mendekatkan mulutnya pada telinga Fareez, berbisik sesuatu. Hatiku terasa disiat-diat melihat kelakuan mereka. Sabarlah hati, sabarlah...
 “Can we join you all?” pinta Sarah membuatkan aku serba-salah.
“Err... Sure...” balasku dalam payah.
Aku mengalihkan pandangan pada Fiza yang jelas kelihatan termangu-mangu. Pastinya dia tertanya-tanya di mana aku mengenali kekasih hati Fareez itu. Fareez berlalu ke kaunter untuk membuat pesanan sementara Sarah sudah duduk di sebelahku. Tidak sedikit pun lelaki itu bertanya pada Sarah makanan apa yang ingin dipesan. Mungkin Fareez sudah tahu makanan kegemaran kekasih hatinya itu. Iyalah, sewajarnya pasangan bercinta itu tahu akan apa yang disukai dan apa yang dibenci pasangan masing-masing.
“Fareez ada bercerita tentang awak. New staff right?
Aku mengangguk. Sukar benar mahu melafaz kata di hadapan gadis jelitawan ini. Terasa diri sangat kerdil. Namun terdetik juga di hati perasaan ingin tahu tentang apa yang Fareez khabarkan pada Sarah tentangku.
“Ah, kenalkan, ini Fiza, kawan sepejabat saya. Fiza, ini Sarah, teman Fareez,” ujarku untuk menutup gelisah.
“Nice to meet you,” ujar Sarah.
“Nice to meet you too,” balas Fiza.
Aku berpaling ke belakang sebentar. Kumpulan gadis yang duduk di meja belakang tadi sudah tiada. Entah bila mereka bergerak pergi, tidak aku perasan. Mungkin mereka juga terkejut apabila Fareez dan kekasihnya itu mampir ke arahku.
“Kalau tak silap, awak pernah kerja di sini dulu, kan?” Fiza bersuara.
Aku memandang Fiza. Sememangnya soalan itu juga ingin kutanya dari berpuluh lagi persoalan yang berlegar di mindaku.
“Ya, saya pernah kerja di sini sekejap. Kemudian, saya dapat tawaran sambung belajar,”
“Dah habis belajar ke?” Fiza bertanya lagi. Lagak seperti seorang wartawan pula.
“Belum, sekarang tengah bercuti. Lagipun, saya kembali ke sini untuk Fareez,” jawab Sarah sekaligus menghasilkan debar dalam dadaku.
“Oh...” hanya itu yang Fiza ujarkan.
Tanyalah lagi Fiza oi! Tanya banyak-banyak lagi. Aku ingin tahu kenapa gadis ini kembali!
“Saya mahu menuntut janji dari Fareez sebenarnya,” ujar Sarah sambil melirik ke arahku.
Aku tergamam. Entah motif apa Sarah katakan begitu, tidak aku mengerti. Adakah gadis ini mahu seluruh dunia tahu yang Fareez itu adalah miliknya dan tidak boleh didekati langsung?
“Janji?” tanya Fiza.
Sarah sekadar mengangguk dalam senyuman. Aku sudah tidak betah duduk di situ lagi. Ada rasa geram dan cemburu. Lantas, aku bangun dengan alasan mahu ke tandas. Di luar, aku mengirimkan sms pada Fiza mengatakan aku sudah naik ke pejabat dan memintanya untuk membungkuskan kuew teow yang baru sesuap aku jamah tadi.
Pastinya Fiza terkejut membaca mesejku itu. terpulanglah apa tanggapan Sarah nanti, aku tidak kisah. Yang pasti, aku tidak mahu menyakiti hatiku sendiri lagi. Cukuplah Yusfira, lupakan Fareez. Selamanya!
::bersambung::

3 ulasan :

NukSe berkata...

keciannya kat yusfira.. sesungguhnya kehadiran org ketiga mmg menyakitkan..

Tanpa Nama berkata...

ala, mintak2 yus jumpa lelaki yg suka dia. kesian btepuk sblah tangan ni..

Rizai Reeani berkata...

NukSe & Tanpa Nama:

Memang, kehadiran orang ketiga selalunya menyakitkan. Apatah lagi bila bertepuk sebelah tangan. Tapi tidak perlu risau, bukankah manusia itu diciptakan berpasangan? Mudah-mudahan, kita akan jumpa jodoh yang baik... :)