Sepatah Dua Kata

Khamis, Julai 21, 2011

Halusinasi



DIA bagaikan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tadi. ‘Tak mungkin,’ itulah yang berdesis di hati kecilnya. ‘Tetapi, aku bukannya paranoid,’ kata hatinya lagi. Dia tahu apa yang dilihat tadi memang wujud, bukan sesuatu yang dibuat-buatnya. Mayat manusia. Itulah yang berada di ruang tamu rumah Mak Itam. Mayat siapa, sememangnya Fikri tidak tahu.
            Fikri terkejut lalu terus sahaja keluar dari rumah itu. ‘Buat apa aku pergi? Bukankah sepatutnya aku telefon pihak polis?’
            Dia tahu mengapa dia berkira-kira untuk buat begitu, kerana sebelum ini pun dia pernah terserempak dengan mayat yang bergelimpangan. Tetapi ketika itu Fikri menemuinya di kawasan belakang rumah Haji Malik. Dia pernah menghubungi pihak polis dan apabila pihak berkenaan tiba di tempat kejadian, tiada apa-apa yang mereka temui di situ. Puas Fikri jelaskan tetapi tiada bukti yang dijumpai.
            ‘Kenapa dengan aku ni? Takkan aku sakit kot? Takut aku dah jadi gila?’ itulah yang datang di fikirannya. Malah, Fikri sedar ramai yang fikirkan begitu tentang dirinya. Fikri sudah jadi gila!
            Ibunya selalu berpesan, “Fik… kau janganlah suka berkhayalan sangat. Inilah jadinya. Kepala otak kau pun suka fikir yang bukan-bukan. Banyak-banyaklah kau berzikir, Fik. Mak rasa kau ni bukannya apa, kau kena rasuk. Entah-entah saka Mak Cik Hendon tu datang menghinggap pada kau pulak.”
            ‘Nauzubillah. Saka? Saka apa pulak mak ni?’ soal hatinya. Apa pun, Fikri tetap risau. Bukan sekadar fikirkan tentang apa yang sedang terjadi pada dirinya, dia juga bimbang dengan mulut orang di kampungnya itu. Kerana mulut oranglah Hayati mula menjauhkan diri.
            “Fik… bukan Yati tak nak kawan dengan Fik lagi. Tapi… Yati rasa biar Fik sihat dulu.”
            “Bila masa pulak Fik sakit ni?” soal Fikri.
            “Semua orang kata Fik sakit. Agaknya lama sangat Fik bertapa kat kampung ni.”
            “Fik bukannya bertapa, Yati. Kan Fik sedang tunggu untuk dapat kerja? Dah banyak permohonan yang Fik buat.”
            “Siapa yang nak ambil Fik bekerja kalau Fik tak sihat?”
            Kenapakah mereka tidak percaya yang dirinya ini sihat walafiat? Siapa kata yang dia sakit? Takkanlah kerana mayat yang hilang itu mereka menuduh dirinya tidak siuman? Berkhayalan?
            Inilah yang merunsingkan kerana apa yang harus dia lakukan dengan mayat yang baru ditemuinya itu?
            Fikri terus berjalan laju bagaikan tak ada arahnya. Ke mana hendak dituju, dia pun tidak tahu. Apa yang masih terbayang di fikirannya ialah mayat yang berada di ruang tamu rumah Mak Itam. Mayat siapakah itu dan kenapa mayat itu berada di situ? Dan siapa yang bunuh mayat itu? Fikri tahu itu merupakan pembunuhan kerana mayat itu berkelimpangan dengan darah merah di atas baju dan juga di sekitar kawasan itu. Sama juga macam mayat yang ditemui di belakang rumah Haji Malik.
            ‘Tidak, aku perlu ke rumah Mak Itam semula. Aku perlu tahu itu mayat siapa. Aku kena beranikan diri!’ getus Fikri seraya berpatah semula menuju ke rumah Mak Itam.
            Derap langkahnya diatur pantas. Bimbang jika terlewat, mayat itu akan hilang seperti sebelumnya. Cuma yang menjadi tanda tanya dalam diri adalah ke mana Mak Itam waktu itu? Dia ke rumah Mak Itam pun kerana menghantar sepiring kecil kuih apam yang dibuat ibunya. Lama salam diberi tetapi tiada sahutan maka dia mengambil keputusan untuk masuk ke rumah memandangkan pintu rumah terbuka sedikit.
            Dan apabila ditolak daun pintu itulah dia melihat mayat yang sudah terbujur kaku dengan darah merah yang terpercik di ruang tamu. Piring di tangan jatuh berderai lantas dia segera melarikan diri.
            Halaman rumah Mak Itam semakin kelihatan namun langkah kakinya mati tiba-tiba. Ada gusar yang mencengkam dada. Segera dia bersembunyi di sebalik pokok ketapang yang  tumbuh rendang, cuba mengintai jika ada berlaku sesuatu yang mencurigakan. Seketika menunggu, halaman rumah Mak Itam hening, sunyi-sepi.
Fikri perasan pintu yang terbuka tadi sudah ditutup rapi. Mungkin angin yang menolak daun pintu tersebut, fikirnya. Sejurus tiba di pintu pagar, Fikri menolaknya perlahan-lahan. Terjengkit-jengkit dia menghampiri rumah tersebut. Semakin lama semakin hampir. Debar di dalam dada usah diteka. Terasa mahu luruh saja jantungnya.
Fikri cuba mengetuk pintu tetapi tangannya seakan lumpuh. Peluh yang merenik di dahi tidak dihiraukan. Dia dalam dilema. Perlukah diketuk atau terus memulas tombol pintu tersebut.
“Apa yang kau buat terhendap-hendap depan rumah aku ni?” tegur seseorang membuatkan Fikri terlompat sedikit lantas berpaling. Wajah Mak Itam yang sudah putih rambutnya itu menyapa ruang mata.
“M... Maa... Mak Itam!”
“Iya, akulah ni. Kau kenapa?”
“Daa... daa... dalam... ru... rumah...” Fikri tergagap-gagap bersuara.
“Kenapa dalam rumah aku tu?”
“A... ada ma.... mayat!”
“Astaga! Apa yang kau merepek ni Fikri? Memang sah kau ni sakit. Kesian aku tengok kau ni. Itulah, orang suruh cari kerja, kau pergi bertapa dengan Si Seman kera seumbang tu. Ilmu apalah yang kau tuntut dengan orang tua tu agaknya,” perli Mak Itam.
Fikri kelu. Kata-kata Mak Itam sedikit pun tidak berbekas di hatinya. Apa yang penting sekarang adalah mayat yang berada di ruang tamu Mak Itam itu.
“Betul Mak Itam, ada mayat!”
“Hish, kau ni! Tepi, biar aku buka pintu!” arah Mak Itam lalu menolak tubuh Fikri.
Mak Itam memasukkan kunci lalu memulas tombol. Anak matanya terpaku pada ruang tamu rumahnya. Fikri pula mengintai di tepi. Dia terlongo!
“Aku dah kata, kau ni sakit, kau tak dengar. Mana mayatnya? Mana? Hai, memang bertuah betul kau ni!” tinggi nada suara Mak Itam.
Fikri menenyeh kedua-dua kelopak matanya. Tidak percaya dengan apa yang terjadi. Sekali lagi mayat yang dilihat hilang. Ya, sekali lagi. Fikri pantas berlari meninggalkan Mak Itam yang terpinga-pinga. Kakinya dihalakan ke rumah. Melangkah masuk ke dalam rumah, dia menerima kemarahan ibunya kerana piring yang berisi kuih apam ditinggalkan di atas meja. Berderau darah Fikri dibuatnya. Dia memang yakin piring itu telah pecah berderai sewaktu terlihat mayat di ruang tamu rumah Mak Itam tadi.
Apakah benar seperti kata orang kampung yang dia memang sakit? Tiba-tiba, dia terjelepok di atas lantai. Persekitarannya terasa berpusing-pusing. Fikri rebah!

*  *  *  *  *

REMBULAN tidak kelihatan bersinar malam itu. Malu-malu bersembunyi di sebalik mega hitam. Sayup-sayup kedengaran suara pungguk membuatkan seisi rumah terasa meremang bulu roma. Di luar, angin kuat bertiup, tidak seperti kebiasaan. Fikri yang baru sedar dari pengsan kelihatan sugul. Ibunya yang berada di sebelah juga tampak tidak bermaya.
“Apa yang kita nak buat sekarang tok?” tanya ibu Fikri pada Pak Daud, ketua kampung di Kampung Paya Berembang itu.
“Kita minta Haji Seman tengok-tengokkan budak ni,” saran Pak Daud.
“Ish, tok ni. Saya tahulah anak saya berguru dengan Haji Seman tu tapi bukan tok tahu, heboh dah orang berkata yang Haji Seman tu ada membela,”
“Astaghfirullahalazim... Kamu ni Som, cuba siasat dulu sebelum percaya cakap orang bulat-bulat. Haji Seman tu kan guru agama. Ramai yang berguru dengannya,”
“Tak ada angin, masakan pokok bergoyang tok. Anak saya jadi macam ni sebab disampuk dek benda belaan dia tulah. Tadi Mak Itam datang cakap anak saya nampak mayat lagi. Hah, kalau betul dia guru agama, kenapalah duduk kat ceruk tu tak bergaul dengan orang,” bidas ibu Fikri.
Pak Daud menggeleng. Mudah benar wanita di hadapannya ini membuat telahan. Fikri pula hanya tekun mendengar. Agak terkilan dengan tuduhan ibunya terhadap Haji Seman. Tidak wajar ibunya berkata begitu tanpa usul periksa.
“Mak, Tok Seman tu lumpuh. Lagipun, Fikri ke sana belajar ilmu agama, bukannya menuntut perkara tak senonoh,” akhirnya Fikri membuka mulut juga.
Dilihat ibunya mencemik. Memang tidak dinafikan, sejak Haji Seman datang bermastautin di kampung itu sebulan lepas, beberapa perkara aneh telah berlaku. Sebelum perihal mayat hilang, kes binatang peliharaan orang kampung yang dicuri kerap berlaku sehingga sekarang. Sebab itulah orang kampung mengesyaki yang Haji Seman ada membela ‘sesuatu’.
Tetapi bagi yang mengenali Haji Seman seperti Fikri dan beberapa orang anak muda yang lain, orang tua itu bukanlah seperti apa yang penduduk kampung fikirkan. Kebetulan suatu hari dia dan tiga orang rakannya ke hulu kampung untuk memancing, dia terdengar suara orang mengaji di sebuah rumah kecil tidak beberapa jauh dari tempat memancing itu.
Suara tersebut begitu mendayu mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dengan gemersik sehingga membuatkan Fikri dan rakan-rakan yang mendengar terasa sebak. Lalu mereka mendengar sehingga pembacanya menamatkan bacaan dan kemudian memberi salam. Sejak itulah mereka saling berkenalan dan Fikri serta -rakanrakannya itu mengambil keputusan untuk belajar ilmu agama dengan Haji Seman.
Mulanya ibunya tidak kisah tetapi bila kes dia melihat mayat hilang timbul, emaknya mula membebel dan menuduh Haji Seman yang bukan-bukan. Fikri hanya pekakkan telinga kerana dia kenal akan Haji Seman. Tidak seperti ibunya yang tidak pernah bertentang mata walau sekalipun dengan orang tua itu.
“Marilah, Tok bawa kamu jumpa Haji Seman sekarang. Mungkin dia boleh tengok-tengokkan,” ujar Pak Daud.
Syafik mengangguk sementara ibu Fikri menjeling tajam pada anaknya.

*  *  *  *  *

“FIKRI ni ada yang mengikut,” beritahu Haji Seman.
Fikri tersentak. Pak Daud juga sudah berubah wajah. Ibu Fikri apa lagi, sudah terpinga-pinga. Apakah maksud Haji Seman dengan kata-katanya tadi?
“Ada sesuatu yang dihantar untuk menganggu Fikri. Mungkin hajatnya mahu Fikri jadi tak waras,” sambung Haji Seman lagi seakan memahami perkara yang berlegar di fikiran tiga susuk tubuh di hadapannya.
“Biar betul Haji?” tanya ibu Fikri dengan wajah cemas.
Haji Seman mengangguk. Dia mengambil gelas yang berisi air masak di sebelah kanannya lalu mulutnya mula terkumat-kamit membaca sesuatu. Fikri dan ibunya serta Pak Daud tekum memerhati.
“Nah, minum air ni. Baca Basmallah dan selawat tiga kali,” ujar Haji Seman lalu mengunjukkan gelas itu pada Fikri.
Fikri menyambut huluran lelaki yang memakai jubah putih dengan kopiah di atas kepala lalu mengikut seperti apa yang disuruh. Sejurus air di dalam gelas itu diteguk, Fikri rebah, tidak sedarkan diri. Beberapa ketika kemudian, dia bangun cuma matanya memerah dengan riak wajah bengis.
“Jangan ganggu aku!” bentak Fikri dengan suara yang berubah garau dan keras.
“Pulanglah, jangan sakiti saudaraku ini,” balas Haji Seman, tenang.
“Tidak! Aku diarahkan untuk jadi pendampingnya! Jangan sesekali ganggu aku! Nahas!” balas Fikri.
Pak Daud diam sementara ibu Fikri sudah pucat-lesi. Dia mengengsot sedikit, bersembunyi di belakang Pak Daud.
“Pulanglah, aku tidak mahu berkeras,” ujar Haji Seman.
“Hei manusia!” bagai guruh berdentum suara Fikri bergema di dalam rumah papan itu seraya merenung tajam susuk tubuh di hadapannya.
“Siapa yang menghantar kau ke mari?”
“Tuan aku!”
“Siapa tuan kau?”
“Tuan akulah!”
“Pulanglah. Katakan pada tuan kau, jangan diganggu lagi anak muda ini,”
“Tidak! Aku tidak akan pulang melainkan tuan aku yang menyuruhku pulang!” Fikri masih berkeras.
Mulut Haji Seman mula terkumat-kamit sekali lagi. Serentak dengan itu Fikri mula meracau. Dia bergerak ke kiri dan ke kanan, ke depan dan ke belakang seperti terkurung di dalam bekas berbentuk segi empat sama. Haji Seman terus membaca sesuatu dan Fikri mula menjerit-jerit.
“Panas! Panas!” racau Fikri.
“Pulanglah! Jika tidak kau akan terbakar dengan ayat-ayat Allah!” sedikit tinggi nada suara Haji Seman.
“Argh! Panas! Panas!”
Ibu Fikri mula menggigil. Tubuh di hadapannya ini memang milik anaknya tetapi jiwa di dalam jasad tersebut bukan Fikri. Pak Daud sejak tadi tidak berganjak dari tempatnya. Selagi Haji Seman tidak memberikan apa-apa arahan, dia tidak akan bangun.
“Pulanglah!”
“Tiiid...tidak! Tidak!”
“Pak Daud, tolong bukakan tingkap dan pintu. Lepas tu pegang Fikri! Bawa dia pada saya!” arah Haji Seman.
Pak Daud bingkas bangun lalu membuat seperti yang disuruh. Kemudian, dia menarik Fikri yang sedang meronta-ronta mahu melepaskan diri. Terlalu sukar Pak Daud mahu menarik kerana dirasakan tubuh Fikri sangat berat. Tiba-tiba ibu Fikri bangun lalu membantu. Entah dari mana dia mendapat kekuatan, dia sendiri tidak tahu. Mahu melihat anaknya terus begitu, dia tidak sanggup. Haji Seman terus terkumat-kamit. Kali ini tidak lagi perlahan seperti tadi.
Setelah Fikri berada di hadapannya, pantas tapak tangan kanannya melekap di atas kepala Fikri. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran semakin kuat. Begitu juga dengan jeritan Fikri. Rumah papan itu terasa bergegar. Di luar, angin bertiup semakin kencang.
“Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani, aku berlindung dari syaitan yang direjam. Allahuakbar!” ucap Haji Seman.
Serentak dengan itu satu jeritan kuat kedengaran dan tubuh Fikri longlai. Angin di luar juga turut hilang serta-merta. Suasana sekeliling kembali hening.
“Alhamdulillah, syukur pada Allah, semua dah selesai,” ujar Haji Seman.
Ibu Fikri sudah terjelepok. Ada manik-manik putih yang berladung di kolam matanya. Haji Seman mengambil gelas tadi dan membaca sesuatu. Kemudian, sedikit air di dalam gelas itu dicurahkan ke tapak tangannya lalu direnjiskan pada wajah Fikri. Perlahan-lahan, kelopak mata Fikri terbuka.
“Minum air ni, habiskan. Bismillah-hirrahma-nirrahim...” ucap Haji Seman.
Fikri meneguk air yang diberi sehingga habis. Tubuhnya terasa sangat lemah dan letih seperti baru sahaja berlari 2000 meter tanpa henti. Tidak lama selepas itu, kelopak matanya mula terkatup semula.

*  *  *  *  *

FIKRI bagai tidak percaya apabila mendengar penjelasan ibunya. Berdetak laju jantungnya. Mustahil! Tidak menyangka ada juga manusia yang menjadi hamba syaitan dalam dunia yang semakin maju sekarang ini. Johan, anak arwah Mak Hendon yang menghantar sesuatu untuk menganggunya. Pastilah saka dari arwah emaknya yang digunakan. Johan itu bukanlah orang lain pada Fikri. Lelaki itu sepupunya. Tokok ibunya lagi, Johan cemburukan hubungannya dengan Hayati maka tanpa berfikir panjang, menggunakan jalan yang salah untuk merampas Hayati darinya. Yang lebih mengejutkan adalah tubuh Johan dijumpai di biliknya dengan wajah hitam legam sekaan terbakar. Nauzubillah...
Alhamdulillah, syukur pada Allah Yang Maha Esa. Hanya DIA yang Maha Berkuasa. Haji Seman kini tidak lagi dipandang jelik oleh penduduk kampung malah lebih ramai anak-anak muda yang berguru dengannya. Atas ihsan penduduk kampung, rumahnya juga sudah diperbaiki mana yang perlu agar lebih selesa walau pada mulanya Haji Seman berkeras menolak.
Fikri merenung langit yang cerah tidak berawan. Dia teringat akan kata-kata Haji Seman bahawa Allah SWT berfirman dalam surah Az-Zukhruf ayat 36 yang bermaksud:
Barangsiapa yang berpaling dari pengajaran (Rabb) yang Maha Pemurah (Al-Quran), kami adakan baginya syaitan (yang menyesatkan) maka syaitan itulah yang menjadi teman yang selalu menyertainya.

Subhanallah...
::TAMAT::

4 ulasan :

arilman0224 berkata...

best2...jrg sgt org tukis kisah seram, biase cintan cintun jer..nk gak lari dr dunia cinta..truskan berkarya...ngeeeee :0

anyeL berkata...

BEst3..... tp bnde ni mngingtkn kisah lmpau sy jer.... huhu

Ridha Reewani / Rizai Reeani berkata...

arilman: Terima kasih... Saya tak berapa pandai nak tulis genre seram/misteri. Sedikit-sedikit cuba bolehlah. :)

anyel: Wah, pernah mengalami perkara serupa ke? Seramnya...

Davella Goh berkata...

Ceritanya buat sya teringat akan kisah seseorang,btw cerita ni best…