Sepatah Dua Kata

Selasa, Oktober 25, 2011

Idaman Kalbu III - Ceritera 04

 
CINTA. Ya, mungkin perasaan yang sedang menyelinap di dalam kalbunya sekarang adalah cinta. Terasa bagai berada di awang-awangan. Indah dan penuh pesona. Tapi entahlah, dia tidak pernah bercinta sebelum ini. Tidak pasti apakah perasaan yang berlegar-legar dalam jiwanya kala ini boleh dikatakan cinta.
“Mar, apa tandanya seseorang itu dah jatuh cinta ya?” Farisah bertanya pada rakannya yang sedang asyik menelaah buku rujukan Ekonomi di hadapannya.
Mariam yang mendengar pertanyaan Farisah segera terhenti pembacaannya. Diangkat kepala, mencari penjelasan di sebalik  wajah ayu bertudung biru laut dengan balus rona serupa di depannya itu. Mata bertentangan tetapi hanya kebisuan yang hinggap seketika.
“Apa maksud kau dengan soalan tu?”
“Tak ada maksud apa-apa. Sekadar bertanya,” jawab Farisah sambil pandangannya masih tidak lepas pada Mariam.
“Kau, dah jatuh cinta ya?”
“Ish, merepek aja kau ni. Sapalah yang pandang aku ni Mar. Lagipun, kita masih muda, terlalu awal untuk semua tu,” jelas Farisah.
“Habis, kenapa tanya soalan tentang cinta pula? Baik kau terus-terang dengan aku. Kau dah jatuh cinta, kan?” Mariam mendesak lagi.
Farisah mengukir senyum kecil. Terasa segan pula mahu menceritakan pada Mariam akan perasaan hatinya. Bimbang jika ditertawakan. Iyalah, dia sendiri masih belum yakin tentang rasa hatinya sendiri. Namun, jika bukan cinta, mengapa wajah lelaki itu sentiasa ada di mana-mana dalam layar pandangannya?
“Aku tak tahu sama ada aku dah jatuh cinta atau tidak. Sebab tu aku tanya kau, apa tanda-tanda seseorang tu dah jatuh cinta,” ujar Farisah, masih dalam senyum kecil.
“Hmm… Aku ni pun, nak kata pernah bercinta tu, adalah masa sekolah dulu. Itu pun cinta monyet aja. Masa tu, hati aku sentiasa berdebar-debar bila bersama dengan dia. Rasa rindu walau dia ada di depan mata. Kalau boleh, setiap hari mahu melihat mukanya, mendengar suaranya. Dan bila dia ada di sisi, rasa selamat dan selesa…” panjang bicara Mariam.
Farisah mengangguk-angguk mendengar kata-kata rakan sekelas merangkap rakan serumahnya itu. Jika benar seperti yang Mariam ujarkan tadi, bermakna benarlah apa yang sedang dirasakan saat ini. Memang jantungnya seakan mahu tercabut bila berada dekat dengan lelaki itu. Memang ada rasa rindu yang terbit bila berjauhan begini. Memang mahu menatap seraut wajah tampan yang mengusik jiwa itu.
Jadi, dia sudah jatuh cinta pandang pertamalah? Farisah segera menekup mulut. Terasa hangat wajahnya. Takkanlah, hanya dengan dua kali pertemuan, dia sudah jatuh hati pada lelaki bernama Raquel itu?
“Kenapa merah pula muka kau ni?”
Teguran Mariam menyentak lamunan Farisah lantas membuatkan gadis itu tersengih. Tidak ramai pelajar di dalam perpustakaan waktu tengah hari begini. Rata-rata pasti menjadikan kafeteria sebagai tumpuan untuk mengisi perut.
“Mar, boleh ke kalau kita jatuh cinta sekelip mata?”
“Boleh, apa tak bolehnya pula. Itulah keajaiban cinta. Datang tanpa diundang, pergi tanpa dipinta. Ni, siapa lelaki yang buat kau jatuh hati?” Mariam cuba merisik dari kawannya itu.
Farisah tersengih lagi. Dia masih belum bersedia untuk bercerita tentang Raquel. Lagipun, perasaan hatinya masih belum dipastikan. Jika benar dia jatuh cinta sekalipun, tak semestinya lelaki itu turut menyimpan rasa yang sama. Dia bimbang andai dia hanya bertepuk sebelah tangan. Perasan sendiri.
“Aku nak ke kafe lah. Rasa lapar pula. Nak join?” pelawa Farisah.
“Sengaja nak mengelaklah tu. Tak apa, nanti aku korek juga. Em, kau pergilah dulu. Kejap lagi aku ikut. Tinggal sikit lagi nak salin ni,” balas Mariam.
Farisah bangkit lalu melangkah keluar dari perpustakaan. Dalam perjalanan, wajah Raquel sekali lagi menjelma dalam pandangan.

*  *  *  *  *

PETANG itu Farisah pulang sedikit lewat dari kebiasaan. Ada perbincangan kumpulan tentang projek akhir yang perlu diajukan proposal awal pada pensyarah minggu hadapan. Jam tangan pemberian ayahnya sempena hari jadi yang ke-18 ditatap sekilas. Sudah hampir pukul 06.30 petang. Harap-harap LRT tidak ramai orang. Biasanya kuliah akan tamat pada pukul lima dan lebih kurang sepuluh minit kemudian, dia sudah berada dalam koc LRT.
Waktu itu tidaklah terlalu padat keadaan di dalam koc. Bermula pukul 05.30 petang, barulah LRT akan jadi seperti tin sardin lagaknya. Farisah mendongak seketika. Langit sudah mula disepuh rona jingga. Sekumpulan burung layang-layang kelihatan terbang berkawan menuju ke arah timur.
            Tiba-tiba seraut wajah milik Raquel muncul lagi. Ah, gila bayangkah dia? Baru tersedar yang dia tidak pernah terserempak dengan lelaki itu kala petang tiba. Mungkin waktu pejabat lelaki itu tamat pada pukul enam. Eh, kalau macam tu, ada kemungkinan dia akan terserempak dengan Raquel hari ini! Oh, harap-harap dapatlah mereka ketemu.
Menjejakkan kaki ke stesen LRT, hanya seketika Farisah menunggu, kelibat LRT tiba. Seperti dijangka, LRT sudah penuh dengan manusia yang pelbagai rupa. Dia malas mahu menunggu kerana hari sudah semakin senja. Biarlah dia bersesak sementara. Melangkah masuk ke dalam LRT, Farisah terpandang akan ruang kosong pada pintu bertentangan dengannya. Segera dia menyelit, mencari peluang untuk ke sana. Bila bersandar, tidaklah penat sangat berdiri.
            Ada tiga buah stesen lagi sebelum tiba di stesen Ampang Park. Entah mengapa dadanya bergetar. Jauh di sudut hati, Farisah berharap agar dapat melihat wajah Raquel. Walau dari jauh tidak mengapa asalkan dapat mengurai rindu.
            “Aduh!”
Farisah terdengar suara seorang wanita mengaduh. Segera dipaling wajahnya. Seorang wanita yang kelihatan sarat mengandung sedang memegang perutnya. Ya Tuhan, apakah wanita itu ingin melahirkan anak sekarang? Wanita tersebut mengaduh lagi, membuatkan mereka yang berada di sekeliling berubah cemas.
“Puan? Puan tak apa-apa?” seorang wanita berpakaian korporat menegur.
“Sa... Sakit...” jawab wanita mengandung yang bertudung putih itu.
“Sabar puan... Sekejap lagi kita akan sampai di stesen seterusnya. Saya akan minta bantuan pekerja LRT nanti. Sabar ya puan,” wanita berambut pendek paras bahu itu cuba mententeramkan wanita mengandung tersebut.
Farisah yang melihat berasa kagum. Wanita korporat itu sungguh tenang. Pasti seorang yang punya keyakinan diri yang tinggi. Usai LRT berhenti di stesen berikutnya, wanita korporat itu meminta bantuan beberapa orang lelaki untuk membantu wanita mengandung itu melangkah keluar. Farisah hanya memerhati sehinggalah pintu LRT tertutup kembali.
Suasana cemas yang menyelubungi koc tersebut berubah tenang semula. Tidak lama kemudian, LRT tiba di stesen Ampang Park. Farisah memejamkan mata sambil berharap agar Raquel muncul. Setelah pintu LRT tertutup, barulah dibuka semula matanya. Meliar pandangannya pada segenap inci koc tersebut. Dan, dia disapa hampa. Perlahan-lahan wajahnya ditundukkan. Raquel tidak ada. Tiada jodoh mahu berjumpa lelaki itu nampaknya.
“Selalu balik waktu macam ni?”
Farisah tersentak! Didongakkan kepala. Wajah Raquel yang mengukir senyum kelihatan betul-betul di hadapannya. Mengapa dia tidak perasan lelaki itu di hadapannya tadi?
“Terkejut ke? Maaf ya...” Raquel bersuara lagi.
“Ah, tak, tak ada apa,” balas Farisah malu-malu.
“Selalu balik waktu macam ni?” Raquel mengulang soalannya yang tidak berjawab tadi.
“Tak. Biasanya balik pukul lima. Tadi ada group discussion. Itu yang balik lambat. Err... awak?” dalam debar Farisah bertanya, bimbang dianggap penyibuk.
“Selalu naik LRT pukul enam. Hari ni ada kerja lebih sikit,” jawab Raquel.
Deringan bunyi telefon bimbit kedengaran. Raquel menyeluk saku seluarnya lalu sebuah telefon bimbit rona hitam dikeluarkan. Farisah membuang pandang ke luar. Tahu tidak elok mencuri dengar perbualan orang lain. Namun, telinganya tetap dapat menangkap butir bicara lelaki itu dengan pemanggil di talian sebelah sana.
“Ya, Azyan, abang on the way dah ni. Nanti ambil abang dekat stesen ya,”
‘Azyan? Abang? Lelaki ini... Sudah berkahwin, kah?’ getus hati Farisah.
Fikirannya mula dihujani pelbagai persoalan. Tidak lagi berminat mahu mendengar perbualan telefon Raquel. Tiba-tiba dia rasa gelisah. Tidak terfikir langsung hal yang satu itu. Jika benar Raquel sudah berkawin, bermakna dia jatuh cinta pada suami orang! Ya Tuhan... Pasti emaknya pengsan kalau tahu perkara ini. Tidak pernah ada dalam keturunannya yang hidup bermadu.
Justeru, apa yang perlu dia lakukan dengan perasaan hatinya yang kian bercambah pada lelaki di sebelahnya ini?
“Hai, orang perempuan ni cepat risau, kan?” tegur Raquel membuatkan Farisah kembali ke alam nyata.
“Hah?”
“Awak ni suka mengelamun ya? Tak elok tau selalu mengelamun ni,” ujar Raquel dalam senyuman.
Farisah tersipu malu.
“Tunang saya telefon tadi. Risau betul dia saya lambat. Bosan tunggu agaknya,” beritahu Raquel.
Farisah senyum kecil. Tunang! Lelaki ini sudah dimiliki! Oh, hati, tenanglah. Tenang...
“Itu tandanya dia ambil berat pada awak. Bertuah awak dapat tunang yang prihatin macam tu,” balas Farisah, cuba mengawal badai yang kuat menghempas pantai hatinya.
Raquel sekadar mengangguk. Saat ini Farisah rasakan mahu melompat keluar dari LRT itu. Atau, lenyapkan diri dari pandangan Raquel. Hatinya terasa sangat perit. Bagai ditikam-tikam dengan belati tajam. Tuhan, cepatkanlah masa. Dia sudah tidak tegar mahu berhadapan dengan lelaki ini lagi.
Hati Farisah lega sejurus mendengar pengumuman stesen Jelatek hampir tiba. Sejurus pintu LRT dibuka, dia segera mempercepatkan langkah. Tidak langsung menyapa Raquel. Tiada gunanya ucapan ‘jumpa lagi’. Dia tidak mahu bertemu lelaki itu selepas ini. Biarlah, dia tidak peduli apa yang lelaki itu fikirkan nanti. Apa yang penting sekarang dia mahu segera pulang ke rumah. Sudah tidak mampu menahan air mata yang akan berguguran bila-bila masa sahaja.

Tiada ulasan :