Sepatah Dua Kata

Isnin, April 25, 2011

Istimewa - Mengemis Rindu


::Jutaan terima kasih untuk sokongan yang diberikan semasa sesi ramah-mesra di PBAKL semalam. Justeru, sebagai penghargaan, saya sisipkan sebuah cerpen untuk tatapan semua. Serba-sedikit pengalaman saya di sana, boleh klik sini.::


“TOLONG Min, kali ni saja. Please…” rayu pemuda bercermin mata yang memakai T-shirt rona biru dengan seluar bermuda itu.
“Tak nak!” bantah Adlina.
“Ala... Tolonglah, Kali ni saja. Min janji ini yang terakhir...” pemuda itu merayu lagi.
“Banyaklah awak punya janji. Janji awak tak pernahnya boleh pakai. Dah banyak kali awak kata ini yang terakhir tapi esok lusa buat balik. Saya dah tak nak terlibat dalam kerja tak berfaedah ni...” jelas Adlina.
Wajah Faihimin berubah muram. Sampai hati Adlina tidak mahu membantunya. Bukankah selama ini gadis itu tidak punya masalah untuk menolong dia keluar dari setiap kemelut yang melanda? Mengapa kali ini tidak boleh pula?
“Hmm... Tak apalah. Mungkin Min bukan kawan Lina lagi...” ujar Faihimin berjauh hati.
Adlina tersentak. Kata-kata Faihimin seakan jarum peniti yang menyucuk-nyucuk hatinya rakus. Pedih dan perit. Walau dia tahu pemuda itu sengaja berkata demikian, entah mengapa hatinya tetap diruntun pilu. Ah, bukankah dia sudah bertekad tidak mahu kalah pada permintaan lelaki itu lagi? Apakah sebegini mudah dia mengalah pada kehendak hati?
“Betul Lina tak nak tolong Min?” Faihimin meminta kepastian sekali lagi.
Adlina diam membisu. Dia harus kuatkan semangat. Dia tidak boleh tunduk pada pujuk-rayu pemuda di hadapannya ini.
“Sampai hati Lina! Min ni kawan Lina tau!”
Adlina masih diam. Dia tidak mahu kata-kata Faihimin menggugat keputusannya. Apakah Faihimin tidak pernah mengerti bahawa tindakannya selama ini sudah cukup menghadirkan duka dalam jiwa?
“Yelah, Min tahu Min jahat. Suka gunakan Lina untuk kepentingan diri Min...” ujar Faihimin lagi, masih cuba melembutkan hati gadis yang rambutnya ditocang ekor kuda itu.
‘Sabarlah duhai hati, sabarlah... Jangan biar duka itu kembali lagi...’ bisik Adlina dalam hati.
Fine! Min minta tolong orang lain!” tinggi nada suara Faihimin, menunjukkan dia sudah tidak boleh bersabar lagi.
Jiwanya hangat dengan kedegilan Adlina. Entah angin apa yang merasuk kawannya itu sehingga menjadi keras hatinya. Faihimin lantas berpaling, mahu meninggalkan Adlina. Sudah tiada gunanya meminta bantuan gadis yang keras kepala itu.
Adlina hanya memerhati langkah kaki Faihimin yang semakin jauh dari pandangan matanya. Perlahan-lahan, sebuah keluhan berat dilepaskan. Dia terduduk di atas bangku kayu yang disediakan di taman mini berdekatan Blok Cendiakawan, salah sebuah bangunan yang menempatkan deretan kelas di sekolah tempat dia menimba ilmu.
“Maafkan Lina Min... Lina sudah tak mampu nak tahan perasaan ini lagi. Lina dah penat. Sangat penat...

*  *  *  *  *

“INI teman wanita saya,” ujar Faihimin pada gadis yang sedang berdiri di hadapannya.
Gadis bertudung litup rona biru gelap itu merenung tajam ke arah Adlina. Terasa seperti harimau yang sedang menanti untuk menerkam rakus mangsanya. Adlina pura-pura berani melawan panahan mata gadis itu sedangkan dalam hati sudah menikus.
“Habis, selama ni apa hubungan kita Min?” soal gadis memakai tag nama Sofia itu.
“Kawan. Hanya kawan,” balas Faihimin.
“Hah? Awak kejam Min! Awak layan saya dengan baik sampai saya jatuh hati kat awak. Kemudian senang-senang awak buang saya macam ni...” ujar Sofia.
“Pernah ke saya cakap nak jalinkan hubungan dengan awak?” Faihimin bertanya semula pada gadis yang sudah memerah matanya itu.
“A... Awak kejam!” bentak gadis itu lalu berlari pergi dengan linangan air mata.
Faihimin melepaskan keluhan lega. Dia memandang Adlina yang diam membatu. Gadis berambut tocang ekor kuda itu langsung tidak menampakkan sebarang riak di wajahnya.
“Thanks a lot...” ucap Faihimin pada Adlina.
“Saya harap awak tak buat macam ni lagi Min. Berubahlah... Tak elok beri harapan pada orang kalau awak tak mampu tunaikannya...” bicara Adlina.
“Min tak faham budak perempuan ni. Baru kita baik sikit, caring sikit dengan dia, dah jatuh hati. Walhal kita bukannya nak serius dengan dia pun,” ujar Faihimin.
“Hati perempuan ni mudah tersentuh Min. Awak takkan faham. Cukuplah, kalau awak nak terus begini, saya tak mahu masuk campur lagi,” tolak Adlina.
“Awak rasa dipergunakan?”
Adlina terpana. Entahlah, dia sendiri tidak mengerti hatinya. Separuh jiwanya merelakan sahaja tindakan Faihimin yang meminta dia untuk berlakon sebagai kekasih lelaki itu semata-mata untuk melarikan diri dari perempuan lain. Namun separuh lagi hatinya meronta untuk tidak lagi dipergunakan sebegitu rupa.
Sejak kebelakangan ini, bukan, sejak dulu lagi, setiap kali berada di sisi lelaki itu, dadanya bergetar hebat. Darah terasa seakan mengalir laju ke segenap tubuhnya. Apatah lagi nafasnya tidak keruan tatkala lelaki itu menatap wajahnya. Dia benar-benar tidak mengerti apa yang dialami oleh jiwanya. Dia benar-benar tidak faham apa yang bergelodak di kalbunya.
Walau bagaimanapun, Adlina tahu, hubungan antara dia dan Faihimin hanyalah kawan baik. Tidak lebih dari itu. Mereka membesar bersama. Jarak rumah mereka tidaklah jauh. Hanya sepelaung. Selalu sangat mereka bermain bersama sejak kecil lagi. Keluarga masing-masing sudah kenal benar antara satu sama lain. Ibu dan ayah Faihimin sudah seperti ibu dan ayah kedua bagi Adlina. Boleh dikatakan hubungan mereka sudah seperti adik-beradik.
Cuma, Adlina keliru dengan rasa hatinya. Kian meningkat dewasa, perasaan sayang itu kian mekar dalam jiwa. Adlina celaru. Apakah rasa sayang itu sayang seorang sahabat, sayang seorang abang atau lebih dari itu?
“Tok! Tok!”
Bunyi ketukan pintu menganggu lamunan Adlina. Seketika kemudian, pintu dikuak. Terjengul wajah ibunya dengan senyuman manis meniti di bibir.
“Belum tidur lagi?” soal ibunya, Puan Farhana.
“Belum bu, mata tak mahu lelap,” jawab Adlina sambil melangkah ke arah ibunya yang sudah duduk di hujung katil.
“Kenapa? Ada sesuatu yang Lina runsingkan?”
Adlina menggeleng. Masakan mahu dikhabarkan pada ibunya tentang rawan di hati. Biarlah, ibuya tidak perlu tahu. Biar dia sendiri yang menanggung beban perasaan itu seorang diri.
“Ibu nak beritahu kamu sesuatu,” ujar Puan Farhana.
“Apa dia bu?” Adlina bertanya lantas merebahkan kepala di peha ibunya.
Puan Farhana membelai rambut anaknya lembut. Dia tidak pasti sama ada berita yang akan disampaikan pada anaknya itu membuahkan gembira atau duka dalam hati. Dia tahu, Adlina sudah semakin meningkat dewasa. Pasti tahu menilai yang mana baik dan buruk.
“Kita akan berpindah ke Ipoh hujung bulan hadapan,” beritahu Puan Farhana.
Adlina terkesima. Dia menelan liur. Pindah? Ke Ipoh? Maknanya... Dia pantas bangun dari baringan lalu memandang wajah ibunya mohon penjelasan.
“Ayah dah berjaya naik pangkat sebagai ketua operasi di kilang tempat ayah bekerja. Jadi, dia ditukarkan ke cawangan di Perak,”
Adlina tidak tahu sama ada dia wajar bertepuk tangan atau menangis menerima khabar dari ibunya. Perasan hatinya libang-libu. Port Dickson dengan Perak jaraknya bukan dekat. Adakah ini bermaksud... dia tidak akan berjumpa dengan Faihimin lagi?

*  *  *  *  *

“LINA ni kenapa? Sejak dua menjak ni Min tengok lain benar, dah tak ceria macam dulu. Lina sakit ke?” soal Faihimin ketika mereka berdua sedang menunggang basikal ke sekolah.
Adlina memandang wajah Faihimin. Perlahan-lahan dia mengukir senyum membuatkan dahi Faihimin berkerut.
“Saya okey. Perasan Min aje tu...” jawab Adlina.
“Entah-entah Lina tengah ‘cuti’ kot. Tu yang angin satu badan aje Min tengok...” Faihimin mengusik.
Adlina mencebikkan bibir. Ke situ pula fikiran Faihimin. Tak senonoh betul.
“Oh ya, Min nak beritahu Lina sesuatu ni. Min rasa Min dah jatuh cinta tau,”
“Again?”
“Kali ni Min yakin, dialah yang diciptakan untuk Min,” tegas Faihimin.
“Sudahlah Min... Cukup-cukuplah jadi mat buaya. Awak tak kisah ke tengok hati gadis-gadis yang dah awak kecewakan? Tak ada rasa simpati?”
“Kan Min kata tadi kali ni Min tak main-main,”
“Yelah tu. Seminggu dua nanti Min cari saya suruh berlakon jadi kekasih hati Min. Tak pasal-pasal semua budak perempuan kat sekolah anti saya tau,” rungut Adlina.
Ketawa Faihimin meletus. Ada benarnya kata-kata gadis yang berbaju kurung putih dan berkain rona biru itu. Memang Adlina yang akan menjadi tempat melepaskan diri andai ada pelajar perempuan yang ingin menjalin hubungan cinta dengannya.
Bagi Faihimin, dia berkawan rapat dengan seorang perempuan hanya untuk mengisi masa lapang sahaja. Orang perempuan bagi Faihimin sangat prihatin dan penuh dengan limpahan kasih sayang. Dia suka apabila ada orang mengambil berat tentangnya. Dia gembira apabila ada yang menyayangi dirinya.
“Pelajar perempuan yang hari tu macam mana?”
“Yang mana satu?”
“Yang saya tolak untuk jadi kekasih awak tu,”
“Oh, yang tu Min tangguh dulu. Bila hati Lina dah terbuka untuk tolong Min, baru Min putuskan hubungan dengan perempuan tu,”
Mata Adlina terbeliak. Dia hampir hilang kawalan terhadap tunggangan basikalnya. Faihimin memang sudah melampau!
“Kan saya dah kata, saya tak mahu terlibat dalam hal ni lagi,”
“Sekarang mungkin Lina tolak. Esok, lusa Min yakin, Lina pasti terima...”
Dzuladilina bungkam. Dia mengayuh basikalnya pantas, meninggalkan Faihimin di belakang. Lelaki itu terjerit-jerit melaung namanya namun tidak diendahkan.
‘Esok, lusa saya tak akan berada di sisi awak lagi Faihimin...’ lafaz Adlina di dalam hati.

*  *  *  *  *

TINGGAL dua minggu lagi sebelum Adlina meninggalkan sekolah dan rakan-rakannya. Bermakna, masih ada dua minggu lagi untuk dia berada di sisi Faihimin. Lelaki itu kian jauh darinya sejak menjalin hubungan dengan seorang pelajar perempuan tingkatan empat bernama Hanisah. Adlina yakin, Faihimin masih tidak mengetahui tentang perpindahannya. Mungkin keluarganya belum bersedia untuk mengkhabarkan perkara itu pada anak mereka. Sama juga seperti dirinya. Masih tidak punya kekuatan untuk memberitahu Faihimin akan perkara tersebut.
Selebihnya, mereka jarang ketemu. Walau setiap pagi mereka akan mengayuh basikal bersama-sama, lidah ini kelu untuk berkata-kata. Tambahan apabila Faihimin tidak lagi meluangkan masa dengannya selepas tamat sesi persekolahan. Jika dahulu, kala petang, lelaki itu pasti mengajaknya ke dusun datuknya mengait buah-buahan, atau memancing di sungai di hilir kampung.
Sejak berkawan rapat dengan Hanisah, sedikit-sebanyak Adlina rasa dipinggirkan. Mungkin ini lebih baik kerana sekurang-kurangnya Faihimin tidak terlalu sedih apabila dia meninggalkan lelaki itu. Ah, masakan lelaki itu akan bersedih. Siapalah dia pada lelaki itu...
“Bangun semua! Selamat pagi cikgu,” ucap Sanjay, ketua kelas 6 Akaun 1.
Lamunan Adlina terhenti. Para pelajar mula bangun lalu mengungkap kata sama seperti Sanjay. Kemudian mereka kembali melabuhkan punggung di kerusi tempat duduk mereka tadi.
“Selamat pagi. Baiklah, pagi ini cikgu ada satu pengumman yang hendak disampaikan. Lina...” panggil Cikgu Siew Ching, yang mengajar mata pelajaran akaun merangkap guru kelas 6 Akaun 1.
Adlina bangun lalu melangkah ke hadapan kelas. Dia tahu masanya telah tiba. Semua perkara tentang pertukaran sekolah telah selamat diuruskan. Hanya tinggal untuk dia menyatakannya pada kawan-kawan. Namun, dia tidak punya kekuatan untuk itu lalu meminta jasa baik guru kelasnya untuk mengkhabarkan perihal perpindahannya pada rakan-rakan di dalam kelas.
“Untuk pengetahuan semua, minggu ini merupakan minggu terakhir Lina bersama-sama kamu. Dia akan berpindah ke Ipoh, Perak hujung bulan ni,” ujar Cikgu Siew Ching.
Kelas mulai riuh. Masing-masing saling berpandangan. Pengumuman Cikgu Siew Ching tadi nyata mengejutkan semua.
“Kenapa tak beritahu kami awal-awal?” tanya Faezah, yang duduk di meja hadapan kelas.
“Maaflah, saya tak mahu menyusahkan awak semua...” jawab Adlina lalu mencuri pandang wajah Faihimin namun tidak dapat mengesan sebarang riak di wajah lelaki itu.
“Kita kan kawan... Perkara begini tak sepatutnya di sembunyikan,” balas Faezah.
Adlina kelu. Sebenarnya dia tidak sampai hati mahu berpisah dengan rakan-rakan sekelasnya itu apatah lagi berpisah dengan Faihimin. Terlalu banyak kenangan yang telah mereka cipta bersama-sama. Namun Adlina sedar, setiap pertemuan pasti ada perpisahan dan dia seharusnya tabah.

*  *  *  *  *

ADLINA duduk di bangku kayu di bawah pohon rambutan yang rendang. Tinggal beberapa hari lagi dia akan berpisah dengan semua yang ada di sini. Sungguh hatinya dicengkam hiba yang sarat. Dia masih belum bersedia untuk menempuh duka ini. Dia masih mahu bersama-sama kawan-kawan untuk menamatkan pengajian bersama. Dia masih mahu berada di sisi lelaki itu sedikit masa lagi. Walau kebelakangan ini mereka jarang bersama, Adlina tidak kisah asalkan lelaki itu tidak jauh dari pandangan matanya. Tetapi, mulai minggu hadapan... Ah, Adlina buntu.
“Kenapa tak beritahu Min tentang hal ni?”
Adlina tersentak. Segera diseka titis-titis jernih yang bergenang di pelupuk mata. Entah bila Faihimin duduk di sebelahnya, tidak dia sedari.
“Saya ingatkan awak dah tahu. Mak awak tak cakap apa-apa?” ujar Adlina.
“Sepatutnya saya dengar dari mulut awak sendiri. Kenapa tak beritahu saya awal-awal? Kita, kan kawan baik?”
Kawan baik? Ya, pada Faihimin, hubungan mereka adalah kawan baik namun tidak pada dirinya. Jikalau Faihimin tahu bahawa dia menyimpan rasa cinta dalam hati, apakah lelaki itu tegar menerimanya? Tidak! Bukankah lelaki itu sudah punya pilihan hati? Mengapa dia masih mahu terus berharap?
“Saya tak sampai hati,” jawab Adlina.
“Hmm... Min faham. Tak apalah, ada jodoh, kita boleh jumpa lagi,” ujar Faihimin.
Adlina hanya mampu mengangguk. Sebak yang menghuni dada cuba ditahan. Dia tidak mahu Faihimin tahu perasaan hatinya. Dia tidak mahu Faihimin melihatnya sedih begitu.
“Selamat tinggal Lina,” ucap Faihimin.
“Bukan selamat tinggal, tapi jumpa lagi,” balas Adlina lalu bangun, meninggalkan Faihimin keseorangan di bangku kayu itu.

*  *  *  *  *

BEG-BEG baju sudah dimasukkan ke dalam kereta. Beberapa ketika lagi dia akan meninggalkan Kampung Baru Si Rusa ini. Entah bila dia akan kembali ke sini, dia sendiri tidak tahu. Keluarga Faihimin sudah tiba awal-awal lagi untuk membantu namun kelibat lelaki itu tiada. Kata emaknya, Faihimin sudah keluar awal pagi lagi. Mungkin ada temujanji dengan Hanisah. Apakah lelaki itu lupa yang dia akan berpindah hari ini? Atau dia sengaja tidak mahu berjumpa? Bukankah sebagai kawan baik, Faihimin wajar menghantar pemergiannya? Apakah pertemuan di bangku kayu kelmarin adalah pertemuan terakhir mereka? Hati Adlina libang-libu. Kalau boleh, dia mahu menatap wajah Faihimin sebelum melangkah pergi.
“Kak Lina, ni ada surat dari Abang Min,” ujar Fifi, adik bongsu Faihimin yang beumur sepuluh tahun.
Adlina memasukkan surat itu dalam saku seluarnya. Kedua orang tuanya sudah bersalaman dan berpelukan dengan ibu bapa Faihimin. Langkah Adlina berat untuk masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan. Kereta Proton Iswara milik ayahnya itu mula bergerak perlahan-lahan meninggalkan kawasan rumah. Semakin lama semakin jauh kelihatan lambaian tangan keluarga Faihimin. Di sebalik pohon rambutan yang rendang, Faihimin memerhati dengan hati yang sayu.
“Jumpa lagi Lina,” ucap Faihimin, sayup-sayup dibawa angin lalu...

*  *  *  *  *

SEMINGGU berlalu dan segalanya masih terasa asing pada Adlina. Rumah baru, sekolah baru, kawan-kawan baru, semuanya terasa baru. Dirinya seakan-akan Adlina yang baru. Namun, jauh di dasar hati, seringkali rindu itu datang menyapa. Dia rindukan rumah lamanya, sekolah lama, kawan-kawan lama dan rindu pada lelaki itu. Ya, lelaki itu.
Adlina duduk di atas buaian di halaman rumah dua tingkat kepunyaan syarikat ayahnya, salah satu keistimewaan yang diberi oleh syarikat sempena kenaikan pangkat ayahnya. Langit petang itu agak kelam diselubungi mega hitam yang berambal-ambalan di dada langit. Cahaya mentari malap, seakan malas mahu menyerlahkan sinarnya. Seolah-olah memahami hati Adlina yang rawan.
Di dalam genggaman tangan kanan gadis itu punya sepucuk surat. Surat yang membuatkan hati Adlina keliru, celaru, ragu dan semuanya berbaur menghasilkan satu rasa yang menyakitkan. Entahlah, Adlina tidak tahu dia wajar gembira, melonjak kesukaan atau bersedih tatkala isi kandungan surat itu dibaca.

Buat gadis yang senyumannya semanis madu,

Min yakin, Lina pasti terkejut apabila menerima surat ini dan Min juga yakin yang Lina akan lebih terkejut apabila membaca apa yang Min akan katakan sebentar lagi. Terlebih dahulu Min mohon maaf sebab tidak dapat menghantar pemergian Lina. Bukan Min tak mahu jumpa Lina tapi Min tak punya kekuatan untuk berhadapan dengan Lina.

Lina,
Min harap apa yang akan Min katakan sebentar lagi tidak akan membuatkan Lina benci pada Min. Min pinta agar Lina terima dengan hati yang terbuka dan fikiran yang rasional. Min tahu, Lina seorang gadis yang tabah.
Lina masih ingat, sebelum Lina berpindah, Min rapat dengan Hanisah, junior kita di sekolah? Terus-terang, apabila Min bersama-sama Hanisah, hanya jasad Min berada di sisinya tetapi fikiran Min, hati Min, sudah dibawa lari oleh seseorang. Dan orang itu adalah Lina. Ya, Lina!
Jangan terkejut. Min belum habis bicara lagi. Selama ni Min anggap Lina kawan baik Min. Kawan yang sentiasa ada di sisi Min kala Min perlukan semangat dan pertolongan. Tapi, entah bagaimana, bila Lina jauh dari Min, ada rindu yang berputik. Mulanya Min nafikan rasa rindu itu. Mungkin hanya mainan perasaan.
Namun, jauh di sudut hati Min akui, perasaan yang Min rasakan pada Lina bukanlah perasaan sayang pada seorang sahabat baik. Lina terlalu dekat dengan Min sehingga Min tak perasan kepentingan Lina pada Min. Min butakan mata, pekakkan telinga. Min tak sedar langsung pandangan mata Lina yang penuh rasa cinta pada Min.
Sampai ketika Min dengar yang Lina akan berpindah, hati Min terus resah, gementar. Min tidak dapat bayangkan hidup Min tanpa menatap wajah Lina, tanpa mendengar suara Lina, tanpa melihat senyuman Lina.
Tapi Min tak tahu bagaimana mahu luahkannya. Min takut andai Lina fikir yang Min seorang lelaki yang tidak tetap pendirian. Min tak mahu Lina fikir yang Min seorang yang mudah berubah hati. Tidak, Min bukan begitu Lina. Perasan Min pada Hanisah hanyalah sekadar suka. Ia bukan cinta. Bila bersama-sama Hanisah, Min tak rasa hangat dan selesa seperti mana Min berada di sisi Lina.

Lina,
Apalah gunanya luahan perasan ini lagi tapi Min hanya nak Lina tahu perasaan hati Min. Min rasa lega Lina. Lega kerana tidak lagi menipu diri sendiri. Maafkan Min. Maafkan Min sebab tak dapat berada di sisi Lina...

Titis-titis air mata jernih jatuh ke atas helaian kertas yang dipegang di hadapannya. Dia dicengkam sebak yang amat berat. Mengapa Faihimin tidak meluahkan apa yang terbuku di hati sebelum dia berpindah? Mengapa baru sekarang lelaki itu mengakui akan perasaan cinta yang bersemi di hatinya? Tidakkah Faihimin sedar bahawa dia seorang yang pentingkan diri? Tidakkah Faihimin tahu bahawa dengan berbuat begini, lebih menoreh luka di hati?
“Lina!”
Ah, suara lelaki itu bergema di cuping telinganya. Sungguh rasa rindu yang menghuni di kalbu sudah semakin sarat. Betapa dia rindukan lelaki itu. Amat rindu!
“Lina!”
Kali kedua suara itu menyapa. Masakan lelaki itu ada di hadapannya kala ini. Jarak dari Ipoh bukannya dekat dengan Port Dickson. Dia pasti sedang berhalusinasi.
“Lina!”
Kali ini Adlina mendongakkan kepala, mencari empunya suara yang memanggilnya tadi. Anak mata Adlina membulat. Bagai tidak percaya, orang yang sangat dirindu kini benar-benar berada di hadapannya. Bermimpikah dia?
Faihimin mengukir senyum. Dia melambaikan tangan kanan, menggamit agar Adlina berjalan ke arahnya. Adlina yang masih dalam kejutan cuba menggerakkan kaki namun tidak berdaya. Bagai sudah dipaku kakinya di situ. Dia masih tidak percaya jasad di hadapannya itu adalah lelaki yang mencintainya.
“Lina! Ini sayalah, Faihimin,” teriak Faihimin.
Adlina tersentak. Ya, dia tidak bermimpi. Memang benar Faihimin yang berada di hadapannya itu. Dia pantas mengatur langkah, berlari anak ke arah Faihimin yang segak bergaya kasual.
“A... apa yang awak buat kat sini?”
“Esok hari Sabtu, cuti, jadi saya datang sini nak melawat awak. Saya... rindukan awak...” ucap Faihimin dalam senyuman.
Wajah Adlina merona merah, menahan malu mendengar kata-kata Faihimin tadi. Serasa mahu luruh jantungnya apabila menatap wajah yang sekian lama menghuni dasar hati. Adlina membalas senyuman Faihimin dengan hati yang lapang. Kini, dia tidak perlu lagi mengemis rindu dari lelaki itu. Dalam hatinya saat ini hanya ada satu rasa, bahagia!

Tiada ulasan :