Sepatah Dua Kata

Ahad, Jun 12, 2011

Kembali Senyum - Bab 20



Rancangan
SEMINGGU sudah berlalu sejak kejadian yang menggemparkan seluruh warga sekolah Sri Saujana. Seminggu itu jugalah Muazhim tidak hadir ke sekolah. Atas nasihat guru kaunseling, biarlah keadaan menjadi reda dahulu. Namun ada agenda tersirat yang dilakukan sepanjang ketiadaan lelaki itu. Cikgu Faridatul telah meminta urusan pertukaran sekolah dilakukan. Wanita itu tidak akan lagi mengajar di sekolah tersebut tetapi masih menunaikan tanggungjawabnya sebagai pendidik di sekolah yang lain yang berada di dalam daerah Port Dickson ini.
Oleh sebab itu Muazhim digalakkan bercuti kerana bimbang jika lelaki itu tahu akan Cikgu Faridatul sudah tiada, dia akan membuat onar. Sekurang-kurangnya, apabila lelaki itu kembali nanti, tiada perkara buruk yang akan dia lakukan memandangkan Cikgu Faridatul telah tiada.
Faziera masih ingat sewaktu perhimpunan khas dibuat minggu lepas di mana Puan Pengetua meminta kerjasama para pelajar agar tidak membawa perkara tersebut keluar dari sekolah. Biarlah ia menjadi rahsia yang akan disimpan jauh di lubuk hati masing-masing. Hal ini demi menjaga nama baik sekolah dan juga para guru yang ada.
Dan hari ini, Muazhim akan kembali. Kembali dengan semangat baru, fikir Faziera. Sepanjang seminggu yang lalu, dia tidak menghubungi lelaki itu langsung. Bukan dia tidak ambil berat cuma dia gusarkan perasaan hatinya sendiri. Permintaan Muazhim sebelum lelaki itu bercuti sangat meresahkan jiwanya.
Puas difikir dan ditimbang permintaan Muazhim dan sehingga sekarang dia masih belum punya jawapan untuk diberikan andai lelaki itu bertanya nanti. Entahlah, dia masih dilanda keliru. Dari satu sudut, dia sepatutnya gembira kerana lelaki yang disukai selama ini sudah mula membuka pintu hati untuknya. Tetapi, dari sudut lainnya, ada semacam perasaan yang menghalang dia untuk menerima tawaran Muazhim. Dan perasaan yang asing itu tidak lain dan tidak bukan kerana lelaki yang pernah mendapat tempat di hatinya. Ya, kerana Hazwan.
Masih segar dalam ingatan Faziera akan pandangan mata lelaki itu yang kelihatan sayu sewaktu dia kembali semula ke kelas setelah berjumpa dengan pengetua minggu lepas. Dan sejak itu Hazwan seakan menjauhkan diri darinya. Tiada lagi sapaan seperti sebelumnya dan perkara ini sedikit-sebanyak membuatkan hati Faziera berdetak gelisah.
“Ira!”
Laungan namanya membuatkan Faziera tersentak. Dari jauh Shafikah kelihatan menghampirinya yang sedang duduk di bangku kantin sementara menanti loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan akan bermula.
“Aku dengar Muaz akan datang hari ni?” soal Shafikah sejurus gadis itu melabuhkan punggung di sebelah Faziera.
“Ya, tempoh cutinya dah tamat,”
“Aku harap dia okey nanti,” ujar Shafikah sambil meletakkan beg sandangnya ke atas meja.
“Aku juga harap macam tu. Aku tahu dia boleh atasi masalah yang dia wujudkan sendiri,” balas Faziera.
“Tapi, kau rasa apa yang dia akan buat kalau dia tahu Cikgu Faridatul dah tak mengajar di sini lagi?” Shafikah bertanya, membuatkan Faziera mengeluh berat.
“Aku betul-betul harap yang dia tak akan buat sesuatu yang akan menyusahkan dirinya sendiri lagi,” hanya itu yang Faziera berikan sebagai jawapan kepada pertanyaan kawannya tadi.

*  *  *  *  *
“MUAZ dah datang semula hari ni,”
Kata-kata Atiqah tidak sedikit pun menarik minat Isma. Pandangan mata gadis itu hanya tertumpu pada sesusuk tubuh yang mula membuatkan tidurnya tidak lena dek kerana asyik diganggu bayangan wajah tersebut. Sejak peristiwa dia diselamatkan dari ditolak dalam gerombolan pelajar yang berpusu-pusu mahu melihat gambar Muazhim dan Cikgu Faridatul di papan kenyataan tempoh hari, hatinya mula dipaut rindu. Ada getar yang mengusik jiwa kala menatap wajah itu walau dari kejauhan.
“Hei, kau dengar tak apa aku cakap tadi?” Atiqah mencuit bahu rakannya yang dilihat sedang termenung jauh.
“Hah? Ish, kau ni... Apa dia?”
“Apa dia?” Atiqah bertanya tidak faham.
“Yalah, apa dia yang kau cakap tadi? Hai, masa ni pula dia pending,” sindir Isma.
Atiqah tersengih lalu kembali menyambung bicara, “Muaz dah datang semula hari ni,”
“Oh...” balas Isma, sepatah. Pandangannya kembali dihalakan ke hadapan, menyambung semula angan yang diganggu Atiqah tadi.
Atiqah mengerutkan dahi. Keningnya diangkat sebelah, tanda hairan akan sikap kawannya hari ini. Aneh, jika dahulu, pantang aja dengar nama Muazhim disebut, jelas tergambar riak teruja pada wajah gadis itu. Tapi, baru sebentar tadi nama itu meniti di bibirnya, tidak langsung menarik perhatian Isma.
Lantas Atiqah turut sama menyoroti pandangan kawannya itu sehinggalah kedua belah matanya menangkap sesusuk tubuh yang dirasakan menjadi tumpuan Isma. Perlahan-lahan, bibirnya menguntum senyum.
“Hai, sejak bila pula kau bertukar angin ni?” usik Atiqah seraya mencuit bahu Isma sekali lagi.
“Hah? Eh, kau ni kenapa tercuit-cuit dari tadi ni?” nada suara Isma naik satu oktaf.
“Oh, yang kau dari tadi asyik tertenung-tenung aja tu kenapa?”
“Tertenung-tenung?”
“Eleh, buat tak faham pula. Tu... Bukan main lagi kau tengok mamat tu macam nak telan aja,” Atiqah memerli.
Wajah Isma berubah merah. Malu akan kata-kata kawannya itu tadi. Segera wajahnya ditundukkan. Suara para pelajar lain yang berbual kosong menampar pendengaran Isma. Dikilas seketika jam di tangan. Sudah menjangkau 07.10 minit pagi. Sebentar lagi loceng akan berbunyi menandakan perhimpunan harian akan bermula.
“Kau tak ada dengar khabar tentang Muazhim?” tanya Atiqah.
“Aku tak berminat dengan dia lagi. Buat apa aku nak terhegeh-hegeh dengan lelaki yang dah tak ada harga diri tu,” cebik Isma membuatkan Atiqah sedikit melopong.
“Oh, jadi kau nak cakap yang sekarang ni, kau dah jatuh hati pada orang lain? Mamat tu?” ujar Atiqah seraya menundingkan jari pada pelajar lelaki yang sedang berdiri di bawah sebatang pokok semarak api yang rendang bersama-sama dengan tiga orang kawannya.
Isma mengangkat wajah, menghalakan pandangan pada arah yang diunjukkan oleh Atiqah tadi. Jika hendak katakan dia sudah jatuh hati, ya, tidak salah lagi. Dia sudah mula menyemai benih-benih sayang dalam kebun hatinya. Moga nanti akan berputik bunga-bunga cinta yang mekar mewangi.
“Isma... Isma... Baik kau berhenti ajalah berangan pasal mamat tu,”
Ungkapan yang keluar dari mulut gadis berambut panjang yang diikat ekor kuda itu menyentak lamunannya. Apa maksud Atiqah dengan kata-katanya itu? Bagai tahu apa yang bermain di fikiran Isma, Atiqah tersengih lalu meneruskan bicaranya.
“Lelaki itu telah dimiliki hatinya,” Atiqah sengaja mahu menduga kesabaran Isma.
“Aku tak faham,”
“Dia dah berpunya,”
“Siapa?”
“Seseorang yang amat kau kenali. Gadis yang pernah menjadi bualan hangat suatu ketika dulu,” Atiqah berteka-teki.
“Siapa?” tanya Isma, masih tidak dapat menangkap maksud kata-kata Atiqah tadi namun melihat pada sengihan kawannya itu, segera sebaris nama muncul dalam benak fikirannya.
“Jangan kata perempuan tu...”
Anggukan Atiqah menyebabkan mata Isma membulat. Pantas hatinya diterpa amarah. Tak guna! Kenapa perempuan tak guna tu selalu saja mengganggunya! Ini tidak boleh dibiarkan. Dia tidak mahu tewas lagi. Kalau benarlah kata-kata Atiqah tadi, bermakna dia harus merancang sesuatu agar lelaki yang mula mendapat tempat di hati itu menjadi hak miliknya seorang.
Isma merenung Hazwan yang sejak tadi asyik berbual dengan kawan-kawannya. Melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu membuatkan Isma tidak rela mahu berkongsi senyuman tersebut dengan orang lain. Mindanya ligat berfikir. Dan beberapa ketika kemudian, dia turut sama mengukir senyuman. Penuh sinis!
::bersambung::

3 ulasan :

Leya berkata...

ape lg yg si isma ni nak wat. org dah x suke tu, sudahlah..

Rizai Reeani berkata...

Leya: Sama-sama kita nantikan apa rancangan Isma ya. ;)

NukSe berkata...

isy.. teman xbkenan la dgn sikap si asma tu.. jahat.. hehe