Sepatah Dua Kata

Isnin, Ogos 22, 2011

Bunga Api di Hati



 “MAMA ingat nak bawa Fifi tinggal di kampung,”
Kata-kata mama sejurus berbuka puasa itu membuatkanku tersentak. Tinggal di kampung? Betulkah apa yang kudengar?
“Papa kena out-station ke Langkawi seminggu. Mama pun dah ambil cuti untuk temankan papa. Jadi, dari Fifi tinggal seorang, lebih baik Fifi balik kampung, tinggal dengan atuk dan nenek. Sepupu-sepupu Fifi yang lain pun ada,” saran mama.
Mendengar cadangan mama, wajahku berubah mendung. Balik kampung adalah sesuatu yang aku kurang gemari. Jika sehari dua, tak mengapalah, ini seminggu. Bukan tidak seronok mahu berjumpa atuk dan nenek tapi aku tidak begitu senang dengan keadaan di sana.
Bunyi bising ayam dan itik, najis lembu yang bersepah-sepah, nyamuk yang bebas berterbangan dan paling aku tidak suka, tandas yang berada di belakang rumah. Aku masih ingat dulu sewaktu aku mahu membuang air besar pada pukul satu pagi. Hendak kejutkan mama terasa menganggu pula. Lalu aku beranikan diri ke tandas.
Namun belum sempat aku melampiaskan hasrat, bunyi yang kedengaran di balik semak membantutkan niatku. Lantas aku mematikan hasrat dan balik semula ke bilik. Sudahnya, sampai ke Subuh aku tidak dapat tidur kerana menahan sakit perut. Rupanya bunyi yang aku dengar semalam adalah lembu milik salah seorang penduduk di situ yang terlepas dari kandang. Mujurlah bilik mandi ada di dalam rumah. Kalau dekat luar juga, tak tahulah aku nak kata apa.
“Kenapa diam? Fifi tak suka ke?”
“Err.. Tak boleh ke kalau Fifi tinggal aja dekat rumah? Fifi, kan dah besar, dah tahu jaga diri,” aku memberi alasan.
No, no, no... Mama tak setuju. Kalau jadi benda tak elok macam mana? Kalau jerit pun belum tentu jiran sebelah dengar,” bantah mama.
Tidak boleh tidak aku setuju dengan pendapat mama. Banglo dua tingkat yang didiami olehku sejak kecil ini kedudukannya agak jauh dengan banglo yang satu lagi kerana dibina di atas kawasan yang sedikit berbukit. Nampaknya, aku tidak punya pilihan lain lagi.
“Okeylah mama, Fifi balik kampung,” ujarku dalam senyum tawar.
*  *  *  *  *
KEDATANGANKU disambut dengan senyuman oleh nenek dan datuk. Dua orang sepupuku yang masih kecil juga turut ada sewaktu papa dan mama menghantarku ke sini. Irfan dan Arfan merupakan kembar berusia empat tahun, anak kepada Mak Lang Syuhada, adik kepada mama. Mak Lang Syuhada memang tinggal bersama-sama datuk dan nenek sementelah suaminya sudah meninggal dunia setahun yang lepas.
Turut sama tinggal di sini adalah Pak Su Salim, adik bongsu mama. Pelajar universiti dalam bidang kejuruteraan elektrik. Umurnya kalau tidak silap aku sudah 22 tahun, lima tahun lebih muda dari umur Mak Lang Syuhada. Adik beradik mama ada empat orang semuanya. Mama anak yang kedua. Kakak mama tinggal di Kedah. Aku memanggilnya Mak Long Suraya. Anak-anaknya ada tiga orang. Kesemuanya lelaki. Jadi buat masa ini, memang aku seorang sahaja cucu perempuan datuk dan nenek.
Ramadhan akan berlalu seminggu sahaja lagi sementara cuti sekolah masih berbaki tiga minggu. Dapat kulihat beberapa persiapan yang sedang dilakukan di rumah datuk dan nenek ini. Ah, baharu sahaja sampai, aku sudah terasa bosan. Maklumlah, aku jarang pulang ke kampung kerana papa dan mama sibuk bekerja. Jadi, aku tidak tahu apa yang boleh aku lakukan di sini.
Bila difikirkan, inilah kali pertama aku tinggal di kampung sebelum raya menjelma. Kebiasaannya, papa akan bertolak dari rumah pagi raya dan kami akan tidur di sini semalaman. Esoknya, kami sekeluarga akan kembali semula ke rumah untuk berkunjung ke rumah sahabat-handai papa dan mama. Hanya kampung sebelah mama sahaja yang aku ada kerana papa anak yatim-piatu.
“Fifi nak ikut atuk ke dusun?” pertanyaan datuk menyingkir khayalanku.
“Nak buat apa tok?”
“Ambil daun dan buah kelapa,”
Ish, setakat nak pergi dusun ambil benda tu nak buat apa? Penat badan aja. Tapi, nak tolak, rasa tak elok pula. Ikut sajalah, aku pun memang tengah bosan ni.
“Okey tok,” balasku dalam senyum kecil.
Datuk sudah meniti anak tangga menuju ke bawah rumah papan dua tingkat itu yang luas halamannya itu. Sebuah basikal dikeluarkan. Terbeliak mataku melihatnya.
“Naik basikal ke tok?”
“Taklah, kamu pergi dengan Pak Su, naik kereta. Nanti nak bawa balik banyak buah dan daun kelapa tu,”
Jawapan datuk melegakanku. Tidak dapat aku bayangkan jika bersama-sama datuk menaiki basikal yang padaku sudah kelihatan uzur benar itu. Basikal fesyen lama, zaman dulu-dulu. Aku menanti Pak Su Salim mengeluarkan kereta dari garaj. Nampaknya, untuk hari pertama di kampung ini, kelihatan berjalan agak lancar.
*  *  *  *  *
AKU menelan liur melihat aneka juadah yang terhidang di atas meja. Ada lauk asam pedas ikan pari, kangkung goreng belacan, masak lemak ketam, ayam goreng berempah kesukaanku, dan tidak ketinggalan, agar-agar sirap. Air pula ada tiga jenis. Air kelapa, air milo dan air soya. Oh, meriahnya!
Berbeza jika berbuka di rumah. Selalunya mama akan membuat mee goreng atau membeli KFC sahaja jika mama pulang lewat dari kerja. Adalah juga sedikit kuih-muih buat pelengkap juadah. Tapi hari ini, pelbagai lauk menanti untuk dinikmati. Apatah lagi dimasak oleh nenek, pastinya menjilat jari.
Usai berbuka puasa, aku tersandar kekenyangan di atas kerusi kayu berlapik kusyen nipis itu. Perut terasa senak kerana banyak makan. Rasa seronok makan beramai-ramai ni rupanya. Di rumah, hanya waktu malam sahaja aku dapat makan bersama-sama papa dan mama. Siapa kata jadi anak tunggal ni seronok? Kadang-kadang rasa sunyi juga.
Mak Lang Syuhada mengajak aku bersiap untuk ke masjid menunaikan solat tarawikh. Serta-merta aku diterpa gelisah. Nak ke masjid apanya kalau solat tarawikh pun aku tak pernah buat. Aku tidak pernah melihat papa dan mama ke surau berhampiran. Mungkin kerana mereka letih kerana seharian bekerja, fikirku positif.
“Err...” aku bersuara, gugup.
“Kenapa Fifi?” Mak Lang Syuhada bertanya,  menyedari kegusaranku.
“Em, Fifi... Err... Fifi...”
“Kenapa?”
“Sakit perut! Fifi sakit perut!” Ya Tuhan, maafkan aku kerana terpaksa berbohong. Hanya alasan itu sahaja yang aku mampu fikirkan saat ini.
“Terlebih makan agaknya tu. Tak apa, Fifi rehatlah, nanti esok ada lagi,” ujar Mak Lang Syuhada lalu melangkah pergi menuju ke biliknya.
Fuh! Lega... Nampaknya esok aku kena telefon mama macam mana nak buat solat tarawikh. Malulah kalau Mak Lang dan nenek tahu yang aku tak reti. Selesai menunaikan solat Maghrib, mataku terasa berat benar mahu dibuka. Entah bila aku terlena, sedar-sedar aku dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat menerjah ke telinga. Terasa rumah papan itu seakan bergegar.
Kus semangat... Nasib baik tak gugur jantung. Agaknya itu bunyi meriam buluh. Budak-budak kampung ni, berani betul main benda bahaya macam tu. Seumur hidup aku, usahkan mercun, bunga api pun aku tak pernah sentuh. Papa melarang keras aku bermain semua tu. Kalau nak putus jari, mainlah, kata papa.
Jam loceng di meja bersebelahan kepala katil kupandang sejenak. Sudah hampir pukul 10.15 malam. Hah? Lamanya aku terlelap. Segera aku bingkas menolak selimut lalu melangkah ke bilik air. Terserempak dengan Mak Lang Syuhada yang masih bertelekung di dapur. Agaknya emak saudaraku itu baharu sahaja pulang dari masjid. Tidak pula aku ternampak kelibat nenek. Mungkin masih di masjid.
Aku membasuh muka lalu tuala yang kusangkut pada bahu tadi aku gunakan untuk mengelap. Rambut kuikat ekor kuda agar tampak kemas. Kemudian, aku naik ke tingkat atas semula,  menjengah ke halaman rumah di sebalik jendela. Kelihatan Pak Su sedang menyusun pelita di atas pancang kayu yang dipacak mengelilingi rumah. Apabila sumbunya dinyalakan, aku terpegun melihat keindahan api pelita yang seakan bergemerlapan seperti bintang di langit. Semacam ada perasaan teruja menerpa hati.
“Pak cu! Pak cu! Bunga api!” teriak Irfan yang muncul dari arah dapur.
Aku mengerutkan dahi. Budak sekecil Irfan mahu bermain bunga api? Selamatkah? Apa Mak Lang Syuhada tidak risau? Kulihat Pak Su Salim menuju ke arah pangkin yang dibina di bawah pokok mangga yang merendang. Dia mengeluarkan sesuatu dari dalam beg plastik merah. Sesuatu yang berwarna hitam yang panjang bentuknya dikeluarkan.
Asyik aku memerhatikan tingkah Pak Su Salim. Dia menghalakan benda berwarna hitam itu pada api pelita. Beberapa saat kemudian, kelihatan percikan api yang muncul dari benda berwarna hitam tadi. Oh, bunga api rupanya... Dan aku tersentak apabila Pak Su Salim menghulurkan bunga api tersebut pada Irfan. Kanak-kanak itu ketawa riang sambil mengayunkan bunga api di tangan. Tidak lama kemudian, Arfan muncul lalu Pak Su Salim memberi sebatang bunga api kepadanya juga.
Ish, ini tak boleh jadi ni. aku yang dah 12 tahun ni pun tak pernah main bunga api, budak empat tahun tu senang-senang aja dapat main. Tak adil! Tak adil! Lantas aku bergegas meluru ke arah Pak Su Salim.
“Hah, kamu pun nak main bunga api juga?” tanya Pak Su Salim apabila menyedari kehadiranku di situ.
“Boleh ke Pak Su?” tanyaku dengan wajah yang penuh mengharap. Siap terkebil-kebil biji mata lagi supaya nampak comel. Comel lah sangat...
“Apa tak bolehnya. Ambil aja kat dalam plastik tu,”
Kata-kata Pak Su Salim bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Segera aku mencapai sebatang bunga api lalu kuhalakan pada pelita. Anehnya, tiada percikan sepertimana bunga api di tangan Irfan dan Arfan. Rasa tidak puas hati, aku halakan lagi lebih lama tetapi masih tidak menjadi.
“Lah... Silap tu Fifi. Yang Fifi bakar tu pemegangnya,” tegur Pak Su Salim.
Hah? Alamak! Malunya! Dek kerana segan ditegur, tanpa sedar aku memegang bahagian yang kupanaskan tadi. Apalagi, bergegar halaman rumah itu dengan jeritanku. Bunga api di tangan terlepas dari pegangan. Dapat kulihat tapak tangan mula memerah.
“Ya Allah, apa dah jadi ni?” tanya nenek, risau. Di belakang nenek, Mak Lang Syuhada kelihatan menuju ke arahnku juga.
“Err... Fifi tersilap pegang bunga api tadi,” jelas Pak Su Salim, sedikit bimbang.
“Kamu ni Lim, dah tahu Si Fifi ni tak pernah main bunga api, kenapa dibagi?” nenek mula berleter.
Pak Su Salim menundukkan wajah. Kasihan pula aku melihatnya. Pak Su Salim tidak bersalah. Aku yang terlalu mengikut perasaan tidak sabar dalam hati. Salahku tidak bertanya pada Pak Su Salim terlebih dahulu.
“Nek, Pak Su tak salah. Fifi yang salah. Janganlah nenek marah Pak Su,” ucapku.
Kedengaran nenek melepaskan keluhan. “Dah, mari masuk. Nasib baik tak teruk tangan tu. Lain kali jangan buat lagi,” pesan nenek.
Aku mengangguk lalu mengikut nenek masuk ke dalam rumah. Nampaknya Ramadhan kali ini, banyak yang bakal aku tempuhi.
*  *  *  *  *
KERLIPAN lampu kelip-kelip yang dipasang pada beranda rumah sangat cantik ditemani dengan pelita yang disusun berjajar mengelilingi rumah. Alunan takbir memuji Tuhan Yang Esa kedengaran berkumandang dari peti televisyen.  Malam raya begini, masing-masing sibuk membuat persiapan terakhir. Esok, sanak-saudara dan sahabat-handai akan datang berkunjung.
Aku membantu Mak Lang Syuhada memasang langsir. Tahun ini rumah datuk dan nenek memilih warna biru sebagai tema. Langsir biru, sarung kusyen biru, lapik meja biru malah permaidani pun warna biru. Mujurlah baju rayaku tahun ini warna ungu. Kalau biru, terasa boria pula dengan suasana dalam rumah ini.
Sepanjang seminggu berada di kampung, Ramadhan terasa lebih bererti. Siangnya aku membantu Mak Lang membuat kuih raya. Nenek juga turut mengajar aku membuat sarung ketupat. Malamnya, aku ke masjid menunaikan solat tarawikh. Rupanya mama telah menelefon Mak Lang Syuhada tentang perihal aku tidak pernah menunaikan solat tersebut. Rasa malu usah diteka namun jika aku tidak belajar dari sekarang, bila lagi?
Datuk pula akan membawa aku bersiar-siar mengelilingi kampung kala petang tiba sementara menanti waktu berbuka. Hubunganku dengan si kembar juga semakin rapat. Walau penat melayan kerenah mereka, hatiku tetap terhibur. Dan aku tidak lagi menyentuh bunga api sungguh pun punya keinginan untuk bermainnya. Cukuplah pengalaman menyakitkan itu walau tidak seteruk mana. Fobia? Ya, mungkin tetapi bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubat?
Semestinya banyak perkara baharu yang aku perolehi dalam Ramadhan kali ini. Tidak ada lagi yang perlu aku kesalkan menyambut Ramadhan di kampung. Benarlah kata orang, tak kenal, maka tak cinta. Dan kini, terasa sayu pula mahu berpisah dengan semuanya. Insha-Allah, panjang umur, aku pasti kembali lagi ke sini.
Bunyi enjin kenderaan memasuki halaman menarik perhatianku. Kereta Mercedes Kompressor rona merah itu amat aku kenali. Segera aku berlari menyambut kedatangan papa dan mama. Hampir seminggu tidak bersua muka, rindu dalam hati terlalu menggunung.
“Hai, berseri-seri aja muka ni. Seronok ke duduk kampung?” sapa mama usai aku menyalaminya.
“Seronok mama, tahun depan, Fifi nak tinggal sini lagi,” jawabku, ceria seakan hatiku dihiasi percikan bunga api yang pelbagai warna!

::TAMAT::

4 ulasan :

ida berkata...

teringat mase kecik2 dulu slalu main bunga api. comel je citer ni..

Rizai Reeani berkata...

Ida: Zaman kanak-kanak itu memang indah, kan? Terima kasih sudi singgah membaca dan memberi komen. :)

Riesna Zasly berkata...

HADIR MEMBACA...
melepas rindu pada karya2 ridh

selamat hari raya dik
maaf zahir batin

Rizai Reeani berkata...

Kak Riesna: Berbanyak terima kasih masih sudi membaca tulisan saya kak. Saya amat hargainya.

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin juga... :)