Sepatah Dua Kata

Sabtu, September 24, 2011

Cerpen: Cinta Pandang Pertama

 
“MAAF, aku tak suka kau,”
Elisha terpana. Hampir luruh jantungnya mendengar kata-kata pemuda di hadapannya ini. Sungguh dia tidak berharap perasaan hatinya ditolak sebegini pantas. Fikirnya, mungkin pemuda itu akan meminta masa untuk dipertimbangkan luahan hatinya.
“Ta... ta... tapi kenapa?” Elisha meminta penjelasan.
“Mudah saja. Kau terlalu kebudak-budakan. Aku sukakan perempuan yang matang, bukan macam budak-budak,” jawab Sufian.
Kali ini Elisha rasakan jantungnya hampir meletup. Kurang ajar! Dikatanya aku ni macam budak-budak? Huh!
“Baik, kalau saya macam budak-budak, awak tu macam orang tua miang keladi tak sedar diri!” sindir Elisha lalu melangkah pergi meninggalkan Sufian dengan mulut terngaga.
‘Sabar Elisha, sabar... kumbang bukan seekor. Ada banyak lagi lelaki yang lebih baik dari orang tua tu...’ detik hati Elisha sambil menyeka titis-titis jernih yang mengalir di pipinya.
Elisha terus berjalan tanpa tujuan. Taman Komuniti Awam petang itu tidak ramai pengunjung. Cuma ada segelintir yang melakukan aktiviti riadah dan mengambil angin.  Tanpa sedar, kakinya tersadung pada akar pokok semarak api yang menjalar. Terus dia jatuh tersungkur. Elisha mengaduh kecil. Dia tidak terus bangun sebaliknya mengibas blaus hijau muda yang dipakainya, membuang debu-debu tanah yang ada.
Elisha terasa sikunya perit. Ah, ada luka kecil di situ. Darah perlahan-lahan mengalir. Segera dia menyeluk saku seluar lalu mengeluarkan sehelai sapu tangan corak bunga kecil dan ditekapkan pada lukanya tadi.
“Awak okey?”
Elisha agak terkejut dengan sapaan itu. Didongakkan wajah dan seorang pemuda berkaca mata memandangnya sayu. Rambut pemuda itu dipotong pendek. Mukanya bersih tanpa sebarang kumis atau janggut. Hidungnya agak mancung ditambah dengan bibir yang merah tanda dia tidak merokok. Kulitnya cerah kemerahan. Entah mengapa jiwanya dilanda gemuruh tatkala merenung tepat ke anak mata pemuda itu yang berwarna coklat.
“Awak?”
Teguran pemuda itu membuatkan Elisha tersentak. Darah panas menyerbu ke mukanya, malu. Dia terpesona sebentar dengan kekacakan pemuda di hadapannya saat itu.
“Awak okey?” tanya pemuda itu sekali lagi.
“Ah, saya okey. Thanks...” jawab Elisha.
‘Oh, tidak! Pasti lelaki ini melihat aku terjatuh tadi! Malunya!!!’ sempat hati Elisha berdetik.
“Boleh bangun?”
“Boleh. Saya... aduh!”
Belum sempat Elisha berdiri, dia terjelepok semula. Pergelangan kaki kirinya terasa perit. Pasti dia terseliuh.
“Nampaknya awak perlukan bantuan. Mari, saya angkat awak ke kerusi tu,” pemuda berbaju T-shirt tanpa kolar rona hijau itu menawarkan diri.
Elisha tergamam tanpa kata sejurus pemuda itu mengangkat tubuhnya. Dia kini seolah berada dalam dakapan pemuda itu. Dia seakan dapat mendengar degupan jantung pemuda itu. Dan... helaan nafasnya terasa begitu hangat. Elisha diterkam pilu tiba-tiba. Tanpa sedar, dia menangis kecil membuatkan pemuda yang mencempungnya tidak keruan.
“Sakit sangat ke?” tanya pemuda tersebut.
Elisha hanya mampu menggeleng. Entah mengapa hatinya terasa begitu sedih. Mungkin kerana kecewa dengan penolakan Sufian. Lelaki itu telah lama mencuri hatinya sejak tahun pertama di universiti lagi. Tidak Linafikan, Sufian menjadi perhatian di universiti. Seorang pemain ragbi mewakili universiti dan juga Naib Yang di-Pertua Persatuan Debat. Ditambah dengan raut wajah yang kacak, ramai siswi yang tergoda. Tidak kira senior mahupun junior.
Elisha tidak tahu dari mana dia mendapat kekuatan untuk meluahkan perasaan hatinya pada Sufian hari ini. Yang dia tahu, hasrat hatinya perlu segera dikhabarkan pada lelaki itu. Dia sudah tidak mampu lagi menanggung beban perasaan yang berat ini. Dan apabila diluahkan, ternyata dia terluka namun hatinya lega. Kosong-sekosongnya.
“Rasanya kaki awak terseliuh,” suara pemuda berkaca mata itu mengembalikan Elisha ke dunia nyata, membiarkan khayalannya tadi dibawa angin pergi.
Elisa tidak sedar bila pemuda itu meletakkan tubuhnya di atas bangku kayu yang ada tidak jauh dari pokok semarak api tempat dia tersungkur tadi. Dia menundukkan wajah, malu dengan keadaan dirinya sebentar tadi.
“Oh ya, by the way, saya Shameeir. Awak?” pemuda itu memperkenalkan dirinya.
“Elisha,” jawab Elisha, ringkas sambil menyeka air mata dengan jemarinya.
“Cantik nama tu, secantik orangnya,” puji Shameeir.
Elisha mengukir senyum mendengar kata-kata Shameeir. Terubat sedikit sendu di hati.
“Ambil bidang apa?” soal Shameeir yang turut melabuhkan punggung di sebelah Elisha.
Bussiness Study, semester empat,” jawab Elisha.
“Ooo... saya ambil Accountacy, semester akhir,” ujar Shameeir.
Semilir yang berpuput lembut menerbangkan hiba yang membalut jiwa Elisha. Terasa segar wajahnya diserbu semilir petang. Para pelajar mula membanjiri Taman Komuniti Awam itu. Elisha melirik jam di pergelangan tangan kanannya. Sudah menjangkau pukul enam petang. Patutlah, sudah sampai masanya warga kampus beriadah.
“Jadi, macam mana sekarang?”
“Macam mana apa?” tanya Elisha, tidak faham.
“Tu, kaki awak tu. Boleh jalan?” Shameeir menyoal membuatkan Elisha turut memandang kaki kirinya.
“Tak apa, sekejap lagi okeylah tu. Terseliuh sikit saja,” jawab Elisha.
“Kalau macam tu okeylah. Saya pun tak boleh lama. Ada latihan hoki kejap lagi. Saya pergi dulu ya,” ujar Shameeir lalu bangun dan kemudian melangkah pergi.
“Awak!” laung Elisha sekaligus menghentikan derap langkah Shameeir, membuatkan lelaki itu berpaling.
“Er... hati-hati,” ucap Elisha.
Shameeir menghadiahkan sebutir senyuman pada gadis berblaus hijau dengan rambutnya yang ditocang ekor kuda itu. Sebenarnya bukan itu yang Esliha mahu ungkapkan. Hatinya meronta inginkan pertemuan sekali lagi dengan pemuda itu. Sudah jatuh cintakah dia? Secepat itu dia berubah hati? Ah, tak mungkinlah!

*  *  *  *  *

ELISHA melangkah ke kafeteria seorang diri selepas berjumpa dengan pensyarah untuk bertanya beberapa soalan yang tidak difahami pada pelajaran lepas. Kafeteria tidak ramai pengunjung kala itu. Dia melirik jam di dinding. Hampir pukul 2.30 petang. Waktu makan tengah hari sudah lama berlalu.
Elisha melihat baki lauk yang masih ada. Terus seleranya mati. Lebih baik dia memesan mee goreng sahaja. Lantas, dia berlalu ke kaunter untuk membuat pesanan dan bayaran. Kemudian, dia duduk di salah satu meja yang disediakan di situ. Sementara menunggu pesanan tiba, Elisha membuka fail rona hitam di sebelahnya, meneliti jadual pelajaran untuk esok dan tugasan yang masih belum dilakukan.
“Assalammualaikum,” dia disapa.
“Waalaikummussalam. Shameeir...”
“May I?”
“Duduklah...” balas Elisha.
“Seorang aje?” soal Shameeir sekadar berbasa-basi.
“Tak adalah, sepuluh orang,” sindir Elisha membuatkan Shameeir tersengih.
“Tak makan?” soal Shaameir lagi.
“Sedang tunggu pesanan. Awak baru nak lunch juga?”
“Ha’ah, tak sempat tadi. Ada taklimat tentang perlawanan hoki antara universiti,”
“Wah, aktif sungguh awak ya,”
“Tak seaktif adik saya. Hah, tu dia datang! Sufian!”
Sufian? Elisha terus memalingkan wajahnya ke belakang dan anak matanya terus membulat melihat sesusuk tubuh yang amat dikenali sedang menghampirinya!

*  *  *  *  *

“TAK dapat aku, kau nak goda abang aku pula? Cepat betul kau berubah hati...” perli Sufian.
Elisha tersentak! Sakit hatinya mendengar lontaran bait kata-kata yang keluar dari mulut lelaki berbaju-T berkolar rona merah itu. Dia masih tidak percaya Sufian dan Shameeir adalah adik-beradik. Kalau dia tahu, sejak dari mula lagi dia tidak akan benarkan Shameeir membantunya tempoh hari.
“Kenapa senyap? Jadi betullah yang kau memang nak goda abang aku?” duga Sufian.
Elisha mencari-cari kelibat Shameeir yang meminta diri sebentar untuk menjawab panggilan telefon bimbitnya. Dia tidak betah ditinggalkan berduaan dengan lelaki lidah berbisa ini. Tidak mahu terus dicela, dia mengambil keputusan bersuara.
“Maaf, saya rasa awak salah faham. Saya tak pernah tahu awak ada abang dan kalau saya tahu, saya tak akan dekatinya! Saya kenal abang awak secara kebetulan. Jadi, tolong jangan ingat saya ni perempuan murahan! Awak tu, jangan nak perasan hebat!”
Elisha terus bangun tanpa menyentuh sedikit pun mee goreng yang masih berasap di dalam pinggan lantas melangkah keluar. Sakit dalam hatinya terlalu dalam. Sampai hati Sufian. Sudahlah perasaan hatinya ditolak mentah-mentah, dihinanya lagi diri ini. Mengapa lelaki itu terlalu ego dengan diri sendiri?

*  *  *  *  *

BINTANG-BINTANG yang bergelantungan di dada langit berkerdip terang namun tetap tidak dapat menceriakan hati Elisha yang rawan. Hatinya masih lagi pedih mengenangkan pertemuan dengan Sufian di kafeteria siang tadi. Sejak dia meluahkan isi hati, lelaki itu seakan memusuhinya. Di kelas pun selalu saja mengenakannya. Elisha masih ingat, selepas peristiwa dia menyatakan perasaan pada Sufian, esoknya kecoh satu kelas ada pelajar yang meluahkan isi hati pada lelaki itu. Mujur Sufian tidak memberitahu siapa gerangan orangnya, jika tidak, entah mana ingin disorokkan muka. Lelaki itu juga sering menguji hatinya apabila berada di dalam kelas.
“Wei, apa ciri-ciri gadis idaman kau?” tanya Sufian pada rakan yang duduk di sebelah.
“Mestilah yang cantik, matang, pandai masak...”
“Iya? Kalau aku, aku sukakan yang manja, macam budak-budak,” ujar Sufian.
Elisha yang duduk tidak jauh hanya mampu mendengar dengan hati yang membahang. Dia tahu Sufian sengaja berkata begitu. Salahkah jika sikapnya begitu? Bukannya dia tidak matang cuma sebagai anak bongsu, dia memang manja dengan sesiapa sahaja.
Bunyi mesej menampar pendengaran Elisha. Lamunannya tadi dibiar tergantung tanpa tali. Elisha menekan butang hijau lalu membaca mesej yang tertera.

Kenapa tak tunggu saya waktu lunch tadi? – shameeir-

Elisha mengukir senyum. Pasti lelaki ini mendapat nombor telefon miliknya dari Sufian. Lalu, dia mula menaip, membalas mesej Shameeir.

Ada hal penting. Maaf ya. Kita lunch lain kali

Beberapa saat selepas itu dia menerima mesej dari Shameeir semula.

Ke adik saya sakitkan hati awak?

Elisha mengangkat keningnya. Adakah Shameeir mengetahui perihal antara dia dan Sufian? Takkanlah Sufian tegar memberitahu abangnya? Apakah Sufian fikir dia memang ingin menggoda abangnya itu?

Tak adalah, saya memang ada hal. Maaf ya awak, saya mengantuk, kita jumpa esok saja.

Elisha membalas mesej tadi. Telefon bimbit dicampak ke atas katil. Bunyi mesej diterima dibiarkan saja. Dia yakin Shameeir yang membalasnya. Biarlah, dia tiada mood hendak melayan. Elisha kembali semula menatap langit. Gelap malam sedikit sebanyak menghadirkan sayu dalam hati. Mungkin, dia tidak patut meneruskan hubungan persahabatan dengan Shameeir.

*  *  *  *  *

“SEJAK kebelakangan ini, awak semacam mengelak dari berjumpa dengan saya, kenapa?” tanya Shameeir sewaktu mereka terserempak di dalam perpustakaan.
“Eh, mana ada, perasaan awak saja tu,”
“Mesej saya tak balas, telefon tak jawab. Ke awak tak sudi nak berkawan dengan saya lagi?” ujar Shameeir seakan berjauh hati.
‘Ya, memang aku tak mahu berkawan dengan kau lagi! Aku tak tahan dengan perangai adik kau yang menyakitkan hati tu!’ mahu sahaja Elisha berkata begitu namun hanya dipendam di dalam hati.
“Awak seorang yang baik Shameeir. Saya gembira dapat berkenalan dengan awak,” ucap Elisha.
“Dah tu? Kenapa jauhkan diri?”
“Mungkin saya perlukan masa untuk menyesuaikan diri,”
“Maksud awak?”
Elisha sekadar tersenyum sebagai jawapan kepada persoalan Shameeir tadi. Dia belum bersedia untuk berterus-terang dengan lelaki itu. Biarlah, mungkin Sufian sendiri yang akan menerangkannya.
“Maaf jika masa ni kurang sesuai tapi ada sesuatu yang perlu saya beritahu awak,” Shameeir berkata sekaligus menarik perhatian Elisha.
“Saya... sukakan awak!” lancar ucapan itu meniti di bibir Shameeir.
Elisha menekup mulut dengan tapak tangan kanannya. Tindakan spontan. Serasa dia sedang terbang mengharungi gumpalan awan menuju mentari yang cerah. Namun pantas dia kembali ke alam nyata. Kata-kata Sufian menganggu fikirannya. Tidak, dia tidak boleh menerima hasrat hati Shameeir!
“Awak bergurau bukan? Kita baru kenal. Tak tahu pun hati budi masing-masing. Mudahnya awak berkata yang awak sukakan saya,” balas Elisha.
“Perasaan suka itu tak boleh disukat dengan tempoh perkenalan. Kadang-kadang hanya dengan memandang wajahnya dalam sesaat saja kita sudah jatuh hati,” Shameeir berfalsafah.
Elisha mengukir senyum tawar.
‘Alangkah bagus jika kau bukan abang kepada lelaki yang telah membunuh perasaan sayang dalam hatiku. Pasti dengan mudah aku menerima hasrat hati kau,’ getus hati Elisha.
“Berikan saya masa. Saya belum bersedia,” hanya itu yang mampu Elisha tuturkan.

*  *  *  *  *

“NAMPAKNYA kau berjaya goda abang aku,” ujar Sufian ketika Elisha berseorangan duduk di bangku di Taman Komuniti Awam petang itu.
“Saya masih belum buat keputusan untuk terima dia,” balas Elisha.
“Tapi abang aku sukakan kau. Bukankah dah jelas kau berjaya goda dia?”
“Saya tak pernah goda sesiapa! Saya tak faham, kenapa awak tak habis-habis nak sakitkan hati saya? Saya tak pernah pun buat salah kat awak!” bentak Elisha.
Sufian tersengih. Entah mengapa wajah Elisha yang merah menahan marah itu sedikit menggetarkan jiwanya. Namun segera dihapuskan getaran itu. Elisha bukanlah gadis impiannya. Tetapi, mengapa sejak gadis itu meluahkan hati padanya, ada resah yang menjalar di segenap urat nadi? Itulah kali pertama seorang gadis berani meluahkan perasaan secara berdepan dengannya. Gadis-gadis lain selalunya tergedik-gedik berada di sisinya tetapi Elisha bukan begitu. Apakah yang sedang melanda hatinya ini?
“Awak tak perlu risau, saya tak akan terima hasrat hati abang awak,” ujar Elisha, lirih.
“Kenapa? Sebab aku?”
Segera Elisha mengangguk. Dia tidak mahu terus bermusuh dengan lelaki itu. Jika mereka tidak dapat menjadi kekasih, bukankah mereka boleh tetap berkawan?
“Abang aku takkan mengalah begitu mudah. Ini kali pertama aku tengok dia jatuh cinta. Cuma, aku kecewa sebab engkau yang jadi pilihan...”
Elisha terkesima. Hodoh sangatkah dia? Buruk sangatkah perangainya sehingga tidak layak menajdi milik sesiapa?
“Awak dah melampau Sufian!”
Sufian tersentak! Pertama kali orang memanggilnya dengan nama penuh begitu. Perasannya tidak dapat ditafsir. Dia seakan ingin mendengar Elisha memanggilnya begitu sekali lagi.
“Baik! Kalau macam tu, biar saya jadi teman wanita abang awak! Biar awak terseksa tengok saya bersama abang awak! Biar awak sakit hati! Awak nak cakap apa pun cakaplah, saya dah tak kisah!” marah Elisha lantas bangun namun terhenti apabila lengannya dipegang, erat.
“Tak, kau tak boleh bersama dengan abang aku!” tegas Sufian.
“Itu hak saya!”
“Tak boleh!”
“Kenapa?”
“Sebab aku sukakan kau!”
Elisha kaku!

*  *  *  *  *

HATINYA berbolak-balik. Dia penasaran. Kali ini dia benar-benar celaru. Keliru dengan perasaannya sendiri. Luahan hati Sufian petang tadi menggugat perasaan hatinya pada Shameeir. Tetapi, apakah perasaan sebenarnya pada Shameeir? Dia sendiri tidak mengerti. Dan... bukankah dia telah membunuh rasa kasih yang bertunas dalam hati untuk Sufian sejak lelaki itu menolak dirinya? Apakah masih ada sisa-sisa sayang yang berbekas dalam sanubarinya? Tidak! Jika dia memilih Shameeir, ini bermakna dia perlu berhadapan dengan Sufian. Begitu juga sebaliknya. Jika dia memilih Sufian, apa pula kata Shameeir? Oh, hati! Antara mereka berdua, siapakah yang mampu menghadirkan bahagia?
Telinga Elisha menangkap bunyi mesej yang diterima di telefon bimbitnya. Pantas dia mencapai telefon bimbit di atas meja belajar. Mesej dari Shameeir!
Awak free petang esok, kan? Jumpa di taman pukul lima petang ya. Mir nak bagi sesuatu
Hati Elisha berdetak. Apa yang ingin diberi oleh Shameeir?

*  *  *  *  *

PETANG tiba jua bersama debaran yang menggila dalam hati Elisha. Dia duduk di salah sebuah bangku kayu yang terdapat di Taman Komuniti Awam itu. Beberapa minit kemudian, Shameeir tiba. Lelaki itu tampak santai dengan T-shirt rona kelabu dan seluar track bottom warna hitam. Di tangan kanan lelaki itu ada sebuah beg kertas.
“Maaf, dah lama tunggu?”
“Tak, saya pun baru sampai,”
“Ini, untuk awak,” ujar Shameeir lantas menghulurkan beg kertas itu pada gadis berblaus biru laut di sebelahnya.
“Jangan buka dulu, nanti dah balik baru buka ya,” pinta Shameeir.
Elisha sekadar mengangguk. Kemudian Shameeir meminta diri untuk menghadiri latihan hoki. Elisha tahu perlawanan hoki antara universiti semakin dekat menyebabkan Shameeir harus menjalani latihan setiap petang.
“Kau dah buat pilihan?”
Elisha mengurut dadanya, terkejut dengan teguran Sufian. Adakah lelaki itu lihat apa yang berlaku tadi?
“Pilihan? Apa dia?”
“Sama ada aku atau abang aku,”
“Awak silap. Saya ada tiga pilihan. Sama ada awak, abang awak atau saya tak pilih sesiapa,” beritahu Elisha.
“Iya? Aku tak yakin kau akan tolak kedua-duanya. Kalau kau takut, aku boleh beritahu abang Mir yang kau tak dapat terima dia,” ujar Sufian membuatkan Elisha sedikit terkesima.
Kedengaran lelaki ini sungguh yakin yang hati ini memilih dirinya. Dari mana datangnya keyakinan lelaki itu?
“Awak terlalu yakin,” ujar Elisha.
Of course I do! Bukankah kau memang sukakan aku?”
Jawapan Sufian nyata memberi Elisha tamparan yang hebat. Benarkah masih ada rasa cinta dalam hati buat lelaki ini?

*  *  *  *  *

MALAM itu Elisha membuka beg kertas yang diberi Shameeir petang tadi. Perlahan-lahan dia mengeluarkan kotak berbalut kemas dari beg kertas bersaiz sederhana itu. Apa agaknya isi kandungan kotak tersebut? Lalu Elisha membuka balutan kotak itu dengan berhati-hati. Sebuah piano kecil terbentang di hadapan matanya. Penutup piano itu dibuka lalu kedengaran irama yang mengasyikkan menerjah telinga. Hati Elisha turut terbuai mendengar irama merdu itu. Elisha melihat lagi jika ada apa-apa di dalam kotak tersebut dan nyata telahannya tepat. Ada sepucuk surat.

Buat Elisha, gadis manja yang menawan hati.

Piano ini dihadiahkan buat peneman di kala sunyi. Jika diri berasa gundah, dengarlah nyanyian dari piano ini kerana ia adalah suara hati Mir. Semoga gundah itu segera berlalu pergi. Mir tahu, mungkin agak tergesa-gesa bagi Elisha tapi Mir tahu hati Mir tak menipu. Sejak kali pertama bertemu Elisha, hati Mir sudah dipaut rindu. Mungkin ini yang dikatakan orang, cinta pandang pertama.
Mungkin Elisha tidak menyimpan apa-apa perasaan pada Mir tapi Mir akan cuba sedaya-upaya membuatkan Elisha merasakan kasih sayang Mir untuk Elisha. Mir akan jadikan Elisha gadis yang paling bertuah kerana memiliki kasih sayang Mir.
Mungkin Elisha boleh beri Mir satu peluang, untuk Mir buktikan ketulusan hati Mir menyayangi Elisha sebagai teman istimewa. Dan jika selepas peluang itu Mir tetap tidak dapat memenangi hati Elisha, Mir terima dengan hati terbuka. Jika Elisha terima hasrat hati Mir, jumpa Mir esok, pukul lima di tempat kali pertama kita berjumpa. Elisha pasti masih ingat, kan?
Jika Elisha tidak datang, Mir faham dan tak akan ganggu Elisha lagi. Tapi kita tetap kawan. Esok, jangan lupa ya. Mir tunggu...
Merinduimu,
Shameeir

Jiwa Elisha diserang pelbagai rasa. Betapa lelaki ini begitu menyayangi dirinya. Namun, perlukah diturut kata hati, atau biarkan rindu ini berlalu pergi?

*  *  *  *  *

“SAYA akan jumpa abang awak petang ni, untuk bagi keputusan saya,” ujar Elisha pada Sufian selepas tamat kuliah sesi pagi itu.
Sebuah senyuman menguntum di bibir Sufian. Entah mengapa dia berasa lega. Mungkin kerana Elisha hanya menganggap abangnya sebagai seorang sahabat, tidak lebih dari itu. Dia tahu Elisha masih menyayanginya.
“Terima kasih kerana buat pilihan yang tepat,” ujar Sufian.
“Terima kasih juga kerana mengajar saya erti menyayangi dan disayangi,” balas Elisha.
“My pleasure. So?”
“Bersiap-sedia untuk menerima saya sebagai bakal kakak ipar awak,” ucap Elisha lalu meninggalkan Sufian dengan mulut ternganga.
Elisha ketawa besar di dalam hati melihat wajah Sufian yang terkejut itu. Dia kini yakin dengan pilihan hatinya. Sufian sudah jadi kenangan. Perasaan hatinya pada lelaki itu bukanlah cinta tetapi lebih kepada suka. Iyalah, lelaki itu idaman setiap gadis di universiti. Sedikit-sebanyak, dia juga turut terkena tempiasnya.
Elisha juga yakin, Sufian pasti dapat menerima keputusannya. Cinta itu bukanlah sesuatu yang boleh dipaksa. Ia lahir dengan kerelaan hati. Dan hatinya memilih insan lain untuk diberi peluang berkongsi rasa.
Tidak sabar menanti petang tiba. Dia mengeluarkan sebuah rantai kunci berbentuk hati dari saku seluarnya. Istimewa untuk diserahkan pada lelaki yang berjaya menambat hatinya, Shameeir.

::TAMAT::

~~Cerpen ini dimuatkan dalam Antologi Cerpen Cinta Pandang Pertama terbitan Info Didik Sdn. Bhd. Sudah berada di pasaran dengan harga RM14.50~~

11 ulasan :

Tanpa Nama berkata...

best! padan muka sufian tu. brlagak btul.. pijot

Rizai Reeani berkata...

Terima kasih pijot sudi singgah membaca. :)

faiicie berkata...

lelaki jenis mcm nie kita gelar apa yer?? jilat ludah sendiri pulakkan...hahaha...pdn muka...
best!!

Riesna Zasly berkata...

syahdu sekali... romantik plotnyer :)

lonely_gurlz berkata...

pdan muke si sufian x sdar diri tu. mana nak dpatkan buku ni?

Rizai Reeani berkata...

faiice: Memang ada lelaki yang sebegitu. Egoistik tak bertempat. Akhirnya, diri sendiri terkena.

Kak Riesna: Hehehe... Romantik yang tak romantik. ;)

lonely_gurlz: Boleh dapatkan di toko-toko buku tempatan di sekitar atau e-mel pada pihak Info Didik untuk tempahan.

Tanpa Nama berkata...

maaf eh..rasa mcm pernah bca cerpn nih..adakh pnulis y sama y dlm majalh remaja

Rizai Reeani berkata...

Ya, cerpen ini cerpen yang sama pernah diterbitkan di dalam majalah Remaja keluaran 15 Februari 2010.

Boleh lihat di tab Karya Eceran. Saya cuma ubah nama watak Sufian sahaja. :)

Aimy Kekmemu berkata...

Best... Thumbs up for you!!
Cerita nie best...

Norsuhaila Ishak berkata...

Best nyer...padan muke sufian

அமுதா விநாயகம் berkata...

Salam. Cerpen yang begitu sarat dengan pengajaran. Tahniah buat penulis. Salam