Sepatah Dua Kata

Ahad, Oktober 09, 2011

Idaman Kalbu III - Ceritera 02

 
“ASSALAMMUALAIKUM,” satu suara kedengaran menyapa.
            Farisah segera mengangkat muka. Dia terpana seketika. Lee Dong Wook, pelakon drama My Girl itu kini berada di hadapannya. Tuhan, benarkah pandangan matanya ini?
“Cik?”
Oh, adakah dia sedang bermimpi? Atau dia masih dalam angan-angannya tadi? Mustahil pelakon kacak itu berada di depan mata. Segera Farisah mencubit lengan kirinya. Terasa sakit. Tak, dia tidak berhalusinasi. Ini kenyataan!
            “Cik?”
            “Ah, ma... maaf...” ujar Farisah, menyedari kealpaannya.
            “Saya ada bagi salam tadi,”
            “Oh, ya... Waalaikummussalam...”
            Pemuda berkemeja putih dengan seluar slack hitam di hadapannya mengukir senyum manis. Sekali lagi Farisah terpana. Senyuman itu ternyata membuatkannya seakan terbang bebas di langit biru. Dan latar bertukar dikelilingi kuntuman tulip yang masih belum mekar namun penuh warna-warni. Dia berada di tengah-tengah rimbunan tulip itu, menikmati keindahan yang penuh pesona. Oh, sempat lagi dia berangan.
            “Saya rasa, novel ni cik punya?” pemuda bertali leher merah itu mengunjukkan novel yang berkulit jingga itu kepada Farisah.
            Farisah segera mengangguk lalu menyambut huluran tangan pemuda tersebut. Tidak lupa diucapkan terima kasih. Tanpa disangka, pemuda yang memegang beg bimbit di tangan kirinya itu melabuhkan punggung di kerusi di sebelahnya.
            Serta-merta, ada gemuruh yang menerpa. Jantung berdegup lebih pantas dari selalu. Darah terasa mengalir laju ke muka. Hangat. Ah, kenapa perlu ada rasa ini dalam jiwanya?
            Farisah mencuri pandang pemuda di sebelahnya itu. Mujurlah pemuda itu memejamkan matanya. Diambil peluang yang ada untuk menatap wajah itu sepuasnya. Ya, jika dilihat sekilas pandang, memang wajah pemuda itu saling tidak tumpah seperti pelakon Korea kegemarannya. Namun, bila diperhatikan begini, ada beza antara mereka.
            Rambut pemuda itu dipotong pendek dan kemas. Keningnya lebat dan seolah bercantum di tengah-tengah. Bulu matanya lentik. Hidung pemuda itu mancung seakan bentuk segi tiga. Bibirnya kecil tetapi mungil. Dan, tahi lalat di tepi bibir pemuda itu tidak terdapat pada Lee Dong Wook. Ah, mengapa sampai ke bahagian itu diperhatikannya?
            Suara operator memaklumkan hentian stesen berikutnya kedengaran. Farisah tersentak lantas segera menundukkan wajah. Dapat dirasakan pemuda itu membetulkan duduknya. Terasa ingin menatap wajah itu sekali lagi tetapi bimbang jika tertangkap. Oh, apa yang sedang kau fikirkan ini Farisah? Mengapa tahap kegatalan berada di peringkat maksima kala ini? Tenanglah duhai hati, tenanglah...
            “Err...” Farisah seakan mahu bersuara tetapi tidak mampu dilontarkan bagai ada sesuatu yang menyekat kerongkongnya.
            ‘Tolonglah mulut, cakaplah sesuatu! Aku mahu dengar suaranya sekali lagi,’ getus hati Farisah.
            “Stesen seterusnya, Ampang Park. Next station, Ampang Park,” sekali lagi suara operator kedengaran.
            Kali ini, pemuda tersebut bangun. Farisah tidak keruan. Dia belum sempat berkenalan dengan pemuda itu lagi. Tidak, masakan secepat ini Tuhan memisahkan mereka. Hei, apa yang kau merepek ni Farisah?
            ‘Tak apa, esok, mesti lelaki tu ada di stesen mula-mula tadi. Aku tak akan lepaskan peluang untuk mengetahui namanya!’ detik Farisah di dalam hati.

*  *  *  *  *

TAMAN Bitara yang terletak berhampiran dengan kafeteria agak lengang pagi itu. Sama seperti hari-hari sebelumnya. Taman yang berkeluasan separuh dari padang bola sepak itu diwarnai dengan beberapa pokok renek seperti pokok puding dan pokok akasia. Cuma ada dua buah pokok semarak api yang merendang tumbuh bersebelahan. Di bawah pokok tersebut disediakan meja bulat yang diperbuat dari kayu dan lima buah kerusi kecil. Di sinilah Farisah akan menghabiskan waktunya dengan mengarang sebelum kuliah bermula.
            Ya, hanya segelintir sahaja kawan-kawan yang mengetahui dia seorang penulis novel atau nama singkatannya novelis. Malah, rata-rata kawan sekuliahnya memang tidak tahu dia minat menulis. Alhamdulillah, setakat ini sudah tiga buah novelnya diterbitkan. Menggunakan nama pena Rindyani, dia lebih senang untuk tidak dikenali.
            Tiga buah novelnya lebih menjurus kepada genre thriller dan fantasi. Syukur, penerimaan pembaca terhadap novel-novel dalam genre seperti itu tidak mengecewakan. Dan dia lebih selesa menulis dalam genre tersebut berbanding cinta. Bukan tidak pernah cuba menulis cerita cinta tetapi dirasakan ada sesuatu yang kurang dalam cerita itu. Seperti bunga yang tiada madu. Hambar, tiada jiwa. Mungkin kerana dia tidak pernah terlibat dalam soal hati dan perasaan, maka dia tidak dapat memasukkan rasa dan emosi yang sepatutnya dalam cerita sebegitu.
Biasalah, cerita cinta, haruslah menyentuh perasaan dengan babak-babak romantis sedangkan dia sendiri tidak pernah merasai perkara seperti itu. Hendak membayangkannya pun tidak mampu.
Skrin komputer bimbit yang diletakkan gambar keluarganya sebagai wallpaper ditatap. Ada rindu yang mula menyusup masuk dalam kalbu. Sudah dua minggu tidak pulang ke kampung lantaran kesibukan dengan tugasan kuliah. Mujurlah minggu ini kuliahnya hanya sehingga hari Khamis. Memang telah dibeli tiket bas sejak minggu lepas lagi.
Farisah memegang tetikus lalu menghalakannya ke folder bertajuk “Karya”. Di dalam folder tersebut mengandungi beberapa buah folder lain yang setiap satunya mengandungi manuskrip-manuskrip yang sedang diusahakannya. Tetikus dihalakan ke folder bertajuk “Zinolix”. Sejurus folder tersebut dibuka, beberapa perisian Microsoft Word tertera.
Zinolix adalah tajuk manuskripnya yang baaru. Sebuah kisah fantasi pengembaraan di mana watak utamanya perlu mengumpul tujuh keping kad yang mengandungi mantera untuk mengurung ahli sihir yang secara tidak sengaja dihidupkan semula oleh seorang ahli arkeologi.
Tidak dinafikan, menulis dalam genre begini memerlukan daya imaginasi yang tinggi. Sudah tentu dia perlu banyak menonton filem bercorak yang sama dan membaca novel-novel fantasi dan thriller yang sedia ada.
Baru sahaja Farisah mahu membuka file manuskripnya itu, pandangannya jatuh pada novel Semanis Coklat yang berada di sebelah komputer bimbitnya. Novel komedi romantik itu direnung sejenak. Walaupun tidak begitu arif menulis cerita cinta, dia amat suka membaca novel-novel cinta yang bagai cendawan tumbuh di pasaran.
Maklumlah, dia tidak pernah merasa bagaimana yang dikatakan cinta. Justeru, melalui novel-novel cintalah dia belajar dan cuba memahami perasaan cinta itu menerusi dialog dan perlakuan watak-watak yang ada.
Sekilas, wajah pemuda yang ditemui di dalam LRT sebentar tadi muncul dalam ingatan. Entah mengapa ada debaran yang menghuni dada. Sekejap, apa yang sedang berlaku pada dirinya ini sama seperti kebanyakan novel-novel cinta yang dibaca. Jangan-jangan...
Farisah segera menarik nafas. Tak mungkinlah!

Tiada ulasan :