Sepatah Dua Kata

Ahad, Mac 06, 2011

Kembali Senyum - Bab 14




Kekusutan demi kekusutan

“AKU tak faham dengan kau orang ni,” Shafikah membuka mulut, menarik perhatian semua pelajar di dalam kelas 6 Sains 1 itu.
“Maksud kau?” tanya Atiqah.
“Tentang Faziera,” jawab Shafikah.
“Huh, aku tahu kau rapat dengan dia tapi kau tak rasa tertipu ke?” Atiqah mula masuk jarum.
Shafikah melepaskan keluhan. Jam di dinding menunjuk ke angka 10.30 pagi. Waktu rehat baru saja berlalu. Kelas seterusnya akan bermula pada pukul 11.00 nanti. Justeru, fikir Shafikah, inilah masa yang sesuai untuk menyelesaikan semua kekusutan yang melanda kelas mereka.
“Tertipu? Kenapa aku perlu rasa tertipu? Faziera baru tiga bulan pindah ke sekolah ini. Rata-rata kita masih belum kenal rapat dengan dia. Lagipun, apa salahnya kalau dia nak berubah? Aku tak nampak silap dia di situ. Dia hanya mahu dirinya diterima, itu saja,” hujah Shafikah.
“Tapi dia tak ikhlas. Dia berkawan sebab tak mahu digelar kera sumbang padahal entah dia suka entah tidak kawan dengan kita semua,” giliran Atiqah membidas.
“Siapa kita untuk menilai keikhlasan seseorang. Aku sendiri boleh tanya pada kau, yang kau ikhlas ke berkawan dengan aku? Dengan semua yang ada dalam kelas ni?”
Soalan Shafikah memerangkap diri Atiqah. Terdengar bisikan dari beberapa orang pelajar di dalam kelas tersebut.
“Aku tak akan berkawan dengan orang hipokrit,” ujar Muazhim, mengejutkan seisi kelas, tambah-tambah lagi Shafikah. Atiqah tersengih sinis.
“Apa yang kau cakap tadi?”
“Aku tak suka berkawan dengan orang hipokrit,” jawab Muazhim, tanpa sedikit pun memandang wajah Shafikah.
“Kau sedar tak apa yang kau cakap hah, Muaz?” tanya Shafikah dengan mata yang terjengil.
Kelas kembali senyap-sunyi. Nampaknya hari ini penuh dengan sandiwara. Kerana Faziera, kelas mereka jadi perhatian hari itu.
“Aku malu bila jadi umpatan seluruh sekolah,” terang Muazhim.
“Kau memang dah gila Muaz! Yang sepatutnya malu adalah Faziera, bukannya kau! Kau tahukan, dia sukakan kau. Kenapa kau boleh cakap macam tu?”
“Suka? Dia memang sukakan aku tapi aku tak. Aku rasa dia pun tahu tentang tu,” balas Muazhim.
“Ka... Kau!”
“Sudahlah tu. Dari bertekak macam ni, lebih baik kau cari kawan baik kau tu. Entah ke mana dia dah lari. Silap-silap bunuh di...”
“Buk!”
 Muazhim memegang pipinya yang terasa perit. Terasa ada cecair merah yang mengalir di hujung mulutnya. Wajah Hazwan direnung tajam.
“Kurang ajar!” Muazhim bingkas bangun lalu menghalakan penumbuknya ke arah Hazwan tetapi sempat ditepis oleh lelaki itu menyebabkan Muazhim terdorong ke hadapan.
Beberapa orang pelajar perempuan menjerit ketakutan. Kelas mulai hingar-bingar sehingga menarik perhatian pelajar dari kelas-kelas lain. Beberapa orang pelajar lelaki segera menerpa ke arah Hazwan dan Muazhim bagi meleraikan pergaduhan antara mereka sementara Hazwan dan Muazhim bergelut untuk melepaskan diri masing-masing.
“Sudah! Berhenti!” jeritan Faziera menyebabkan seluruh kelas bagai baru dilanda tsunami, senyap-sunyi.

*  *  *  *  *

“KAU orang semua ni kenapa hah?”
“Ira...” ujar Shafikah, perlahan lalu segera merapati kawannya itu.
“Aku tak faham, betul-betul tak faham. Kenapa benda kecil macam ni pun nak dibesar-besarkan? Kau Hazwan! Cukuplah menganggu hidup aku lagi. Dan kau Muazhim! Terima kasih sebab hancurkan hati aku! Dan kau orang semua memang hebat! Memang manusia sempurna yang tak pernah buat silap, kan? Hipokrit? Ya, memang aku hipokrit malah aku yakin semua yang ada di sini juga hipokrit. Tapi aku tak pernah menipu tentang perasaan aku. Aku mahu berkawan dengan semua orang kerana aku tahu betapa sunyinya hidup seorang diri. Aku mahu berkawan sebab aku nak cipta kenangan manis zaman persekolahan dengan semua orang. Tapi kau orang semua dah musnahkannya. Hebat! Memang hebat!” panjang lebar bicara Faziera sebelum dia melangkah pergi.
Masing-masing menundukkan wajah. Kelas masih lagi sepi. Sama sepinya dengan hati Faziera.
*  *  *  *  *
ISMA tergelak puas mendengar kata-kata Atiqah tentang peristiwa yang berlaku sebentar tadi. Pastilah selepas ini Faziera tidak akan datang ke sekolah lagi. Silap-silap berhenti terus. Itulah, sarang tebuan jangan dijolok. Diri ini pantang dicabar. Sebelum nak cari pasal tu, tengok dulu langit tu tinggi atau rendah.
“Aku nak tanya sikit ni, betul ke rancangan tentang gambar tu, Si Muaz yang punya kerja?”
Isma pantas mengangguk.
“Aku tak faham. Kenapa dia buat macam tu?”
“Untuk cover line,
“Hah?”
“Ya, cover line. Dia sengaja gunakan Faziera,”
“Tapi dia nampak macam...”
“Lelaki yang baik? Silap besarlah siapa yang anggap macam tu. Nasib baik aku tak terkena. Itu pun sebab aku dapat tahu hubungan dia dengan Cikgu Faridatul. Dalam hati Muazhim hanya ada cikgu tu seorang saja. Dia gunakan Faziera untuk kaburi mata orang lain supaya tak syak hubungan dia dengan Cikgu Faridatul,” jelas Isma membuatkan Atiqah tercengang.

*  *  *  *  *

PUAN SARINA agak kaget menerima kepulangan anaknya hari itu kerana waktu sekolah masih belum tamat lagi. Lidahnya kelu untuk bertanya sejurus melihat wajah Faziera yang muram. Pasti ada suatu perkara besar telah berlaku di sekolah. Segera dia mendaki anak tangga, menuju ke bilik anaknya. Dia mahu tahu perkara sebenar yang membuatkan anaknya itu bersedih. Faziera tidak pernah begini kecuali... Ya Allah, takkanlah kejadian dulu berulang semula?
Langkah kaki Puan Sarina terhenti di muka pintu tatkala kedengaran esak tangis Faziera sekaligus menguatkan tanda tanya dalam hatinya. Setahun yang lalu, sewaktu Faziera masih berada di dalam tingkatan lima, anaknya pernah pulang awal ke rumah dalam keadaan sedih yang teramat.
Apabila ditanya, baharulah Puan Sarina tahu bahawa selama ini anaknya itu keseorangan tidak berteman. Atas sebab itulah Puan Sarina berkeras tidak mahu Faziera melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi kerana tidak mahu Faziera sendirian. Dia bimbang kerana Faziera tiada di depan mata.
Maka dia menghantar Faziera ke sekolah lain untuk menyambung pengajian ke tingkatan enam dengan harapan anaknya itu dapat meluaskan pergaulan dan bersedia untuk menjalin hubungan persahabatan dengan orang lain.
Dalam tiga bulan ini, dapat dirasa perubahan dalam diri Faziera di mana setiap kali pulang dari sekolah, anaknya itu akan bercerita tentang kawan-kawan dan aktiviti di sekolah. Tidak seperti dulu, diam membisu. Justeru, fikir Puan Sarina, masalah anaknya itu sudah dapat diatasi. Namun, mengapa hari ini anaknya itu dilanda duka? Ada sesuatu perkara yang buruk telah berlaku di sekolah, kah?
Perlahan-lahan, pintu bilik ditolak. Puan Sarina melangkah perlahan ke arah katil. Faziera menekup mukanya dengan bantal namun esak tangisnya jelas kedengaran.
“Ira...”
Mendengar suara mamanya, Faziera terus mendakap tubuh yang semakin lanjut usia itu. Air mata yang telah kering tadi kembali tumpah semula. Faziera menangis semahunya dalam dakapan mamanya.
“Ira tak akan percayakan cinta lagi ma, Ira tak akan percayakan cinta lagi...” ujar Faziera membuatkan Puan Sarina tergamam.
Cinta... Anaknya itu sudah dewasa rupanya...
::bersambung::


4 ulasan :

NukSe berkata...

sedihnya.. eee jahat rupanya si muazhim tu.. xsuka dia.. geram2..

Leya berkata...

kesian fazira. cinta ni memang menderitakan.

n!ce_w!nd berkata...

heh.. ternyata betul pandangan aku.. memang malang gilerr sape yg tengah bercinta nieh..

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Hati orang, kita susah nak jangka, kan...

Leya: Menderitakan jika disalah-erti.

nice_wind: Cinta itu indah sebenarnya cuma ada manusia yang tidka tahu menghargainya.

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen... :)