Sepatah Dua Kata

Ahad, Mac 27, 2011

Idaman Kalbu: Ceritera II - Bab Akhir




TELEFON bimbit di tangan kugenggam erat. Masih tergamam setelah menerima panggilan dari seseorang yang amat tidak kujangka. Seseorang yang tidak pernah terlintas di fikiran akan menghubungiku. Masih segar setiap baris kata yang diucap. Ayatnya ringkas sahaja namun cukup membuatkan hati libang-libu.
“Boleh saya jumpa awak esok selepas waktu kerja?” pinta Sarah.
“Hah?”
“Ada perkara penting yang saya nak bincangkan,”
Sebuah keluhan kulepaskan. Pelbagai persoalan menerpa di benak fikiran. Pertamanya, dari mana gadis itu mendapat nombor telefonku? Oh, pastinya dari Fiza. Tidak syak lagi. Keduanya, perkara penting apakah yang ingin dibincangkan oleh Sarah? Pasti tidak lain dan tidak bukan tentang lelaki itu. Tapi, apa kaitannya aku dengan Fareez? Aku tidak pernah menjalin sebarang hubungan dengannya melainkan ikatan persahabatan. Adakah Sarah mula berasa curiga? Atau lebih tepat lagi, cemburu? Ah, mustahil!
Adakah terlalu ketara di wajah rasa cinta yang kupendam pada Fareez sehingga Sarah mampu untuk meniliknya? Iyalah, kata orang, hanya perempuan yang memahami hati perempuan. Tapi aku telah sedaya-upaya menyembunyikan perasaan itu dari disedari oleh sesiapa.
Angin malam yang berhembus menerjah masuk ke jendela lalu menyapa wajahku lembut. Terasa sedikit segar. Resah yang mengulit dada kulontarkan bersama angin agar ia turut berlalu pergi. Esok, pastinya akan menjadi hari yang mencabar. Aku perlu bersedia. Segera mataku dipejam. Seketika kemudian, aku berkalih ke kanan. Beberapa minit selepas itu, aku berkali ke kiri pula. Mata ini tetap tidak mahu lelap. Ah, sudah! Lantas segera bangun menyelak gebar yang menutup tubuh. Ruang dapur kujejaki. Segelas susu suam kubancuh. Berharap agar ia mampu membuatkan mataku ini lelap. Sudahnya, entah pukul baru baru aku terlena.

  *  *  *  *  *

JAM di tangan sudah menunjuk ke angka 05.05 petang. Aku sudah berada di taman mini yang terletak di luar bangunan HSBC. Taman mini itu hanya dimuatkan dengan dua buah meja sederhana besar berbentuk bulat dengan empat buah kerusi batu untuk setiap meja. selebihnya ada tiga buah bangku kayu yang diletak secara berjajar. Sarah yang meminta untuk berjumpa denganku di sini pagi tadi melalu kiriman mesej.
Gelisah dan resah saling berbaur dalam hati. Berulang kali aku melepaskan keluhan. Entah apa yang bakal Sarah perkatakan sebentar lagi. Mungkin gadis itu akan menuduhnya yang bukan-bukan. Perempuan perampas? Oh, tak pernah terlintas pun di fikiran yang dia akan dipanggil sebegitu rupa. Bunyi isyarat mesej dari telefon bimbitku kedengaran. Dari Sarah.

Apa kata kita main permainan Explorace? Saya tunggu di check point terakhir. Cuba lihat dekat bawah salah satu meja yang ada di situ. Klu ada ditampal. Good luck!

Ish, apa-apa saja si Sarah ni. Sempat pula nak main-main lagi. Mahu tau tidak, aku bingkas bangun lalu membongkok sedikit untuk melihat jika ada klu yang ditampal di bawah meja tempat dudukku. Tiada. Pastinya di meja sebelah sana dan ternyata telahanku tepat apabila melihat sehelai sticky note warna kuning ditampal di bawahnya. Aku membaca tulisan yang tertera.

Dunia kini di hujung jari

Hah? Itu saja? Ala, malasnya aku nak berfikir. Tapi, kalau tak fikir, macam mana aku nak tahu klu seterusnya dan bertemu dengan Sarah? Hmm... Dunia kini di hujung jari ya. Sekejap! Aku tahu dekat mana!
Pantas aku melangkah masuk semula ke lobi pejabat. Kad pekerja aku lekapkan pada pagar elektronik yang menjadi benteng dari orang asing menceroboh masuk ke dalam ruang pejabat. Aku menghalakan kaki ke arah kiosk komputer yang ditempatkan di tingkat bawah, bersebelahan dengan pintu masuk kafeteria. Ada lebih kurang 20 buah komputer yang disediakan bagi para pekerja gunakan untuk melayari Internet di masa lapang yang disusun dua baris; kiri dan kanan. Komputer di dalam pejabat dikhususkan untuk membuat kerja sahaja dan dilarang sama sekali untuk melayari Internet kerana bimbang tidak fokus dengan kerja. Hal ini kerana kerja kami melibatkan wang ringgit dan perlu berhati-hati kerana jika terlebih atau terkurang satu angka sifar sekalipun, ia tetap akan mendatangkan masalah besar pada syarikat.
Mataku meliar mencari jika ada apa-apa yang boleh dijadikan petanda untuk aku menemui klu seterusnya. Bibirku mengorak senyum apabila melihat sebuah komputer di sebelah kanan yang letaknya di hujung sekali menghadap dinding, terlekat sticky note yang sama seperti di bawah meja tadi. Aku bergegas ke sana dan mencapai sticky note tersebut.

I’m an A but I’m not a letter

Klu kedua ditulis sebegitu. Hmm... Agak mencabar juga ni. Apa agaknya ya? Beberapa minit berfikir, mindaku mula teringat sesuatu. Lalu aku mula berjalan menghala ke kedai serbaneka. Jika telahanku tidak silap, jawapan kepada klu tadi ada di situ.
Menjejakkan kaki ke kedai serbaneka, aku terus meluru ke arah bahagian alat tulis. Sekali lagi aku mengulum senyum melihat sekeping sticky note terlekat pada bungkusan plastik kertas Double A.

Saya di tempat yang menyimpan pelbagai kenangan dan ilmu

Ayat itu yang tertulis pada sticky note tersebut. Senyuman masih tidak lekang dari bibir. Kali ini, tanpa berfikir, aku sudah tahu jawapannya. Aku berjalan keluar dari kedai serbaneka, membawa kaki ke lif. Seketika menunggu, pintu lif terbuka. Tiada sesiapa di dalamnya lalu aku menekan butang satu.
Beberapaa saat sahaja pintu lif sudah terbuka. Usai melangkah masuk ke tingkat satu, aku menghalakan kaki ke aran kanan sehinggalah berhenti betul-betul di hadapan sebuah pintu yang tertulis papan tanda “Leisure Room”. Di sinilah tempat di mana pelbagai bahan bacaan seperti buku bukan fiksyen, majalah, novel Inggeris dan koleksi foto album aktiviti serta buku tahunan HSBC boleh didapati.
Daun pintu kutolak dan anak mataku terus menerkam pada wajah Sarah yang sedang membaca sebuah buku di atas sofa lembut warna pic. Dia yang bagai tahu ada yang memandang, mengangkat wajah lalu mengukir senyum manis. Ah, gadis elegan sepertinya tampak begitu berkarisma apabila tersenyum begitu. Sesuai benar dengan Fareez.
Aku memberi salam dan salamku dijawab mesra. Sarah mempersilakan aku duduk di sebelahnya. Lantas, aku mengambil tempat di sofa yang boleh memuatkan tiga orang itu.
“Tahniah! Saya tahu awak memang mampu jawab soalan mudah macam tu,” ujar Sarah.
“Terima kasih. Mudah tu tak jugalah. Tapi seronok bila sesekali perah otak,” balasku.
“Terima kasih juga sebab sudi luangkan masa jumpa saya petang ni,”
“Perkara kecil saja. Lagipun, saya teringin juga nak tahu apa perkara yang awak nak bincangkan dengan saya,”
“Oh, tentang Fareez,” jawab Sarah sambil memandangku penuh makna.
Seperti yang telah kujangka, ia tentang lelaki itu. Apakah Sarah mahu aku menjauhkan diri dari Fareez? Jika benar begitu, ia bukanlah satu masalah bagiku kerana aku sedang cuba sedikit demi sedikit mengikis perasaan aku pada Fareez.
“Awak sukakan Fareez?” tanya Sarah sekaligus menarik perhatianku untuk melihat wajahnya dengan mata yang sedikit terbeliak.
“Saya dah agak awak memang sukakan dia. Wajah awak dah beritahu saya jawapannya,” ujar Sarah dalam tawa kecil.
Segera kau palingkan muka lalu menunduk. Apa tujuan Sarah sebenarnya? Aku betul-betul keliru.
“Saya rasa awak tahu tentang hubungan saya dah Fareez, kan?”
Perlahan-lahan aku mengangguk. Benarlah, memang Sarah curiga padaku. Aku tidak salahkan Sarah. Jika aku ditempatnya sekalipun, aku juga akan berfikiran yang sama. Masakan aku tegar melihat lelaki yang aku cintai rapat dengan perempuan lain. Mungkin, aku akan bertindak lebih teruk dari Sarah dengan menyerang perempuan itu. Tidak seperti Sarah yang cuba berdiplomasi.
“Sarah, saya harap awak tak salah faham. Saya dengan Fareez tak ada apa-apa hubungan. Kami cuma kawan, tak lebih dari tu. Kalau awak mahu saya jauhkan diri dari Fareez, saya sanggup. Sungguh! Saya betul-betul tak ada apa-apa hubungan dengan dia,” terangku, tidak mahu lagi berselindung tentang apa yang terbuku di hati.
Tawa Sarah meletus kuat sehingga menarik beberapa orang pekerja yang turut sama membaca di dalam bilik sederhana besar itu. Namun, segera dikawal. Aku pula terkedu sebentar. Lawak sangatkah kata-kataku tadi sehingga mampu buat Sarah ketawa besar sebegitu?
“Yus, rileks, apa yang awak merepek ni?”
“Hah?”
“Yus, saya rasa awak yang salah faham. Tujuan saya jumpa awak ni adalah untuk beritahu perasaan Fareez pada awak,” jelas Sarah masih dalam sisa tawanya.
“Err... Saya tak faham...”
“Yus, Yus... Awak ni memang cepat gelabah,” sambung Sarah membuatkan wajahku merona merah, malu.
“Okeylah, sebenarnya, saya ajak awak berbincang ni sebab saya nak tolong kawan baik saya tu,” ujar Sarah.
Aku tersentak seraya mengangkat wajahku semula.
“Kawan baik?” soalku.
“Ya, Fareez, he’s my best friend,
“Sa... Saya tak faham,”
Sarah menarik nafas sebelum menghembuskannya perlahan-lahan. Aku pula diterpa debar yang entah bila datang menghuni hati. Sungguh fikiranku benar-benar keliru sekarang ini. Dan hanya gadis berblaus lengan panjang rona biru muda di sebelahku ini saja yang ada jawapannya.
“Fareez sukakan awak,”
“Hah?” jeritku lalu menarik perhatian mereka yang ada di bilik bacaan itu sekali lagi.
Sarah juga kelihatan terperanjat dengan reaksiku itu tadi. Terlongo dia sebentar. Aku segera menekup mulut, menyedari keterlanjuranku.
“Tenang Yus. Saya tahu awak terkejut,” Sarah cuba menenangkanku.
“Ya, memang saya terkejut. Sungguh! Saya rasa saya tak silap dengar tadi, kan?”
Anggukan Sarah menambah debar di dalam dada. Fareez sukakan aku? Buang tabiat apa Sarah ni?
“Awak demam ke? Atau salah makan ubat?” tanyaku, spontan.
Sarah menjengilkan matanya tanda dia tidak bergurau. Okey, sekarang aku memang gelabah!
“Saya dan Fareez memang pernah ada hubungan tapi itu setahun yang lalu. Memang kami bercinta tapi sekejap saja sebab kami tak ada keserasian sebagai satu pasangan,” ujar Sarah.
“Maksud awak?”
“Saya kenal Fareez sejak dari kecil lagi. Hubungan kami memang rapat sehingga kawan-kawan yang lain menganggap yang kami adalah satu pasangan. Jadi, waktu tu di tahun akhir universiti, entah macam mana kami boleh berfikir yang mungkin kami memang sedang dilamun cinta tapi kenyataannya, saya dan Fareez hanya kawan baik. Tak lebih dari itu. Bila bersama dengannya, hati saya tidak berdebar. Bila berjauhan, ada rindu tapi tidak selalu. Dan dia, tidak pernah muncul menemani lena saya saban malam. Bukan Fareez tapi Iskandar,”
“Iskandar?”
“Bakal menjadi suami saya yang sah sebulan lagi,”
“Apa?”
“Iskandar adalah lelaki yang saya cintai. Kami berkenalan semasa saya sambung belajar di Australia. Dia lelaki yang menghadirkan debar dalam hati. Yang saya rindui walau berada di depan mata. Dan yang selalu muncul dalam mimpi-mimpi saya,” jelas Sarah lagi.
“Tapi, masa di kafeteria semalam, awak kata awak nak tuntut janji dari Fareez,”
“Oh, yang tu... Ya, saya memang nak tuntut janji yang kami buat dulu. Antara kami, siapa yang naik pelamin dulu, yang masih single kena tanggung pakej honeymoon bagi yang dah kahwin tu,” ujar Sarah dalam tawa kecil.
“Sekejap! Saya masih tak faham. Kenapa, ah, tak, macam mana awak tahu yang saya... err... saya...”
“Menyintai Fareez?” tukas Sarah.
Aku menunduk malu. Terasa segan apabila Sarah dapat meneka perasaanku dengan tepat sekali.
“Kita sama-sama perempuan, Yus. Bila saya tengok awak gelisah semacam masa saya dan Fareez jumpa awak di kafeteria semalam, saya tahu yang awak memang ada perasaan pada Fareez. Apatah lagi awak terus hilang lepas kata nak pergi tandas. Jelas yang awak cemburu, kan?” Sarah mengusikku.
Ya, Tuhan... Malunya! Sungguh aku tak tahu mana nak letak muka ni. Ingatkan Sarah tak akan ungkit tentang tu.  Mahu saja aku lenyap dari depan Sarah sekarang juga tapi aku tahu aku tak punya kuasa sedemikian.
“Lagipun, Fareez selalu cerita tentang awak tak kira dalam e-mel ataupun Facebook. Dan dari situ saya tahu, hatinya telah dicuri oleh awak,” tokok Sarah.
“Fareez tu lelaki yang pemalu. Dia sukar untuk luahkan perasaan. Dari masa belajar lagi, walau ramai yang cuba mendekatinya, tak pernah dilayan. Hanya saya satu-satunya kawan perempuan yang dia ada. Dan bila dia bercerita tentang awak, saya tahu, saya perlu lakukan sesuatu. Kalau tidak, dia mungkin akan kehilangan awak dengan sikap pemalunya tu,” terang Sarah lalu mencapai jemariku.
“Dia lelaki yang baik, Yus. Awak bertuah memiliki dia. Jaga dia baik-baik ya,” ucap Sarah.
Lidahku kelu tanpa kata. Semuanya terlalu pantas buatku. Tidak disangka yang selama ini aku bukanlah bertepuk sebelah tangan. Fareez juga punya perasaan yang sama sepertiku!
“Hah, tu buah hati pengarang jantung awak dah sampai,” kata Sarah menyebabkan aku memandang ke arah pintu masuk.
Fareez tampak sungguh kacak dengan kemeja lengan panjang rona biru tua dan seluar slack hitam. Rambutnya disisir kemas. Jelas dia terkejut dengan kehadiranku di situ. Sarah meleraikan pegangan tangannya lalu bingkas bangun, menuju ke arah Fareez yang terhenti langkahnya di muka pintu. Gadis itu berkata sesuatu sehingga membuatkan wajah Fareez berubah. Sempat Sarah mengenyitkan mata padaku sebelum berlalu pergi.
Fareez berjalan ke arahku dengan senyum nipis. Serentak dadaku bergetar hebat. Duhai hati, tenanglah, tenang!
“Assalammualaikum,” sapa Fareez.
Wajahku segera ditundukkan. Salamnya kujawab di dalam hati. Mulut terasa payah mahu dibuka.
“Tak jawab salam berdosa,” giat Fareez.
“Wa...Waalaikummussalam,” jawabku lirih walau sudah dua kali aku jawab salam yang diberinya.
“Boleh saya duduk?”
Ah, lelaki ini sengaja mahu menguji. Sofa ini bukanlah kepunyaanku. Hak milik syarikat, jadi semua pekerja bebas menggunakannya. Sengaja mahu mengusik. Namun, aku mengangguk juga, sekadar membalas pertanyaannya.
“Saya tak tahu apa yang Sarah katakan pada awak cuma saya yakin, kawan baik saya tu dah pecahkan rahsia saya, betul tak?”
Aku mengangguk lagi. Masih tidak mampu melihat ke wajahnya.
“Boleh pinjam telefon sekejap?” pinta Fareez tiba-tiba.
Aku pantas  menyeluk saku baju kurungku lalu telefon bimbit milikku diserahkan padanya tanpa banyak soal. Sesekali aku melirik dari hujung mata, mahu melihat apa yang Fareez cuba lakukan. Seketika kemudian, bunyi mesej diterima kedengaran dari telefon bimbitku.
“Istimewa untuk awak,” ucap Fareez lalu menyerahkan semula telefon bimbitku sebelum bangun lalu melangkah pergi tanpa ucapan selamat tinggal.
Segera aku buka kiriman mesej tadi. Sebuah lagu dari Akim bertajuk “Inilah Cinta”. Aku menekan butang ‘Start’ lalu memperlahankan volume lagu tersebut. Irama lagu itu mula menyapa telinga.
Terpegun ku melihat kamu
Bergetar hatiku memandang mu
Dan terus datang mencuba
Adakah khayalku menjadi nyata

Oh resah hati gelisah
Ku takut tak diterima
Rupanya kau juga sama
Seperti aku merasa cinta

Beberapa saat kemudian, telefon bimbitku bergetar menandakan ada isyarat mesej yang masuk.

Saya jemput awak di stesen bas pagi esok ya - Fareez

Oh, pasti lelaki itu sempat mengambil nombor telefon bimbitku tadi. Aku mula menaip, menyatakan persetujuanku.

Mungkin inikah yang dinamakan cinta
Hati gembira rasa bila kau kata cinta
Siang yang suram kini menjadi ceria
Hati yang gelisah akhirnya kini menjadi bahagia

Irama lagu “Inilah Cinta” masih bergema di telinga. Akhirnya, aku bertemu juga dengan idaman kalbuku.
::TAMAT::

***Terima kasih diucapkan pada yang sudi mengikuti kisah ini dari mula hingga tamat.  Terlebih terkurang harap dimaafkan. Jika ada kisah cinta pandang pertama lagi, mungkin kita akan berjumpa di Idaman Kalbu ceritera III (^_^)***

9 ulasan :

NukSe berkata...

waa xsangka ni last entry.. huhu romantik jer diorg ni.. tp fareez tu pemalu sgt la.. hihi

Leya berkata...

ala, dah habis ke? nak lagi.. 10X! bleh panjangkan lagi ni..

firda berkata...

sweet citer ni. bahagia juga yus. harap ada sambungan. :)

shura berkata...

wah, dsh abis.. best3X.. bersama juga diaorg akhirnya..

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Saya pun tak jangka pada mulanya tapi lebih baik kisah ini ditamatkan segera kerana ia adalah kisah cinta pandang pertama. Lagipun, perlu beri giliran pada kisah yang lain pula. Hehehe... ;)

Leya & Firda: Mungkin akan ada kisah cinta pandang pertama yang lain pula. :)

Shura: Kalau ada jodoh, tak kemana... :)

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. :)

NukSe berkata...

ooo kisah cinta pndg pertama.. ahha.. rasanya lagu berjudul 'Rindu Padanya' nyanyian Camelia rasanya sgt sesuai dgn kisah2 pndg pertama.. hehe

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Iya, sebab itu kisahnya tidak panjang sebab saya mahu memaparkan percintaan kali pertama. Oh, saya suka juga dengar lagu tu. Mungkin saya boleh masukkan lagu tu untuk ceritera III nanti. ;)

Reietto berkata...

Selesai sudah membacanya. Akan baca yang lain-lain juga bila berkesempatan :) Teruskan menulis.

Rizai Reeani berkata...

Berbanyak terima kasih Reitto sudi membaca tulisan yang tidak seberapa ini. :)