Sepatah Dua Kata

Ahad, Mei 08, 2011

Kembali Senyum - Bab 18



Kerana Cinta

“SEMUA pelajar sila ketepi!” jerit Cikgu Rashid melalui alat pembesar suara.
Para pelajar mula beransur pergi dari papan kenyataan. Masing-masing gerun dengan suara guru disiplin yang memetir itu. Cikgu Rashid merentap gambar tersebut dari papan kenyataan lalu dilipat dua dan kemudian dimasukkan ke dalam saku seluarnya.
“Sudah! Semua masuk kelas sekarang!” arah Cikgu Rashid.
Para pelajar segera bergerak meninggalkan kawasan tersebut. Faziera mengajak Shafikah bangun. Namun, baru beberapa langkah, matanya menangkap kelibat Hazwan yang sedang memeluk bahu Isma. Serentak, hatinya bagai direnjat elektrik. Jelas kelihatan lelaki itu sedang melindungi Isma dari asakan para pelajar yang lain tetapi entah mengapa dadanya berkocak hebat. Seperti dicarik-carik rakus.
“Kenapa?”
Sapaan Shafikah membuatkan Faziera sedikit tersentak. Dia kembali menyambung langkah. Sampai di kelas, Faziera mencari Muazhim. Seperti yang dijangka, lelaki itu tiada. Pastilah sedang berada di bilik pengetua sekarang.
“Aku ke tandas sekejap,” bohong Faziera lalu berpaling tanpa sempat Shafikah membalas.
Langkah kakinya laju diatur ke bilik pengetua. Di pertengahan jalan, dia bertembung dengan Hazwan tetapi tidak diendahkan. Hal Muazhim lebih penting dari melayan perasaan hatinya yang dimamah luka sekarang.
Menjejakkan kaki ke bilik pengetua, Faziera tidak terus masuk sebaliknya kedua belah kaki terpaku di muka pintu. Jelas kedengaran suara Muazhim yang meninggi.
“Saya cintakan cikgu! Kenapa cikgu tak dapat terima saya?”
Faziera menolak sedikit daun pintu yang sememangnya tidak berkunci. Dia mahu lihat keadaan di dalam bilik itu. Muazhim sedang berdiri sementara Cikgu Faridatul menunduk. Puan Pengetua, Hajah Rokiah hanya memerhati, sama seperti Cikgu Rashid.
“Muazhim, awak sepatutnya faham, hubungan ni tak akan ke mana,” lirih suara Cikgu Faridatul.
“Kenapa? Sebab saya budak sekolah? Peraturan mana dalam dunia ni yang melarang budak sekolah bercinta?”
“Dia cikgu awak Muazhim,” ujar Cikgu Rashid.
“Kalau cikgu kenapa? Cikgu pun manusia juga, kan? Saya tak nampak kenapa hubungan kami tak boleh terjalin. Dan cikgu! Kenapa cikgu tak dapat terima saya?” intonasi suara Muazhim masih meninggi.
“Saya akan berkahwin tak lama lagi Muaz. Tapi sekarang, mungkin perkahwinan saya akan dibatalkan. Semuanya sebab kamu!” tempik Cikgu Faridatul.
“Baguslah! Memang saya sengaja buat macam ni supaya perkahwinan tu dibatalkan. Cikgu hanya milik saya! Hanya saya!”
Faziera menekup mulut. Sungguh dia terkejut mendengar kata-kata Muazhim tadi. Tidak disangka lelaki itu sendiri yang membongkarkan gambar tersebut. Apakah Muazhim sudah gila?
“Bertenang Muazhim. Cikgu rasa kamu terlalu ikutkan perasan,” pujuk Hajah Rokiah.
“Cikgu diam! Apa yang cikgu tahu tentang perasaan saya?”
“Jangan kurang ajar Muazhim!” bentak Cikgu Rashid sambil merenung pelajar lelaki di hadapannya tajam.
Bentakan Cikgu Rashid tidak sedikit pun membuatkan Muazhim gentar. Dia membalas renungan cikgu disiplin itu dengan renungan serupa. Esakan kecil kedengaran dari Cikgu Faridatul. Serta-merta Muazhim mengalihkan pandangannya pada wanita itu.
“Cikgu, kenapa cikgu nangis? Saya tak bermaksud nak sakitkan hati cikgu. Saya cuma...”
“Cuma apa? Awak hanya pentingkan diri Muaz! Sejak dulu lagi saya dah kata hubungan ni tak akan ke mana. Untuk pengetahuan awak, saya tak pernah cintakan awak! Tak pernah! Awak saja yang perasan!” luah Cikgu Faridatul.
Muazhim berundur setapak ke belakang. Kata-kata Cikgu Faridatul ibarat ratusan anak panah yang menusuk-nusuk rakus hatinya. Sakit. Perit.
“Tak, cikgu tipu bukan?”
“Saya tak pernah pun cakap yang saya sayangkan awak. Saya layan awak sama seperti pelajar yang lain. Awak saja yang salah faham akan layanan baik saya. Sekarang, awak dah hancurkan kebahagiaan saya. Puas hati?” jerit Cikgu Faridatul.
Tangisan wanita itu semakin lebat. Muazhim berundur ke belakang sambil menggeleng. Tidak, kata-kata Cikgu Faridatul terlalu kejam. Dia tidak bermaksud untuk menghancurkan kebahagian insan yang dia sayangi. Dia hanya mahu Cikgu Faridatul sedar kehadirannya, menerima perasaan hatinya. Itu sahaja.
Pantas Muazhim berpaling lalu berlari keluar dari bilik tersebut. Tatkala pintu dibuka, wajah Faziera menyapa pandangan. Bulat anak matanya. Tanpa sedar, dia menarik tangan Faziera, mengekorinya. Faziera yang terkejut hanya menurut. Sempat matanya melihat tubuh Cikgu Faridatul yang rebah ke lantai. Sekarang semuanya sudah kacau-bilau. Semuanya sudah semakin rumit.

*  *  *  *  *
“LEPASLAH!” jerit Faziera namun tidak dipedulikan oleh Muazhim.
Langkahnya semakin laju dan akhirnya berhenti di bangunan yang terletak paling belakang di sekolah. Bangunan kecil itu merupakan stor sukan yang turut menyimpan peralatan kebersihan seperti penyapu, mop dan sebagainya.
Pegangan tangan Faziera dilepaskan. Gadis itu memegang pergelangan tangannya yang memerah. Terasa sedikit perit dengan genggaman tangan Muazhim yang utuh itu.
“Kau dengar semuanya?”
Faziera mengangguk.
“Sekarang kau mesti suka kan tengok aku dah kalah?”
“Maksud kau?”
“Aku dah malukan kau dulu. Sekarang dendam kau dah terbalas!” tegas Muazhim.
“Aku tak pernah berdendam!” balas Faziera.
“Tipu! Takkan lepas apa yang dah berlaku, kau tak marah langsung pada aku?”
Faziera menarik nafas panjang, cuba mengatur semula pernafasannya. Sengaja dibiarkan persoalan lelaki itu terawang-awang seketika.
“Memang aku marah. Sepatutnya aku rasa benci! Tapi aku diajar untuk memaafkan. Aku tak pernah diajar untuk menyimpan dendam. Semua manusia tu tak sempurna Muazhim. Kita bukannya maksum seperti Nabi yang tak melakukan dosa. Siapalah aku nak menghukum kau...” bicara Faziera lantas membuatkan Muazhim tersengih.
“Ceramah kau tu tak berguna pada aku,” sindir Muazhim.
“Kenapa kau buat macam tu Muaz?”
“Buat apa?” Muazhim berpura-pura tidak mengerti akan soalan Faziera tadi.
“Kau tak sepatutnya dedahkan gambar tu. Betul cakap cikgu, kau hanya pentingkan diri!”
“Diam! Siapa kau nak mengajar aku? Apa yang kau tahu tentang cinta? Dah lama aku sayangkan cikgu. Dia yang selalu beri aku semangat untuk ke sekolah, belajar dan jadi cemerlang. Kalau dia tak ada, aku tak akan jadi macam sekarang ni,”
Segugus nafas berat dilepaskan dari dalam dada. Faziera benar-benar tidak faham akan Muazhim. Atau lebih tepat lagi dia tidak faham tentang perasaan. Ternyata perasaan itu sesuatu yang sangat menakutkan. Perasaan boleh menjadikan seseorang itu kuat. Dan juga menjadikan seseorang itu terjelepok lemah.
“Kau silap Muaz. Itu bukan cinta. Itu hanyalah suka dan hormat. Cinta itu hanya dimiliki apabila dua keping hati saling bersatu dan memahami. Jika hanya sebelah pihak, ia tidak boleh digelar cinta. Lagipun, kau perlu tahu, banyak perbezaan antara kau dan cikgu,”
“Perbezaan? Hanya kerana aku seorang pelajar dan dia seorang cikgu? Jangan jadi pesimis...”
“Pesimis? Kau tu yang pesimis! Kau ingat kau mampu bahagiakan cikgu kalau semua orang menentang perhubungan ni? Perjalanan kita masih jauh sebagai pelajar. Kau hanya ingin mencapai bintang. Ya, bintang itu memang cantik. Tapi kau perlu sedar yang kau tak akan mungkin dapat menggapainya. Kau perlu sedar akan hakikat yang hubungan seorang pelajar dengan guru tak akan ke mana!” hujah Faziera.
Muazhim menggeleng. Kata-kata Faziera langsung tidak dapat diterima. Faziera tidak faham apa yang dia rasa. Dia hanya mahu bersama-sama dengan insan yang dia sayangi. Dia pasti boleh berusaha untuk memberi kebahagiaan pada Cikgu Faridatul. Jarak umur mereka bukannya jauh. Hanya enam tahun sahaja. Tidak bolehkah Cikgu Faridatul menunggu dia?
“Muaz... Memang tidak dinafikan setiap manusia itu berhak bahagia. Dan ternyata kebahagiaan cikgu bukan dengan kau. Kau tak boleh fikirkan kebahagiaan kau seorang. Apa guna kau bahagia sedangkan insan yang kau sayangi menderita apabila berada di sisi kau? Kenyataan itu memang pahit untuk ditelan. Tapi kau harus sedar, yang patah kan tumbuh lagi, yang hilang kan berganti. Mungkin cikgu memang tidak ditakdirkan menjadi pasangan hidup kau. Aku yakin, pasti ada seseorang di luar sana yang memiliki sekeping lagi hati yang inginkan rasa cinta dari kau mengisi ruang hatinya. Terimalah kenyataan. Cikgu, bukan untuk kau...” tokok Faziera.
Muazhim terduduk di atas rumput yang menghijau. Terasa separuh dari jiwanya terbang melayang. Dia telah kehilangan cinta hatinya. Lebih memeritkan, dia telah melakukan sesuatu yang begitu bodoh sehingga menyakiti hati insan yang dia sayangi. Maafkan Muaz cikgu, maafkan Muaz...
“Faziera! Muazhim! Ikut saya ke bilik pengetua! Sekarang!” terjahan Cikgu Rashid menyentakkan kedua-duanya.
::bersambung::

3 ulasan :

lonely gurlz berkata...

kompleks betul citer ni. b'segi2 cinta dierorg

n!ce_w!nd berkata...

nama pun cinta segi mestilah bersegi-segi.. haha..
gila la muaz tu.. that's why we call cinta itu buta..

Rizai Reeani berkata...

lonely gurlz: Ya, fikiran saya pun kompleks nak menyambungnya. Hehehe...

n!ce_w!nd: Cinta itu tidak buta tapi manusia yang membutakan cinta itu sendiri. :)

Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen... :)