Sepatah Dua Kata

Ahad, Mei 08, 2011

Kembali Senyum - Bab 17



Gempar

PERPUSTAKAAN sekolah agak lengang waktu rehat itu. Rata-rata pelajar lebih gemar berbual kosong sambil menikmati makanan di kantin. Tidak kurang juga yang mengambil kesempatan untuk melelapkan mata di taman mini yang ditumbuhi pokok-pokok rendang. Menjadi salah satu peraturan sekolah adalah tidak membenarkan para pelajar berada di dalam kelas semasa waktu rehat.
Atiqah membelek buku rujukan Ekonomi di hadapannya. Sengaja dia meletakkan buku itu di atas meja sementara menanti kehadiran Isma. Semasa waktu senggang tadi, dia sempat ke kelas Isma untuk memberitahu kedatangan perempuan tidak sedar diri itu. Nyata Isma terkejut namun mereka tidak dapat berbual panjang. Maka mereka berjanji akan berjumpa di perpustakaan semasa waktu rehat nanti.
Lima minit menanti, Atiqah mula bosan. Entah apa aral yang melintang menyebabkan kawannya itu lewat tiba. Matanya meliar ke seliling perpustakaan itu. Tiba-tiba pandangannya tertancap pada sesusuk tubuh yang dia kenali. Kelihatan Hazwan sedang leka membaca akhbar di sofa kecil yang diletakkan di bahagian belakang perpustakaan. Ruang itu memang dikhaskan untuk membaca akhbar dan majalah.
Atiqah mencebikkan bibir. Lelaki itu walaupun baru masuk, sudah mula mendapat perhatian. Ah, orang kacak memang cepat jadi rebutan. Namun apa yang membuatkan Atiqah sakit hati adalah lelaki itu berada di pihak Faziera. Mengapa gadis tersebut begitu mudah menarik perhatian lelaki? Cantik sangat ke? Rasa dirinya lebih cantik dari gadis itu. Sudahlah kera sumbang, ada hati nak menjalin hubungan dengan lelaki hebat seperti Muazhim.
“Hai, sorry lewat,” tegur Isma yang nampak tercungap-cungap menarik nafas.
“Kenapa lambat?”
“Cikgu Matthew bagi kuiz mengejut. Itu yang lambat habis tu. Hah, sekarang ceritalah!” jawab Isma.
“Macam yang aku cakap tadi, perempuan tu dah datang balik,” Isma merungut.
“Memang dasar muka tembok! Dah dimalukan macam tu pun masih berani datang sekolah,” kutuk Isma.
“Habis tu, apa yang kita nak buat? Aku tak kuasa nak tengok muka dia dalam kelas tu. Meluat!”
“Entahlah, aku pun tak tahu nak buat apa lagi. Tapi...” belum sempat Isma meneruskan kata, terdengar suara seorang pelajar lelaki bertempik.
“Berita panas! Berita panas!”
“Awak, senyap sikit. Ini library!” pengawas perpustakaan yang berbaju rona putih dengan kain hitam yang duduk di kaunter hadapan itu menegur.
“Ish, berita panas macam ni mana boleh senyap!” balas pelajar lelaki itu.
“Apa berita panasnya?” seorang pelajar lelaki yang duduk berhampiran membuka mulut bertanya.
“Gambar perempuan yang dating dengan Muazhim dulu dah terbongkar! Ada dekat papan kenyataan!”
“Hah?” hampir semua pelajar yang berada di perpustakaan itu bersuara serentak.
Ruang perpustakaan itu mula hingar-bingar. Ada yang bingkas bangun dengan menolak kerusi secara kasar dek kerana teruja mahu keluar melihat gambar yang diberitahu tadi.
“Semua, tolong bertenang! Ini library, senyap sikit!” pengawas perpustakaan tadi menegur lagi namun tidak sedikit pun meninggalkan kesan.
Pelajar-pelajar mula berpusu-pusu keluar. Isma dan Atiqah saling berpandangan. Biar benar? Kalau gambar tu tersebar, ini bermakna hubungan rahsia antara Muazhim dan Cikgu Faridatul akan terbongkar! Dan kesannya...
“Cepat! Ikut dia orang!” ajak Isma lalu dia dan Atiqah segera berlari keluar.
Hazwan yang sejak tadi sekadar memerhati turut tergerak hati untuk melihat. Siapa agaknya perempuan di dalam gambar tersebut?

*  *  *  *  *

FAZIERA dan Shafikah masih duduk di bangku kayu yang disediakan di kantin walaupun para pelajar yang lain berasak-asak menuju ke papan kenyataan sekolah. Sekali lagi sekolah tersebut diserang gempar. Rasa ingin tahu begitu memuncak namun Faziera tidak sanggup bertolak-tolak dalam gerombolan pelajar tersebut.
“Kau tak nak tengok ke?” tanya Shafikah.
“Memang nak tapi malaslah aku nak menyelit-nyelit. Tengoklah tu, macam ada artis nak datang aja,” balas Faziera.
“Kau rasa tu gambar siapa?”
‘Siapa lagi kalau bukan Cikgu Faridatul!’ suara Faziera di dalam hati.
“Entahlah. Tapi kejap lagi kita tahulah siapa perempuan tu,” Faziera berdalih.
Suasana di sekitar kantin tersebut sudah seperti pasar malam lagaknya. Kecoh sehingga ada yang mengaduh sakit apabila ditolak. Sungguh Faziera tidak faham. Kalau gosip, bukan main lagi semua nak menyibuk. Cuba ditampal risalah agama dekat papan kenyataan tu. Sebelah mata pun tak ada yang memandang!
“Wah, aku tak percaya dia orang ada hubungan!” ujar seorang pelajar perempuan yang menghampiri tempat Faziera dan Shafikah.
“Kau percaya ke? Aku rasa gambar tu mesti ubah guna photoshop. Zaman sekarang, kalau tengok apa-apa gambar tak boleh percaya 100%,” balas seorang lagi pelajar perempuan yang berambut pendek paras bahu.
“Ha’ah, agaknya ada yang nak kenakan cikgu tu tak,” kawan mereka yang bertudung pula menyampuk.
“Cikgu?” bisik Shafikah pada Faziera.
Faziera sekadar menjungkit bahu. Jadi benarlah itu gambar Cikgu Faridatul. Fikiran Faziera mula diterjah pelbagai persoalan. Agaknya, siapa yang meletakkan gambar tersebut di situ? Isma, kah?
::bersambung::

3 ulasan :

NukSe berkata...

siapa punyer keje agaknya yer?? hehe

NukSe berkata...

siapa punyer keje agaknya yer?? hehe

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Jawapan sudah ada di Bab 18. ;)