Sepatah Dua Kata

Khamis, Mei 05, 2011

Diari Cinta Dhaniyah - Diari 02




03 Mei 2005
10.45 malam

HARI yang sangat kucar-kacir dan memenatkan! Terasa tak cukup udara nak bernafas siang tadi. Semuanya bermula gara-gara aku bermimpi sedang berkelah di tepi tasik dengan Fahrin Ahmad. Wow, mimpi nak meletup aja. Ala, dah nak termimpikan pelakon kacak tu, nak buat macam mana. Bukan aku yang minta dia datang dalam mimpi aku pun. Ah, alasan semua tu. Sebenarnya aku bangun lewat kerana tidak sedar jam loceng di kepala katil menjerit-jerit bagai nak putus anak tekak. Maklumlah, hujan lebat sejak malam semalam. Itu yang seronok tidur. Sejuk aja. Mujur aku masih diberi ‘cuti’. Jadi, tidaklah ralat terlepas solat Subuh.
Nak dijadikan alasan lagi kenapa aku boleh bangun lewat adalah rakan sebilikku yang masih belum nampak batang hidung dia lagi. Usahkan batang hidung, bayang-bayang pun tak kelihatan. Semalam yang memberi salam adalah jiran sebelah kanan bilikku, meminta untuk meminjam penyapu. Sempat jugalah beramah-mesra alam sekejap.
Tapi, entah-entah aku memang tinggal seorang dalam bilik ni. Iyalah, kalau pelajar baru, mestilah sudah mendaftar sejak semalam. Lagipun hari ini Minggu Mesra Siswa (MMS) telah pun bermula. Seminggu pula tu. Hah, ini nak cerita pasal MMS lah ni. Walaupun mata dah ala-ala stim, tetapi tetap juga teruja nak menulis sepatah dua kata di dalam diari kesayangan ini. Sepatah dua kata apanya kalau setiap kali tulis macam nak buat cerpen.
Okey, masa untuk imbas kembali atau dalam bahasa orang putihnya flash-back. Bukan flash kamera ya. Oh, merepek lagi. Agaknya kalau diari ni boleh bercakap, tentu dah berbakul-bakul cacian aku terima. Tulis perkara yang tak ada kena-mengena dengan cerita. Sudah, fokus Dhaniyah! Fokus!
Pagi tadi aku bangun sekitar jam 08.15. Itu pun tersedar sebab terjaga dari mimpi akibat tasik tu dilanda tsunami. Kalau tak, mahunya terlajak sampai pukul berapa. Bangun tidur, biasalah mamai, ingat masih ada dekat atas katil di rumah. Tapi bila pandang sekeliling, rasa lain macam pula. Bila masa bilik aku yang cantik ala-ala deko bersama Eric tu jadi putih aja dindingnya? Pandang pintu bilik bercat biru cair itu, baru aku teringat yang aku kini sudah berada di Segamat. Serta-merta juga aku teringat yang pagi ini ada sesi taklimat di dewan utama. Habislah! Dah lewat lima belas minit!
Apalagi, terus aku buat lompat kijang turun dari katil lalu capai tuala dan bakul kecil berisi perkakas mandi. Pertama kali dalam sejarah hidupku selama 17 tahun ini aku mandi tidak sampai lima minit! Selalunya, kalau tak setengah jam, jangan haraplah aku nak keluar dari bilik mandi. Tapi sekarang waktu darurat, jirus mana yang sempat sudah. Asalkan tak nampak muka baru bangun tidur, cukuplah.
Mujur aku sudah siapkan baju yang hendak dipakai semasa sesi taklimat nanti. Baju kurung Kedah rona hijau pucuk pisang yang dijahit emak sangat kena dengan warna kulitku yang kuning langsat. Tudung warna hijau cair kupadankan dengan baju kurung yang telah siap disarung pada tubuh. Tampak sopan dan ayu. Setelah memastikan penampilan aku sedap mata memandang, aku mencapai beg sandang kecil warna putih lalu bergegas keluar menuju ke dewan utama yang jaraknya lebih kurang satu kilometer dari bangunan hostelku. Ish, pakai baju kurung, tak boleh berlarilah jawabnya ni. Lalu aku hanya berlari-lari anak sahaja walaupun aku dulu bekas juara lumba lari 400 meter semasa di sekolah.
Suasana pagi itu tampak damai dan nyaman. Udara pula terasa segar. Nun jauh di ufuk timur, kabus putih kelihatan begitu tebal menyelubungi puncak Gunung Ledang. Eceh, entah ya entah tidak tu Gunung Ledang. Lopak-lopak air kelihatan di sana-sini. Sempat juga mataku menangkap beberapa orang pelajar yang sedang berjoging. Bagusnya, menjaga kesihatan.
Namun, ketika aku hendak melintas ke seberang jalan, sebuah motosikal tiba-tiba meluncur laju sehingga melanggar salah satu lopak air lantas menyebabkan kain baju kurungku sedikit basah dek terpecik air lopak tersebut. Mujurlah tidak berlumpur. Kurang asam jawa punya mat motor! Ikutkan hati, mahu saja aku menjerit memanggilnya tetapi mengenangkan aku sudah lewat hampir setengah jam, niat itu kubatalkan. Nasib baik aku ingat nombor plat motor tersebut. Siaplah kalau jumpa nanti, akan kupancitkan tayarnya. Dua-dua sekali, biar tak boleh bergerak langsung! Hah, kejam tak aku? Nampak aja sopan dan ayu tapi jangan sesekali cari sebab tak munasarawak dengan aku. Ini keturunan Tun Teja tau.
Dan seperti yang aku jangka, para pelajar baru sedang asyik mendengar taklimat dari beberapa pegawai bertugas di dalam dewan yang diberi nama Dewan Sri Temenggung itu. Kehadiran aku disambut dengan senyum manis berbaur sinis oleh seorang pelajar perempuan. Pelajar perempuan itu kulihat hanya memandang tanpa menegurku.
Jadi, aku dengan terpinga-pinganya, segera menyusup masuk ke dalam dewan. Dan belum sempat aku mencapai kerusi, terdengar suara seorang lelaki memanggilku. Macam mana aku tahu dia panggil aku?
“Cik yang berbaju kurung hijau dengan beg putih tu, sila ke depan,” bergema suaranya di segenap sudut dewan. Memanglah, dah nama pun pakai mikrofon.
Hah, siapa lagi yang pakai baju kurung warna hijau dengan beg sandang putih kalau bukan aku? Justeru, dengan wajah yang selamba, aku melangkah perlahan menuju ke depan dewan.
“Jangan nak lenggang-kangkung pula! Cepat sikit jalan tu!”
Aku menoleh dan mataku tajam merenung pelajar perempuan yang aku jumpa di pintu masuk tadi. Eleh, nak tunjuk garang konon. Dia belum tengok kegarangan aku yang mengalahkan harimau tak makan sebulan ni. Lalu, malas nak panjang cerita, aku segera mempercepatkan langkah. Dalam hati tak payah cakaplah, macam nak tercabut keluar jantung ni. Aku yakin muka aku pun tak perlu pakai blusher, dah cukup merah.
Mataku bertembung dengan pemuda yang memanggilku tadi. Muka boleh tahan tapi tetap tak boleh lawan Fahrin Ahmad. Dhaniyah, tak habis-habis Fahrin Ahmad kau tu. Bukan Fahrin Ahmad kenal kau pun.
“Pelajar baru ke?” tanya pemuda berkulit cerah dengan cermin mata tanpa bingkai itu.
Aku sekadar mengangguk. Tag nama yang dilekapkan pada bajunya kujeling sekilas. Farid namanya. Mungkin seorang pelajar senior.
“Nama?” tanyanya lagi sambil menyuakan mikrofon di tangan mendekati wajahku.
“Dha... Dhaniyah...” jawabku, sedikit gagap. Ish, kata keturunan Tun Teja, mana boleh ada darah gemuruh.
“Kenapa lambat?”
Aisey, takkan nak cakap yang aku terlajak tidur. Alasan klise tu. Hmm, nak jawab apa ya.
“Saya diarrhea,” Amacam, canggih tak jawapan aku?
“Hah?”
Jelas riak terkejut di wajah pemuda itu. Lah, takkan tak pernah dengar diarrhea kot? Bukannya aku bagi nama saintifik pokok bunga kertas.
“Apa benda tu?”
Ish, mamat ni memang betul-betul tak tahu atau sengaja nak memalukan aku? Mustahil tak pernah dengar penyakit tu.
“Kalau nak tahu, balik nanti abang check kamus. Tak pun Google aja. Mesti jumpa,” jawabku dalam senyuman yang sengaja dimaniskan.
Bergegar dewan itu dengan gelak-tawa.  Pemuda bernama Farid itu menggaru kepala.
“Loyar buruk awak ya,”
“Saya tak pernah bercita-cita nak jadi lawyer bang. Saya nak jadi businesswoman,” balasku, seronok pula menggiat pemuda itu.
Sekali lagi tawa seisi dewan meletus. Farid kulihat sudah menggeleng. Beberapa orang pelajar yang berada di hadapan hanya tersenyum kecil.
“Sudah! Kalau hari pertama dah datang lewat, macam mana awak nak disiplinkan diri masa sesi kuliah nanti? Menepati masa tu penting. Sebagai pelajar, kita yang harus kejar masa, bukan masa yang kejar kita, faham?” ujar Farid.
Aduh, awal-awal pagi lagi dah dengar ceramah tak bertauliah. Ingatkan dah masuk universiti ni, bolehlah lari dari ceramah emak, nampaknya ceramah dengan aku memang tak boleh dipisahkan.
“Kesalahan tetap kesalahan! Sebagai denda, awak kena menyanyi selepas habis taklimat ni nanti,”
Eh???
Ala, mengantuk pula mata ni. Nanti sambung lagi ya diari. Banyak nak cerita ni.

3 ulasan :

firda berkata...

Gelak baca entri ni. Mmang slumber btul minah ni..

sue berkata...

best..3x!! cool betul daniyah tu.

Rizai Reeani berkata...

firda dan sue: Terima kasih sudi membaca dan meninggalkan komen. Pastinya kita tunggu apa yang Dhaniyah akan buat nanti. ;)