Sepatah Dua Kata

Sabtu, Julai 30, 2011

Kembali Senyum - Bab Akhir


Senyum Seindah Suria

PAGI itu cuaca sedikit mendung. Mentari bagai tidak bermaya mahu memancarkan sinarnya. Langit diselaputi mega-mega kelabu, sama suramnya seperti hati Faziera saat itu. Sejak semalam tidurnya tidak lena. Malah dia tidak tidur pun sehingga detik ini. Matanya sukar mahu pejam. Masakan dia mampu nyenyak bila memikirkan dia akan berhadapan dengan kemungkinan yang memeritkan. Ya, walaupun dia sudah nekad mahu berpindah sekolah, tetapi maruahnya pasti tercemar jika namanya tidak dibersihkan.
Sungguh, ikutkan hati, mahu sahaja dia berhadapan dengan Isma. Jika boleh diugut, akan diugut gadis itu supaya berterus-terang perihal sebenar. Tetapi dia tahu, perkara itu tidak mungkin akan menjadi kenyataan. Bukan mudah mahu membuka mulut Isma. Entahlah, dia tidak pernah berdendam dengan gadis itu. Menyakiti hati Isma jauh sekali. Namun gadis itu lebih mengikut kata hati dan perasaan cemburu sehingga tergamak memalit lumpur pada wajahnya.
Faziera melepaskan keluhan. Dia melangkah longlai ke kereta di mana papanya sudah siap sedia menunggu sejak lima minit tadi. Pintu belakang kereta dibuka. Dihempas punggungnya lalu tubuh disandarkan pada tempat duduk. Tiada secarik senyum pun yang mampu dilukis pada mukanya. Tidak beberapa lama kemudian, kelibat mamanya muncul lalu mengambil tempat di sebelah papanya.
“Ira dah sedia?” tanya Puan Sarina sambil memalingkan wajah ke belakang, mencari sepasang mata bundar milik anak perempuannya.
Dengan wajah yang ditundukkan, Faziera mengangguk. Kereta Waja rona coklat keemasan itu mula bergerak menuju ke Sekolah Tinggi Sri Saujana sambil membawa bersama hati Faziera yang rawan.
*  *  *  *  *
TIKA pintu bilik puan pengetua dikuak, kelibat Muazhim dan ibunya menyapa pandangan Faziera tetapi tidak lama. Entah mengapa dirasakan begitu meluat mahu melihat wajah lelaki tersebut. Mungkin kerana panggilan telefon Muazhim semalam yang dirasakan tidak boleh diterima akal waras yang menyebabkan dia berperasaan begitu.
Tiga buah sofa rona peach yang mengandungi tiga buah kusyen setiap satunya menjadi tumpuan enam pasang mata yang masing-masing punya fikiran tersendiri. Puan Pengetua mengambil tempat di sofa yang tengah. Muazhim dan ibunya duduk di sofa sebelah kiri sementara Faziera, mama dan papanya melabuhkan punggung di sofa yang bertentangan.
Faziera cuba mencari kelibat Cikgu Rashid tetapi bayang guru lelaki itu tidak kelihatan. Mungkin Puan Pengetua yang tidak membenarkan guru lelaki itu turut serta dalam perbincangan ini. Sememangnya tindakan Puan Hajah Rokiah amat wajar kerana Cikgu Rashid itu selalu sahaja membuat keputusan mengikut fikirannya sendiri tanpa berfikir baik dan buruk terlebih dahulu. Asyik mahu ikut kepalanya sahaja yang sarat dengan peraturan. Bukannya Faziera tidak tahu pendirian ketua guru disiplin itu. Padanya, peraturan tetap peraturan dan pantang baginya jika peraturan itu dilanggar atau diubah. Hal itu yang kerap kali Cikgu Rashid tegaskan dalam setiap perhimpunan rasmi sekolah.
“Terima kasih atas kesudian tuan dan puan-puan hadir pada hari ini,” ucap Puan Hajah Rokiah, memulakan bicara.
“Baiklah, seperti yang kita sedia maklum, pertemuan pada hari ini adalah untuk menyatakan keputusan pihak sekolah setelah berbincang dengan ahli-ahli PIBG tentang kes tangkap khalwat Faziera dan Muazhim,” sambung Puan Pengetua.
“Anak saya tak bersalah cikgu. Dia diperangkap!” celah ibu Muazhim seraya mencerlung memandang tubuh Faziera.
“Bertenang puan... Sebelum saya beritahu keputusan pihak sekolah, saya nak dengar sendiri dari mulut Muazhim dan Faziera tentang hal sebenar yang berlaku sekali lagi,”
Muazhim menghalakan pandangan pada wajah gadis yang duduk bersetentang dengannya. Sejak tadi Faziera tidak sedikit pun mengangkat kepala. Tekun duduk menekur, menatap permaidani hijau yang menutupi jubin putih bilik itu. Merasakan yang dia perlu memulakan perbualan, segera mulutnya dibuka. Diceritakan sekali lagi apa yang telah berlaku beberapa hari yang lepas semasa kejadian yang memalukan itu.
            Faziera khusyuk mendengar. Dia mahu memastikan Muazhim tidak menambah atau memutar-belit jalan cerita. Walaupun mereka pernah menjelaskan perihal sebenar dulu, itu tidak menjamin yang Muazhim tidak akan menokok tambah cerita yang lain pula.
            Usai lelaki itu bersuara, giliran dia pula menceritakan perkara sebenar. Walau jauh di dasar hati dia sudah dapat mengagak keputusan pihak sekolah, tetapi namanya yang tercemar perlu dibersihkan. Dia tidak mahu menanggung malu seumur hidup bila para pelajar di sekolah ini menjaja ceritanya dari satu generasi ke satu generasi yang lain.
            “Baiklah, kita dah dengar penjelasan mereka berdua. Sekarang, saya nak tahu, jujurnya, adakah awak berdua mengaku bersalah?” tanya Puan Hajah Rokiah, menyebabkan Faziera segera mengangkat kepala.
            “Tak, saya tak bersalah cikgu!” tegas Faziera.
            “Muazhim?” Puan Hajah Rokiah mengalihkan pandangan pada pelajarnya yang berbaju –T kolar biru itu.
            Faziera turut memandang ke arah yang sama. Kenapa begitu berat lelaki itu mahu membuka mulut? Sudah terang-terangan yang mereka tidak bersalah, mengaku sahajalah. Kenapa masih hendak bermain tarik-tali?
            “Saya... Saya mengaku bersalah cikgu,”
            “Muazhim!!!” bentak Faziera lalu spontan berdiri.
            “Apa yang kamu merepek ni Muaz?” soal ibu lelaki itu.
            “Ira, mengaku ajalah. Kita dah pun terlanjur. Kenapa nak tegakkan benang yang basah? Memang ini rancangan kita supaya untuk tutup kesalahan,”
            Faziera rasakan tubuhnya menggigil mendengar kata-kata Muazhim. Segera dia menerkam lelaki itu. “Tak! Saya tak bersalah! Tolong! Tolong jangan buat saya macam ni Muaz...” rayu Faziera sambil menarik-narik bahu Muazhim.
            “Hei, lepaskan anak aku! Perempuan tak sedar diri!” cemuh ibu Muazhim.
            “Faziera!” Encik Hashim bersuara, sedikit menjerit lantas membuatkan Faziera kaku.
            Puan Sarina bangun lalu menarik tubuh anaknya perlahan-lahan, menjauhi Muazhim dan ibunya. Faziera menghamburkan tangis dalam dakapan mamanya. Muazhim memang sudah gila!
            “Hmm... Beginilah. Saya tak mahu hal ni berlanjutan, jadi saya beritahu saja keputusan pihak sekolah,” ujar Puan Hajah Rokiah setelah keadaan kembali reda sedikit.
            “Setelah berbincang dan memikirkan nama dan imej sekolah, maka dengan ini, Muazhim dan Faziera, awak berdua diberhe...”
            “Tunggu dulu puan!”
            Kata-kata Puan Hajah Rokiah terhenti apabila pintu biliknya ditolak dari luar. Sebatang tubuh yang berada di muka pintu menarik perhatiannya. Faziera segera berdiri. Dia kenal empunya suara itu.
            “Ada apa Hazwan?”
            “Puan...” Hazwan meneruskan bicara.

*  *  *  *  *
BILIK Puan Pengetua senyap-sunyi bagai padang jarak padang terkukur. Kini, setiap pasang mata yang ada di situ tertumpu pada Hazwan. Sejak kemunculan lelaki itu secara mengejut beberapa minit tadi, bicara lelaki itu sentiasa dinantikan. Apatah lagi dengan kelibat Isma dan Atiqah yang datang bersama-sama dengan Shafikah dan Aswad. Turut sama Cikgu Rashid yang sudah memerah mukanya. Menahan marah mungkin.
“Apa benar yang Hazwan ceritakan tadi Atiqah? Isma?” Puan Hajah Rokiah melemparkan pertanyaan pada dua orang pelajar perempuan yang sudah pucat mukanya itu.
“Cikgu tanya tu, kenapa diam?!” jerkah Cikgu Rashid.
Kedua-duanya masih mengunci mulut. Kepala masing-masing ditundukkan.
“Isma, Atiqah... Betul ke apa yang Hazwan cakapkan tadi?” ulang Puan Hajah Rokiah sekali lagi, masih dalam kelembutan.
Faziera terasa mahu sahaja mengoyakkan mulut Isma dan Atiqah. Biar cacat! Mendengar penjelasan dari Hazwan tadi membuatkan dia tergamam seketika. Memang tepat jangkaannya selama ini. Jauh di sudut hati, ada lega yang mula bertapak.
            Genggaman tangan Shafikah yang duduk di sebelahnya dipererat. Sungguh dia terharu dengan pertolongan kawan baiknya itu. Walau tempoh perkenalan mereka tidak lama, Shafikah ikhlas menjalin hubungan persahabatan dengannya.
“Awak nak saya hubungi ibu bapa awak ke?” kali ini nada suara Cikgu Rashid berbaur ugutan.
Atiqah segera mengangkat wajah. Digelengkan kepalanya beberapa kali. Pantas dia bersuara, mengakui segalanya. Mendengar pengakuan dari mulut Atiqah, titis-titis air mata yang terhenti tadi kembali mencurah. Syukurlah, semuanya sudah tamat kini.

*  *  *  *  *

“KAU biar betul Ira?”
Faziera seakan mahu ketawa melihat riak wajah Shafikah yang jelas terkejut dengan kata-katanya tadi. Walaupun namanya kini sudah dibersihkan, dia tetap dengan keputusan mahu meninggalkan sekolah itu. Tiada gunanya lagi dia berada di tempat yang banyak meninggalkan memori pahit dalam hidupnya.
“Sampai hati kau nak tinggalkan aku...” rajuk Shafikah.
“Ika... Aku tak ada niat pun nak tinggalkan kau tapi aku memang tak mampu nak berada di sini lagi. Terlalu banyak luka yang aku kutip di sini. Aku tak mahu terus-terusan dilukai,” jelas Faziera.
“Tapi Isma dan Atiqah dan berjanji tak akan ganggu kau lagi,”
Faziera mengukir sneyum tawar. Teringat janji yang dibuat oleh Isma dan Atiqah di bilik Puan Pengetua tadi. Mereka berdua telah berjanji di hadapan Puan Hajah Rokiah dan Cikgu Rashid bahawa mereka tidak akan melakukan kesalahan lagi. Kedua-duanya juga sudah meminta maaf dan menyesali perbuatan mereka.
Walaupun Faziera tahu mereka berbuat begitu kerana takut akan ugutan Cikgu Rashid yang mahu memanggil keluarga masing-masing, tetapi itu sudah cukup sebagai pengajaran buat mereka. Lebih-lebih lagi apabila mereka berdua dikehendaki menghadiri sesi kaunseling dan didenda membersihkan kawasan sekolah selama seminggu.
Lagipun, tiada guna jika dia menyimpan dendam. Dia tidak diajar begitu. Kata mamanya, perasaan dendam hanya menyusahkan diri. Memberi kemaafan itu lebih mulia. Dan seperti kata orang, kemaafan itu sendiri adalah dendam yang terindah.
“Aku tetap tak boleh Ika. Nama aku dah tercemar di sini. Walau kebenaran dah diketahui, bahangnya tetap terasa,” ujar Faziera setelah agak lama berjeda.
“Ke, sebab Si Muaz tu?”
Faziera tersentak sedikit. Muazhim... Lelaki itu adalah kenangan pahit buatnya. Dia tidak akan sesekali membiarkan lelaki itu berbuat sesuka hatinya lagi. Lelaki yang bersikap terburu-buru dan keanak-anakan seperti Muazhim itu tidak layak untuknya. Malah untuk gadis yang lain juga. Lelaki itu hanya pentingkan diri. Sangat egoistik.
Sewaktu melangkah keluar dari bilik Puan Pengetua, tidak sedikit pun dia memandang ke arah Muazhim. Dia sudah tekad untk membuang lelaki itu dari kamus hidupnya. Dan dia harap lelaki itu faham, perasaan cinta lahir dari dua jiwa yang saling mengasihi. Cinta tidak akan wujud di sebelah pihak sahaja. Dan cinta bukanlah alasan untuk bersikap pentingkan diri.
“Dia tak layak untuk aku jadikan sebab pemergian aku dari sekolah ni Ika. Em, okeylah, nanti kita borak lagi. Papa dan mama aku dah lama tunggu dalam kereta tu,” ujar Faziera.
“Tak boleh ke kau terus berada di sini?” sekali lagi Shafikah bertanya.
“Maaf Ika, aku tak boleh...”
“Walau Wan menghalang?”
Faziera terpana! Suara yang datang dari arah belakangnya itu menghadirkan debar dalam hati. Beberapa hari tidak bertemu muka, tidak dinafikan ada rindu yang beraja dalam jiwa. Namun, dia perlu usir rasa rindu itu kerana tekadnya mahu memulakan hidup yang baru di tempat lain. Dia ingin padamkan semua kenangan pahit dan perit yang tercipta di sekolah ini. Termasuklah Hazwan.
“Aku pergi dulu Ika! Nanti aku telefon!” ucap Faziera lalu segera melangkah laju menuju ke pintu pagar sekolah tanpa sedikit pun berpaling.
‘Selamat tinggal Sri Saujana. Selamat tinggal Hazwan...’

*  *  *  *  *

URUSAN perpindahan ke sekolah baru berjalan lancar walau mengalami kesulitan pada awalnya kerana dia berpindah selepas pertengahan tahun. Apatah lagi peperiksaan STPM yang akan beberapa minggu sahaja lagi. Mujurlah pengetua di sekolah tempat barunya ini memahami dan sudi memberi bantuan.
            Sekolah Menengah Panglima Adnan akan menjadi sekolah barunya hari ini. Walau kedudukannya agak jauh dari rumah, itu tidak menjadi masalah kerana ada perkhidmatan bas sekolah disediakan. Seperti waktu pertama kali menjejakkan kaki ke Sekolah Tinggi Sri Saujana, harapannya tetap sama. Mahu menjadi Faziera yang baru. Yang punya ramai kawan dan sentiasa mengukir senyum di bibir.
            “Yosh!” ucap Faziera sebelum melangkah masuk ke kawasan sekolah.
            Rata-rata pelajar di situ kelihatan sama sahaja seperti di sekolah lain. Walau ada mata-mata yang mengintai ke arahnya, tidak dipedulikan. Dia berjalan menuju ke bangunan pentadbiran. Mahu menyerahkan fail dan butiran peribadi di pejabat sekolah.
            Blok bercat hijau muda yang merupakan bangunan pentadbiran sekolah itu hanyalah satu tingkat sahaja. Pejabat sekolah, bilik guru, perpustakaan, dan bilik IT dipusatkan di bangunan ini. Faziera memberi salam pada seorang kerani sekolah yang berbaju kurung rona biru muda dengan tudung warna serupa itu. Diserahkan fail di tangan pada wanita tersebut.
            “Duduk sekejap ya. Nanti saya panggilkan guru kelas awak,” ramah wanita tersebut bersuara.
Faziera mengambil tempat di sofa berwarna hitam yang disediakan tidak jauh dari bilik pengetua itu. Sementara menanti urusan pendaftarannya selesai, Faziera mengeluarkan sebuah novel dari beg sandangnya. Novel bertajuk “Semanis Coklat” itu baru suku bahagian dibaca. Kisah tentang remaja sekolah sepertinya. Helaian demi helaian diselak.
Beberapa ketika kemudian, dia perasan ada seseorang yang mengambil tempat di sofa bertentangan dengannya tetapi tidak dihiraukan. Dia kembali meneruskan pembacaan yang terganggu sebentar tadi. Sesekali bibirnya menguntum senyum apabila membaca babak yang mencuit hati.
“Akhirnya awak dah kembali senyum semula,”
Faziera tersentak. Perlahan-lahan diturunkan novel yang menutup wajahnya.
“Kau?!”
“Hai, kita jumpa lagi...”
“A... Apa yang kau buat dekat sini?”
“Nak belajarlah. Takkan menyanyi pula,”
Faziera dapat rasakan wajahnya merona merah. Ya Tuhan... Mengapa lelaki ini masih tidak jemu-jemu menantinya? Pantas dia bangun, mahu segera beredar tetapi pantas dihalang apabila beg sandangnya ditarik oleh Hazwan.
“Walau ke mana pun awak lari, Wan akan tetap kejar,” ucap Hazwan, tegas.
Mendengar kata-kata yang diucapkan Hazwan, kakinya terasa bagai dipaku. Seminggu suara itu tidak menyapa pendengarannya tetapi seringkali terngiang-ngiang di telinga. Sungguh, sekuat mana pun digesa hati untuk melupakan lelaki itu, dia tetap gagal. Dan ternyata dia sebenarnya memang tidak boleh lari dari bayang-bayang Hazwan.
Perlahan-lahan matanya dipejamkan. Nafas ditarik sedalamnya. Hari ini dia akan menjalani kehidupan yang baru. Dan nampaknya, hari ini juga dia akan memulakan cinta yang lama yang akan bertaut semula.
“Tak, saya tak akan lari lagi...” balas Faziera, perlahan sambil mengukir senyum manis.

::TAMAT::

Berbanyak terima kasih saya ucapkan pada yang sudi mengikuti cerita ini dari awal hingga akhir. Ulasan dan pandangan amat saya hargai. Semoga berjumpa lagi dalam karya yang akan datang. (^_^)

4 ulasan :

Leya berkata...

dah habis. ending mcam cpat sngat. apapun citer yg menarik.

Tanpa Nama berkata...

cantik....(sek keb panglima adnan tukar menjadi sek.menengah pula...he he)

ida berkata...

yes, akhirnya diaorang bersama jugak! citer yg sweet.

Rizai Reeani berkata...

Leya: Sengaja saya cepatkan penamatnya. Cadang saya, mahu jadikan dalam bentuk manuskrip penuh jika berpeluang. Banyak lagi plot yang boleh ditambah.

Tanpa Nama: Itulah untungnya boleh guna/ubah macam-macam nama dalam cerita. Hehehe... (p/s: ni mesti budak SKPA, kan?) ;)

Ida: Terima kasih awak.

Berbanyak terima kasih untuk ulasan yang diberikan. Amat hargainya... (^_^)