Sepatah Dua Kata

Ahad, Julai 17, 2011

Kembali Senyum - Bab 24



Misi

“AKU dah jumpa budak lelaki tu,”
Bisikan Shafikah di telinga Hazwan semasa dalam perjalanan menuju ke kelas usai perhimpunan pagi itu ternyata menghadirkan kejutan dalam diri lelaki berkulit cerah itu. Bulat anak matanya memandang wajah gadis berambut panjang melepasi bahu tersebut.
“Macam mana kau tahu?” tanya Hazwan, perlahan.
Shafikah memandang ke kiri dan ke kanan dahulu bagi memastikan tiada sesiapa yang mendengar mahupun mencuri pandang ke arah mereka. Bimbang jika apa yang dirancang tidak akan menjadi.
“Petang semalam, dekat pekan, aku nampak Atiqah, Isma dan dua orang budak lelaki tengah makan dekat satu restoran tu. Bukan main lagi bergelak-ketawa. Sorang budak kelas Isma dan sorang lagi kalau tak silap aku budak Form 5. Dia ahli kelab bola sepak,” jelas Shafikah.
“Budak kelas Isma?”
“Si Amran tu,”
Amran? Kalau tidak silap pernah nama itu menerjah pendengarannya. Dia cuba menyelak lembaran fikiran, andai ada wajah yang singgah. Dan akhirnya dia tersengih. Budak lelaki berkulit hitam manis itu dengarnya dulu pernah cuba memikat Isma tetapi tidak dilayan gadis tersebut.
“Amran yang suka Isma tu?” tanya Hazwan, meminta kepastian.
“Iyalah, Amran mana lagi. Aku rasa mesti Isma ada janji something yang buatkan Amran tu setuju dengan rancangan dia,”
“Hanya sebab kau jumpa dia orang tengah makan berempat, kau yakin yang salah seorang dari budak lelaki tu terlibat?”
“Bukan seorang, tapi kedua-duanya, mungkin,”
“Jadi?”
Shafikah mengerutkan dahi. Tidak pasti sama ada soalan Hazwan itu serius, atau lelaki itu memang blur.
“Jadi apanya lagi, kita pergi serbulah! Ish, itu pun nak tanya!” gerutu Shafikah.
“Bila?”
“Lepas habis sekolah. Tunggu dekat depan pintu pagar. Aku harap kau tahu nak buat apa ya,”
“Nak buat apa?” Hazwan bertanya, ragu-ragu.
Shafikah menepuk dahi. Kenapalah lelaki di sebelahnya ini lembab sangat pagi ni? Terasa mahu saja diketuk kepala lelaki itu.
“Kau ajaklah dia orang pergi makan kat kantin,” sindir Shafikah.
“Hah?”
“Eii... Apasal kau ni pending sangat? Gertaklah dia supaya beritahu hal sebenar. Kau, kan lelaki. Takkan aku pula yang nak buat kerja tu,”
“Oh... Okey, okey, faham,” ujar Hazwan dalam sengihan.
Dia melihat Shafikah menggeleng. Esok, adalah hari penentuan pada keputusan Puan Pengetua dan pihak sekolah terhadap kes Faziera dan Muazhim. Bermakna, tidak boleh tidak, perkara sebenar yang berlaku harus didedahkan. Jika terlewat, mungkin dia tidak akan dapat bertemu dengan Faziera lagi.
“Em, Ira ada telefon kau?” tanya Hazwan.
“Ada. Kau jangan risaulah. Aku tahu dia kuat orangnya,”
Hazwan melepaskan keluhan lega.

*  *  *  *  *

SIARAN program bual-bicara di televisyen pagi itu sedikit pun tidak menarik perhatian Faziera. Fikirannya lebih banyak melayang entah ke mana. Sekejap-sekejap beralih arah. Ada wajah Muazhim, kemudian ada wajah Isma. Selepas itu diganti dengan wajah Hazwan pula. Kali ini wajah itu singgah agak lama di benak mindanya.
            Lelaki yang dahulu pernah mengecewakan hatinya, kini semakin dekat di jiwa. Bila dikenang semula segala peristiwa yang berlaku semasa hampr dua tahun yang lalu, betapa dia rasakan dirinya bersikap terburu-buru dan keanak-anakan. Namun, itu bukan salahnya.
            Kali pertama jatuh cinta, adalah lumrah dalam kehidupan setiap manusia. Kata orang, cinta pandang pertama itu sukar dilupakan. Dan pada Faziera, kata-kata tersebut ada benarnya. Memang mulanya begitu payah mahu menyingkirkan perasaan cinta yang bersemi di hati buat lelaki itu. Apatah lagi bila cubaan demi cubaan untuk menambat hati Hazwan sentiasa berakhir dengan kekecewaan.
            Malu, memang dia malu tetapi hatinya puas. Dia tidak perlu lagi menampung beban perasaan andai dipendam dalam hati. Terlalu sarat sehingga dadanya terasa mahu pecah jika disimpan lebih lama lagi. Entah dari mana kekuatan untuk meluahkan rasa itu muncul, dia tidak pernah tahu. Apa yang pasti, dia yakin pada kata hatinya.
            Walau dimamah kecewa, dia berusaha untuk bangun semula. Cinta pertama itu tidak semestinya cinta yang terakhir. Dia yakin, Tuhan telah ciptakan seorang lelaki yang akan menyintainya sepenuh jiwa. Mungkin cinta pertamanya berakhir dengan duka tetapi itulah yang mendewasakannya tentang perihal hati dan perasaan.
            Sehinggalah dia disapa angin cinta untuk kali kedua. Tetapi, dia tidak yakin sama ada perasaan itu boleh dikatakan cinta. Mungkin hanya minat dan suka. Iyalah, Muazhim itu pujaan ramai. Sedikit-sebanyak tempias perasaan itu kena padanya. Ditambah pula dengan layanan Muazhim yang baik padanya dulu, membuatkan dia diselubungi bahagia untuk seketika.
            Dan apabila Hazwan muncul semula, dan kali ini dengan harapan untuk mencuri hatinya, waktu itu dia diserang pelbagai rasa yang berbaur. Ada resah, ada gundah, dan ada gelisah. Sejujurnya, perasaan cinta pada lelaki itu yang sudah dibenam jauh ke dasar hati, seringkali cuba untuk memanjat keluar.
            Bodohkah dia menolak hasrat hati lelaki yang memang tidak pernah luput dari ingatannya itu? Tidak, dia tidak berniat mahu menolak tetapi buat masa ini, dia masih belum bersedia untuk bercinta sekali lagi. Cukuplah dua pengalaman cintanya yang mengajar dia untuk tidak lagi terburu-buru dalam menilai perasaan hati. Biarlah dirawat luka sehingga sembuh dahulu. Andai Hazwan sanggup menunggu, itu haknya. Dan jika keputusannya nanti akan mengecewakan hati lelaki itu, biarlah Hazwan yang tanggung sendiri. Sepatutnya lelaki itu lebih bersedia daripadanya. Tambahan pula, lelaki tidak seperti perempuan yang sukar mahu mengubat hati yang telah dicalar dan dikelar rakus.
            Hari ini masuk hari kedua dia tidak hadir ke sekolah. Dan esok, mungkin adalah kali terakhir dia menjejakkan kaki ke sana. Walau apa pun keputusan pihak sekolah, dia sudah nekad untuk berpindah. Tiada gunanya lagi berada di sekolah yang begitu banyak memori duka tercipta.
            Walaupun peperiksaan STPM tinggal hampir tiga bulan sahaja lagi, dia akan berusaha di sekolah baru nanti. Buat masa ini, yang lebih penting adalah masa depannya. Dia harus lakukan yang terbaik dalam bidang pelajaran andai mahu menggapai masa hadapan yang seterang sinar mentari, secantik warna pelangi dan bukannya sekelam gelap malam. Soal hati dan perasaan, biarlah masa yang menentukan.

*  *  *  *  *

LOCENG yang berbunyi menandakan sesi pengajaran dan pembelajaran telah tamat pada hari Selasa itu. Rata-rata pelajar sibuk mengemas peralatan tulis dan buku-buku di atas meja. Usai mengucapkan terima kasih pada guru yang mengajar, mereka mula berpusu-pusu keluar dari kelas. Masing-masing tidak sabar mahu pulang ke rumah. Ada yang mahu mengisi perut yang bergendang, dan tidak kurang juga yang mahu mencari bantal untuk melelapkan mata.
            Shafikah melangkah keluar dahulu dari kelas daripada Hazwan. Kedua-duanya sudah berjanji akan bertemu di gazebo berhampiran dengan pondok pengawal. Kata gadis itu tadi, dia mahu menahan salah seorang dari pelajar lelaki yang dijumpai semalam sebelum mereka pulang.
            Kini, hanya tinggal dia sendirian di dalam kelas tersebut. Suis kipas siling dimatikan. Dia menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan-lahan. Kerusi yang diduduki Faziera dipandang sekilas.
            “Saya akan bersihkan nama awak semula Faz,” ucap Hazwan lalu melangkah keluar dengan jiwa yang berkobar.
            Langkah kakinya laju menuju ke gazebo seperti yang dijanjikan dengan Shafikah pagi tadi. Dari jauh, dia sudah dapat melihat kelibat gadis itu dengan seorang pelajar lelaki yang sedang rancak berbual. Dia semakin mempercepatkan langkahnya. Dalam hati dia berdoa, moga segalanya berjalan lancar dan dipermudahkan Tuhan baginya.
            “Assalammualaikum,” ucap Hazwan sebagai pembuka bicara.
           Salamnya dijawab oleh Sahfikah dan pelajar lelaki yang berambut pendek tetapi dibelah tengah itu. Kulitnya agak kehitaman dengan mata yang bundar dan hidup sedikit mancung. Bibirnya pula lebar dan hitam. Merokok barangkali. Dia tidak pernah melihat wajah pelajar tersebut sebelum ini. Ah, bukannya ada puluhan pelajar di sekolah ini. Masakan dia dapat mengingat ratusan wajah pelajar yang ada.
            Pelajar lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai Aswad. Sekali pandang, wajahnya ada iras Amran. Mungkin mereka punya pertalian darah.
            “Okeylah, kita straight to the point saja. Kenal Isma?” tanya Hazwan sekaligus membuatkan raut wajah tenang pelajar lelaki tadi berubah 360 darjah.
            “Sapa? Isma? Rasanya tak ada pula kawan nama Isma,” dalih Aswad dengan wajah yang cuba ditenangkan.
            “Oh, tak kenal. Sekejap ya. Ika...” ujar Hazwan lalu memandang gadis yang duduk di sebelahnya.
            Shafikah yang faham akan maksud Hazwan mengeluarkan sesuatu dari beg sekolahnya. Sebuah telefon bimbit. Dia menekan papan kekunci telefon tersebut lalu diserahkan pada Hazwan.
            “Budak lelaki dalam gambar ni, kau, kan?” soal Hazwan seraya menunjukkan gambar yang ditangkap oleh Shafikah petang semalam tanpa disedari oleh Isma dan yang lainnya.
            Wajah Aswad berubah semakin pucat. Dalihnya tidak menjadi. Dan tiba-tiba, fikirannya seakan dapat meneka apa yang akan pelajar lelaki di hadapannya ini katakan. Habislah!
            “Kenapa nampak gelabah ni? Rilekslah, kita orang bukan nak buat apa-apa kat kau pun,” sinis nada suara Hazwan.
            Aswad segera bangun tetapi langkahnya terhenti apabila pengawal keselamatan yang siap memegang cota di tangan merenungnya tajam.
            “Duduklah, ada banyak kita nak cerita ni,” sambung Hazwan seraya mengalihkan pandangan pada Shafikah yang tersenyum lebar.
::bersambung::

2 ulasan :

dalila berkata...

waaa... dah nak habis ke? watlah panjang lg..

Rizai Reeani berkata...

dalila: Ya, tinggal satu atau mungkin dua episod sahaja lagi. Jika berkesempatan, mungkin saya akan ubah dan rombak semula cerita ini untuk versi manuskrip penuh. :)