Sepatah Dua Kata

Rabu, Mei 18, 2011

Diari Cinta Dhaniyah - Diari 03




04 Mei 2005
02.00 pagi

HUJAN lebat. Aku terjaga apabila terdengar bunyi guruh yang kuat. Terasa seram pula tidur berseorangan begini. Rasanya sebelum tidur tadi langit nampak elok sahaja. Mana tidaknya, ada bulan dan ada bintang. Kata orang, kalau nak tahu hari hujan waktu malam, biasanya langit tak akan ada bintang mahupun bulan. Ah, kalau sudah hendak turun hujan, turun juga. Hujan itu kan satu rahmat. Sepatutnya aku bersyukur.
Oleh kerana mata ini tidak mahu lelap, lebih baik aku sambung cerita yang tergendala tadi. Tentang aku kena menyanyi di hadapan hampir 200 orang pelajar baru. Aku tahulah aku ni memang kaki karaoke tapi tidaklah pernah terlintas langsung yang aku akan buat live performance depan orang ramai. Dah perasan ala-ala peserta AF pula. Ish, tak ada maknanya aku nak menyanyi. Mujurlah otakku ini ligat berfikir waktu itu.
“Doktor nasihatkan saya supaya tak terlalu bercakap bang,” aku memberi alasan sambil menolak jauh mikrofon yang dihalakan pada mulutku.
“Hah?” pelajar senior itu sudah mengerutkan dahi.
“Peti suara saya ni pernah hampir nak terkoyak dulu. Jadi, lepas jalani pembedahan, memang doktor nasihatkan saya supaya tak banyak bercakap. Bimbang jahitan tu akan terbuka,” Amacam, hebat tak alasan aku?
“Betul ke?”
“Kalau tak percaya, abang boleh tengok laporan pemeriksaan kesihatan saya. Tapi laporan tu dah bagi pada Unit Kesihatan semalam. Kalau abang rajin, pergilah ambil dekat Pusat Kesihatan,” balasku.
Kesudahannya, aku diminta kembali semula ke tempat duduk. Jelas di wajah senior itu yang percaya bulat-bulat alasan aku. Iyalah, alasan yang jarang digunakan, mestilah mudah orang nak percaya. Mereka di sini semua tak tahu yang aku masa sekolah dulu digelar ‘Drama Queen’ sebab bakat semulajadi aku berlakon. Atau dalam erti kata mudahnya, kuat temberang. Hahaha...
Masa berjalan ke tempat duduk tu, memang aku perasan mata-mata yang memandang curiga. Bukan mata-mata gelap tapi mata-mata penyibuk. Siap ada yang menjeling lagi. Hello, ingat aku heran sangat dengan jelingan maut tu? Cucuk biji mata baru tahu.
Aku duduk di sebelah seorang pelajar perempuan bertudung labuh yang nampak suci aja mukanya. Dia memperkenalkan diri sebagai Norzehan. Berasal dari Melaka. Pandangan pertamaku, memang nampak alim budak ni. Cakap pun sopan aja. Tapi, kata pepatah orang putih yang diterjemah dalam bahasa Melayu; Jangan menilai sesebuah buku dari kulit luarnya. Manalah tahu kalau budak ni alim-alim kucing. Ish, tak baik berburuk sangka tau.
Selepas mendengar taklimat yang hampir satu jam itu, kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Satu kumpulan ada lebih kurang sepuluh orang ahli yang bergabung lelaki dan perempuan. Setiap kumpulan diketuai oleh dua orang fasilitator. Aku tidak sama kumpulan dengan Norzehan. Bila dikenang semula, serasa macam pernah lihat muka dia. Oh ya! Dia budak sama wing dengan aku. Kalau tak silap, bilik hujung berhampiran tangga. Patutlah macam pernah nampak.
Kami dibawa mengelilingi kawasan universiti. Bangunan kuliah, padang, pusat sukan dan beberapa tempat lain lagi yang wajib kami tahu. Kagum juga aku dengan infrastruktur yang disediakan oleh pihak universiti untuk kemudahan pelajar-pelajar di sini. Wah, perkataan infrastruktur tu kedengaran terlalu canggih. Kalau masukkan dalam karangan dulu, confirm cikgu BM tabik hormat. Oh, melalut lagi.
Yang aku perhatikan, di setiap bangunan kolej kediaman, pasti ada kedai serbaneka. Cuma gerai makanan terletak agak jauh sedikit. Sesekali kalau bosan dengan makanan di dewan makan, bolehlah tukar selera.
Sebut pasal dewan makan, ini yang aku paling suka. Setiap pelajar akan diberi makanan percuma sebanyak tiga kali sehari. Sarapan, makan tengah hari dan makan malam. Tapi menunya tidak boleh dipilihlah. Kalau tidak silap, ada sekeping kad yang perlu diserahkan pada petugas di dewan makan untuk dicop sebagai tanda pengesahan yang pelajar tersebut sudah pun mengambil makanan. Pada aku tak kisahlah apa menunya asalkan perut kenyang. Lagipun, jimat belanja. Makan free katakan...
Menjelang tengah hari, kami diberi rehat selama sejam dan kemudian perlu berkumpul semula di dewan utama untuk sesi taklimat yang seterusnya. Taklimat lagi? Nampaknya pecahlah Tiub Estachio telinga aku asyik mendengar taklimat aja.
Namun sangkaan aku silap. Taklimat selepas rehat lebih kepada aktiviti berkumpulan. Sesi suai kenal dan beberapa permainan berbentuk kuiz disediakan. Agak menghiburkan jugalah. Tapi, para fasilitator memang tegas. Sesiapa yang lewat tiba selepas waktu rehat tadi, semuanya kena denda jalan itik. Aduh, harap-harap esok aku tak terlewat macam hari ni.
Petangnya kami diminta menyalin pakaian dan beriadah di padang. Siapa kata minggu orientasi adalah suatu minggu yang menakutkan? Yalah, aku ada juga dengar cakap-cakap orang yang selalunya pelajar baru akan kena buli oleh para senior sepanjang minggu orientasi. Kena baling telurlah, mandi air longkanglah. Dan bermacam perkara menjijikkan lagi. Ke, sebab ini hari pertama maka ketakutan itu belum menjelma? Hmm...
Eh, rasa macam ada dengar bunyi orang ketuk pintu. Ah, sudah... Siapa pula yang ketuk pintu tengah-tengah pagi buta ni? Mulalah aku terbayang yang bukan-bukan. Alahai, makin kuat pula dia ketuk. Nak buka ke tak nak?

2 ulasan :

CuteOven berkata...

ala...tengah suspen..berenti pulak...

Rizai Reeani berkata...

CuteOven: Sengaja nak bagi suspen. Hehehe... ;)