Sepatah Dua Kata

Isnin, Oktober 03, 2011

Idaman Kalbu III - Ceritera 01

“Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu

Ramai orang membelinya
Bunga-bunga jualannya
Si ayu, gadis ayu

Datang seorang pemuda
Dapat melebur hatinya
Memetik oh cintanya
Kini berjalan dengan pasangan
Tak hirau lagi dengan jualan

Matanya lirik-lirik selalu
Rupanya manis-manis ayu...”

Lagu dendangan Rahimah Rahim bertajuk “Gadis dan Bunga” itu dinyanyikan sambil menyisir rambutnya yang panjang melewati bahu. Kemudian, diikat rambut ke belakang membentuk tocang ekor kuda. Sehelai tudung rona merah jambu yang bercampur sedikit ungu disarungkan ke kepala. Tampak padan dengan blaus merah bata yang dikenakan pada tubuhnya.
            Wajah yang sedia cerah diamati pada cermin meja solek. Sedikit bedak tipis dilekapkan pada pipi supaya tampak bermaya. Tidak lupa pelembab bibir berperisa ceri sekadar penambah seri. Nafas ditarik panjang kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Setelah berpuas hati dengan penampilannya pagi itu, Farisah mula melangkah keluar dari biliknya.
            Rumah teres satu tingkat yang disewa bersama dua orang rakannya itu kelihatan sunyi-sepi. Pasti Mariam dan Hidayah masih lena diulit mimpi. Begitulah kebiasaannya. Hanya dia yang gemar bangun awal dan bergerak ke kampus terlebih dahulu. Walau kuliah bermula pada pukul sembilan, dia akan berada di sana seawal jam lapan. Sudah menjadi sikapnya tidak suka akan kelewatan.
            Farisah menuju ke ruang dapur. Beg sandang yang mengandungi beberapa buah buku catatan diletakkan di atas kerusi meja makan. Cerek diisi dengan air lalu dipanaskan di atas dapur. Dikerling sekilas jam berbentuk empat segi tepat di dinding. Sudah pukul 07.30 pagi. Ada lima belas minit lagi sebelum LRT tiba.
            Dia bersyukur kerana rumahnya terletak tidak jauh dari stesen LRT. Berjalan kaki tidak sampai sepuluh minit. Dan perjalanan ke kampus hanya memakan masa lima belas minit dari stesen LRT tersebut. Waktu pagi begini, tidak ramai sangat penumpang. Rata-rata gemar menaiki LRT bermula dari jam lapan memandangkan waktu pejabat bermula jam sembilan.
            Sementara menanti air di dalam cerek masak, Farisah mencapai sebiji mug lalu diisi dengan nestum segera yang telah dipek kecil itu. Jem berperisa strawberi dikeluarkan dari peti sejuk lantas dibawa ke meja. Sebungkus roti yang memang sentiasa disediakan di atas meja diambil. Inilah sarapannya setiap pagi. Memadailah dengan beberapa keping roti yang disapu jem dan air nestum. Cukup buat pengalas perut sebelum waktu makan tengah hari tiba. Seperti yang disarankan pakar kesihatan, pengambilan sarapan adalah penting untuk memulakan hari bagi mengelakkan mengantuk dan memberi tenaga. Cuma, sesekali jika rajin, dia akan menggoreng lebihan nasi semalam.
            Beberapa ketika kemudian, cerek di atas dapur sudah menjerit nyaring. Farisah bangun semula dari duduknya sambil membawa mug berisi nestum segera di tangan kirinya. Dengan penuh berhati-hati dia menuang air panas sehingga ¾ gelas. Bekas panjang berisi air masak dicapai lalu dituangkan ke dalam gelas hingga hampir penuh. Nestum enak dihirup suam-suam begitu.
           Usai sarapan, dia melangkah keluar dari rumah sewa yang sudah hampir tiga bulan didudukinya itu. Sebelum ini, dia mendapat kemudahan hostel di kampus. Namun, setelah memasuki tahun akhir pengajian, para pelajar dikehendaki mencari rumah sewa kerana kemudahan hostel tidak mampu menampung bilangan pelajar yang sedia ada ditambah dengan pelajar-pelajar baru.
            MP3 yang terdapat dalam telefon bimbitnya dipasang. Headset dilekapkan di kedua belah telinga. Lagu “Gadis dan Bunga” kembali terngiang di telinga. Entah mengapa dia sangat suka mendengar lagu tersebut. Liriknya sangat manis dan manja pada pandangan Farisah. Sambil bernyanyi kecil, dia meneruskan langkah ke stesen LRT yang berdekatan.

*  *  *  *  *

SEPERTI pagi-pagi yang sebelumnya, stesen LRT masih lagi lengang. Sebab itulah dia tidak gemar menaiki LRT selepas jam lapan pagi kerana tidak suka bersesak-sesak. Farisah mengambil tempat duduk si salam sebuah bangku kosong yang terdapat di situ. Novel bertajuk “Semanis Coklat” dikeluarkan dari dalam beg sandang. Dibeli novel tersebut dua hari yang lepas dan hari ini baru berkesempatan untuk membacanya.
Namun, niatnya terhenti. Matanya meliar melihat sekeliling. Novel tadi diletakkan ditepi. Tidak jauh darinya, ada sekumpulan pelajar sekolah menengah yang sedang asyik berbual. Ada lelaki dan perempuan. Ah, melihat pakaian sekolah itu, dia jadi rindu pula. Sudah hampir tiga tahun alam persekolahan ditinggalkan.
            Selepas tamat SPM, dia mendapat tawaran untuk menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di tengah-tengah bandar metropolitan ini dalam bidang perakaunan. Walau mulanya dirasakan bidang tersebut tidak kena dengan jiwa, namun lama-kelamaan dia sudah dapat membiasakan diri. Iyalah, ikutkan hati, dia mahu menyambung pengajian dalam bidang kewartawanan tetapi atas nasihat keluarga, ditegarkan hati meneruskan pengajian dalam bidang yang tidak berapa diminati.
Memang di sekolah dia pelajar aliran perakaunan cuma, dirasakan mahu mencuba sesuatu yang mencabar. Dan dia tahu, bidang kewartawanan mampu memberikan dia cabaran yang diimpikan. Walau apa pun, dia kini sudah berada di tahun akhir. Tidak lama lagi akan bergelar graduan dan menempuh alam pekerjaan pula.
Lagu “Never Say Goodbye” dari OST My Girl, sebuah drama Korea kesukaannya kedengaran. Rasanya, sudah hampir lima kali dia menonton drama tersebut tetapi masih tidak jemu. Ah, sebenarnya bukan jalan cerita drama itu yang menarik minatnya, tetapi wajah pelakon lelaki drama itu yang mengusik jiwa. Kacak, tampan, bergaya dan penuh dengan ciri-ciri lelaki idaman.
Lihat sahaja pelakon yang memegang watak hero dalam drama tersebut. Hati perempuan mana yang tidak terpikat menatap wajah Lee Dong Wook yang ala-ala baby face itu. Oh, kalaulah dia berjumpa dengan lelaki persis seperti itu, tidak akan dilepaskan. Pasti mata-mata yang memandang akan berasa kagum dan cemburu.
Farisah ketawa kecil lalu menggeleng. Angan-angan yang tidak mungkin jadi kenyataan. Mana nak cari lelaki sebegitu di tengah-tengah kota ini? Bukanlah dia mengatakan lelaki-lelaki di Malaysia ini tidak kacak, cuma masih belum ada yang mampu mencuit hati. Lagipun, dia sedar siapa dirinya. Wajahnya tidaklah secantik artis tetapi tetap ada ayunya. Dia juga tidak tinggi macam model. Dia sama seperti perempuan-perempuan lain, tidak punya keistimewaan sehingga dapat menarik perhatian ramai.
            LRT yang muncul tiba-tiba mengejutkan Farisah. Itulah, leka sangat mengelamun sampai LRT datang pun tak perasan. Dia bingkas bangun lalu melangkah laju masuk ke dalam perut LRT itu. Masih banyak tempat kosong yang ada. Tidak perlu berebut-rebut. Dia mengambil tempat duduk di sudut kanan sekali. MP3 telefon bimbitnya dimatikan. Niat hendak menyambung baca novel yang dibawa tadi.
            Serta-merta ada gelisah yang menerpa. Novel yang dicari di dalam beg sandang tidak dijumpa. Segera ditepuk dahi. Lalainya dia! Terlupa hendak mengambil novel yang diletak di tepinya tadi dek kerana bergegas masuk ke dalam LRT. Hmm... tak ada rezeki barangkali.
            “Assalammualaikum,” satu suara kedengaran menyapa.
            Farisah segera mengangkat muka. Dia terpana seketika. Lee Dong Wook, pelakon drama My Girl itu kini berada di hadapannya. Tuhan, benarkah pandangan matanya ini?

Tiada ulasan :