Sepatah Dua Kata

Ahad, April 10, 2011

Kembali Senyum - Bab 15



Kejujuran

HAZWAN mundar-mandir di hadapan pintu pagar rumah teres itu. Hatinya acuh tak acuh. Perlukan ditekan loceng yang terdapat pada pintu pagar itu atau pulang saja ke rumah? Tapi, kerisauan di dalam hati perlu segera disingkirkan. Semalaman dia tidak dapat melelapkan mata memikirkan keadaan gadis yang mendapat tempat di hatinya itu.
Tambahan pula Faziera tidak hadir ke sekolah hari ini. Justeru, selepas tamat waktu persekolahan, dia bergegas ke rumah Faziera dengan harapan dapat berjumpa gadis itu walau jauh di sudut hati dia tahu, Faziera tidak akan mahu bertemunya lagi.
“Anak ni siapa?”
Hazwan tersentak lantas terdorong ke belakang sedikit. Terkejut dengan teguran yang tiba-tiba itu. Di hadapannya ada seorang wanita yang memaki blaus lengan panjang rona biru muda dengan tudung putih susu.
“Err... Faziera ada makcik?”
“Kawan Ira ya?”
Hazwan mengangguk.
“Masuklah, nanti makcik panggilkan dia,” ujar Puan Sarina sambil membuka pintu pagar.
“Err... Tak apalah makcik. Saya terlupa saya ada hal. Minta diri dulu ya,” balas Hazwan lantas berpaling namun terhenti apabila mendengar namanya dilaung.
Hazwan menoleh semula ke belakang dan wajah Faziera yang sembab menyapa pandangannya.

*  *  *  *  *

“CIKGU tak dapat teruskan hubungan ni. Cikgu harap Muaz faham,”
Muaz tergamam seketika. Dia pasti dia tidak salah dengar. Cikgu Faridatul mahu memutuskan hubungan dengannya?
“Saya tak faham. Kenapa tiba-tiba cikgu buat keputusan macam ni?”
“Cikgu akan berkahwin. Dengan pilihan keluarga,” terang Faridatul.
“Tidak! Cikgu tak boleh terima! Saya sayangkan cikgu!”
Faridatul menarik nafas panjang lalu melepaskannya perlahan-lahan. Dia sudah menjangka akan reaksi Muazhim dan dia sudah pun bersedia untuk menghadapinya.
“Hubungan kita terlalu banyak halangan dan risikonya. Sejak dari dulu lagi cikgu tak yakin dengan hubungan ni tapi Muaz degil!” Faridatul bersuara tegas.
“Cikgu salahkan saya?”
“Tidak, bukan itu maksud cikgu tapi cikgu nak tengok Muaz bahagia, bukannya menderita,”
“Kebahagiaan saya hanya ada pada cikgu,”
“Tapi cikgu tak mampu nak berikan kebahagiaan itu pada Muaz,”
Dahi Muaz berkerut. Selama ini dia berusaha menambat hati wanita di hadapannya ini. Masakan tidak tersentuh walau sedikit pun pintu hatinya?
“Cikgu dah terima lamaran tersebut. Lupakan saja cikgu,”
“Tak! Jangan mengarut! Saya sayangkan cikgu! Saya tak akan benarkan lelaki lain memiliki cikgu!” ujar Muazhim seakan memberi amaran.
“Maafkan cikgu,” hanya itu saja yang mampu Faridatul ucapkan.
Perlahan-lahan dia bangun, meninggalkan Muazhim keseorangan di restoran Selera Kita itu. Muazhim merenung meja dengan rasa yang berbaur. Tidak! Dia tidak akan melepaskan Cikgu Faridatul! Itu tekadnya!

*  *  *  *  *

KEBISUAN masih membelenggu kedua-duanya. Sejak sepuluh minit yang lalu, Faziera mahupun pemuda yang duduk di sofa di hadapannya tidak bersuara. Masing-masing melayan angan. Walau terlalu banyak persoalan yang bersarang di minda, entah mengapa lidah keduanya menjadi kelu.
“Err...” akhirnya Hazwan membuka mulut namun segera dikatup semula apabila kelibat Puan Sarina menghampiri dengan dulang berisi dua gelas kosong dan jug air sirap. Turut disertakan beberapa keping kek pisang di dalam piring kecil.
“Jemputlah minum ya,” pelawa Puan Sarina, ramah.
“Terima kasih makcik, buat susah-susah aja,” balas Hazwan, sekadar berbasa-basi.
Puan Sarina kemudiannya meminta diri. Mahu angkat kain di jemuran katanya. Hazwan tahu, wanita itu sengaja mahu memberi peluang kepada mereka berdua untuk berbicara. Hazwan melihat Faziera mencapai jug berisi air sirap lalu dituangkan ke dalam gelas.
“Minumlah,” ujar Faziera seraya menyuakan sebiji gelas pada lelaki yang masih berpakaian seragam sekolah itu.
“Terima kasih,” jawab Hazwan lantas menyambut huluran tangan Faziera. Diteguk perlahan air sirap tersebut. Terasa tekaknya sedikit lega.
“Sekolah macam mana?” Faziera bertanya tanpa memandang wajah Hazwan.
“Macam biasa aja,”
“Tipulah!”
“Betul, tak ada apa pun yang menarik,” ujar Hazwan.
Suasana kembali sepi. Bunyi kipas kedengaran di ruang tamu rumah teres dua tingkat itu. Sempat Hazwan melirikkan matanya, memerhati sekitar. Ini kali pertama dia menjejakkan kaki ke rumah Faziera. Itupun puas dia bertanyakan alamat rumah gadis ini pada Shafikah.
Mulanya Shafikah agak keberatan tetapi setelah diterangkan tujuannya, barulah Shafikah bersetuju. Gadis itu mahu mengikut tetapi dilarang olehnya kerana perkara yang mahu dibincangkan dengan Faziera lebih bersifat peribadi.
“Ada yang bertanyakan aku?” soal Faziera.
“Ika,”
Jawapan Hazwan mengundang senyum kecil di bibir gadis yang memakai blaus lengan panjang rona biru cari dengan track-bottom warna putih itu. Tanpa sedar, dirinya juga turut mengukir senyum. Terasa lega melihat wajah gadis itu yang sedikit ceria.
“Ada apa kau nak jumpa aku ni?”
“Saja,”
“Saja?” ulang Faziera dengan kening yang diangkat, tanda hairan.
“Wan risaukan Faz,” ujar Hazwan, jujur.
Faziera tersengih. Dia mengangkat wajah, menyapa mata lelaki yang pernah mencoret luka di hati. Benar, dapat dilihat riak ikhlas di mata lelaki itu. Tapi, ada curiga yang bertunas di dalam hati.
“Apa tujuan kau sebenarnya?”
“Faz dah salah faham. Bukan Wan yang tampal gambar tu. Wan tak tahu-menahu pun,” jelas Hazwan.
“Aku tahu dan aku minta maaf. Aku tak patut tuduh kau. Tapi tak tahulah kenapa aku jadi marah sangat pada kau. Mungkin sebab...” Faziera tidak jadi meneruskan kata.
“Sebab Wan pernah lukakan hati Faz?” duga Hazwan.
Kesunyian kembali menggamit. Faziera memalingkan wajahnya apabila mata mereka bertemu. Dadanya terasa bergetar. Tidak, tak mungkin masih ada sisa-sisa cinta pada lelaki ini.
“Kenapa kau kembali Hazwan?”
“Wan dah terangkan dulu. Wan mahu tebus kesalahan Wan pada Faz,”
“Kesalahan? Sebab menolak cinta aku? Sudahlah, itu perkara lama,” balas Faziera.
“Ya, perkara lama yang menyedarkan Wan tentang perasaan sayang yang ada dalam hati Wan, untuk Faz,”
“Mengarut!” bentak Faziera.
“Wan serius!”
“Tolonglah, jangan kusutkan keadaan lagi. Aku dah lupakan hal tu. Kenapa kau nak ingatkan aku balik?”
“Sebab Wan sayangkan Faz,”
“Gila!”
“Dengar dulu penjelasan Wan...”
Faziera mencapai sebiji lagi gelas yang memang sudah dituang dengan air sirap sejak tadi. Diteguknya beberapa kali lalu diletakkan semula di meja hadapannya.
“Baiklah, sekarang aku nak dengar penjelasan kau,” ujar Faziera lalu memandang tepat ke arah wajah Hazwan yang sedang tersenyum nipis.
::bersambung::

2 ulasan :

NukSe berkata...

waa dh lama saya tungu entry kembali senyum.. akhirnya.. hehe tp sikit sgt la.. hehe smbg lg k..

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Hehehe... Maaf sangat-sangat sebab kebelakangan ini agak sibuk sedikit dengan kerja di pejabat. Insha-Allah, selepas ini boleh fokus menulis kembali.

Berbanyak terima kasih atas kesudian mengikuti cerita ini. Saya amat hargainya! (^_^)