Sepatah Dua Kata

Ahad, Jun 05, 2011

Kembali Senyum - Bab 19


Peluang

SHAFIKAH berasa hairan apabila kelibat kawannya masih belum muncul-muncul lagi walau sudah hampir setengah jam berlalu sejak Faziera berkata mahu ke tandas tadi. Tidak mungkin gadis itu berlama-lama di dalam tandas. Atau, itu hanya alasan yang direka Faziera? Jangan-jangan, gadis itu bersemuka dengan Muazhim?
Tangan kanan segera ditekup ke mulutnya. Memikirkan kemungkinan itu, Shafikah jadi bimbang. Dia tahu Faziera ada hubung-kait dengan Muazhim setelah peristiwa memalukan yang terjadi pada gadis itu dahulu. Semuanya bermula dari sekeping gambar yang sama.
“Mana Faziera?”
Teguran Hazwan menyentak angan Shafikah. Tidak sedar bila lelaki itu berada di sebelahnya. Shafikah menghalakan pandangan ke hadapan kelas. Guru yang mengajar mata pelajaran Matematik itu sedang tekun mencatat beberapa formula di papan hitam.
“Tak tahu...” bisik Shafikah.
“Tadi bukan dia keluar?”
“Dia kata nak ke tandas. Tapi...” Shafikah tidak meneruskan kata. Sempat matanya meliar ke kiri dan ke kanan sebelum menyambung kata.
“Aku rasa di ke pejabat pengetua,” kata-kata Shafikah membuatkan mata Hazwan terbeliak.
“Tak boleh jadi ni!” suara Hazwan sedikit meninggi tapi masih terkawal.
Lelaki itu bercadang mahu bangun tetapi dihalang oleh Shafikah menyebabkannya terduduk semula di kerusi.
“Aku nak ikut!”
Hazwan menggeleng. Shafikah tidak pelru terlibat dalam perkara ini. langsung tidak perlu. Sejak mula lagi masalah ini ditimbulkan oleh Muazhim, Faziera dan dia sendiri. Jadi, hanya mereka bertiga sahaja yang harus mencari jalan penyelesaian. Itupun jika ada.
Shafikah mencebik melihat gelengan Hazwan. Dia bukan mahu ambil tahu atau dalam kata mudahnya mahu kecoh tetapi dia risaukan Faziera. Kawannya itu baharu sahaja pulih dari luka dan dia tidak mahu luka itu berdarah semula.
Langkah kaki Hazwan yang sedang berjalan ke hadapan kelas dipandang kosong. Lelaki itu berbisik sesuatu pada cikgu bertudung biru laut itu sebelum berlalu keluar. Mungkin alasan yang sama dengan Faziera, mahu ke tandas tetapi sebaliknya ke bilik pengetua. Mengenangkan Faziera, entah apa yang sedang berlaku pada gadis itu sekarang.

*  *  *  *  *

BILIK Puan Pengetua sekali lagi dikunjungi. Kali ini kehadirannya ditemani Faziera. Dikerling wajah gadis itu yang sedang menunduk. Dialihkan pula pandangan pada Cikgu Rashid yang saling berpandangan dengan Puan Hajah Rokiah. Tertanya-tanya juga Muazhim di mana Cikgu Faridatul. Baharu sebentar sahaja dia keluar, cikgu kesayangannya itu sudah tiada di depan mata.
“Terus-terang cikgu terkejut. Sangat terkejut,” Puan Hajah Rokiah membuka mulut setelah agak lama kebisuan mendominasi persekitaran bilik yang berhawa dingin itu.
“Pertama kali cikgu berdepan dengan perkara sebegini. Satu sekolah gempar dengan apa yang berlaku. Semua guru tahu. Semua pelajar tahu. Jadi cikgu bimbang, jika hal ini sampai pada pihak PIBG,” Puan Hajah Rokiah berjeda sebentar.
“Kalau isu ini diketahui mereka, maka cikgu risau cikgu terpaksa mengambil tindakan ke atas kamu yang terlibat,”
Faziera tersentak lantas mengangkat kepala, mencari wajah Puan Pengetua yang tampak muram riaknya. Dipandang pula Muazhim yang tenang duduk di kerusi sebelah tetapi siapa dapat mengjangka gelora yang sedang bergolak dalam hatinya itu?
“Perkara macam ni tak boleh dibiarkan berlaku lagi puan. Saya bimbang, jika kita tak ambil tindakan, orang akan cakap yang kita terlalu berlembut dengan pelajar,” Cikgu Rashid mencelah.
“Cikgu... Tindakan apa yang akan dikenakan pada saya?”  tanya Faziera, ketakutan.
Melihat gelengan Puan Hajah Rokiah, Faziera diterpa hairan.
“Bukan kamu Faziera tapi Muazhim dan mungkin juga Cikgu Faridatul...”
Mata Faziera membulat. Segera wajahnya dipalingkan pada Muazhim. Lelaki itu masih tampak tenang. Tidak gusarkan dia akan kata-kata Puan Pengetua sebentar tadi?
“Budak-budak sekarang ni, betul-betul memeningkan kepala. Muda-muda lagi dah nak bercinta. Umur pun baru setahun jagung, masih berhingus, ada hati nak tanggung anak dara orang,” ujar Cikgu Rashid, seakan menyindir.
Kali ini Faziera dapat melihat Muazhim menggenggamkan tangan kirinya. Tubuh lelaki itu dilihat seakan mengigil.
“Dalam fikiran kamu sepatutnya yang ada hanya sekolah. Timba ilmu, jawab periksa, lulus dengan cemerlang. Itu sahaja yang perlu kamu fikir sebagai pelajar. Umur kamu masih muda, jangan bazirkan ke arah yang bukan-bukan. Berfikirlah secara rasional. Belajar bersungguh-sungguh, balas jasa mak ayah dulu, baru kamu fikirkan soal cinta. Bukannya cinta tu boleh menjamin masa depan kamu. Bila dah berjaya esok, hah, barulah ada masa nak fikir soal cinta. Masa tu kamu tak perlu pening kepala fikir nak sara anak isteri kamu sebab kamu sudah ada kerjaya yang tetap. Tapi... Tengoklah sekarang ni. Dek terlalu ikutkan perasan tu, kamu dah buat kesilapan yang besar. Jujur cikgu cakap, cikgu kecewa...” panjang lebar bicara Cikgu Rashid.
Faziera kembali menunduk. Sedikit-sebanyak dia rasakan kata-kata itu juga ditujukan padanya walau fokus Cikgu Rashid adalah pada Muazhim. Memang tidak dinafikan kebenaran kata-kata guru disiplin itu. Mereka adalah pelajar, seharusnya menjalankan tanggungjawab sebagai pelajar. Sewajarnya soal cinta ditolak ke tepi.
“Sudahlah cikgu, saya rasa lebih baik biarkan mereka masuk ke kelas semula. Saya akan adakan mesyuarat dengan semua guru nanti,” ujar Puan Hajah Rokiah, meredakan suasana yang tegang sebentar tadi.
“Cikgu akan cuba buat yang termampu untuk selesaikan perkara ini secara baik. Sebagai pengetua, tanggungjawab saya untuk memastikan setiap kebajikan pelajar terpelihara. Kamu berdua pergilah masuk ke kelas semula,” arah Puan Hajah Rokiah.
Muazhim segera berdiri lalu melangkah keluar tanpa sedikit pun bersuara. Faziera yang melihat terkaku sebentar. Baharu sahaja dia bangun, terdengar Puan Hajah Rokiah bersuara lagi.
“Tolong tengokkan Muazhim tu. Cikgu risau jika dia melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya. Cikgu tak mahu hal ini jadi lebih rumit,”
“Baik cikgu, saya cuba. Terima kasih cikgu, saya minta diri dulu,” ujar Faziera lalu berjalan keluar sambil menyematkan pesanan Puan Pengetua tadi utuh di dalam kepalanya.

*  *  *  *  *

“MUAZ, tunggu!” laung Faziera tatkala melihat kelibat Muazhim yang sedang laju menuruni anak tangga.
Lelaki itu tidak sedikit pun menghiraukan panggilan Faziera sebaliknya terus melangkah. Diikutkan sahaja kedua belah kaki mahu membawanya ke mana. Faziera berlari anak, mahu menyaingi langkah Muazhim.
Tiba-tiba Muazhim berhenti. Mujur Faziera sempat menahan kakinya sebelum melanggar belakang tubuh lelaki itu.
“Maaf,” ucap Muazhim tanpa berpaling ke belakang.
“Tak ada apa yang perlu dimaafkan. Semua orang buat silap Muaz,”
“Tapi aku dah sakitkan hati kau, dah malukan kau,”
“Hal lama tu tak perlu diingat semula. Lagipun, semua orang dah lupa memandangkan ada perkara yang lebih hangat lagi sedang berlaku sekarang,” balas Faziera namun segera tersedar yang dia sudah terlepas cakap.
“Ah, maaf, aku...” kata-kata Faziera terhenti apabila wajah Muazhim kini menyapa pandangannya.
Menatap wajah lelaki itu yang sayu, entah kenapa dadanya turut diterpa sendu. Serasa mahu sahaja dia mengsirnakan kekeruhan pada wajah itu tetapi dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ah, untuk apa dia perlu berasa risau pada lelaki itu? Adakah... Masih ada sisa kasih yang berbekas dalam jiwanya?
“Tak apa... Terima kasih ya Ira,” ucap Muazhim lalu memegang erat kedua-dua belah bahu gadis manis berambut separas bahu itu.
Faziera rasakan bagai sedang direnjat elektrik ketika kedua-dua tangan Muazhim menyentuh bahunya. Sentuhan yang terasa sangat hangat dan menenangkan hati. Ya, tidak silap lagi, jauh di lubuk jiwa, masih ada cebisan cinta buat lelaki ini.
“Muaz...” belum sempat Faziera mahu berkata, sekali lagi Muazhim memintas.
“Saya rasa awak mesti fikir ini tak logik atau saya terlalu ikutkan perasaan tapi, boleh beri saya peluang sekali lagi?”
Wajah Faziera berubah tidak percaya. Paluan jantungnya sudah tidak teratur lagi. Tubuhnya disapa dingin. Dalam masa yang sama, di sebalik penjuru dinding bangunan itu, Hazwan sejak tadi mendengar dengan hati yang turut sama berdetak tidak keruan.
::bersambung::

5 ulasan :

Leya berkata...

drama betul citer ni. pelik ngan muaz tu. cpat b'alih arah.

dontbelong2u berkata...

huhu mmg dramatik btul la....faz jgn mudah berubah hati mungkin muaz ada niat lain tu...

Rizai Reeani berkata...

Leya: Itulah perasan, kejap ia hadir, sekelip mata ia hilang...

dontbelong2u: Banyak sangat tengok drama, itu yang terlebih dramatik sikit bab ni. Hehehe...

NukSe berkata...

argghh lama betul xbuka blog.. dh byk episod yg xbaca..

biar betul si muaz nih..rasanya ada udang di sebalik mee.. hehe

Rizai Reeani berkata...

NukSe: Tak mengapa apa, perlahan-lahan. Insha-Allah, blog ini dan isi kandungannya tidak akan lari ke mana. Hehehe... :)