Sepatah Dua Kata

Selasa, Julai 26, 2011

Selamat Ulang Tahun yang Kedua



HARI ini genap dua tahun blog ini diwujudkan. Sepanjang dua tahun ini, pelbagai kisah telah dicoretkan di dalamnya. Hampir kesemua karya yang ada di dalam blog ini berkisar tentang cinta. Mengimbas semula pada awal kemunculan saya dalam bidang penulisan novel genre, ramai yang menganggap saya adalah seorang penulis wanita kerana saya menulis kisah cinta. Malah ada yang tidak percaya bahawa saya adalah seorang penulis lelaki. Mungkin tidak dinafikan, tidak ramai penulis lelaki di luar sana yang memilih genre cinta sebagai tema tulisannya. Namun Alhamdulillah, lama-kelamaan, kehadiran saya dapat diterima.
Justeru, di kesempatan ini, jutaan terima kasih saya ucapkan pada rakan pembaca semua yang sudi membaca hasil tulisan saya yang tidak seberapa ini. Berbanyak terima kasih pada mereka yang setia mengikuti perkembangan saya dari awal sehingga ke hari ini. Sokongan, dorongan dan semangat yang dihulurkan amat saya hargai dan sentiasa menjadi pemangkin untuk saya terus menulis dan menulis.
Sungguh, ada kalanya, mood menulis jatuh merundum. Tetapi apabila memikirkan bahawa masih ada yang sudi menjengah ke blog ini, membaca dan mengirimkan komen, ia menjadi suntikan semangat untuk saya menyambung setiap karya yang ada. Bagi yang menghantar ulasan melalui e-mel, facebook mahupun di blog ini sendiri, saya amat berterima kasih atas kesudian meluangkan masa membaca dan menilai tulisan saya.
Bermula dengan mini novel “Kenangan Mengusik Jiwa”, sambutan dan penerimaan terhadap karya tersebut banyak membantu saya untuk terus menghasilkan karya-karya yang lain. Saya juga pernah siarkan e-novel bertajuk “Coklat untuk Ezzy”, “Begitulah Cinta” dan “Merah Epal Cinta” di blog ini yang mana telah dan akan diterbitkan dalam bentuk cetakan. Ia tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan dan dorongan anda, rakan pembaca sekalian.


Insha-Allah, dengan izin-NYA, saya akan terus menulis dan memperbaiki setiap tulisan saya dengan lebih baik lagi. Cuma, saya bukanlah penulis sepenuh masa. Dahulu, semasa sedang menuntut di IPT, saya ada banyak masa untuk menulis. Tetapi apabila sudah menempuh alam pekerjaan ini, kekangan masa untuk menulis sentiasa ada. Walau bagaimanapun, saya akan cuba mencuri andai ada masa yang terluang kerana menulis, sudah sebati dalam diri. Mohon maaf jika saya lewat untuk menyambung karya yang ada.
Bagi yang sudah mengenali saya, gembira dapat menjalin hubungan persahabatan dengan anda semua. Yang baru hendak mengenali saya, salam perkenalan saya hulurkan. Akhir kata, sekali lagi saya ucapkan berbanyak terima kasih untuk segalanya. Segala komen dan kritikan saya terima dengan tangan terbuka. Jika saya tersilap langkah, mohon ditegur.
Istimewa untuk anda, sebuah puisi cinta untuk tatapan. Saya tidak begitu pandai mengarang puisi. Maaf jika ada ayat yang tidak kena di jiwa. Dan turut disertakan sebuah trailer novel "Semanis Coklat", novel sulung saya. Teruskan menyokong dan berada di sisi saya ya! (^_^)

Tika hati ingin berbicara,
Pandanglah ke langit,
Lihatlah pada bintang yang paling terang sinarnya,
Di situ ada aku,
Yang tidak jemu menghiburkanmu,
Dengan gurau-senda,
Dengan gelak-tawa.

Kala jiwa berduka,
Pandanglah ke ufuk timur,
Lihatlah mentari yang galak menyinar,
Di sana juga ada aku,
Yang tidak jemu mengubat kesedihanmu,
Dengan semangatku,
Dengan kasihku.

Bila sanubari diterpa rindu,
Sebutlah namaku,
Nescaya aku hadir mengsirnakannya,
Dengan senyumku,
Dengan sayangku.

Aku bukanlah bintang yang sentiasa berkerlip terang,
Aku juga bukan mentari yang sentiasa bersinar megah,
Kerna malam pasti mengundur diri diganti siang,
Kerna awan pasti menutup sinar kala hujan datang.

Aku insan biasa,
Punya naluri punya perasaan,
Aku tidak boleh berjanji dengan kudratku,
Bahawa aku akan sentiasa ada di sisimu,
Tapi aku boleh berjanji dengan jiwa ragaku,
Bahawa aku mampu menemanimu melangkah.

Pintaku,
Jangan sesekali kau jauh dariku,
Jangan sesekali kau duka kernaku,
Jangan sesekali kau luka sebabku,
Kerna,
Aku sentiasa inginkan,
Kau gembira di sampingku,
Kau bahagia di sisiku,
Kau ria bersamaku.

Ketahuilah,
Tanpamu aku,
Tidak bisa menghirup udara segar,
Tidak tegar melangkah gagah,
Tidak daya berdiri tegak,
Kerna kamu,
Adalah sonata rinduku...


Trailer Novel Semanis Coklat

SELAMAT ULANG TAHUN YANG KE-2!!!

Tiada ulasan :