Sepatah Dua Kata

Khamis, September 15, 2011

Diari Cinta Dhaniyah - Bab 05

05 Mei 2005
10.30 malam

OKEY,  nak cerita tentang motosikal yang telah menyebabkan kain baju kurungku basah lencun. Oh, tipu. Basah sedikit saja. Ketika pulang dari sesi MMS tengah hari tadi, aku terlihat motosikal itu di tempat letak motor berhampiran kafeteria. Apalagi, terus aku mengubah arah kaki menuju ke arah motosikal tersebut. Tidak syak lagi, berdasarkan ingatan aku yang kejap malap, kejap terang ini, aku yakin, itulah motosikal yang telah aku cari selama ini. Eleh, ayat macam dah berkurun aja aku cari motosikal tu padahal baru hari dua hari aja.
            Pasti pemilik motosikal itu sedang menikmati makan tengah hari di kafeteria. Nak tahu apa yang aku buat pada motosikal tu? Betul nak tahu? Jawapannya... Aku tak buat apa-apa pun! Iya, betul. Serius. Aku tak buat apa-apa sebab waktu tu serta-merta perutku diserang rasa perit. Pasti usus-usus di dalamnya sedang berperang sesama sendiri dek kerana lapar. Tetapi, aku sempat membaringkan motosikal tersebut ke tanah (betul ke ayat aku ni?) sebelum berlari ke hostel untuk mengisi perut yang sudah berdondang-sayang tambah irama padang pasir sekali.
            Apa yang pasti, mesti aku telah disumpah-seranah oleh pemilik motosikal tersebut setelah melihat keadaan motosikalnya yang terlentang begitu. Cukuplah, anggap sahaja dendamku sudah terbalas. Malas aku hendak fikirkan tentang perkara yang membuang masa dan keringat aku itu lagi.
            Tentang Fadheela pula, ketika aku menulis diari ini, dia sudah pun lena dibuai mimpi. Tampak letih benar. Kasihan pula aku melihatnya. Namun, aku kagum dengan semangat dan kegigihannya untuk sampai ke sini walau banyak halangan yang ditempuh.
            Oh ya, sebentar tadi aku baru menerima panggilan dari emak. Sekadar bertanya khabar dan perkembanganku di sini. Ah, mendengar suara emak, sudah cukup meleraikan rindu dalam hati. Ish, tiba-tiba rasa sedih pula. Ini yang tak suka ni. Maklumlah, selama hampir lapan belas tahun aku hidup, inilah kali pertama aku berpisah jauh dari keluarga.
            Dulu, setiap pagi emak yang kejutkan dari tidur. Emak yang sediakan sarapan. Emak yang akan menghantar aku ke sekolah di muka pintu. Tapi sekarang, jam loceng yang kejutkan aku bangun. Sarapan roti kering aja. Ah, rindu mak!
           Emak juga ada mengatakan bahawa adikku yang bongsu ingin memiliki telefon bimbit. Ewah, ewah, ewah.... Banyak cantik muka dia! Okey, dia memang cantik tapi tak adalah secantik aku. Masuk lif tekan sendiri lagi nampak...
            Bila aku tanya pada emak kenapa dia perlukan telefon tersebut, jawab emak, senang hendak telefon kawan tanya pasal kerja sekolah. Hello, alasan very the masuk akal. Setakat nak tanya kerja sekolah, macamlah telefon rumah tak ada. Bukannya aku tak tahu niat adikku yang seorang itu. Mudah benar terpengaruh dengan kawan-kawan.
            Aku tanya emak lagi sama ada emak akan belikan atau tidak. Kata emak, akan berbincang dengan ayah dulu. Ah, bila emak sudah cakap begitu, aku sudah faham benar. Pastilah adikku akan dapat apa yang diingankannya itu. Ayah sayang benar pada adik.
            Oh, ada bau-bau cemburu di situ. Okey, tak adalah cemburu sebenarnya (cemburu sikit aje) sebab memang nampak sangat kasih sayang ayah yang terlebih-lebih pada adik. Ayah terlalu manjakan anak bongsunya itu. Bukan aku sahaja yang perasan, abang dan kakakku juga. Tapi nak kata apa, nama pun anak bongsu.
            Berbalik pada isu telefon bimbit tadi, ikutkan hati, mahu sahaja aku melarang emak dari membelikannya. Untuk apa pelajar sekolah menggunakan kemudahan seperti itu? Aku yang masuk universiti ini pun baru dapat guna telefon bimbit. Itu pun ihsan dari abang. Ala, setakat handphone sebiji, tak ada ralatnya abang nak bagi. Nama pun pilot. Duit ‘masyuk’...
            Dan apa yang buat aku sayang abang adalah dia sentiasa menjaga kebajikan adik-adiknya. Kami tidak pernah tidak dapat apa yang diminta melainkan permintaan itu adalah sesuatu yang tidak mendatangkan faedah. Dan aku tahu, jika aku melarang emak sekalipun, adikku itu pasti akan memujuk abangku untuk membelikannya. Dasar anak manja! Eh, tetiba nak emo pula. Mestilah, geram dengan perangainya yang mengada-ngada itu.
            Okeylah, dari aku melayan perasaan geram yang tak sudah ni, lebih baik aku masuk tidur. Esok kena bagun pagi lagi. Hai, seminggu ni nampaknya tak boleh bangun lewat. Mujurlah selepas ini kuliahku bermula pada pukul sembilan pagi. Bolehlah tidur lama sedikit. Pen-off.

p/s: Teaser bagi novel Merah Epal Cinta sudah dimuat-naik di blog Koleksi Novel. Jemput singgah membaca. Insha-Allah, novel tersebut akan menemui pembaca tidak lama lagi. (^_^)

Tiada ulasan :