Sepatah Dua Kata

Ahad, April 17, 2011

Kembali Senyum - Bab 16

Kebenaran

“DUA minggu selepas habis SPM, ayah Wan telah ditimpa kemalangan,” ujar Hazwan membuka mulut, sekaligus mengejutkan Faziera.
“Kemalangan?”
“Ya, dan sehari selepas tu, ayah meninggal,” beritahu Hazwan, tenang.
Faziera menundukkan wajah. Ada sendu yang bermukim di hati. Lelaki di hadapannya ini sudah hilang salah satu tempat bergantung. Lelaki ini tidak akan mengecapi kasih sayang dari seorang bapa lagi. Simpati Faziera mencurah.
“Tak lama lepas tu, Wan dapat tawaran ke USM tapi Wan tolak sebab Wan perlu jaga keluarga. Kesihatan mak pun tak berapa baik lepas ayah meninggal. Wan masih ada dua orang adik yang perlu diberi perhatian. Jadi, sebelum masuk ke tingkatan enam, Wan cari kerja sambilan. Alhamdulillah, dapat juga bantu mak sikit-sikit,”
“Kau masih bekerja sekarang?” tanya Faziera, ingin tahu.
“Ya, waktu malam. Wan jual burger,”
“Hah?”
Hazwan tergelak kecil ketika melihat reaksi dari wajah Faziera. Gadis itu terang-terang seperti tidak percaya dengan apa yang dikatakannya.
“Ya, Wan jual burger. Nanti ada masa Wan bawa Faz singgah ya,”
“Huh, tengoklah kalau senang,” balas Faziera dengan wajah yang dicebikkan, geram melihat Hazwan mentertawakannya tadi.
“Jadi, kenapa kau muncul kat sekolah tu?” sambung Faziera.
Hazwan membetulkan duduknya sebentar lalu berdehem. Dia mula bercerita tentang pertemuan yang tidak dijangka dengan Faziera dulu. Waktu itu dia bekerja sebagai pelayan di sebuah restoran dan ternampak kelibat Faziera yang keluar dari kedai serbaneka di seberang jalan. Terus dia teringatkan surat-surat cinta yang pernah ditulis oleh Faziera padanya dulu. Dan entah mengapa, ada perasaan aneh yang menghuni hatinya sejak itu.
Pertemuan kedua pula berlaku ketika dia ternampak Faziera sedang membeli peralatan tulis di sebuah kedai buku. Sengaja tidak mahu menegur kerana Faziera sedang bersama mamanya. Apabila terdengar perbualan mereka tentang Faziera yang akan masuk belajar di tingkatan enam di Sekolah Sri Saujana, maka dirasakan inilah peluang untuk menebus kesalahannya dahulu.
Lalu, dia mengambil keputusan untuk menyambung pelajaran di tingkatan enam. Dalam masa yang sama, dia boleh mengumpul duit untuk melanjutkan pengajian di peringkat universiti nanti. Tambahan pula, emaknya juga sudah mula berniaga nasi lemak pada waktu pagi dan lauk-pauk pada waktu tengah hari. Dan malamnya, dia akan menggantikan tempat emaknya dengan menjual burger.
Walau terasa penat, tetapi sudah tanggungjawabnya sebagai anak sulung untuk membantu dalam meringankan beban keluarga. Kata orang, biarlah bersusah-susah dahulu, baru bersenang-senang kemudian.
“Jadi, siapa yang letak gambar aku dengan board sekolah tu?”
“Kau masih tak tahu?” soalan Faziera dibalas dengan soalan oleh Hazwan.
Gelengan Faziera membuatkan Hazwan mengeluh. Nyatalah Shafikah belum sempat untuk menceritakan hal sebenar pada gadis itu.
“Kau tahu kenapa aku dengan Muaz bertumbuk hari tu?”
Sekali lagi Faziera menggeleng.
“Sebab dia kutuk kau. Dia kata sebab kau dia dimalukan,”
Darah terasa laju menyerbu ke muka. Muazhim berkata begitu tentang dirinya? Tak! Tak mungkin!
“Kau tak percaya?” tanya Hazwan sambil tersengih.
“Kau boleh tanya budak kelas yang lain. Mereka sendiri dengar Muaz cakap macam tu,”
Faziera rasakan tangannya menggigil. Muazhim bernar-benar buat dia penasaran! Lelaki yang selama ini disangka dapat melindunginya, rupanya seperti api dalam sekam. Benarlah kata pepatah, jangan menilai kandungan buku itu dari rupa luarannya.
“Jadi, siapa yang letak gambar aku tu?” Faziera mengulangi soalannya semula.
“Isma,” jawab Hazwan, pendek.
Mendengar nama gadis itu terluah dari mulut Hazwan, Faziera tersandar di sofa. Isma... Patutlah Atiqah tahu tentang sejarah hitamnya. Rupanya dari Isma. Tetapi, dari mana pula Isma tahu tentang kisah hidupnya dulu?
“Wan harap Faz sedar yang Wan tak rancang semua tu. Wan tak akan sesekali sakiti Faz selepas apa yang Wan dah lakukan dulu,” ujar Hazwan membuatkan Faziera tersentak.
Mereka kembali dicengkam sepi. Hazwan membiarkan gadis di hadapannya ini menghadam setiap perkara yang dijelaskan tadi. Dia mahu Faziera mengerti bahawa kasih dan sayangnya pada gadis itu bukan lagi satu gurauan. Dia benar-benar menyayangi Faziera setulus hati.
“Em, Wan minta diri dulu. Jangan lupa datang ke sekolah esok. Ika dan kawan-kawan yang lain tunggu kedatangan Faz,” ujar Hazwan lalu bangun dari sofa dan melangkah pergi meninggalkan Faziera yang masih menunduk dengan hati yang berbelah-bagi.

*  *  *  *  *

LANGIT malam yang hitam pekat ditatap lesu. Walau ada rembulan yang kelihatan, tetapi cahayanya tidak cukup bersinar. Sesekali bayu bertiup menyapa wajah mulusnya, menghantar sedikit dingin. Faziera melepaskan keluhan berat. Kedatangan Hazwan siang tadi benar-benar membuatkan hatinya berantakan. Keliru dan celaru. Benarkah kembalinya lelaki itu untuk menyayangi diri ini seikhlas hati?
            Kenangan lalu diselak semula. Hazwan memang lelaki pujaan ramai. Sama seperti Muazhim. Dan dirinya juga telah melakukan kesilapan yang serupa kerana menyintai lelaki sehebat mereka berdua. Tidak sedar dia adalah seorang gadis yang tidak yakin pada diri sendiri. Akibatnya, memang dia sengaja menempah nahas. Sendiri mencari bala.
            Namun, sedikit-sebanyak hatinya tersentuh dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Hazwan. Walau lelaki itu pernah memalukan dirinya, tetapi Hazwan kelihatan bersungguh mahu menebus silapnya semula. Tidak dinafikan, masih ada bara amarah yang terpendam jauh di sudut hati tetapi hanya tinggal sisa. Sedikit demi sedikit, masa telah merawat luka di hati. Justeru, perlukah dia memberi Hazwan peluang sekali lagi?
            Faziera menggeleng. Cukuplah, dia tidak mahu melibatkan diri dengan perasaan hati lagi. Buat masa ini, lebih baik dia memberi sepenuh perhatian pada pelajaran. Itu yang lebih utama. Soal hati, jika dilayan, ia akan membakar diri. Bukankah kerana terlalu ikutkan perasaan, dia telah terjebak ke kancah derita?
            Bunyi pin tu diketuk mengembalikan semula Faziera ke alam nyata. Wajah mamanya kelihatan terjengul di sebalik pintu. Pandangan mamanya begitu lembut dan sayu.
            “Belum tidur lagi?” soal Puan Sarina sejurus menghampiri anaknya yang sedang berdiri di tepi jendela.
            “Dah nak tidur dah ni,” jawab Faziera.
            “Esok ke sekolah?”
            “Belum pasti ma,”
            “Hmm... Berehatlah. Jangan tidur lewat sangat. Selamat malam,” ujar Puan Sarina lalu mengucup ubun-ubun anak gadisnya itu penuh kasih.
            “Selamat malam mama,” balas Faziera lalu menghantar pemergian mamanya dengan pandangan mata.
            Faziera kembali menghalakan pandangan ke luar jendela. Adakah hidupnya akan terus kelam seperti langit malam?

*  *  *  *  *

PAGI Khamis itu cuaca agak mendung. Awan gelap kelihatan di ufuk timur, menutup sinar mentari. Hazwan mengambil tempat duduk di kelas seperti biasa. Rata-rata pelajar sudah sampai untuk meneruskan sesi pembelajaran pada hari ini. Hazwan memandang pada kerusi yang terletak di sebelah Shafikah. Kosong, seperti semalam. Nampaknya, Faziera masih belum bersedia untuk ke sekolah.
Shafikah yang perasan akan pandangan Hazwan mengangkat tangan kanannya lalu digoyangkan ke kiri dan ke kanan untuk menarik perhatian lelaki itu. Keningnya diangkat lalu kedua belah matanya ditujukan pada kerusi di sebelah. Memberi isyarat pada Hazwan bertanyakan tentang kehadiran Faziera. Dan gelengan kepala yang diterima dari lelaki itu ternyata mengecewakan. Perlahan-pahan, sebuah keluhan dilepaskan.
Mungkin dia perlu bertemu dengan gadis itu. Shafikah tahu Faziera sedang mengalami tamparan yang besar. Jika dia di pihak gadis itu pun belum tentu dia akan hadir ke sekolah. Silap-silap dia mengambil keputusan untuk berpindah. Tapi Shafikah tahu, Faziera seorang yang optimis. Biarlah kawannya itu merawat luka di hati dahulu.
Kelibat Muazhim yang bergandingan melangkah masuk ke kelas bersama Atiqah membuatkan Shafikah berasa jengkel. Tidak menyangka yang lelaki pujaan ramai itu bersikap pentingkan diri. Muazhim ternyata nampak seperti lelaki yang baik tetapi hakikatnya, lelaki tersebut sangat egoistik.
Kasihan pada Faziera apabila menjadi mangsa lelaki itu. Faziera gadis yang naif. Perasaannya pada Muazhim walaupun tidak sempat diluahkan, tetapi jelas ketara dilihat. Tapi sayang, Muazhim buta dalam menilai perasaan hati Faziera. Sekarang, isu Faziera sudah tidak kedengaran. Yang menjadi perbualan hangat adalah siapa perempuan yang berada di dalam gambar bersama Muazhim itu.
Setakat ini terlalu banyak khabar angin yang kedengaran. Ada yang mengatakan perempuan di dalam gambar tersebut adalah pelajar sekolah ini. Tidak kurang juga mengatakan yang perempuan itu kakak kepada Muazhim. Ya, memang lelaki itu mempunyai seorang kakak tetapi setahu Shafikah, kakak Muazhim sedang melanjutkan pengajian di luar negeri. Dan yang memeranjatkan apabila ada yang mengesyaki perempuan di dalam gambar itu adalah perempuan luar yang lebih tua dari Muazhim atau dalam erti kata lainnya, Muazhim merupakan seorang gigolo!
Shafikah mengerling sekilas pada Muazhim yang sudah pun duduk di tempatnya. Lelaki itu sejak kebelakangan ini rapat dengan Atiqah dan Isma. Khabar-khabar angin yang tersebar sedikit pun tidak menganggu ketenteraman lelaki itu malah pada Shafikah, Muazhim suka akan perhatian yang diberi padanya.
Kelas yang tadinya riuh dengan suara para pelajar berbual tiba-tiba senyap-sepi. Shafikah berpaling pada pintu masuk kelas. Perlahan-lahan, bibirnya mengorak senyum.
“Ira!” jerit Shafikah lantas bangun menuju ke arah kawannya itu.
Tangan Faziera diraih lalu dia menarik Faziera menuju ke mejanya. Faziera pula dapat merasakan setiap pasang mata yang berada di dalam kelas itu tertumpu ke arahnya. Beg sekolah yang disandang pada bahu dilucutkan lalu dibiarkan bersandar pada badan kerusi.
“Kau datang juga Ira!” ucap Shafikah berbaur ceria.
“Aku bukannya sakit. Takkan nak ponteng kot,” balas Faziera dalam tawa kecil.
Dari tempat duduk belakang, Hazwan mengukir senyum. Dia gembira kerana Faziera sudah kembali semula. Sementara itu, Atiqah memandang dengan mata yang mencerun. Dialihkan pandangan pada Muazhim yang sejak tadi tidak lekang menatap ke arah wajah tersebut. Tak boleh jadi ni! Dia harus beritahu pada Isma!
::bersambung::

2 ulasan :

NukSe berkata...

dalam dunia ni, mmg ramai org yg hasad dengki kan?? hbt godaan syaitan ni..

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Mudah-mudahan kita semua terpelihara dari sifat-sifat mazmumah sebegitu...

Terima kasih sudi singgah membaca. :)