Sepatah Dua Kata

Khamis, September 29, 2011

Preview: Idaman Kalbu - Ceritera III

CINTA. Ya, mungkin perasaan yang sedang menyelinap di dalam kalbunya sekarang adalah cinta. Terasa bagai berada di awang-awangan. Indah dan penuh pesona. Tapi entahlah, dia tidak pernah bercinta sebelum ini. Tidak pasti apakah perasaan yang berlegar-legar dalam jiwanya boleh dikatakan cinta.
“Mar, apa tandanya seseorang itu dah jatuh cinta ya?” Farisah bertanya pada rakannya yang sedang asyik menelaah buku rujukan Ekonomi di hadapannya.
Mariam yang mendengar pertanyaan Farisah segera terhenti pembacaannya. Diangkat kepala, mencari penjelasan di sebalik  wajah ayu bertudung biru laut dengan blaus rona serupa di depannya itu. Mata bertentangan tetapi hanya kebisuan yang hinggap seketika.
“Apa maksud kau dengan soalan tu?”
“Tak ada maksud apa-apa. Sekadar bertanya,” jawab Farisah sambil pandangannya masih tidak lepas pada Mariam.
“Kau, dah jatuh cinta ya?”
“Ish, merepek aja kau ni. Sapalah yang pandang aku ni Mar. Lagipun, kita masih muda, terlalu awal untuk semua tu,” jelas Farisah.
“Habis, kenapa tanya soalan tentang cinta pula? Baik kau terus-terang dengan aku. Kau dah jatuh cinta, kan?” Mariam mendesak lagi.
Farisah mengukir senyum kecil. Terasa segan pula mahu menceritakan pada Mariam akan perasaan hatinya. Bimbang jika ditertawakan. Iyalah, dia sendiri masih belum yakin tentang rasa hatinya sendiri. Namun, jika bukan cinta, mengapa wajah lelaki itu sentiasa ada di mana-mana dalam layar pandangannya?
“Aku tak tahu sama ada aku dah jatuh cinta atau tidak. Sebab tu aku tanya kau, apa tanda-tanda seseorang tu dah jatuh cinta,” ujar Farisah, masih dalam senyum kecil.
“Hmm… Aku ni pun, nak kata pernah bercinta tu, adalah masa sekolah dulu. Itu pun cinta monyet aja. Masa tu, hati aku sentiasa berdebar-debar bila bersama dengan dia. Rasa rindu walau dia ada di depan mata. Kalau boleh, setiap hari mahu melihat mukanya, mendengar suaranya. Dan bila dia ada di sisi, rasa selamat dan selesa…” panjang bicara Mariam.
Farisah mengangguk-angguk mendengar kata-kata rakan sekelas merangkap rakan serumahnya itu. Jika benar seperti yang Mariam ujarkan tadi, bermakna benarlah apa yang sedang dirasakan saat ini. Memang jantungnya seakan mahu tercabut bila berada dekat dengan lelaki itu. Memang ada rasa rindu yang terbit bila berjauhan begini. Memang mahu menatap seraut wajah tampan yang mengusik jiwa itu.
Jadi, dia sudah jatuh cinta pandang pertamalah?  

p/s: Kisah cinta gadis bernama Farisah yang akan menemui anda Oktober ini. Insha-Allah... (^_^)

Tiada ulasan :