Sepatah Dua Kata

Sabtu, Mei 28, 2011

Cinta Yang Terlewat - Teaser




YUSLEENA mampir pada kakak sulungnya yang sedang asyik meneliti fail di atas meja. Tahun ini genap umur kakaknya 25 tahun, tua dua tahun darinya. Sudah wajar punya kekasih hati namun sehingga kini kakaknya itu masih belum menunjukkan tanda-tanda yang hatinya sudah dimiliki. Sekejap, adakah kakaknya tidak membenarkan dia menjalin hubungan dengan Muzri kerana cemburu akan dirinya yang sudah berpunya? Ah, mustahil! Kakaknya bukan seorang yang ortodhoks. Justeru, mengapa bila diperkenalkan Muzri, kakaknya beriya-iya menentang?
“Tekunnya orang tu buat kerja,” tegur Yusleena, mengejutkan kakaknya.
“Kus semangat… Kau ni Yus, cuba lain kali bagi salam dulu,” omel Masriza.
Yusleena mengukir senyum kecil. Matanya meliar seketika, memerhati segenap inci kedai bunga yang diusahakan kakaknya itu.
“Hah, datang ni nak apa?”
“Bosanlah duduk rumah. Itu yang Yus datang, nak tolong akak,”
“Bosan apanya. Awak tu nak final exam minggu depan. Pihak kolej bagi cuti seminggu untuk baca buku, bukan untuk merayap,” bebel Masriza.
Yusleena menekup dua belah telinga dengan tapak tangan, tanda protes terhadap bebelan kakanya. Masriza menggeleng. Dia kembali meneliti dokumen di dalam fail. Sehelai demi sehelai kertas diselak.
“Kak…”
“Hmm…” Masriza menjawab pendek.
“Boleh Yus tanya sesuatu?” soal Yusleena.
“Hmm…”
“Boleh tak?”
“Apa dia?”
“Kenapa akak tak benarkan Yus bercinta dengan Muz?”
Selakan Masriza terhenti. Dia mengangkat wajah, memandang Yusleena yang tampak tenang. Fail di atas meja ditutup. Matanya merenung mata Yusleena dalam-dalam.
“Akak minta maaf. Akak memang tak setuju Yus dengan Muz,” jawab Masriza.
“Tapi kenapa?”
“Sebab Muz adalah adik pada lelaki yang menghadirkan luka dalam hati akak,” Masriza akhirnya meluahkan.

p/s: Cerpen ini akan disiarkan pada 01 Jun 2011. Bingkisan istimewa buat anda semua. Mulai Jun ini, bersama-sama semangat baharu, akan terus menulis dengan sokongan rakan pembaca sekalian. Jemput singgah ke FB Page saya di sini. (^_^)

Tiada ulasan :