Sepatah Dua Kata

Khamis, Jun 30, 2011

Kembali Senyum - Bab 22


Rumit, semakin rumit

BILIK Puan Hajah Rokiah, pengetua Sri Saujana dikunjungi mereka entah untuk yang keberapa kali. Tetapi kali ini suasana suram lebih ketara. Sejak sepuluh minit yang lalu, tiada sesiapa pun yang berada di dalam bilik itu bersuara. Masing-masing melayan angan dan perasaan. Cikgu Rashid berdehem, mungkin mahu mengatakan sesuatu tetapi dipintas oleh Puan Hajah Rokiah.
“Pertama kali dalam sejarah hidup saya sepanjang menjadi pengetua, kes yang melibatkan orang yang sama berlaku berturut-turut. Awak berdua ni memang hebat,”
Faziera sejak tadi menundukkan wajah sementara Muazhim masih memandang wajah wanita yang sudah menjangkau separuh abad itu. Tidak jelas riak yang terpamer di wajah tersebut. Yang pasti Muazhim tahu, pasti Puan Hajah Rokiah kecewa.
Kejadian semalam seakan mimpi buat Faziera. Ketika dia dikejutkan dengan suara pengawal keselamatan, waktu itu terasa kepalanya berpinar. Langsung tidak tahu dia berada di mana sehinggalah dirasakan ada tangan yang melingkar di bahunya. Dan apabila matanya dibuka sepenuhnya, terasa darah hangat laju naik ke muka. Dia sedang berada dalam dakapan Muazhim yang tidak berbaju! Tidak, mungkin dia hanya berhalusinasi tetapi melihat wajah pengawal keselamatan dan beberapa orang pelajar di hadapannya, Faziera tahu dia tidak bermimpi. Perlahan-lahan, matanya terkatup kembali dan apabila dia sedar semula, dia sedang berada di atas katil di rumahnya.
Bila ditanya mamanya, ada cikgu yang menghantarnya pulang kerana dia pengsan di sekolah. Selepas itu, tidak pula mamanya bercerita lebih lanjut. Faziera yakin, pasti pihak sekolah tidak mahu berita itu dimaklumkan pada mamanya dahulu. Dan, ketika datang ke sekolah pagi ini, Cikgu Rashid sudah siap sedia menunggu di pintu pagar.
Dalam perjalanan ke bilik pengetua, dapat dirasakan seluruh warga Sri Saujana memandangnya dengan pandangan jelik. Faziera tahu mereka memperkatakan tentang dirinya. Pasti dalam fikiran mereka membayangkan yang bukan-bukan. Peristiwa ditangkap berduaan dengan Muazhim dalam keadaan mencurigakan di dalam stor sukan sudah tersebar dan secara tidak langsung, harga dirinya sdah tercalar.
“Apa yang perlu kita lakukan pada mereka puan?”
Pertanyaan Cikgu Rashid menyentak lamunan Faziera. Dia mendongak, mencari seraut wajah milik puan pengetua. Riak wajah itu muram.
“Puan, semua tu tak betul! Percayalah saya puan! Saya dianiaya!” tegas Faziera.
“Tak ada gunanya Ira,” Muazhim mencelah membuatkan pandangan Faziera berpaling padanya.
“Kau tahu tak ada apa yang berlaku petang semalam, kan? Cakap Muaz! Cakap!”
“Benda dah jadi Ira...”
Kata-kata Muazhim menjadikan seluruh tubuh Faziera menggigil. “Tak! Kau tipu! Kau tipu! Puan, betul, saya dianiaya! Percayalah saya puan!” rayu Faziera.
“Dianiaya? Bukan suka sama suka? Macamlah saya tak tahu awak berdua tu ada hubungan,” sinis nada suara Cikgu Rashid.
“Tak betul cikgu! Saya tak ada apa-apa hubungan dengan dia! Kejadian tu adalah satu rancangan!”
“Huh, rancangan? Kalau rancangan, apa buktinya? Pandai betul awak lempar batu sembunyi tangan ya. Cikgu betul-betul tak sangka yang awak berdua ni sanggup mencemarkan sekolah. Kita buang aja mereka ni puan!” bentak Cikgu Rashid.
Buang sekolah? Tidak! Ini tak akan berlaku! Dia tidak bersalah! Dia difitnah!
“Muaz, cakaplah sesuatu! Jangan diam! Kau tahu ini semua rancangan Isma, kan? Tolonglah Muaz, ini tentang maruah aku!” Faziera merayu lagi dalam esakan.
Pintu bilik diketuk dari luar. Puan pengetua meminta Cikgu Rashid untuk membukanya. Lutut Faziera jadi lemah apabila wajah mamanya terjengul di sebalik pintu. Mungkin Puan Pengetua sudah menelefon mamanya untuk hadir ke sekolah bagi membincangkan masalah ini. Di belakang mamanya, ada seorang wanita yang tampak sangat elegan. Pasti ibu Muazhim. Ya Tuhan, mengapa begitu berat dugaanmu ini?

*  *  *  *  *

SHAFIKAH sejak tadi tidak senang duduk. Tumpuannya langsung hilang entah ke mana. Apa yang sedang diajar di hadapan kelas tidak mampu menarik minatnya untuk mendengar dengan tekun walau subjek yang sedang diajar merupakan subjek kegemarannya. Dia lebih memikirkan tentang keadaan Faziera. Jujurnya, dia tidak percaya dengan khabar angin yang sedang tersebar hangat  di sekolah ini. Ternyata sekali lagi Faziera menjadi topik perbualan hangat di kalangan pelajar.
            Walau mereka baru berkenalan, dia percaya Faziera tidak akan lakukan perbuatan terkutuk itu. jika benar sekalipun, mustahil Faziera akan lakukannya di kawasan sekolah. Apatah lagi di dalam stor sukan yang memang menjadi tumpuan para pelajar yang aktif dalam kokurikulum. Dia yakin ini adalah satu perangkap.
            Shafikah berpaling ke belakang. Pandangannya tepat menikam wajah Hazwan. Lelaki itu tampak tenang namun Shafikah tahu, pasti hatinya sedang bergelora hebat. Hazwan yang menyedari renungan Shafikah segera mengangkat kening seakan bertanya niat gadis itu memandangnya.
            Melihat gerak mulut Shafikah yang menyebut nama Faziera, Hazwan melepaskan keluhan. Dia sendiri dicengkam keliru. Jauh di sudut hati dia tahu Faziera tidak bersalah tetapi dia buntu. Tidak tahu cara apa yang perlu dilakukan untuk membuktikan gadis itu diperangkap.
Pamitan tangan Shafikah kelihatan mengajaknya duduk di tempat Faziera. Guru yang sedang mengajar di hadapan kelas begitu khusyuk menulis sesuatu di papan hitam. Hazwan segera bangun, mengambil tempat di kerusi bersebelahan dengan gadis berambut panjang hampir ke pinggang itu.
“Kita perlu buat sesuatu,” bisik Shafikah.
“Buat apa?”
“Waktu rehat nanti, ikut aku!”

*  *  *  *  *

“SAYA minta agar puan berdua bertenang kerana apa yang ingin saya sampaikan ini mungkin sedikit mengejutkan,” ujar Puan Hajah Rokiah.
Faziera mengenggam erat tangan mamanya. Sengaja mahu meminjam kekuatan. Dia tahu, apa yang bakal puan pengetua katakan sebentar lagi pasti akan membuatkan mamanya terkejut besar.
Puan Pengetua mula menceritakan peristiwa yang berlaku petang semalam di stor sukan. Faziera menundukkan wajah. Sudah dua kali dia mendengar cerita tersebut dan sedikit pun dia tidak percaya dengan isinya. Masakan dia sanggup menggadai maruah diri sebegitu rupa. Genggaman tangannya dipererat. Faziera tahu mamanya sedang dilanda resah.
“Begitulah ceritanya puan. Jadi sekarang, saya minta puan berfikir tentang tindakan yang sewajarnya saya ambil pada mereka berdua,” ujar Puan Hajah Rokiah, lembut.
“Anak saya tak bersalah cikgu! Ini mesti budak perempuan tu yang menggoda dia!” bentak ibu Muazhim yang memakai kebaya hijau dengan rambut ditutupi selendang yang sama warna.
“Puan, tolong jangan menuduh sebarangan,” Puan Sarina membalas, masih dengan nada suara yang terkawal.
“Tuduh? Huh, saya kenal anak lelaki saya ni. Dia tak akan buat benda macam tu. Mesti anak awak yang perangkap dia. Mentang-mentang keluarga kami ni berada, agaknya anak awak tu ingat dia boleh mengikis anak saya? Silap besarlah!”
“Puan, saya juga kenal anak saya. Dia anak yang baik puan,”
Air mata yang ditahan sejak tadi tumpah jua. Faziera terasa mahu memeluk mamanya saat itu juga. Syukurlah kerana masih ada yang mempercayai dirinya.
“Baik? Entah-entah selama ni dia berpura-pura baik aja depan awak. Saya kenal sangatlah dengan budak perempuan macam anak awak tu. Pantang nampak lelaki yang kaya, mulalah nak menggatal!”
“Puan! Tolong jangan biadap!” suara Puan Sarina sudah naik satu oktaf.
“Sudah! Saya panggil puan berdua ni untuk selesaikan masalah, bukan nak merumitkan,” ujar Puan Hajah Rokiah, membuatkan kedua-dua wanita di hadapannya terdiam.
“Beginilah, puan. Saya minta agar mereka berdua direhatkan selama tiga hari. Saya akan berbincang dengan pihak sekolah dan PIBG untuk tindakan selanjutnya. Selepas tiga hari, saya minta puan datang semula untuk dengar keputusannya,”
::bersambung::

Tiada ulasan :