Sepatah Dua Kata

Isnin, Oktober 17, 2011

Idaman Kalbu III - Ceritera 03

 
SELASA. Sejak bangun dari tidur lagi Farisah sudah tidak keruan. Semalaman tidurnya tidak lena. Wajah pemuda yang iras pelakon Lee Dong Wook itu kerap-kali menganggu lelapnya. Berpusing ke kiri, wajah itu ada. Berpusing ke kanan juga sama. Sudahnya dia tidak sedar entah pukul berapa dia memejamkan mata. Sedar-sedar jam di kepala katil sudah menjerit nyaring.
            Usai membersihkan diri, Farisah berdiri tegak, memandang satu per satu pakaiannya yang ada di dalam almari. Pertama kali dalam hidupnya dia perlu berfikir panjang dahulu untuk meyarung pakaian yang bagaimana pada hari itu. Selalunya, dia tidak kisah akan baju dan seluar yang dipakai, asalkan tampak kemas dan selesa. Entah mengapa, pagi ini dirasakan semua pakaian yang ada di dalam almari itu tampak tidak sesuai buat dirinya.
            Sehelai demi sehelai blaus lengan panjang diambil lalu dicuba tetapi tiada yang berkenan di hati. Oh, mengapakah dia berkelakuan begini? Adakah kerana dia mahu tampak menarik pada pertemuan kali kedua dengan pemuda tersebut? Farisah, sedang dilanda angaukah dirimu?
            Akhirnya, setelah hampir sepuluh minit menilik setiap baju yang ada, hatinya tekad memilih blaus rona hijau pucuk pisang dengan bebunga kecil putih di bahagian hujung kiri dan seluar panjang warna hitam. Tudung warna putih susu dipadankan. Tampak manis dan ayu pada pandangan Farisah. Ikutkan hati, dia tetap rasakan ada yang tidak kena pada penampilannya tetapi masa begitu mencemburui untuk dia membuat pilihan lagi.
            Seperti biasa, novel Semanis Coklat dimasukkan ke dalam beg sandangnya. Sebelum tidur semalam, niatnya untuk meneruskan pembacaan tergendala. Hanya kulit novel itu ditatap dengan rasa yang berbaur. Dipegang kedua belah novel itu utuh. Terasa seperti memegang tangan pemuda itu. Ah, gatalnya!
            Setelah memastikan semuanya tampak sempurna, Farisah bergegas ke stesen LRT. Hatinya melonjak-lonjak mahu bertentang mata dengan pemuda yang menghadirkan resah dalam jiwanya. Ingin ditanya nama pemuda itu. Melihat pada rupa, mungkin namanya Iskandar. Atau Hafiz? Mungkin juga Nazri. Entahlah, terlalu banyak nama yang sesuai dengan wajah itu.
            Semakin hampir ke stesen LRT, semakin kuat debaran yang menggegar jantungnya. Farisah menarik nafas panjang lalu mencari tempat duduk yang sama seperti semalam. Earphone yang dipasang di telinga sekadar hiasan sahaja. Tidak ada lagu yang dapat menenangkan resahnya kala ini. Farisah mengeluarkan novel Semanis Coklat dari beg sandang, berpura-pura membaca walhal matanya sejak tadi bagai helang yang mencari mangsa.
            Kelibat pemuda itu masih lagi tidak kelihatan. Beberapa minit lagi, LRT akan tiba. Jangan-jangan, pemuda itu tidak menaiki LRT hari ini. Mungkin semalam keretanya rosak, itu yang menyebabkan dia menaiki LRT semalam. Iyalah, sebelum ini Farisah tidak pernah sedar akan kelibat pemuda itu. Tuhan, janganlah pertemuan semalam berakhir sebegini cepat. Tidak putus-putus Farisah berdoa agar pemuda tersebut muncul.
            Dari jauh, Farisah perasan kelibat LRT yang akan tiba beberapa saat saja lagi. Dan, bayang pemuda itu masih belum kelihatan. Entah mengapa ada sayu yang menerjah kalbu. Kecewakah dia? Tidak, hampa barangkali. Ah, hampir sama sahaja makna perasaan kedua-duanya. Dengan lemah dia bangun lalu melangkah longlai, beratur untuk menaiki perkhidmatan awam itu.
            Setelah melabuhkan punggung di salah sebuah tempat duduk yang ada di dalam LRT itu, Farisah menyeluk MP3 dari saku seluarnya. Terasa mahu dengar lagu-lagu berentak balada pula. Lantas, lagu “Ada Cinta” nyanyian Acha Septriasa dan Irwansyah bergema di telinga.
Ucapkanlah kasih satu kata yang kunantikan
Sebab ku tak mampu membaca matamu
Mendengar bisikmu.

Nyanyikanlah kasih
Sebab ku tak sanggup mengertikan getar ini
Sebab ku meragu pada dirimu

Cukup Farisah! Mengapa dengan dirinya waktu ini? Sejak semalam lagi dirasakan ada sesuatu yang mengubah perasaannya. Ada sesuatu yang menggugah sanubarinya. Semuanya kerana pemuda itu. Ya, kerana pemuda yang seiras Lee Dong Wook!
Dia mengangkat wajah, memandang pintu LRT yang akan tertutup sebentar lagi. Entah mengapa dia berharap agar pemuda itu akan muncul. Kedengaran bunyi seperti siren yang menandakan pintu akan ditutup. Nampaknya, dia tidak akan bersua-muka dengan pemuda itu hari ini. Namun dalam sekelip mata, doanya dimakbulkan Tuhan. Pemuda yang dinanti kini berada di hadapannya, tercungap-cungap menarik nafas. Pasti pemuda itu berlari tadi.
Farisah memerhati pemuda tersebut dengan riak teruja. Hari ini pemuda itu memakai kemeja warna putih. Sama warna seperti tudungnya. Dilihat pemuda itu mengambil tempat selang sebuah dari kerusi yang didudukinya. Menyedari ada mata yang melihat, pemuda tersebut menoleh ke kiri. Pandangan mereka bertentangan.
Senyuman yang terukir dari bibir mungil itu menambah resah dalam jiwa Farisah. Segera dipalingkan wajah lalu menunduk. Hatinya kini terasa bergelora. Mahu sahaja menegur tetapi ada malu yang menghalang.
Keadaan di dalam LRT lengang. Masih awal lagi untuk mereka yang bekerja memulakan hari. Farisah terdengar pemuda itu menarik nafas. Mungkin dia terlewat bangun pagi tadi, fikir Farisah. Dia perasan lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari beg bimbitnya. Perlahan-lahan dia mengerling dan anak matanya terus membulat.
“Ah, novel tu...” kata-kata Farisah terhenti apabila tersedar dia terlanjur cakap.
Pemuda itu mengangkat sebelah kening, sedikit hairan dengan gadis di sebelahnya. “Kenapa dengan novel ni?”
Farisah hanya mampu menggeleng. Dia terkejut melihat novel terbarunya yang berada dalam pegangan pemuda tersebut. Novel bertajuk “Pusaka” itu baru sahaja sebulan berada di pasaran. Dan khabar yang diterima dari penerbit, seperti novel-novelnya yang sebelum, ia turut mendapat sambutan hangat.
“Dah pernah baca novel ni?” pemuda itu bertanya lagi.
Sudah tentu dia sudah membacanya kerana dia sendiri yang menulis novel tersebut. Mahu  sahaja Farisah memberitahu bahawa penulis novel itu sekarang berada di depan mata tetapi entah mengapa dirasakan tindakannya itu kurang bijak. Mungkin inilah peluang untuk dia berbicara lebih panjang dengan pemuda itu.
“Saya belum baca lagi tapi hari tu ada nampak di kedai buku. Best ke ceritanya?” dalih Farisah.
Not bad. Saya memang suka baca cerita thriller macam ni. Lagipun, novel ni ditulis oleh my favourite author,”
Oh, kalaulah pemuda itu tahu bahawa dialah yang menulis novel tersebut, agaknya apa reaksi yang akan ditunjukkan olehnya?
“Minat baca cerita macam ni?” pemuda itu bertanya lagi apabila dilihat gadis di sebelahnya sekadar membisu.
“Bolehlah juga. Sekarang cerita thriller, fantasi, sains fiksyen dan mula digemari pembaca. Pernah baca novel Untold Story oleh Farah Husain?” soal Farisah, mula selesa berbual dengan pemuda yang masih belum diketahui namanya itu.
“Yang tentang Night Crawler tu, kan?”
“Ha’ah. Saya minat sangat cerita tu. Puteri Karla oleh Julia Esqa dah baca juga?”
“Belum. Itu dalam waiting list. Saya baru beli bulan lepas. Wah, banyak juga yang awak tahu tentang novel macam ni ya. Novel dekat tangan awak tu, novel cinta ke? Tajuknya macam menarik,”
Farisah mengukir senyum. Ternyata pemuda itu seorang yang ramah. Tidak sombong dan mudah mesra. Tapi, macam mana nak tanya namanya ya? Takkan nak terus-terang? Seganlah...
“Semanis Coklat ni ceritanya sama manis macam tajuknya. Tentang suka-duka remaja masa sekolah. Setakat ni, bagi saya menariklah. Oh ya, saya Farisah,” ucap Farisah, terfikir akan taktik yang satu itu.
“Raquel. By the way, cantik nama tu. Macam orangnya juga,” puji Raquel.
Farisah yang mendengar terasa merah mukanya. Ah, pemuda bernama Raquel ini mulutnya manis macam gula. Jangan-jangan dia seorang kasanova. Oh, tiba-tiba Farisah rasa gusar pula. Tapi, namanya macam orang Sepanyol aja. Nak kata berdarah campuran, macam betul.
“Nama awak pun kacak, macam tuannya juga,” balas Farisah. Hah? Biar betul dia mengucapkan kata-kata begitu! Kau dah buang tabiat agaknya Farisah? Kenapa lancang sangat?
Terdengar Raquel ketawa kecil. Gadis bernama Farisah yang baru dikenalinya ini lucu perwatakannya. Mereka berbual seketika. Sekadar bertanya latar belakang dan novel-novel yang sudah dibaca. Dalam hati, Farisah tidak dapat gambarkan betapa girangnya dia. Terasa seperti hanya dia dan Raquel sahaja di dalam LRT itu. Tanpa sedar masa berlalu begitu pantas. Raquel meminta diri setelah LRT berhenti di stesen Ampang Park. Katanya, dia bekerja di sebuah syarikat hartanah di sana.
“Jumpa lagi,” ucap Raquel lalu menghadiahkan senyuman pada gadis berblaus hijau itu.
‘Jumpa lagi! Ini bermakna, Raquel mengharapkan ada pertemuan lagi dengannya selepas ini. Ya Tuhan, moga kami akan kerap berjumpa lagi selepas ini,’ doa Farisah, ceria!

Tiada ulasan :