Sepatah Dua Kata

Ahad, Julai 10, 2011

Kembali Senyum - Bab 23




SEJURUS pintu bilik puan pengetua ditutup, kaki Faziera kaku di situ. Bagai ada batu besar yang menghempap kakinya. Kepala ditundukkan, tidak mampu untuk memandang seraut wajah yang selama ini sentiasa berada di sisi mencurahkan kasih dan menyuntik semangat dalam diri.
            Puan Sarina menatap anaknya sayu. Dia faham gelodak rasa yang bergelora dalam jiwa Faziera. Dugaan tidak putus-putus datang menerpa. Namun dia yakin, anaknya sudah cukup matang untuk menangani setiap ranjau yang mendekat. Dia juga mengerti, anaknya hanya manusia biasa yang punya kelemahan. Bukan sedikit hati anaknya tercalar kala ini. Pasti sudah hancur luluh. Dan sebagai ibu, apa yang mampu dilakukan adalah memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi.
            “Mama...” akhirnya bibir Faziera menzahir kata.
            “Kita balik dulu. Mama akan bincang hal ni dengan papa nanti. Ira tak perlu risau, mama percayakan anak mama ni. Sentiasa percaya...” balas Puan Sarina.
            Mendengar kata-kata mamanya, semangat yang terbang entah ke mana tadi mula hinggap semula. Segera Faziera mendakap mamanya lalu segala tangisan dihamburkan di situ. Dia sudah tidak kisah lagi walau apa pun keputusan pihak sekolah. Jika dia diminta berpindah sekalipun dia akan turutkan. Terlalu banyak kenangan pahit yang tercipta di sini. Terlalu banyak memori duka yang mengguris sanubari. Dia sudah tidak mampu untuk berdiri lagi. Hatinya sudah penat. Jiwanya sudah tidak larat.

*  *  *  *  *

SHAFIKAH berjalan pantas menuju ke pondok pengawal diikuti dengan Hazwan di belakang. Mereka baru sahaja keluar dari bilik puan pengetua. Mengetahui yang Faziera sudah pulang bersama mamanya, dan keputusan yang masih belum dibuat terhadap kawan sekelasnya itu, Shafikah rasakan masih ada peluang untuk menjernihkan semula nama Faziera yang tercemar. Dia yakin. Malah amat yakin yang kawan baiknya itu telah diperangkap. Dan dalangnya tidak lain dan tidak bukan adalah Atiqah dan Isma.
            Walaupun kedua-duanya tidak hadir ke sekolah hari ini, Shafikah tahu bahawa ini adalah rancangan mereka kerana sebelum pulang ke rumah selepas kelas tambahan semalam, Faziera ada memaklumkan padanya yang dia ingin berjumpa dengan Atiqah di stor sukan. Sejak itu hatinya sudah rasa lain macam. Namun, tidak pula disuarakan pada kawannya itu kerana merasakan ia hanyalah mainan perasaan.
            “Kau nak bawa kau ke mana ni?” soalan Hazwan menjentik gegendang telinga Shafikah.
            “Ikut aja. Kita perlu selamatkan Ira,”
            “Kau cakap macam kau yakin sangat yang Ira tu tak bersalah,” ujar Hazwan.
            Langkah kaki Shafikah terhenti serta-merta tatkala mendengar kata-kata yang meluncur laju dari mulut lelaki berambut pendek di belakangnya itu. Segera dia berpaling sambil merenung tajam ke wajah Hazwan, membuatkan lelaki itu turut mematikan langkah.
            “Ulang balik apa kau cakap tadi?” jerkah Shafikah.
            “Hei, rilekslah...”
            “Kau tak percayakan Ira?”
            “Bukan aku tak percaya tapi...
            “Tapi apa? Ish, tak faham aku dengan kau ni. Cakap aja lebih. Sayanglah, cintalah, tapi kau langsung tak percayakan dia. Kalau macam ni lebih baik dia pilih si Muaz tu dari lelaki tak ada pendirian macam kau ni!” Shafikah sudah naik marah.
            Hazwan melepaskan keluhan. Gadis berambut panjang di hadapannya ini sudah salah faham. Dia bukan tidak percayakan Faziera. Masakan dia mencurigai gadis yang begitu dicintainya itu. Dia cuma bimbang yang Shafikah tersilap langkah. Dia takut keadaan akan jadi lebih rumit jika gadis itu menuduh tanpa usul periksa. Walau jauh di sudut hati dia turut mengakui bahawa Faziera telah diperangkap, namun tiada bukti mahupun saksi sahih yang menunjukkan Faziera tidak bersalah.
            “Kau yakin yang ini semua rancangan Isma dan Atiqah?” soal Hazwan setelah membisu seketika.
            “Tentulah! Siapa lagi musuh Ira kalau bukan budak dua orang tu. Kau nak takut apa Wan? Jangan risau, aku tahu apa yang aku buat. Dah, jom cepat!” ujar Shafikah lalu kembali menyambung langkah.
            Hazwan hanya menurut. Mungkin benar Shafikah sudah fikirkan jalan penyelesaiannya. Dan dia berdoa, moga semua permasalahan ini, akan bertemu penyudahnya tidak lama lagi.

*  *  *  *  *

GAGANG telefon di tangan, digenggam erat. Suara pemanggil yang didengarnya tadi menerbitkan amarah dalam dada. Terbayang wajah lelaki itu yang dahulu pernah mendapat tempat di hati tetapi sekarang yang ada hanya benci. Siapa lelaki itu untuk menentukan jalan hidupnya? Cadangan yang diutarakan lelaki itu tadi benar-benar tidak masuk akal.
“Siapa telefon Ira?” laung Puan Sarina dari arah dapur, membuatkan khayalan Faziera terganggu.
            “Ah, orang salah nombor mama!” jerit Faziera lalu meletakkan semula gagang telefon tadi ke tempat asalnya.
            Dia bingkas bangun, mempercepatkan langkah ke biliknya. Usai menutup pintu, segera dihempaskan tubuh ke katil. Fikiran yang kusut sejak tadi bertambah-tambah kusut jadinya. Serasa mahu menjerit namun bimbang merisaukan mamanya. Cukuplah dengan masalah yang ada sekarang. Dia tidak mahu mamanya turut tambah terbeban memikirkan perkara yang baru sahaja ditimbulkan oleh Muazhim tadi.
            Gila! Hanya itu perkataan yang sesuai digambarkan tentang cadangan Muazhim. Lelaki itu mahu mereka berkahwin. Entah hantu mana yang merasuk fikiran lelaki itu. Hantu gatal merenyam agaknya. Berkahwin dalam usia sebegini mentah? Tidak pernah langsung singgah ke mindanya. Apatah lagi melihat sikap emak Muazhim pagi tadi. Kerat jari pun belum tentu perempuan sombong itu memberi restu mahupun persetujuan.
            Faziera meramas kuat bantal yang bersarung corak bunga-bunga kecil rona kuning berlatar belakangkan warna biru cair itu. Terlalu geram dengan rancangan Muazhim yang tidak dapat diterima akal. Kenapa pula lelaki itu beriya-iya mahu berkahwin dengannya? Tidak sedarkah Muazhim yang mereka masih lagi bersekolah? Tahulah yang keluarga lelaki itu kaya, mampu membeli apa sahaja tetapi mustahil dia akan menyerahkan masa hadapannya bulat-bulat pada lelaki itu.
            Tiba-tiba Faziera bangkit dari pembaringan. Dia menekup mulut. Jangan-jangan, Muazhim mahu berkahwin dengannya semata-mata mahu membalas dendam pada Cikgu Faridatul? Memandangkan perkahwinan Cikgu Faridatul belum tentu akan berlangsung kerana peristiwa gambar mereka yang terdedah, pasti Muazhim mahu ambil peluang ini untuk menyakiti hati cikgu tersebut. Betapa keanak-anakan sekali fikiran lelaki itu!
            Faziera merebahkan semula tubuhnya ke atas tilam. Kali ini mukanya ditekupkan pada bantal. Hatinya tidak mampu bertahan lagi. Segera dia melepaskan jeritan yang sejak tadi dipendam. Moga jeritan itu dapat melegakan sedikit perasaannya yang tidak bertemu ketenangan sejak kebelakangan ini.

*  *  *  *  *

“ADA seorang budak lelaki yang minta pakcik buka pintu stor sukan tu sebab dia nak pulangkan dua biji bola sepak petang semalam,”
            “Macam mana muka budak lelaki tu?” tanya Shafikah pada pengawal keselamatan yang rambutnya sudah ditumbuhi uban itu.
            “Pakcik tak berapa ingat tapi mukanya tak adalah putih sangat. Kulit sawo matang, tinggi-tinggi. Waktu tu dah dekat Maghrib. Dia kata bola tu dia pinjam dekat stor sukan. Pakcik pun ikutlah dia pergi sana. Buka aja pintu stor, pakcik baling aja bola tu tapi budak tu kata dia nampak macam ada kain dekat belakang almari. Pakcik buka lampu. Lepas tu pakcik pergi sana, tengok ada budak lelaki dengan perempuan tengah tidur. Apalagi, pakcik teruslah kejut dan telefon pengetua,” jelas pengawal keselamatan yang memakai tag nama Murad itu.
            Shafikah saling berpandangan dengan Hazwan. Siapa agaknya gerangan budak lelaki yang dimaksudkan oleh pengawal keselamatan ini? Mengapa bukan pelajar perempuan? Atau, mereka yang tersilap meneka?
            “Ada tak pelajar lain masa tu?” Hazwan pula melontarkan soalan.
            “Tak ada, budak lelaki tu sorang aja. Tapi kalau tak silap pakcik, masa tu budak-budak lelaki lain baru balik dari main bola sepak,”
            “Lepas pakcik telefon puan pengetua, budak lelaki tu buat apa?”
            “Bila pakcik keluar dari stor tu, pakcik tengok ada dua orang budak perempuan dah ada kat luar,”
            “Budak perempuan?” serentak Shafikah dan Hazwan bersuara.
            “Macam mana rupa mereka pakcik?”
            “Yang sorang tu rambutnya bertocang. Yang lagi sorang tu rambut lurus. Dua-dua putih,”
            Sekali lagi Faziera dan Hazwan bertentang mata. Mereka yakin itu pasti Isma dan Atiqah. Dan mereka juga pasti, pelajar lelaki itu yang membantu kedua-duanya menjalankan rancangan. Nampaknya, misi mereka adalah untuk mencari pelajar lelaki tersebut. Tetapi, bagaimana?
::bersambung::

Tiada ulasan :