Sepatah Dua Kata

Isnin, Jun 20, 2011

Kembali Senyum - Bab 21



Terjerat

“SELAMAT kembali,” ucap Faziera apabila Muazhim menghampiri tempat duduknya usai cikgu yang mengajar subjek Pengajian Am berlalu pergi.
Thanks... Em, Ira, cikgu tadi tu...” Muazhim tidak meneruskan kata sebaliknya memandang gadis berambut panjang paras bahu itu seakan meminta Faziera menerangkan hal selanjutnya.
Faziera melepaskan keluhan sebentar. Dia mengalihkan pandangan pada Shafikah, meminta kekuatan untuk melafaz kata. Melihat anggukan kawan baiknya itu, dia berpaling semula pada Muazhim.
“Cikgu tu cikgu baru, menggantikan Cikgu Faridatul,” jawab Faziera.
“Ganti?”
“Cikgu Faridatul dah pindah,”
Jelas dapat dilihat riak terkejut pada wajah Muazhim apabila matanya membulat, sepertinya tidak percaya dengan kata-kata Faziera tadi. Namun, beberapa ketika kemudian, wajahnya ditundukkan. Terdengar nafas berat yang dihembuskannya.
“Salah saya semua ni berlaku. Saya tak patut ikutkan perasaan,” luah Muazhim.
“Setiap orang ada melakukan kesalahan. Malah, kesalahan itu memberi kita pengajaran yang tidak ternilai. Yang lepas tu, lepaslah. Cikgu Faridatul dah mulakan hidup baru. Dan awak juga patut buat perkara yang sama. Hidup awak pasti akan lebih bermakna selepas ini,” nasihat Faziera.
            Muazhim mengukir senyum. Dia kemudian kembali semula ke tempat duduknya. Faziera dan Shafikah saling berpandangan, juga dalam senyuman. Dalam masa yang sama, Faziera melirik pada tempat duduk belakang, mencuri pandang pada wajah lelaki yang entah kenapa begitu dirindui.
            Seminggu tiada bicara atau teguran dari lelaki itu, Faziera rasa sunyi. Seakan hidup tiada seri. Dia tahu sewajarnya dia tidak boleh berperasaan sebegitu namun akal logiknya selalu kalah bila berdepan dengan perasaan yang semakin lama semakin mekar dalam taman hatinya. Bunga-bunga cinta yang layu telah kembali subur disirami kerinduan dan dibajai kasih sayang yang dicurahkan oleh lelaki itu sebelum ini.
            Dia tidak mengerti akan rasa hati sendiri sebenarnya. Jika benar ada cinta untuk Hazwan, bagaimana pula dengan permintaaan Muazhim tempoh hari? Dia tidak tegar mahu mengecewakan lelaki itu sekali lagi.
            “Kenapa nak tipu diri sendiri?”
            Soalan Shafikah membuatkan Faziera tersentak. Ditatap wajah yang sedang menulis sesuatu di atas buku nota itu.
            “Kau sayangkan Hazwan, kenapa tak nak mengaku?” Shafikah masih tidak berpaling malah tekun menulis.
            “Apa maksud kau Ika?”
            “Kau faham maksud aku. Kenapa? Apa yang menghalang kau dari meluahkan perasaan tu?”
            Faziera bungkam. Bukannya Shafikah tidak tahu tentang lamaran Muazhim seminggu yang lalu. Dia sendiri yang memberitahu kawan baiknya itu tentangnya dan Shafikah meminta dia berfikir dengan waras dan tanya pada keinginan hati. Tetapi sekarang, kenapa gadis itu seakan menyebelahi Hazwan pula?
            “Kau perlu jujur pada perasaan sendiri. Permintaan Muazhim tu sepatutnya kau tolak awal-awal,” kata Shafikah dan kali ini dia berhenti menulis seraya memandang Faziera yang dahinya sudah berkerut seribu itu.
            “Aku tak faham. Tolak dia awal-awal?”
            “Sebab kau seperti beri dia harapan kalau kau biarkan dia terus menanti. Dan akhirnya keputusan kau akan menambah luka di hatinya,”
            “Aku masih belum buat keputusan, macam mana kau tahu yang aku akan tolak?” soal Faziera, musykil.
           “Perasaan kau pada Hazwan adalah cinta sementara perasaan kau pada Muazhim hanyalah simpati. Simpati itu bukan cinta Ira, kedua-duanya berbeza,”
            Faziera terpana. Simpati? Itukah yang dirasakan pada Muazhim? Apakah itu perasaannya yang sebenar pada lelaki tersebut?
           “Aku pernah kata sebelum ni, tanyalah pada keinginan hati kau sendiri. Hati tak pernah menipu Ira. Dan belum terlambat untuk kau beri kebahagiaan pada diri kau sendiri. Dan apa yang aku lihat, kebahagiaan kau adalah dengan Hazwan, bukannya Muazhim,” panjang bicara Shafikah.
            Fikiran Faziera mula dihujani dengan hujah-hujah Shafikah sebentar tadi. kata-kata gadis itumembuatkan dia berfikir, atau lebih tepat lagi, akalnya sedang berperang hebat dengan hati. Ah, perasaan selalunya merumitkan. Sangat merumitkan!
            “Aku nak cakap dengan kau sikit,”
            Faziera mengangkat wajah, merenung tajam pada Atiqah yang tiba-tiba muncul di sebelahnya.
            “Tentang apa?”
            “Bukan di sini, di luar,” balas Atiqah lalu berpaling pergi.
            Faziera segera bangun mengekori langkah Atiqah. Dalam hati, ada curiga yang menyapa. Muazhim hanya melihat kedua-dua gadis itu melangkah keluar. Begitu juga dengan Hazwan yang sejak tadi juga mencuri pandang pada Faziera.

*  *  *  *  *

JAM di tangan ditatap sekilas. Sudah hampir pukul dua petang. Sesi persekolahan hari itu sudah setengah jam berlalu. Penat berdiri, Faziera bersandar pada dinding stor sukan tersebut. Dia di sini atas permintaan Atiqah pagi tadi. Gadis itu mengatakan bahawa Isma ingin berjumpa dengannya di sini. Ada perkara penting yang hendak dibincangkan. Entah apa, Faziera tidak tahu. Mungkin Isma mahu memberi amaran agar menjauhkan diri dari Muazhim. Ah, setakat amaran dari mulut begitu, dia tidak pernah gentar.
            Sekali lagi jam tangan direnung. Ikutkan hati, mahu sahaja dia melangkah pergi. Sudah hampir dua puluh minit dia menanti tetapi kelibat Isma mahupun Atiqah tidak muncul-muncul. Apakah mereka terlupa atau ini salah satu rancangan mereka untuk sengaja biar dia menunggu lama? Cis! Sepatutnya dia tidak percayakan cakap Atiqah tadi. Menunggu macam orang bodoh di hadapan stor sukan yang jarang dilalui orang ini sedikit-sebanyak menggusarkan hati.
            Lantas, Faziera kembali berdiri. Malas mahu menunggu lagi. Siaplah Atiqah esok. Akan ditampar-tampar muka perasan cantik itu, biar wajahnya dihiasi pemerah pipi asli dek penangan tamparannya. Faziera ketawa lucu. Masakan dia akan berbuat begitu. Tak pasal-pasal nanti kena menghadap Cikgu Rashid sekali lagi. Tetapi, kalau diberi peluang, tak akan disia-siakan.
            Baru sahaja beberapa langkah, tubuh Faziera diserang dari belakang. Kedua belah tangannya dipulas lalu dicengkam kuat. Mulut dan hidungnya ditutup dengan kain. Walau dia cuba meronta,  masih tidak mampu untuk melepaskan diri. Kepalanya terasa berpusing. Dan beberapa saat kemudian, sekelilingnya menjadi gelap-gelita.

*  *  *  *  *

MUAZHIM mengekori sahaja langkah Atiqah tanpa mengetahui arah tuju gadis itu. Kata Atiqah sejurus kelas terakhir tamat tadi, Isma mahu berjumpa dengannya petang nanti di sekolah sekitar jam lima petang.  Muazhim tidak tahu mengapa sekolah dijadikan tempat pertemuan mereka. Mungkin kerana petang nanti tidak ramai pelajar yang berada di kawasan sekolah. Hanya pelajar PMR dan SPM sahaja yang balik sekitar jam lima kerana perlu menghadiri kelas tambahan hari ini.
Langkah kaki mereka akhirnya terhenti di hadapan stor sukan. Hati Muazhim berdetak musykil. Yang lebih menambah curiga apabila mereka masuk melalui pintu belakang sekolah yang bebas tanpa kawalan pengawal keselamatan. Memandangkan kelas tambahan akan berakhir beberapa minit lagi, pintu belakang tersebut telah siap sedia dibuka.
“Kenapa tunggu dekat sini?” tanya Muazhim yang berdiri menghadap Atiqah.
“Supaya tak ada orang nampak,” jawab Atiqah dalam senyuman.
“Maksud kau?”
Muazhim tersentak apabila tubuhnya dicengkam dari belakang. Hidung dan mulutnya ditutup dengan kain yang berbau masam. Beberapa ketika kemudian, dia rebah tidak sedarkan diri.
“Bagus kerja kau!” ucap Atiqah pada seorang pelajar lelaki yang sama kelas dengan Isma.
“Sekarang kita tunggu Isma sampai. Tak sangka aku boleh terlibat dalam rancangan ni. Rasa macam dalam drama pula,” sempat Atiqah berseloroh, disambut dengan ketawa dari pelajar lelaki tadi.
Atiqah terdengar namanya dilaung. Dari jauh, Isma melambai tangannya. Sebentar lagi, rancangan sebenar mereka akan bermula. Dan esok, Sekolah Sri Saujana pasti akan gempar sekali lagi.
::bersambung::

4 ulasan :

IVORYGINGER berkata...

Jahanam betul Isma. Mau kat Hazwan punya pasal sanggup dia nk rosakkan reputasi Faziera. Dah la baru ni pasal kes Muazhim. Harap2x Hazwan tak silap menilai Faziera lg. Kali ni luka yg akan timbul akan lebih pedih n mcengkam perasaan. Maruah tgadai sbb kerakusan keinginan org lain. huh...

Leya berkata...

ni apa kes isma ni? geram pulak!

Tanpa Nama berkata...

apa agaknye rancangan isma tu ye? cpat sambung ye..

Rizai Reeani berkata...

ivoryginger: Begitulah bila hati telah dikuasai perasaan hasad dengki. Pelbagai cara dilakukan agar beroleh kemenangan walau dengan gunakan taktik kotor sekalipun. Huhuhu...

Leya: Saya pun geram nak menghabiskan cerita ni tapi tak habis-habis juga. Hehehe...

Tanpa Nama: Rasanya ramai dah boleh agak apa rancangan Isma tu. ;)