Sepatah Dua Kata

Selasa, Ogos 16, 2011

Diari Cinta Dhaniyah - Diari 04

05 Mei 2005
01.15 tengah hari

HARI kedua MMS. Sekarang adalah waktu rehat. Pukul dua nanti sambung semula taklimat. Pagi tadi ada sesi perkenalan dengan ketua-ketua program fakulti dan pengerusi persatuan fakulti masing-masing. Ketua program bagi fakultiku seorang lelaki yang sudah beruban rambutnya tapi padaku masih lagi tampak segak. Kalau tidak silap tadi, namanya Encik Abdul Razak.
            Oh ya, hampir terlupa aku tentang perihal malam tadi. Ala, waktu hujan lebat pukul 2.00 pagi tu. Walaupun aku ada menuntut ilmu persilatan serba-sedikit, tapi bila bab berdepan makhluk halus ni, goyah jugalah keberanian aku. Iyalah, walaupun tak pernah bertentang mata (tak teringin pun) tapi kalau ditakdirkan malam tadi aku terjumpa, mahunya aku demam seminggu.
            Dengan sedikit menggigil (banyak sebenarnya), aku memulas tombol pintu perlahan-lahan. Serentak dengan itu bunyi guruh kedengaran dan di hadapan aku, sebuah lembaga berpakaian serba putih kelihatan. Apatah lagi lampu di koridor yang sudah malap cahayanya. Memang ‘sejibik’ macam dalam filem seram. Anehnya, mulutku seakan digam dengan gam gajah. Tidak pula mahu menjerit ketakutan ala-ala filem seram yang jarang aku tonton. Bukan takut tapi tak menepati citarasa. (Hello, mengaku ajalah yang diri tu penakut).
            “Assalammualaikum,”
            Lembaga itu membuka mulut dan aku masih terus terkesima. Wah, ayat! Apasal dulu aku tak tulis dalam karangan ayat-ayat bombastic macam tu. Kalau tak BM aku mesti dapat A1 masa SPM. Ala, dapat A2 tu dah cukup bersyukur. A juga.
            “Assalammualaikum!” lembaga itu bersuara lagi dan kali ini baru aku tersedar dan menjawab salam yang diberi.
            Dalam hati kecut juga. mana tahu yang ada dekat depan aku ni jin Islam. Lagipun, dah bagi salam, wajiblah aku jawab. Tak jawab nanti berdosa pula. Aku lihat lembaga tersebut membuka pakaian putih yang menyaluti tubuhnya. Lah, baju hujan rupanya!
            Kini di hadapanku ada seorang gadis berblaus biru muda dengan rambut ditocang ekor kuda. Segera aku mempersilakan gadis itu masuk. Beg pakaian yang dijinjit di tangan kanannya diletakkan di hujung katil.
            Gadis itu memperkenalkan diri sebagai Fadheela, merangkap rakan sebilikku. Oh, akhirnya ada juga aku teman dalam bilik yang agak luas ini. Iyalah, duduk sorang-sorang pun bukannya seronok. Kalau ada kawan, bolehlah diajak bergosip. Ish, gosip aja yang aku tahu.
            Rupanya Fadheela lewat sampai kerana menghadapi sedikit masalah pengangkutan kerana rumahnya yang terletak nun jauh di utara semenanjung yakni Perlis. Van yang dinaikinya bersama keluarga mengalami kerosakan semasa dalam perjalanan ke sini. Lantas, dia terpaksa mengambil bas ekspress dan keluarganya akan tiba esok membawa barang-barang keperluan yang lain.
            Kasihan... Namun aku kagum dengannya kerana tidak mudah patah semangat. Inilah yang perlua ada dalam jiwa anak-anak muda sekarang. Cekal, tabah dan tidak mudah putus asa. Barulah sesuai menjadi belia yang berjiwa kental dan harapan negara. Amboi, tiba-tiba bersemangat waja pula aku ni.
            Okeylah, nak pergi makan dan berehat sekejap. Selepas ini ada taklimat kokurikulum pula. Dengarnya ada macam-macam persatuan dan badan beruniform yang menarik. Mungkin nanti aku boleh tanya Fadheela dia nak join persatuan yang mana.
            First impression aku padanya agak baik juga. Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Lagipun, dia sudah menjadi rakan sebilikku. Adalah lebih baik jika aku berkenalan rapat dengannya. Siapa tahu kami mungkin boleh jadi kawan baik?
            Gadis bertubuh kecil itu pun tampak manis. Matanya sedikit sepet dengan hidung yang agak mancung. Bibirnya pula kecil dan nipis. Kulitnya sedikit cerah tapi tak adalah seputih dan semulus kulih aku ni. Wah, tetap nak masuk lif tekan sendiri.
            Okeylah, okeylah, nanti sambung membebel lagi. Kesian diari ni asyik kena dengar aku berceloteh aja. Ala, dah memang diari tu dicipta untuk meluahkan segala keluh-kesah. Apa aku kisah...
            Eh, sekejap! Aku nyaris terlupa pasal insiden ketika dalam perjalanan pulang ke bilik tadi. Baru dua hari berlalu, dan aku telah bersua-muka dengan motosikal yang ‘mencederakan’ kain baju kurungku semalam. Okey, malam nanti sambung.

Tiada ulasan :