Sepatah Dua Kata

Isnin, Mei 02, 2011

Diari Cinta Dhaniyah - Diari 01




02 Mei 2005
09.00 malam

SEBUAH fasa baharu dalam hidupku kini bermula. Fasa yang pastinya akan mencoret pelbagai suka dan duka sebagai kenangan yang tidak akan mungkin aku lupakan sampai bila-bila. Fasa yang akan mengajar aku menjadi insan yang lebih matang. Dan fasa yang akan membuatkan aku lebih memahami erti hidup ini. Oh, sebelum aku membebel lebih panjang, moleklah kiranya aku memperkenalkan diri dahulu.
Diberi nama Nurul Dhaniyah yang bermaksud “cahaya yang bermutu”. Kata emak, arwah nenek yang memberi nama itu padaku. Nama yang sepatutnya diberikan pada adik emak yang bongsu yang meninggal dunia sewaktu dalam kandungan. Betapa aku rasa bernilai dikurniakan nama sebegitu. Maksudnya juga baik. Semoga aku dapat menjadi cahaya dalam hidup keluargaku.
Bulan Ogos nanti genaplah umurku 18 tahun. Umur yang bagiku bukanlah petanda aku sudah semakin melangkah ke alam dewasa. Tidak… 18 tahun masih lagi dikategorikan sebagai remaja. Cuma ada segelintir yang merasakan umur 18 tahun sudah layak bersikap seperti orang dewasa namun ternyata mereka silap. 18 tahun adalah satu angka yang masih terlalu muda. Terlalu muda untuk berlagak dewasa.
Aku anak ketiga daripada empat orang adik-beradik. Tiga bunga dan seekor kumbang. Abangku yang sulung berumur 25 tahun. Seorang pemandu kapal terbang atau istilah pendeknya, juruterbang. Ala, senang cakap pilot. Tahu pilot? Kalau tak tahu, pergi ‘Google’. Kakak pula berumur 23 tahun. Berada dalam tahun akhir pengajian dalam bidang entomologi. Apa benda entomologi tu? Kalau nak tahu, itulah bidang kaji serangga. Jangan tanya padaku kenapa kakak memilih bidang itu. Sudah minatnya, apa yang boleh aku kata.
Ah, sejak kecil lagi kakak tidak pernah geli bila nampak serangga seperti pepatung, kumbang mahupun lipas. Eh, lipas itu serangga ke? Bau-bau bacang agaknya.  Aku masih ingat suatu ketika di mana sewaktu emak sedang membersihkan dapur, tiba-tiba muncul seekor lipas dengan tiga orang anaknya. Silap, tiga ekor adalah penjodoh bilangan yang betul. Waktu itu kalau tidak silap umurku tujuh tahun. Aku lihat wajah emak sudah pucat lesi lantas beberapa saat kemudian, emak mula menjerit kegelian. Aku yang kebetulan sedang duduk di atas meja menikmati coklat Cadbury yang dibeli ayah, segera mengangkat kaki naik ke atas kerusi.
Mendengar jeritan emak, kakak segera berlari ke dapur. Dengan pantasnya kakak mengambil penyapu lalu mengibas lipas dengan anak-anaknya itu keluar menerusi pintu dapur. Emak pula menyeringai melihat tindakan kakak. Sepatutnya kakak mengambil penyembur serangga bukannya penyapu! Balas kakak, dia tidak sampai hati mahu membunuh lipas-lipas itu. Mendengar jawapan kakak, aku ketawa berdekah-dekah sementara emak sudah menarik muka masam. Sekarang aku tahu dari mana aku warisi sikap takut akan serangga itu. Sudah nama pun genetik dari emak.
Hah, adik yang bongsu pula masih bersekolah dalam tingkatan empat. Kalau sudah nama anak bongsu, manjanya bukan main lagi. Selalu terliuk-lintuk macam lalang. Suka benar meleser-leser dengan emak. Tak boleh berenggang langsung. Sesekali rasa meluat tu ada juga. Tapi dah lumrah anak bongsu manja begitu, nak buat macam mana.
Aku sekarang berada di dalam sebuah bilik asing yang menempatkan dua buah katil, dua buah almari besi dan dua buah meja tulis. Cubalah teka di mana? Malas nak teka? Ish, ish, ish... Sesekali otak tu kena perah sikit biar dia tak berkarat. Soalan senang macam tu pun malas nak jawab. Belum lagi bagi soalan Theorem Phytagoras. Menggigil anak tekak nak jawab nanti.
Bakal bergelar pelajar universiti dua hari lagi, di sinilah aku berada. Di asrama siswi yang menempatkan pelajar-pelajar baharu yang berpusu-pusu mendaftar pagi tadi. Bangunan asrama tiga tingkat ini menempatkan lima belas bilik dalam satu dorm atau dipanggil wing di asrama ini. Satu bilik dihuni oleh dua orang. Bermaksud, ada 30 orang kesemuanya di dalam sesebuah wing. Dari mana datangnya istilah wing ini, sila jangan tanya aku. Aku kan pelajar baru.
Sebulan yang lalu, tika abang posmen berjanggut sejemput yang selalu menghantar surat (dah nama pun posmen, takkan hantar bergedil pula), ke kawasan rumahku itu membunyikan hon motosikalnya, aku dengan berlagak ayu ala-ala Vanida Imran dalam filem The Red Kebaya melangkah sopan ke arahnya.
Sebuah sampul berwarna coklat dihulurkan padaku dengan senyuman. Comelnya! Macam senyuman Fahrin Ahmad gitu. Usai mengucapkan terima kasih, sampul berlogo UiTM itu aku tatap sejenak. Tiba-tiba dadaku berdebar kencang. Terketar-ketar tangan membuka sampul tersebut. Ada beberapa dokumen di dalamnya. Membaca helaian pertama, hatiku menarik nafas lega. Syukur, aku diterima masuk ke UiTM cawangan Segamat, Johor dalam jurusan Pengurusan Perniagaan. Jurusan yang memang aku minati kerana cita-citaku mahu menjadi seorang usahawan kerana aku ini tidak berapa gemar bekerja di bawah telunjuk orang. Nanti, bolehlah aku aplikasikan apa yang akan aku belajar supaya perniagaan aku maju. Cewah, dah berangan panjang nampak.
Ketika aku menyampaikan khabar gembira itu pada emak, dia menerimanya dengan rasa gembira. Iyalah, anak masuk universiti oi, siapa yang tak bangga. Maklumlah, anak kampung sepertiku ini, rata-rata beranggapan selepas SPM, lebih baik dikahwinkan terus. Sangat ortodoks sekali pemikiran tersebut. Aku ini wanita zaman siber tau. Bukan ala-ala zaman Tun Teja dulu. Aku ada cita-cita dan impian yang mahu digapai. Soal jodoh itu, biarlah Tuhan yang tentukan. Kerana aku yakin, sekeping hati milikku ini akan ada pemiliknya. Cewah, dalam hati ada taman nampak...
Aku sebenarnya keseorangan sekarang ini. Itu yang duduk mengarang berjela-jela dalam diari warna unguku ini. Warna kegemaran selain warna merah jambu. Haruslah warna merah jambu, baharu nampak ciri-ciri seorang perempuan yang comel walau diriku ini tidaklah secomel mana. Yalah, kata kawan-kawan (kawan ya, bukan aku yang kata) aku ini agak kasar sedikit. Tapi tak adalah macam tomboi atau pengkid. Lebih kurang kasar dalam ayu.
Mungkin mereka nampak aku agak berkeyakinan sedikit sebab aku belajar ilmu persilatan dari datuk. Hah, jangan pandang aku sebelah mata ya. Buka mata tu besar-besar sikit bila pandang aku ni. Memang semua adik-beradikku ada serba-sedikit ilmu persilatan. Buat menjaga diri kata datuk.
Esok, taklimat untuk pelajar baru akan diadakan di dewan besar sekitar jam lapan. Aku kira, agak jauh juga aku perlu menapak ke sana. Eh, ada orang bagi salam. Lebih baik aku berhenti dulu. Nanti kita jumpa lagi ya diari.

Tiada ulasan :